Friday, October 29, 2010

Sepurnama Berlalu

Pejam celik, pejam celik sudah sepurnama rupanya blog ini berkelana di alam siber. Nampaknya ia masih lagi suam2 kuku berdasarkan jumlah pengunjung dan ketiadaan sebarang komen dari pengunjung. Konsep dua hala yang menjadi taruhan nampaknya tidak begitu menjadi. Tapi tak mengapa. Sedikitpun ia tidak melunturkan semangat saya untuk terus mencetuskan entri2 terbaru kerana sesungguhnya menulis sambil merapu ini memang menjadi minat saya sejak kecil lagi (tak ada sesiapa yang ugut dengan letak pisau kat tengkuk supaya menulis). Walau ada seorang sekalipun pelawat yang singgah di sini, ianya sudah cukup untuk menyuntik semangat untuk saya mencetuskan entri2 terbaru dengan harapan akan adanya pelawat2 ulangan yang sentiasa dahagakan entri2 terbaru. Kepada yang pernah singgah di sini jutaan terima kasih diucapkan. Kepada yang berulang alik ke sini diharapkan semoga sentiasa terhibur dan kalau bagus beritahu kawan, kalau tak bagus beritahu saya.

Mozar : Sedari kecil lagi suka menyokong sesuatu yang underdog termasuklah me'laku'kan gerai baru yang orang lain takut2 nak cuba.

Bagaikan sang pungguk yang rindu nak naik ke bulan

Wednesday, October 27, 2010

Tak Makan Saman Punya

Kalau bagi makan dia kata tolak batu dengan kayu je. Bila bagi saman apasal tak makan pulak? Tahu pula melenting-lenting bila disaman. Orang macam ni memang kena hukum gantung atau hukum tembak je. Istilah lain bagi tak makan saman ni termasuklah degil, liat, biot (kata orang Perak), slenga ataupun tak ada perasaan. Tak makan saman ini lebih kepada sikap degil yang negatif walaupun sebenarnya ada juga sikap degil yang bersifat positif (lain kali cerita ek!).

Kalau diperhatikan, bersepah-sepah sebenarnya manusia yang tak makan saman di atas mukabumi ini. Bukan senang nak melentur orang yang tak belajar sivik ni (ada belajar tapi cikgu dia mati kot). Yang dah tua-tua dan masih degil tu bolehlah dipanggil 'biot tua'. Orang-orang macam ni kalau tak dicegah boleh menjadi barah dalam masyarakat. Nampak je kecil, tapi isunya besar. Terlalu banyak kes tak makan saman ni. Kes yang paling dekat dan yang paling lazim ialah tabiat merokok atau membuang sampah di tempat-tempat yang dilarang. Kes-kes lain yang lebih kronik pula adalah melibatkan tabiat-tabiat buruk di jalan-jalanraya. Kes-kes yang berstatus mega pula ialah kedegilan dari segi pihak-pihak atasan atau pentadbiran samada yang berskala kampung sehinggalah ke tahap negara ataupun dunia. Perhatikanlah sendiri, nak cerita pun malas!

Kadangkala kita perlu ingat dengan ungkapan "what you give, you get back" yakni apa yang anda beri, itulah yang akan anda dapat balik. Si degil-degil semua jangan le cepat melatah kalau di masa dan tempat yang lain anda diperlihatkan atau diperlakukan oleh si degil yang lain pula. Manalah tau jika suatu hari anda ataupun orang yang tersayang sedang bergantung pada tangki oksigen untuk bernafas, datang le satu mamat baekk punya cucuh rokok dan menghampiri tangki tersebut. Amacam, cuak tak cuak walaupun kemungkinan tangki itu meletup mungkin kecil. Sendiri mau ingat, jika anda tidak mahu di'degili', anda sendiri cubalah simpan-simpan sikit sikap degil anda itu.

Ingin berkongsi si degil yang anda kenal dengan saya? Tak hingin rasanya. Biar le diaorang bawa sampai mati sikap degil dan tak makan saman diaorang tu.

Mozar : Orang yang makan tolak batu dengan kayu tu mungkin juga meminati besi, buaya, katak, chiok, biawak dan yang sewaktu dengannya. Ini bukan kes degil tapi kes selera gila!

Monday, October 25, 2010

Impian Oh Impian

Perdana Menteri? Jutawan? Bilionwan? Penyanyi tersohor? Ahli muzik??? Mana satu impian anda? Dah tercapai ke belum? Kalau belum, habis tu apsal masih membaca blog yang merapu ni. Gerak cepat! Realisasikan impian anda itu sebelum terlambat. Life is way too short (hidup ini teramat singkat). Cuma jangan cuba mengimpikan bulan dan bintang la sangat!!!

Berkata tentang impian ini, teringat pula akan satu siri popular sekitar tahun 1978 yang bertajuk 'Fantasy Island' (boleh Wikipedia kalau berminat). Siri ini berkisar tentang merealisasikan impian atau fantasi tetamu-tetamu yang kadangkalanya gila, mengarut atau tidak masuk akal dengan hanya mereka berkunjung ke pulau itu. Yang bestnya, di akhir rancangan tetamu-tetamu itu disedarkan tentang buruk baiknya impian mereka itu melalui tragedi atau musibah yang sengaja dirancang dan dicipta oleh team pengurusan pulau itu secara 'real life situation'. Ada tetamu yang merasa bahagia dengan impian mereka dan tidak kurang juga yang sedar akan keburukan impian mereka itu jika ianya diteruskan.

Jikalau adalah pulau fantasi sedemikian secara realiti best juga kan? Boleh le cuba-cuba rasa menggapai impian yang tak pernah tercapai walaupun ianya hanya seketika dan secara olok-olok. Ini merupakan salah satu impian juga. Walaubagaimanapun, sebaik-baik dan semurni-murni impian ialah berjaya dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. Itulah maksud dan tujuan kita dihidupkan di atas dunia ini. Apa-apapun, sudi-sudilah coretkan impian atau fantasi anda di sini, kita tengok berapa gilanya impian anda itu, OK!

 
Mozar : Trademark siri 'Fantasy Island' ini ialah teriakan "Ze plane!(the plane), ze plane!" oleh si kemetot bernama 'Tattoo' (gambar). Otai-otai tau le siri ini.

Thursday, October 21, 2010

Tipah Tertipu

Tipah tertipu tertipu tipu terTipah (ulang 100 kali sampai terbelit lidah ye). Berapa kali tertipu daa. Nak buat macamana, dah memang sifat manusia di atas dunia ni takde kerja lain dari nak menipu sana menipu sini. Siapa kata budak umur 1 atau 2 tahun tak pandai menipu? Cuba tanya dia o'ok(berak) ke tak? Mesti dia geleng atau kata "tak!". Bukan apa, kata orang kanak-kanak tak pandai menipu. Zaman sekarang andaian begini dah tak boleh pakai dah. Budak-budak dah semakin pandai menipu-nipu. 

Jangan terkejut kalau dikatakan binatang juga ada kebolehan menipu. Namun tak banyak yang nak menjadi sangat. Contohnya, kumbang yang pura-pura mati. Cuba kalau ia direndam ke dalam air, gelabah puyuh hidup balik. Manakala sang kancil pula sangat pandai juga menipu. Sebab itulah kisah dongeng dahulu kala banyak menceritakan tentang kebijaksanaan sang kancil. Hakikatnya, satu-satunya kepandaian yang diketahui ada pada sang kancil ialah dengan berpura-pura mati sambil lidah terjelir apabila ia terkena jerat. Tapi berapa lamakah ia boleh berpura-pura mati? Hanya pemburu yang bodoh piang sahaja yang akan terpedaya dan melepaskannya dari jerat. Melepas la rendang kancil!

Jikalau anda seorang yang langsung tidak pernah tertipu seumur hidup anda, anda bukanlah manusia namanya. Ini kerana, sejak zaman nabi Adam a.s lagi manusia dah terkena tipu. Yang menipunya tak lain adalah syaitan yang direjam. Manusia yang jenis penipu memang patut dilabelkan sebagai sepusat sepusing dengan syaitan. Bawa-bawa la berhenti menipu wahai manusia. Akhirnya akan terkantoi juga lambat laun. Siapa yang akan susah balik. Tipu sunat atau tipu darurat bolehlah dimaafkan dengan syarat untuk kebaikan dirinya atau orang di sekelilingnya. Tapi jika tipu betul-betul, sendiri tanggunglah balasannya, tak di dunia, di akhirat kelak. Tunggu...

Siapa nak ceritakan pengalaman kena tipu kaw-kaw punya, sila catatkan di sini. Kawan saya baru sahaja sat ni terpedaya (adik beradik tertipu le tu) dek telemarketer (sang penipu/pemerdaya terlatih). Habis jugalah ratus-ratusan.

Mozar : Selalu tipu kumbang yang tipu-tipu mati yang kita kesian akan kematiannya. Berkobar-kobar kumbang tu untuk terus tipu-tipu mati. Tak boleh belah punya!

Wednesday, October 20, 2010

Hari-Hariku Tanpamu...

...Internet. Jangan salah sangka pula. Ini bukan satu lagi tajuk jiwang karat atau tangkap leleh. Ini tentang - Internet. Bagaimana rupanya kehidupan anda bila sehari atau beberapa hari Internet down atau anda sendiri tiada akses Internet, contohnya masa masuk hutan atau panjat gunung. Yang pastinya mesti ada yang macam cacing kepanasan atau macam kucing kehilangan anaknya. Nak update status dalam laman sosial pun tak dapat. Apa pun tak boleh!

Internet telah menjadi mainan dan keperluan hidup berjuta orang di dunia hari ini. Bagi yang berniaga online memang hangin satu badan la. Order masuk pun tak tahu, nak check status delivery pun tak dapat. Bagi yang fanatik bersosial, ber'game' dan ber'tooot' atau entah apa-apa lagi tujuan pasti rasa macam nak hentak kepala ke dinding ataupun terjun bukit/lombong. Anda pula kategori pelayar yang mana? Ceritakan pengalaman atau perasaan anda bila anda hidup tanpa Internet (bagi yang telah terbiasa la). Bagi yang tak pernah guna, langit dah nak runtuh pun dia apa kisah, ada Internet atau tidak.

Mozar : Rasa-rasanya orang dulu-dulu yang ada ramai anak tu mesti sebab takde TV atau Internet. Tak ada kerja lain nak buat di masa-masa senggang. kuikuikui

Monday, October 18, 2010

Kelakar Seram

Berdiri bulu romaku mendengarnya. Lawak yang dibuat tak kelakar langsung! Senyum pun tawar dan payau mendengarnya. Pernah mengalaminya? Selalu sangat, betul tak? Bila orang yang memang tak ada sense of humor nak buat lawak, inilah jadinya. Tapi bagi dia dah lawak pecah perut dah tu. Sekurang-kurangnya dia sendiri yang terkekeh-kekeh gelak. Contoh yang terdekat macam sesetengah peserta Raja Lawak yang lepas-lepas (bukan semua). Kadangkala seram sejuk mendengar lawak-lawak yang dilontarkan. Taknak gelak kesian, kalau gelak macam plastik la pulak. Kalau nak di 'boo' lagilah tak sampai hati.

Dalam suatu kes yang terpencil, kadangkala adalah juga bos-bos atau majikan yang bikin kelakar seram semacam ini. Namun, bagi yang 'kaki-kaki kipas' mahu tak mahu terpaksalah juga ketawa bagai nak rak. Kalau bukan seorang bos yang buat kelakar seram tu dah lama orang tu kena kutuk atau digelakkan balik. Kadangkala kesian juga orang macam ni, sebab lawaknya sentiasa tak menjadi walaupun terlalu mencuba, siap dengan mimik muka dan telatah yang pelik-pelik. Lebih baik berdiam diri daripada buat kelakar yang loya orang mendengarnya. Lontarkan pengalaman seram bulu tengkuk anda di sini supaya boleh dinilai tahap keseramannya bersama-sama.

Mozar : Mana lebih seram? Mendengar kelakar seram di tengahari buta atau berada di sebuah rumah usang di tepi hutan di malam-malam buta?

Friday, October 15, 2010

Secret Admirer

Tajuk ini dalam bahasa Melayunya lebih kuranglah, 'Pemuja Rahsia' kot. Siapa-siapa yang pernah menjadi pemuja rahsia ini mesti berpengalaman merasa sakitnya memendam rasa dan bertepuk sebelah tangan. Orang yang dipuja buat dekk aje, tak tahu mende, sedangkan anda bagai nak pengsan bila bertembung atau berselisih dengannya. Segala hal yang ada kaitannya dengan si dia yang dipuja pasti akan anda cari, gali dan simpan buat azimat dalam sanubari anda. Bak kata orang, kalau tak nampak orangnya, nampak bumbung rumahnya sekalipun jadilah.

Peritnya bila mengenangkan bahawa hanya anda sahaja yang terhegeh-hegeh memuji dan memuja. Yang dipuja tetap tidur lena sampai meleleh air liur basi dan makan baekk punya kenyang sedangkan anda yang angau tak pasal-pasal (sampai panas-panas muka dibuatnya). Apakah kesudahan kisah anda yang tak sanggup dilihat orang ini, buka-buka le sikit rahsia anda sebagai pemuja tu kat sini.

Mozar : Ada ke lagi pemuja rahsia di zaman belog, fesbuk dan twiter ni, semua main sound direct je, kurang-kurang boleh sms. Kalau takde, korek le pula rahsia opah-opah dan atok-atok anda dulu kala. Pasti klasik gilerr.

'Heart' - kisah secret admirer yang tragis dan tangkap leleh. Mari lelehkan lagi air mata anda di sini

Thursday, October 14, 2010

Ditelan Mati Mak, Diluah Mati Ayah

Haru biru ni. Serba salah dibuatnya bagi seseorang yang sayangkan mak ayahnya (literally). Kalau berada dalam situasi sebegini memang kita terpaksa korbankan salah satu pilihan dan pasrah terhadap pilihan yang satu lagi. Pernahkah anda mengalami keadaan sebegini? Buat yang ni salah, yang tu pun salah. Anda berada di persimpangan dilema. Kehidupan ini memang penuh dengan berbagai pilihan. Kalau silap memilih, tentu buruk padah yang menanti. Di sinilah pentingnya peranan Solat Istikharah bagi memohon pada Allah s.w.t agar diberikan petunjuk kepada pilihan yang tepat. Jika keputusan dibuat hasil ilham dari Allah s.w.t masih mendatangkan keburukan, pasrahlah kerana ianya hanyalah suratan takdir Allah dan ianya di luar kudrat kita untuk mengawalnya. Apapun persimpangan dilema yang anda hadapi, siarkanlah di sini semoga ada insan yang prihatin akan memberikan nasihat2 yang bernas untuk anda membuat pilihan.

Mozar : Mungkin saya telah tertelan 'sesuatu' sehingga menyebabkan arwah mak saya meninggal dunia (lawak je).

Aku Seorang 'Pejuang'

Dah puas nyampah kat Cikgu Shida dalam entri yang lepas?(Oppss-sambil menutup mulut dengan kedua belah tangan), ada kaitan ke video hiasan itu dengan entri ini? Sori ye Cikgu Shida. Hari ini saya nak anda selongkar sikit kualiti positif yang ada dalam diri anda setelah puas menyampah di sana-sini. Kongsikan pengalaman kehidupan positif anda itu di sini. Tajuk entri kali ini, dalam bahasa Inggerisnya adalah 'I'm a fighter'. Pengalaman seorang fire fighter, jet fighter atau street fighter(?) pun amatlah dialu-alukan, lebih-lebih lagi veteran perang, pesara tentera atau pesara polis. Semestinya mahal tidak ternilai pengalaman-pengalaman seperti itu.

Bagi anda yang dari golongan rakyat biasa, apakah peristiwa atau kejadian dalam hidup anda yang menjadikan anda seorang 'pejuang'? Anda juga wajar digelar pejuang bilamana anda telah berjaya melepasi segala ujian dan dugaan yang maha berat dari Allah s.w.t. Maka itu, sudi-sudilah kongsikannya di sini semoga sekurang-kurangnya ia dapat memotivasi dan menginspirasikan pula insan-insan lain yang kurang bernasib baik. Bagi yang telah berjaya, andalah pejuang dan perwira sejati yang sentiasa positif dan bersemangat waja dalam menempuh kehidupan. Sesungguhnya diri anda begitu berharga.

Pengalaman yang anda ingin kongsikan di sini tidak kiralah samada anda survive dalam penyakit kronik, kemalangan, sesuatu musibah atau apa jua kesulitan hidup. Pengalaman saya sendiri ialah apabila beberapa kali gagal dalam pelajaran yang mana akhirnya berjaya juga menggenggam segulung ijazah. Pengalaman sedemikian telah banyak mematangkan diri dalam menempuh kehidupan sehingga menjadikan diri lebih tabah, sabar, syukur dan positif dalam apa jua dugaan yang mendatang.

Mozar : "Apa pun yang terjadi...berjalanlah tanpa henti" (Melawan Kesepian-nyanyian Dato' Siti Nurhaliza)

Wednesday, October 13, 2010

Nyampahnya aku...

Nyampah pasal apa...??? Tak pasal-pasal pagi-pagi buta dah nak nyampah sana sini apa hal? Ceciter ceciter sikit. Kalau nak tahu, nyampah ni adik beradik la dengan benci, getik, meluat, loya dan yang sewaktu dengannya. Kalau buat letak tangan di bahu mata ke atas macam Afdlin Shauki tu pun bolehlah dikira sepupu dengan nyampah juga. Biasanya perkataan nyampah ni orang perempuan yang biasa pakai (ala-ala benci manja le tu, nyampah I!).

Nyampah boleh jadi berbagai nyampah. Ada yang nyampah kat rakan sekerja, nyampah kat makcik kantin (ada ke?), nyampah kat jiran sebelah, nyampah kat boss (shhhh), nyampah kat suami (tak baek tau, baik salam cium tangan balik). Apa-apapun nyampah ni akan buat kita sakit jiwa dibuatnya kalau tak dilepaskan. Kalau boleh bersemukalah dengan orang yang anda menyampah tu dan settle baik-baik, mana tau tiba-tiba boleh jadi kawan baik pula. Ataupun satu lagi cara, kutuk kaw-kaw punya orang yang kita nyampah tu bagi dia sedar dan ada akal sikit, kurang-kurang dia akan tersentak dari lamunan nan poyo. Apapun benda dan tahap nyampah anda, saya teringin sangat nak dengar, kalau-kalau saya boleh menolong, ataupun kipas jadi lebih marak lagi, baru best!

Mozar : Nyampah kat orang yang buang sampah merata-rata, mentaliti kelas bawahan. Lepas tu buat muka macam tak pernah bersalah.

Sekadar video hiasan (ye ke..?), terimalah Cikgu Shida! (<--klik sini, kalau teringin sangat nak tengok le). Amaran : Segala gangguan mental dan fizikal hasil menontonnya adalah tanggungjawab anda sendiri. Jangan nyampah-nyampah, nanti cepat tua.

Monday, October 11, 2010

Andai bolehku 'UNDO' masa

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Alangkah baiknya kalau kita boleh meng'undo' apa-apa sahaja yang dah terlajak seperti yang boleh kita buat dalam komputer. Kalau boleh 'undo', saya ingin kembali ke zaman belajar dulu yang mana masa tu beberapa kali terkantoi dalam keputusan2 exam yang tidak begitu memberangsangkan sehinggakan susah sangat hidup dibuatnya. Ataupun kembali ke zaman kanak2 supaya dapat 'undo' gerak geri sang pembuli dan dapat membelasahnya siap2 sebelum dia mula bertindak. Walaubagaimanapun, satu perkara yang agak berfaedah dan membawa kebaikan ialah kalau kita ada butang 'undo' apakala kita terlepas cakap atau terlepas perbuatan. Tak le buruk padah yang menanti.

Apa2 pun semua ni hanyalah khayalan semata2. Manusia sehingga kini belum berjaya mencipta 'time machine'(walaupun terlalu mencuba), apatah lagi 'undo machine'. Segala yang telah berlaku adalah takdir dan suratan Ilahi. Kita tidak layak untuk mengubahnya. Semuanya ada hikmah disebaliknya. Jika kita dapat mengubah sesuatu yang telah tersurat, sudah tentu nasib hidup kita hari ini dalam keadaan yang lain, mungkin akan lebih buruk, siapa tahu.  Allah s.w.t sahaja yang mengetahui segala2nya. Satu2nya cara untuk kita mengubah takdir yang tertulis ialah dengan kita berdoa.  Maka itulah kita disarankan berdoa untuk apa yang masih belum berlaku dan bakal kita hadapi. Namun, entri kali ini hanya untuk seronok2 aje. Jauh sekali untuk memesongkan akidah pula. Kalau mahu, kongsikanlah apa sahaja yang anda terasa ingin 'undo' dalam hidup.

Mozar : Ingin 'redo' penerimaan gaji secukup rasa.

Butang UNDO dan REDO

Friday, October 8, 2010

Terima Kasih

Terima kasih banyak2 kepada pengunjung2 yang baru sahaja singgah di blog santai ini.  Terima kasih kepada yang pertama kali singgah dan juga pengunjung ulangan (ada ke?).  Saya masih menunggu komen/respon pertama dari pengunjung2 yang berhati waja untuk memeriahkan blog ini. Ditakdirkan blog ini meletup2 suatu hari nanti (angan2 dan impian melangit), pasti kembang kempis hidung orang yang pertama sekali melontarkan komen/respon. Pastinya komen itu akan dikenang sepanjang zaman selagi hayat dikandung badan.  Yang datang dijemput tu sila le buat macam blog sendiri ye! Lepaih ni jangan mai sorang2. Heret sekali anak2 menakan, opah, tok wan, tok wi, pak usu, mak long bagai buat hingaq kat sini no!

Mozar : Tengah dok layan lagu 'Kasih Tercipta' - Faizal Tahir

TERIMA KASIH

Thursday, October 7, 2010

Hari Yang Suram

Hari ini merupakan hari yang suram dan muram bagi saya. Segala yang dibuat serba tidak  kena dan segala yang dirancang serba tidak menjadi.  Ditambah pula dengan berita yang tidak begitu enak dari ayah yang mengalami kemalangan kecil.  Tetapi Alhamdulillah, selepas solat terasa sedikit kelegaan di jiwa.  Untuk lebih lega lagi ialah kalau dapat tidur dengan nyenyaknya sambil berlingkar macam ular sawa.  Jika anda sedang menghadapi mood yang 'down' atau kerunsingan, apakah yang akan anda lakukan untuk merawatnya?
Kalau dapat tido macam budak tome ni mesti hilang segala kerunsingan
Mozar : Berhubung dengan orang-orang yang tersayang juga merupakan penawar duka yang terbaik

Wednesday, October 6, 2010

Web/Blog Pilihan Anda

Salam sejahtera pelayar2 semua. Hari ini saya ingin anda berkongsi dengan saya laman web atau blog apakah yang paling menarik pernah anda lawati atau langgani.  Tentu sekali anda peminat tegar laman tersebut.  Jangan lupa juga menyatakan sebab dan musababnya sekali (sekali..macam soalan periksa la pulak). Jika anda ingin 'masuk bakul angkat sendiri' dengan mempromosikan laman sendiri pun dipersilakan dengan segala hormatnya.  Mungkin selepas ini saya juga akan sekapal dengan anda menjadi peminat laman2 yang anda suka itu.

Mozar : Tetamu2ku! kenapa senyap sangat ni? Malu2 kura-kura ye? Ataupun dapat cikgu garang?

Saturday, October 2, 2010

Rindunya....

Aduhai rindunya aku pada (dot dot dot). Anda sedang merindui seseorang atau sesuatu? Tidak salah rindu merindu kerana ia menandakan anda seorang yang normal dan punya hati dan perasaan. Kerinduan ini adalah suatu yang universal dan juga ditujukan kepada banyak perkara. Ada yang merindui kekasih, mak ayah, keluarga, kampung halaman, makanan, masa silam dan banyak lagi. 

Namun, sebaik-baik kerinduan adalah kepada Allah dan Rasul serta kampung halaman kita di Syurga nanti.  Tapi tak mengapa, lampiaskan sahaja kerinduan anda terhadap apa sahaja di sini, mungkin ada yang membaca dan ingin berkongsi rasa.  Apabila rindu menerpa maka akan terseksalah jiwa dan raga, hidup pun menjadi tidak keruan.  Makan tak kenyang, tidur pun tak lena.  Asyik terbayang-bayang pada yang dirindui menembusi apa jua di depan mata. Sedang merindu? Layanlah lagu yang agak syahdu di bawah ini sambil berkongsi rasa dan pengalaman.

Mozar : Rindu sang pungguk ada pasang surutnya bergantung pada tarikan graviti sang bulan. Kurang tarikannya, maka terkuranglah rindunya.

Friday, October 1, 2010

Kantoi Dengan Boss

Benda ni memang lumrah bagi insan2 yang makan gaji dan makan nasi.  Ceritakanlah pengalaman tragis anda bila tiba2 anda terkantoi ketika 'mengulat' atau membuat sesuatu yang tak sepatutnya, yakni 'adegan yang tak ingin kita lihat' di tempat kerja anda.  Bagi saya, rasanya belum pernah terkantoi apa2 dengan Boss sebab saya ni ala2 pekerja 'Lindungan Kaabah' bila di pejabat (macam bagus je!). Memang sepatutnya kita jujur dan amanah di tempat kerja supaya pekerjaan itu menjadi suatu ibadah serta mendapat pahala dan keberkatan hidup. Tapi asyik kerja macam robot sepanjang hari pun tak tahan juga kan? Kalau mesin dah lama haus dan 'mintak nyawa'. Sesekali kenalah pandai2 cara masa untuk rehat (sekejap saja tau!). Kalau terlalu penat, anda juga boleh membahayakan diri anda sendiri serta benda yang sedang anda kerjakan. Siapa2 yang tak pernah kantoi tu mungkin sebab dia bijak cover dengan plan A sampai Z kot. Bagi yang berkemungkinan atau berisiko untuk kantoi, jangan lupa untuk sediakan 'skrip' yang bagus sebelum terkantoi.

Mozar : Mesti ada yang menyangka tajuk entri ni tentang buat kerja 'tak baek' dengan Boss. "Gotcha!"
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...