Tuesday, November 30, 2010

Harta Yang Dibiarkan Bersepah

Kayanya dia!!! Hartanya dibiarkan bersepah-sepah begitu saja. Mesti tahap bilionaire punya orang tu. Kaya memang kaya pun orang tu. Orang yang tak ada harta sebegitu bernilai sanggup membelanjakan puluhan malahan ratusan ribu hanya untuk mendapatkannya. Maintenance nak jaga harta ni memang bukan sedikit juga. Sayang le kalau dibiarkan bersepah-sepah begitu saja. Itu le harta di hari tua, kala diri tidak berdaya dan juga aset sesudah mati. Kalau tak dijaga baik-baik harta tu pun akan lesap entah ke mana dan mungkin juga akan jadi sampah kepada masyarakat pula. Masa tu, harta tu pulak memakan diri. Harta ni pun bukan calang-calang harta.

Kadang-kadang lebih senang membela lembu sekandang dari menjaga harta-harta ni. Kadangkala melawan, kadangkala mengikis dan kadangkala mengguris.  Apa nak jadi dengan harta-harta yang nakal ni. Silap jaga atau silap bagi makan? Manjakan sangat harta ni lebih-lebih pun tak jadi juga. Terlampau tak peduli, mentang-mentang ada harta dalam bentuk lain yang kononnya lebih berharga pun tak jadi juga. Hati-hati! harta ni banyak kawan tau! Silap-silap kita yang menatangnya bagai minyak yang penuh terpaksa pula main tarik tali dengan kawan-kawan sehartanya. Tarikan kawan-kawannya kadangkala lebih kuat dan menggoda. Tapi yang sayangnya, harta ni akan pudar dan rosak apabila ia memilih kawan-kawannya yang bertaraf sampah. Berlonggok atau dilonggokkan merata-rata.

Sayang ke orang kaya tu pada harta yang bersepah-sepah tu? Kalau sayang kenapa tak dibelai harta tu dengan penuh kasih sayang dan ihsan? Kenapa tak berkomunikasi dengan harta tu baik-baik? Kenapa harta tu rasa seperti dianaktirikan oleh tuannya sendiri? Harta tu pun nak joli katak juga. Asyik terperap kesunyian, harta mana yang tahan. Depa ni harta yang mahal, bernilai tinggi. Jangan le buat bina tak bina aje. Mungkin senang dapat kot. Tak minta pun dapat. Terlajak perahu pun dapat.

"Lari kang baru tau," ugut si harta.
"Itu je la ko pande. Sikit-sikit nak lari. Sikit-sikit nak lari," balas si tuan harta.
"Nak lari larilah, ada aku kesah?" bentak si tuan harta yang berbini empat dan berpelbagai harta bertimbun.
Harta ni pun bukan main 'kerek'nya. Pening juga kalau dapat harta yang banyak cikadak macam ni. Kalau tak bernyawa dah lama kena picit-picit sampai hancur. Macam bela hantu raya pula susahnya. Sikit-sikit nak cekik darah.

Salah ibu harta tu kot. Kenapa la melahirkan harta yang sedemikian rupa. Kalau harta emas permata boleh le juga ditempa sesedap rasa. Ni harta tu pun bermata dan bertelinga. Tapi taruh kat mana, tak tau.
"Ah bosan la duduk rumah tuan aku ni, baik aku lepak dengan kawan-kawan seharta, lagi baekk punya," putus si harta.

Maka sekonyong-konyong jadilah si harta tersebut laksana sampah terbuang atau lalat-lalat yang menghurung bangkai. Halau sekejap lari. Kemudian datang balik. Rendahnya nilai kamu wahai si harta yang amat berharga. Kamu perlukan bimbingan yang betul dan sewajarnya. Kembalilah kamu ke pangkal jalan wahai si harta yang telah hilang nilai. Kalau tidak kembali ke tuanmu, kembalilah kamu kepada Penciptamu. Kerana dirimu begitu berharga. Tidak kira apa jua sejarah hidupmu. Seketul berlian yang terjatuh ke lumpur, bila dibasuh dan digilap pasti akan memancar-mancar semula kilauannya.

Mozar : Risau dengan persekitaran hidup kini yang terlalu banyak dipenuhi harta-harta yang telah hilang nilainya. Jika tidak dibendung, dikhuatiri akan menjangkiti keturunanku pula nanti. Nauzubillah!

Gambar Hiasan : Harta-harta yang masih terlalu mentah untuk kehilangan nilainya.

Monday, November 29, 2010

Wajah-Wajah Yang Mendamaikan

Lihatlah di sekeliling anda. Ibubapa anda, pasangan hidup anda, anak-anak anda, adik beradik anda atau juga kawan-kawan anda. Pasti akan terjumpa oleh anda wajah-wajah yang mendamaikan jiwa anda. Wajah-wajah inilah penenang jiwa anda yang mana apabila anda memandangnya anda akan rasa bahagia yang tidak terucap. Wajah-wajah itulah yang akan sentiasa bertakhta di benak anda di kala senang atau susah. Wajah-wajah itulah menjadi penyejuk mata anda yang mana ianya seakan tidak jemu dipandang. Lazimnya wajah-wajah syurgawi begini diiringi oleh akhlak yang syurgawi juga. Suci dan tulus dari dendam, kekotoran hati atau segala macam sifat-sifat Mazmumah yang lain. Kesucian hati akan tergambar di wajah-wajah yang mendamaikan itu.

Melihat sendiri upacara berkhatan tempohari, saya agak tersentuh melihat seorang anak kecil yang mahukan ibunya berada di sisinya ketika dia sedang mengharungi ketakutan dan kesakitan. Bagi kanak-kanak itu, ibunyalah satu-satunya wajah yang paling mendamaikan dan yang paling dikenalinya ketika ini. Pada hakikatnya, memang Islam sendiri ada mengajarkan bahawa wajah ibubapa wajar dipandang dengan penuh rasa kasih dan sayang kerana ada tersedia ganjaran yang besar di situ.

Tetapi, sayangnya apabila anak-anak meningkat remaja atau dewasa kebanyakan dari mereka telah ada orang-orang lain yang mengambil alih wajah-wajah yang mendamaikan mereka daripada ibubapa mereka sendiri. Wajah-wajah ibubapa mereka akhirnya dengan tanpa rasa bersalah telah menjadi tempat menjegilkan mata serta mencebikkan bibir. Sedangkan dahulunya wajah-wajah itulah yang menenangkan mereka ketika bersedih, murung, ketakutan atau kesakitan. Bibir-bibir dari wajah-wajah itu jugalah yang mengucup dan mencium setiap inci tubuh mereka dengan penuh kasih sayang ketika mereka masih bayi. Kadangkala dunia menjadi begitu kejam di tangan orang-orang yang serakah dan sempit akal fikiran.

Wajah-wajah yang mendamaikan ini juga tidak terhad kepada orang-orang yang hampir dengan kita sahaja. Malah kita juga boleh menjumpai segala macam orang di sekeliling kita yang juga memiliki wajah-wajah yang mendamaikan. Orang-orang sebeginilah yang wajar dijadikan kawan atau sahabat. Kedamaian yang dipancarkan tidak boleh dibuat-buat kerana ia lahirnya dari hati dan batin. Walau kurang rupa kurang gaya, aura damai itu akan tetap terserlah jua. Sebaliknya, hati-hati yang kotor walaupun berwajah ratu dunia ataupun terkacak di dunia, tetap terpancar kejelikannya. Nampak cantik tetapi jauh sekali mendamaikan. Apatah lagi yang berwajah seperti 'pecah rumah', sakit mata dan semak perut memandangnya. Oleh itu, berusahalah untuk menjadikan wajah-wajah anda sendiri wajah-wajah yang mendamaikan insan-insan di sekeliling anda dengan cara membersihkan hati-hati anda dahulu. Anda pasti akan disayangi oleh ramai orang, malah 'ketidakhadiran' anda akan mengundang seribu resah dan suasana seakan tidak meriah atau tidak sempurna jadinya.

Mozar : Kadangkala, seseorang lelaki lebih suka memilih calon isteri yang berwajah keibuan kerana memang sesungguhnya wajah ibu itu begitu mendamaikan jiwa.

Bagi yang sedang berkasih, siapakah wajah kesayangan tuan hamba?

Sunday, November 28, 2010

Bisnes Kerja Kahwin : 'Industri' Yang Semakin Menjadi-Jadi

Ada jemputan kenduri kahwin di mana-mana tak hari ni? Confirm ada, ya tak? Kurang-kurang ada dua rumah. Cuti sekolah le katakan. Berebut orang nak kahwin masa ni. Siapakah yang tersengih lebar sampai ke telinga masa-masa macam ni? Tentulah orang-orang yang terlibat dalam bisnes perkahwinan seperti andaman, segala macam aksesori, gajet dan juga katering. Bisnes sebegini telah menjadi satu lubuk berharga bagi orang-orang yang terlibat. Tidak keterlaluan jika dikatakan suatu hari nanti bisnes sebegini akan menjadi satu 'industri' baru di negara kita, sebagaimana hiburan yang telah diiktiraf sebagai industri tidak lama dulu.

Kos yang terpaksa dikeluarkan untuk satu-satu majlis perkahwinan pada hari ini bukanlah calang-calang lagi. Kurang-kurang 7 atau 8 ribu belanja hangus. Hampir semua belanja itu akan hangus selepas selesai majlis kahwin. Ianya melibatkan wang hantaran, pelamin, pakaian persalinan, pakej video/fotografi, cenderahati dan berbagai-bagai lagi 'gajet' baru yang terus direka-reka dan dimomok-momok oleh pengusaha-pengusaha dalam bisnes ini. Selesai majlis perkahwinan yang walau sebagaimana mewah sekalipun, segala gajet atau aksesori akan berakhir di dalam tong sampah juga. Banyak sungguh pembaziran berlaku di sana sini.

Pengaruh perkahwinan artis-artis,VIP dan VVIP juga tidak kurangnya telah menular di kalangan orang-orang biasa. Nak dibuat ala kadar takut pula dikata atau diumpat orang. Buat majlis yang grand, alamatnya sampai anak ke berapa la baru habis hutangnya. Nak kahwin pun dah 'disusahkan' sekarang ni. Jangan melatah atau melenting kalau ada yang memilih untuk berkahwin di sempadan Siam. Ada banyak kes-kes kahwin sebegini yang disebabkan tak larat nak menurut 'rentak' orang sekarang yang semakin menjadi-jadi. 

Nampaknya trend menjadi-jadi ini telah menjadi 'point of no return' yang tiada tanda-tanda akan berpatah balik ke arah kesederhanaan. Contoh mudah, kalau dulu para tetamu akan diberi 'bunga telur' (memang ada telur rebus) setiap seorang, tetapi sekarang ini tidak lengkap rasanya kalau tidak menghadiahkan tetamu dengan goody bag yang isi kandungannya bukanlah murah berbanding telur rebus. Lebih-lebih lagi goody bag orang yang ada-ada. Bayangkan bagi anak-anak cucu kita yang akan datang, berapakah kos yang perlu dikorbankan untuk 'merajai' pengantin barang sehari (atau sekadar beberapa jam)'?

Mozar : Bagi yang tak mampu tapi buat-buat mampu, menganjurkan 'Wedding of the Year' bermakna mengundang 'Years of Suffering'.
Gambar hiasan : Gubahan hantaran yang mewah

Friday, November 26, 2010

Sarang Yang Kosong

 
Ungkapan 'sarang yang kosong' ini ialah hasil terjemahan ungkapan bahasa Inggeris yang berbunyi 'Empty Nest'. Ianya diumpamakan seperti sarang burung yang kosong apabila telah ditinggalkan oleh anak-anak burung yang telah pandai terbang. Maksud sebenar ungkapan ini ialah apakala sesebuah keluarga itu mengalami keadaan di mana rumah yang dihuni telah mula ditinggalkan oleh anak-anak mereka. Anak-anak telah mula belajar di sekolah berasrama, memasuki IPT, bekerja ataupun telah berkahwin. Di negara-negara Barat keadaan sebegini dianggap suatu sindrom yang mana ia membuatkan sesuatu pasangan suami isteri mula berasa resah, sedih dan kadangkala berasa diri tidak bernilai lagi. Keadaan ini memang agak menyedihkan juga bagi ibubapa yang telah terbiasa berdampingan dengan anak-anak mereka sehingga ke usia tua.

Suasana kehidupan pasti banyak yang berubah dan perlu disesuaikan dengan keupayaan hidup pasangan suami isteri itu. Kebiasaannya ada orang yang boleh membawakan mereka membeli belah atau membantu melaksanakan tugasan harian, kini tiada lagi. Keadaan 'empty nest' ini biasanya berlaku bagi penduduk-penduduk di luar bandar kerana prasarana di situ tidak mengizinkan anak-anak mendapat pendidikan yang sempurna dan juga peluang pekerjaan yang pelbagai. Maka penghijrahan pasti berlaku demi mengejar cita-cita atau memburu 'padang yang kononnya lebih hijau' di bandar-bandar besar. Hakikatnya, jika kita rajin dan bijak berusaha, di mana-mana sahaja di atas bumi Allah ini kita boleh mencipta punca rezeki.

Memang agak menyedihkan bagi pasangan suami isteri yang telah tua serta dhaif ditinggalkan dalam keadaan upaya diri yang telah tinggal separuh atau suku. Demi tuntutan hidup yang semakin mendesak dan juga materialistik, tidak dapat tidak anak-anak tidak mampu meneruskan hidup sebumbung dengan ibubapa walaupun nampaknya seperti 'wajib' berbuat demikian. Lebih malang lagi bila 'anak-anak burung' yang telah meninggalkan sarang mereka telah lupa untuk menjenguk semula sarang tempat kelahiran mereka.

Bagi kes yang terpencil, mungkin pula ada pasangan suami isteri yang berasa lega dan gembira apabila dapat menjadi pasangan merpati dua sejoli semula apabila anak-anak telah 'meninggalkan sarang'. Rasa seperti honeymoon sekali lagi. Bebas melancong, melawat rumah anak-anak ataupun bebas berbuat amal ibadat tanpa risau akan tanggungjawab terhadap anak-anak yang perlu diuruskan. Apa-apapun, setiap manusia itu berbeza dari segi rasa dan emosi. Tiada dua individu yang sama serupa di atas dunia ini.

Mozar : Ironinya, sarang yang tidak pernah kosong ialah sarang maksiat. Serbu sekali, lari sekejap, kemudian senyap-senyap datang balik.

Wednesday, November 24, 2010

Kenapa Saya Suka Rumah Saya?

  

Pernah tak tonton iklan di atas? Bagus kan? Ada maksud yang tersirat tidak dapat digambarkan di dalam iklan ini. Ianya sebuah iklan Hari Kebangsaan tahun 2007. Dari iklan ini dapat kita lihat, pendapat seorang kanak-kanak tentang sesuatu perkara memang jujur dan telus. 'Rumahku Syurgaku' baginya. Anda bagaimana? Seronokkah anda berada di rumah anda?  Bahagiakah anda tinggal di rumah anda? Seronok dan bahagia itu adalah dua rasa yang berbeza. Anda mungkin seronok kerana adanya hiburan atau sesuatu yang mengulit benak anda. Keseronokan lazimnya bersifat sementara. Kebahagiaan pula adalah suatu yang dirasai di dalam hati sanubari anda yang mana lazimya ianya kekal dan berpanjangan (kredit kepada saudara Eyman Hykal-maafcakap.blogspot.com).

Seberapa besarkah rumah anda? mansion, banglo, teres 2 tingkat ataupun kos rendah? Dapatkah rumah anda memberikan keseronokan kalaupun bukan kebahagiaan? Isi rumah anda perlukan kedua-dua elemen ini untuk mencapai pengiktirafan Rumahku Syurgaku. Institusi keluarga itu sendiri perlu mantap dari segi rohaninya, kasih sayangnya, keperluan asasnya dan mungkin juga ruang yang luas untuk keselesaan. Jika semua itu telah terisi, tidak mustahil penghuni rumahnya agak berat atau enggan meninggalkan rumah walau setapakpun. Rumah itu tetap di hati. 'Homesick' menggebu-gebu bila sahaja berjauhan dari rumah dan keluarga.

Sebaliknya, apa pula akan terjadi kepada 'Rumahku Bagaikan Neraka'? Rumah sebegini penuh dengan aura gelap, panas, tidak mesra dan tiadanya kasih sayang atau juga yang mewah tetapi penghuninya saling tidak bertemu batang hidung. Anak-anak pun tidak betah menghuni rumah itu berlama-lama. Ruang kosong di mana-mana. Akhirnya ruang-ruang itu dihuni oleh makhluk-makhluk halus. Rumah sebegini nasibnya akan selalu ditinggal-tinggalkan. Tiada roh atau jiwa di dalamnya. Resah dan gelisah berada di dalamnya. Akhirnya, ia hanya sesuai sebagai tempat melampiaskan nafsu serakah. Masakan tidak, privasi di setiap sudut dan ceruk sedangkan tiada siapa yang peduli dan ambil tahu.

Penutup bicara, berusahalah anda untuk menjadikan rumah anda sebagai sebuah syurga dunia. Rumah itu tidak perlu terlalu besar dan tidak seharusnya juga terlalu kecil. Bersederhanalah yang sebaik-baiknya mengikut jumlah penghuninya dan juga keselesaan bergerak. Jika rumah anda telah mencapai taraf seronok dan bahagia di dalamnya tidak mustahil anak-anak sendiri bingung mencari alasan yang kukuh mengapa mereka sukakan rumah mereka kerana ianya terlalu abstrak untuk diterangkan oleh jiwa suci kanak-kanak.

Mozar : Intimasi dalam sesuatu perhubungan itu memerlukan jarak sekecil yang boleh. Kalau boleh nak berkepit setiap masa dan ketika. Jadi, apa perlunya tempat tinggal yang besar? Untuk tetamu yang datang bertandang, mungkin!
 

Tuesday, November 23, 2010

Lagu-Lagu Kenangan Cinta

Hari ini marilah kita layan entri cintan cintun pula setelah beberapa entri yang agak merapu. Dah lama tak buat entri jiwang karat ni. Sesekali kita perlu layan juga berbagai rencah emosi yang abstrak dan unik kurniaan Allah s.w.t ini. Cinta hanya dapat dirasai, tidak dapat disentuh. Cinta itu suci dan tulus asalkan diiringi dengan cara yang Islami, yakni tidak melanggar batas-batas yang ditetapkan oleh syarak. Adakah anda pernah bercinta? Tidak kiralah cinta monyet, cinta pandang pertama, cinta palsu(pun ada ke?) atau cinta suci ke jinjang pelamin. Pasti ada lagu-lagu kenangan cinta indah anda yang mengusik jiwa dan terus tersemat di sanubari anda sehingga kini. Bila sahaja mendengarnya boleh membuai-buai perasaan anda. Walaubagaimanapun, tidak kurang juga orang-orang yang pernah mengalami kegagalan dalam bercinta. Bagi mereka, pasti banyak juga lagu-lagu kenangan frust yang mereka layan hingga meruntun kalbu dan perasaan sambil berlinangan airmata.

Apa jua mood lagu-lagu yang menjadi kenangan abadi anda itu, bila terdengar sahaja ianya dimainkan pastinya akan membuatkan anda tersentak dan terus menghayatinya hingga habis. Apakah lagu-lagunya? Kongsikannya di sini. Apa-apapun, sebaik-baik perhubungan cinta biarlah ianya sehingga berjaya membina mahligai perkahwinan yang indah. Buat isteriku dan isteri-isteri solehah di luar sana, dengarkanlah lagu 'For The Rest Of My Life' oleh Maher Zain ini. Semoga semakin subur perhubungan cinta antara suami-isteri hingga ke akhir hayat. Bagi yang putus cinta di tengah jalan, teruskan mencari cinta yang sebenar yang seharusnya datang dari hati yang tulus suci.

Mozar : Lagu-lagu cinta yang asyik mahsyuk banyak datangnya dari lagu-lagu era 80-90 an. Budak-budak muda sekarang pun ramai yang asyik layan karaoke lagu-lagu daripada zaman ini.

Sepi Seorang Perindu - lagu yang releven untuk setiap masa dan ketika bagi insan-insan yang sedang hangat bercinta

Monday, November 22, 2010

Musim Pening Kembali Lagi Daa..

Mai dah..musim orang2 'fenin' kepala. Musim cuti sekolah beginilah macam2 kategori orang akan mula pening kepala. Tak caya mari kita semak satu persatu orang2 yang berpotensi akan pening ni.
Makpak yang anak2 cuti sekolah
Time ni anak2 cuti sekolah. Budak2 tak tau nak kata apa hepinya time ni. Dunia milik depa. Bebas 'menerobang' ke mana saja kalau takde kawalan. Yang peningnya makpak depa juga. Nak dihantar dok dengan tok nenek diaorang, maka pening le pulak kepala tok nenek tu. Nak dihantar ke Kem2 Motivasi, ada ke Kem yang dibuat sampai habis cuti sekolah. Kalau ada pun, budak2 pun naik biol terlebih motivasi. Pening..pening.
Makpak yang berusaha menghiburkan anak2
Part ni pening kepala juga memikirkan ke mana le pula nak bawa anak2 pergi makan angin cuti sekolah tahun ni. Tak bawa ke mana pun kesian juga anak2 bila di 'kunun' dek kawan2nya nanti. Kawan2 dok cerita pergi Universal Studios Singapura, kesian lak bila anak2 bercerita dengan kengkawan setakat pergi 'fun fair' main buaian pusing je. Pening..pening.
Makpak yang nak menyekolahkan anak 
Bab ni memang ramai yang pening juga. Lebih2 lagi yang anak2 berderet setiap darjah atau tingkatan ada hantar wakil. Semua anak2 minta dibelikan kelengkapan yang baru2 belaka supaya ada semangat nak belajar. Kalau tak diturutkan, bila keputusan periksa tak bagus anak2 akan bagi alasan beg koyak rabak, kasut dah berlidah dan malu nak pergi sekolah. Bonus entah ada entah tidak hujung tahun nanti. Alahai pening macam nak pitam la pulak.
Budak2 yang belum 'potong'
Yang ni bebudak lelaki yang belum sunat pula yang pening kepala. Takut dan gerun bila memikirkan kedatangan hari bersejarah tersebut. Makin dekat makin tak tidur malam. Menipu hidup2 le kalau ada bebudak yang kata depa tak takut malah teruja nak bersunat. Makin dekat makin pening ada la.
Bakal2 pengantin dan mertua mertui
Golongan ni memang tak senang duduk dah bila tarikh majlis kahwin semakin dekat. Kelam kelibut nak buat persiapan saat2 akhir. Mana nak fikir takut2 kalau tak ramai orang yang datang, takut kalau2 terlebih orang datang, lauk tak cukup ataupun yang dok di lingkaran banjir pasifik lagi le pening fikir camna nak buat2 vogue majlis perkahwinan di atas air nanti.  Pening..pening.
Yang last sekali, top of the top pening...
Pengantin baru
Inilah hasil pening2 majlis kahwin. Last2 siapa yang paling akhir pening, kalau bukan pengantin perempuan. Bunting pelamin lah pulok. Bukan setakat pening tapi kombo mual dan muntah dapat sekali. 9 bulan kemudian keluar le kuek..kuek. Pening juga lagi, tapi puas dan excited masa tu. Habis tu bila la manusia ni nak berhenti pening. Di luar musim pening pun ramai juga yang akan pening kapla! Itulah kehidupan.
Apa2pun selamat mengharungi musim2 pening begini. Kalau di luar negara, time2 begini depa dok syok main salji sampai pening.

Mozar : Pernah pening kepala makan sirih pinang atok masa kecik2. Sesetengah orang didapati tak tau nak beza mana satu pening kepala, mana satu sakit kepala. Apa la..

Saturday, November 20, 2010

Biar Buruk Rupa Jangan Buruk Laku

Entri kali ini memang kontra habis dengan entri yang lepas, Setiap Manusia Dilahirkan Cantik. Beruntunglah bagi orang-orang yang dikurniakan rupa paras yang cantik serta berperwatakan mulia. Bagi yang tidak bernasib baik, kalau sudah pemberian Tuhan diri kita tidak begitu cantik dan menarik, redha sahajalah. Ada hikmah-hikmah yang tersembunyi di sebalik setiap kejadian Allah s.w.t itu. Lagipun, semua itu hanyalah pinjaman dari Allah s.w.t semata-mata. Jika anda memiliki rupa paras yang cantik, ia adalah satu bonus. Hargailah dan peliharalah ia dengan sebaik-baiknya.

Bagi orang yang asalnya cantik, tiba-tiba jadi tak cantik, itu umpamanya dia tak pandai nak jaga elok-elok barang yang dipinjam. Bak meminjam barang orang kasi jahanam. Sementelah kita ni yang dah buruk rupa ni (sadis tu!), janganlah pula menambah buruk keadaan dengan kelakuan yang buruk pula. Kalau tak orang akan menyelar, "dah le rupa buruk macam *****, perangai pulak macam *****(tak sanggup nak siarkan)". Kalau orang yang ada rupa pula sekurang-kurangnya orang akan cakap, "harap muka je lawa, tapi perangai macam hampeh(agak lembut sikit bunyinya, betul tak?)". Ada beza tak antara kedua-dua statement ini? Jadi beringat-ingatlah bagi anda yang 'kureng' rupa paras supaya tidak mendapat 'double' caci maki. 

Sebenarnya di sisi Allah s.w.t tidak ada beza pun samada anda cantik ataupun tidak. Cuma manusia aje yang lebih-lebih sebab naluri manusia ini memang sukakan kecantikan dan keindahan. Ironinya, ada juga manusia yang sukakan kecantikan tapi diri sendiri bersifat pengotor serta mengotori. Jika anda seorang yang 'kureng' rupa tetapi berbudi pekerti mulia serta berperwatakan yang menyenangkan, percayalah, anda tetap akan disayangi orang. Kadangkala orang lebih menghargai hati budi seseorang daripada rupa paras atau fizikalnya. Sebab itulah kadangkala kita boleh melihat ada pasangan suami isteri yang 'bagai pinang dibelah kapak'. Hanya salah seorang pasangan sahaja yang boleh dikategorikan sebagai kacak atau lawa. Pun begitu, sayangnya bagai nak rak, berkepit bagai ke sana ke mari. Kalau tidak, alamatnya tak kahwin-kahwinlah orang-orang yang tak cantik atas dunia ini.

Sebaliknya, orang-orang yang cantik-cantik pula ramai yang terlupa untuk mensyukuri nikmat dengan bersifat lupa diri, ego, perasan bagus, bermaksiat di sana-sini serta banyak lagi sifat-sifat yang jelek. Ada juga orang yang mempergunakan kecantikan diri untuk menjerat orang-orang kaya raya bagi mendapat habuan kebendaan dan juga seks. Dalam hati bagai nak termuntah agaknya melayan orang kaya berharta yang boleh dipanggil makpak atau datuk nenek. Orang-orang begini begitu pandai berlakon di depan mata, di belakang bermain kayu tiga atau konda kondi. Demi limpahan kerlipan kemewahan, apa pun sanggup, kertu pun kertulah asalkan poket dan beg tangan gemuk gedempol. Rosak jadinya institusi masyarakat disebabkan oleh perkara sebegini.

Akhir sekali, bagaimana sekalipun rupa paras dan fizikal anda, cerialah dan bersyukurlah kerana banyak lagi nikmat-nikmat Allah yang lain yang kita pinjam dan kita 'enjoy' tanpa kita sedari. Contohnya, nikmat-nikmat seperti kesihatan yang baik, cukup sifat, cukup pancaindera, kuat dari segi fizikal, jiwa yang tenang dan paling besar sekali, nikmat iman dan Islam. Contoh termudah, nikmat penglihatan mata yang baik dan jelas yang mana kita ambil lewa sekalipun tidak terhitung dan tidak tertulis nikmatnya walau dengan selautan dakwat sekalipun.  

Mozar : Teringat masa kecil-kecil dulu selalu sisihkan kucing yang rupanya buruk walaupun baik kelaku. Kesian makhluk Allah tu. Last-last kucing tu jadi jahat dan merompak ikan dan lauk.

Makhluk sekor ni senyum kot mana pun masih nampak buruk. Tapi hati dia ni baik...

Friday, November 19, 2010

Setiap Manusia Dilahirkan Cantik

Pernah dengar ungkapan sebegini tak? Betul ke semua orang lahir dalam keadaan cantik. Mungkin hampir 99% tepat, kecuali sebilangan kecil manusia yang dilahirkan dengan kecacatan fizikal. Rata-rata bayi yang baru dilahirkan memang comel-comel belaka. Susah nak cari yang tak comel. Kenapa bila meningkat dewasa, ramai yang dah tak kacak atau lawa lagi? 

Jawapannya terletak kepada empunya diri itu sendiri. Kebanyakannya berpunca dari kealpaan dan kecuaian individu itu sendiri. Kita tidak dilahirkan dengan badan yang menggeleber dengan lemak di sana-sini, berjerawat satu muka atau satu badan, kulit yang 'berkarat' dan sebagainya. Kebanyakan orang, di zaman kanak-kanak sehingga remajanya, cukup kacak atau lawa. Bila lepas kahwin atau berada di umur pertengahan abad, mulalah semuanya semakin merosot. Rambut mula menipis/botak, tengkuk berlapis, boroi, gemuk dan macam-macam lagilah yang tak molek dipandang. 

Bukankah semua ini hasil kecuaian seseorang itu sendiri. Ada yang malas menjaga penampilan, tak menjaga pemakanan, tak mendapat rehat yang secukupnya atau stress berlebihan (yang menghidapi sebarang penyakit terkecuali). Kesemua itu menyumbang kepada kehodohan rupa fizikal mereka. Pepatah China ada menyebut yang lebih kurang bunyinya 'tiada wanita yang hodoh di dunia melainkan wanita yang malas'.

Tidak dinafikan juga ada orang yang semulajadinya sederhana dari segi rupa. Namun, mereka juga boleh kelihatan 'cantik' dan menawan dengan personaliti yang menyenangkan iaitu dari segi kepetahan berkomunikasi, pembawaan diri dan bijak bergaul. Maka itulah sebabnya kadangkala Ratu Dunia/Universe disandang oleh pemenang yang bukannya sumpah cantik, tetapi dari kalangan yang bukan yang paling cantik di mata kita. 

Sesetengah orang pula ada yang cantik bagai ratu dunia, tapi jika otak kosong dan perangai tidak senonoh atau pengotor contohnya, orang itu tetap kelihatan hodoh di mata manusia. Di negara barat orang sedemikian dipanggil 'Bimbo'- cantik tapi dungu. Sebaliknya, jika anda sememangnya cantik dan bijak atau dikatakan sebagai 'beauty with brain', anda memang sangat beruntung dan juga amat berharga. Berebut orang yang ingin menawarkan pekerjaan untuk anda. Lihat sahaja contohnya, Angelina Jolie, walaupun kecantikannya bukanlah begitu 'flawless', tetapi apabila dia sering mendapat watak-watak yang membuatkan dia nampak bijak, dia seringkali dinobatkan kononnya sebagai 'wanita tercantik di dunia'.

Kesimpulannya, jika anda sememangnya dilahirkan cantik atau kacak, anda mampu untuk kekal sedemikian hingga ke tua melalui gaya hidup yang sihat serta rajin menjaga pemakanan dan pantang larang kecantikan. Bukankah orang yang cantik lebih mendapat perhatian daripada yang 'kureng' cantik? Tiada ruginya anda menjaga kecantikan lebih-lebih lagi jika anda terlibat dalam banyak jenis bidang perniagaan/perdagangan ataupun showbiz. Contohnya, bagi peniaga jamu dan kosmetik, mereka WAJIB cantik serba-serbi sebagai melariskan produk-produk jualan mereka. Betul tak kak Ton???

Mozar : Lebih suka memilih kedai/gerai makanan yang mana peniaganya tampak bersih, terurus dan kemas. Kacak dan lawa merupakan satu bonus bagi peniaga tersebut. 
Paris Hilton - 'Beauty with brain' atau seorang 'Bimbo'?

Tuesday, November 16, 2010

7 Permainan Kanak-Kanak Dulu-Dulu Yang Hampir-Hampir Dilupakan

Mak aih! panjangnya tajuk. 'Kanak-kanak dulu-dulu' ini kalau nak diikutkan bolehlah dikategorikan bagi budak-budak di zaman tiadanya komputer dan permainan komputer. Ianya mungkin sehingga sekitar tahun 80-an. Penjajahan komputer telah banyak merubah corak permainan kanak-kanak sekitar 90-an sehingga kini. Terbaru, kegilaan terhadap laman web sosial dan chatting telah turut tempias kepada kanak-kanak yang masih di bangku sekolah rendah. Sebagai contoh, ramai yang mempunyai akaun Facebook dan Twitter mereka sendiri. Senario sebegini tidak begitu sihat sebenarnya dalam membentuk sahsiah diri kanak-kanak itu kerana mereka boleh terdedah kepada pelbagai gejala yang tidak sihat dari sumber-sumber Internet. Apa-apapun mari kita lihat apakah permainan kanak-kanak yang semakin dilupakan itu.

No. 7 : Galah Panjang (Lelaki/Perempuan)
Dahulunya permainan ini selalu dimainkan oleh budak-budak sekolah rendah bila sahaja ada waktu rehat atau sebelum loceng masuk kelas dibunyikan. Kalau di rumah atau kampung, budak-budak akan main macam tak cukup siang dan ada yang kena perhambat balik.

No. 6 : Teng Teng/Jengket (Lelaki/Perempuan)
Permainan ini senang aje. Main jengket-jengket aje dalam petak yang dilukis di atas tanah atau simen. Terpijak garisan, 'mati'lah pemain itu. Penutupnya, pemain-pemain membina rumah-rumah dalam petak yang dimenangi melalui balingan 'tagan'. Kadang-kadang jenuh nak lompat rumah-rumah orang sampai 5,6 petak. Kalau terlupa singgah rumah sendiri, 'terbakar' le pulak rumah tu. Masa tu, budak-budak sibuk mencari-cari 'tagan' yang ada 'ong' dan 'cun' untuk balingan tepat ke petak-petak sasaran.

No. 5 : Gasing (Lelaki)
Permainan ini main pangkah-pangkah kawan punya gasing sampai pecah. Tapi agak bahaya sikit permainan ini kalau tak berapa mahir. Tapi tak le pula pernah dengar budak-budak yang kena pangkah tang dahi atau kepala.

No. 4 : Batu Seremban (Lelaki/Perempuan)
Permainan ini senang juga. Lambung-lambung, sambut dan kutip. Dulu-dulu pakai batu jalan aje jadi dia punya buah. Bagi budak-budak yang berhingus lagi dibenarkan main 'ketam' dengan cara mengaut sebiji-sebiji masuk dalam genggaman tangan. Biasanya budak-budak kecik ini dikira main 'ta' 'ya' 'pa' 'wau' aje.

No. 3 : Aci Nyorok (Lelaki/Perempuan)
Ini pula main nyorok-nyorok. Semua pemain menyorok, seorang yang akan cari. Haru biru sekampung bila budak-budak cari tempat menyorok yang sekreatif yang mungkin. Kalau kena 'save', si pencari kenalah jadi sipencari lagi dan lagi. Zaman sekarang kalau nak main permainan ini, tempat menyorok pun dah terhad. Rumah-rumah semua dah berpagar dan kadangkala ber'anjing'.

No. 2 : Aci Kejar (Lelaki/Perempuan) dan Aci Patung (Perempuan)
Tak tau le budak-budak sekarang ada main ini ke tidak. Tapi kalau dulu-dulu, dah habis fikir nak main apa, main inilah yang jadi pilihan. Main kejar-kejar aje sampai dapat. Kalau kena cuit atau tepuk dan tak sempat nak duduk, orang tu la akan jadi si pengejar pula. Yang aci patung tu lagi kelakar. Biasanya ini mainan budak perempuan. Taknak 'jadi' pengejar, orang tu akan buat-buat jadi patung. Kalau siapa bergerak, dia pula yang 'jadi'.

No. 1 : Main Masak-Masak/Pondok-Pondok (Perempuan)
Permainan ini menguji skil budak perempuan memasak dan menguruskan rumahtangga secara olok-olok. Ada la set-set permainan mini untuk beraneka perkakasan dapur yang akan digunakan. Permainan ini kadang-kadang budak lelaki pun join sekaki jadi tukang jual sayur dan ikan secara olok-olok. Tapi kalau budak lelaki main, diaorang lebih suka memasak nasi dan goreng menggoreng ikan betul-betul, barulah rock! Tak main le nasi dari bunga rumput dan ikan dari daun-daun kering. Kesannya, kini banyak chef-chef yang hebat-hebat datangnya dari kalangan lelaki manakala yang perempuannya punyai jari telunjuk yang halus dan mulus yang gunanya untuk menunjuk lauk itu dan ini di restoran-restoran atau kedai-kedai makan. Disebabkan budak-budak perempuan dah jarang main masak-masak ini, akan datang bila dewasa, skil masak memasak dan mengurus rumahtangga akan diambil alih secara total oleh bibik-bibik dari seberang. Silap-silap suami sendiri pun diambil alih.

Sebenarnya banyak lagi permainan budak-budak dulu-dulu yang kian terancam oleh kepupusan. Kalau rajin saya akan buat sambungannya. Yang dah otai-otai sekarang ini mesti tersenyum simpul bila mengenang permainan-permainan yang mereka membesar dengannya ini. Seelok-eloknya permainan-permainan ini dihidupkan semula di kalangan kanak-kanak masakini kerana banyak nilai-nilai yang baik yang tidak kita sedari ada di dalamnya berbanding dengan permainan-permainan komputer yang ternyata merencatkan aktiviti fizikal kanak-kanak.

Mozar : Amaran : Sekiranya anda ingin 'mewariskan' permainan Teng Teng kepada anak-anak anda, jangan menunggu sehingga anda terlalu otai kerana mungkin baru berjengket ke petak ketiga anda dah rebah tersungkur.
Salah satu contoh permainan Teng Teng - jenis kapalterbang

Monday, November 15, 2010

Bila Ayah Tidak Kenal Kami Lagi

Bunyinya seperti seorang ayah yang sedang lupa diri, berkahwin dengan isteri muda ataupun telah kaya raya lalu menetap di luar negara. Hakikatnya, memang ayah tidak lagi mengenali kami adik beradik. Bahkan tiada siapa lagi di dunia ini yang dikenalinya kini. Ayah menghidap Alzheimer peringkat pertengahan. Ayah hidup dalam dunianya sendiri dan makan pakainya terpaksa diuruskan oleh orang lain. Sedih bukan. Sedari kecil itulah tangan dan tulang empat kerat yang bekerja keras menyuapkan makanan di mulut2 kami dan memberikan pelajaran kepada kami anak2nya. Kini hubungan anak2 dan ayah telah lama terbina seakan satu benteng yang ampuh. Bisa dilihat dan disentuh tapi tidak bisa berinteraksi. Kami telah lama 'kehilangan' ayah sebenarnya. Renungan matanya kosong tidak berjiwa. Walau diteriak di telinganya bahawa kamilah anak2nya bagai halilintar sekalipun, ayah tetap tidak akan mengerti. Ayah akan tetap menguis2 dan memintal2 kain pelikat yang dipakainya. Penyakitnya memang tiada penawarnya, malah makin merosot dari hari ke hari. Bukan tidak mencuba pelbagai rawatan. Tetapi Allah lebih Mengetahui akan segala sesuatu. Kami terpaksa redha dengan KetentuanNya. Yang paling menyedihkan ialah di saat2 arwah mak meninggal, ayah memang telah sedia hanyut dalam dunianya sendiri. Tidak berupaya meredhakan kematian seorang isteri, yang mana ganjarannya untuk mak amat besar sekali. Semoga janganlah ada di antara kami adik beradik serta keturunan kami yang bakal mewarisi penyakit yang 'malang' ini. Amin Ya Rabbal Alamin. Kepada anda yang masih mempunyai ibubapa, hargailah 'kehadiran' meraka, raikanlah hilai tawa mereka dan kucuplah mereka dengan penuh kasih sayang. Mereka hadir hanya sekali sahaja di dalam hidup anda.

Mozar : Mengimpikan usia2 emas dihabiskan dengan penuh bermakna di samping dapat terus menulis dan membaca.
Andai ini kifarah dari Allah s.w.t, bersihkanlah Ayah dari segala dosa. Amin

Friday, November 12, 2010

Seram...Sumpah Seram!

Rosli melirik ke arah jam digital di dalam keretanya. Sudah jam 2.04 AM. Keadaan persekitaran taman perumahan itu hening dan sunyi. Cuma sesekali terdengar salakan anjing dan jeritan cengkerik. Keretanya terus meluncur laju untuk segera sampai ke rumah. Seharian menghabiskan tugasan di pejabat membuatkan Rosli benar2 letih dan lesu. Keesokan harinya adalah hari Audit ISO di syarikatnya. Rosli merungut2 di dalam hati, sedikit kesal dan marah kerana tabiatnya yang sering membuat kerja di minit2 terakhir. Tepat jam 2.15 AM Rosli sampai di pintu rumahnya. Sedikit lega di hatinya melihat lampu masih terang benderang di ruang tamu rumahnya. Rosli menelah bahawa isterinya setia menanti kepulangannya dengan berjaga sehingga lewat pagi itu. Telahannya tepat. Apabila pintu dikuak, isterinya kelihatan berbaring di sofa. Sejuk hati Rosli yang agak berbaur rasa tadi.
"Abang nak minum?" sapa isteri Rosli dengan senyuman yang melirik.
"Hmm...bolehlah. Buatkan abang Milo panas," jawab Rosli ringkas kerana terlalu penat.
Tanpa berkata2 isterinya terus ke dapur sambil Rosli terus merebahkan dirinya di atas sofa. Sekali imbas Rosli terbau bauan yang agak wangi datangnya dari arah dapur.
"Wanginya bau...malam Jumaat ke ni? Aku pun dah tak ingat hari dah, sibuk sangat," bisik Rosli di dalam hati.

Rosli melemparkan pandangan ke arah cermin besar di dinding. Refleksinya tertebar sehingga ke ruang makan dan dapur. Bau wangi tadi kian kuat menusuk hidung datangnya dari arah dapur juga. Pantas Rosli teringat kata2 orang bahawa bau2an wangi sebegitu barangkali menandakan ada makhluk halus yang berdekatan.

Rosli terus memandang melalui cermin tadi mengintai2 ke arah dapur kalau2 betul seperti yang diperkatakan orang itu. Tiada apa2 yang pelik. Rosli memanggil2 nama isterinya tetapi tidak bersahut. Rosli menggagahkan diri yang letih bercampur cuak tadi bangun untuk ke dapur. Bila sahaja kakinya melangkah ke ruang dapur alangkah terperanjatnya Rosli melihat satu lembaga berpakaian putih dengan wajah yang sangat hodoh dan berambut panjang mengilai2 dan terbang ke arah siling lalu meresap dan hilang melalui dinding batu dapurnya. Isterinya yang disangkakannya menyediakan minuman untuknya adalah sebenarnya lembaga wanita yang hodoh tadi. Bagai hendak luruh jantung dan paru2 Rosli dengan kejadian yang dilihatnya itu tadi. Kakinya lemah dan seolah2 terpaku. Hanya setelah beberapa ketika barulah Rosli dapat mengumpul semangat dan kekuatannya untuk memasang langkah seribu menerpa ke arah bilik tidurnya.

Dengan nafas yang tercungap2 pintu biliknya ditolak dengan kuat dan rakus. Dilihatnya isterinya sedang tidur nyenyak di atas katil dengan sedikit dengkuran. Barulah dia sedar bahawa dia telah disakat oleh makhluk halus yang menyerupai isterinya. Isterinya kemudian terjaga kerana bunyi bising yang dibuat Rosli itu.
Dalam keadaan yang separuh sedar isterinya bertanya "Malam ni malam Jumaat ke bang? Saya penat le," lalu terus tidur dengan mengiringkan badan sambil memeluk bantal peluk. 
SEKIAN. Amacam, seram tak? 

Ini cerita rekaan saya sendiri saja. Tak ada kena mengena dengan yang hidup ataupun yang telah mati. Banyak sangat kita dengar kisah2 hantu ni di mana2. Saya sendiri tak pernah nampak hantu. Bagi yang tak pernah nampak, ayat klise mereka ialah zaman moden ni mana ada hantu. Jelmaan hantu ni mungkin datangnya dari jin atau syaitan yang cuba memesongkan akidah kita. Syirik jika kita takut kepada kuasa selain dari Allah s.w.t. Cuma yang boleh saya garapkan di sini ialah hantu2 ni samalah seperti kita takutkan haiwan2 berbahaya seperti harimau, beruang ataupun anjing. Walaupun haiwan2 ini nyata kejadian Allah, kita tetap takut sebab Allah boleh memberikan asbab untuk haiwan2 ni mencederakan kita. Cuma hantu2 ni kita susah untuk melihatnya secara terang2an kerana ianya makhluk yang halus. Apa-apapun, pernah mengalami sebarang kejadian2 seram, pelik dan mistik? Kongsikan di sini. Seramkan semua pengunjung blog ni sampai terkencing2.

Mozar : Pernah beberapa kali berupaya keluar dari mimpi dan tersedar dari tidur ketika sedang bermimpi hantu, hasil pengaruh dari filem2 Nightmare On Elm Street.

Salah satu sekuel filem 'Nightmare' yang mana watak2nya boleh memanipulasi mimpi

Thursday, November 11, 2010

Ujian Allah Yang Bertulis

Hari ini merupakan hari penuh debaran bagi calon-calon UPSR 2010 yang lalu kerana keputusan telahpun dikeluarkan. Baik atau buruknya keputusan mereka semuanya telah tertulis di Lauh Mahfuz. Keputusan peperiksaan adalah laksana 'ujian yang bertulis' dari Allah s.w.t. Ini memandangkan apa jua keputusan yang dicapai semuanya adalah hasil tulisan dan coretan mata pensil/pena calon-calon itu sendiri di dalam peperiksaan yang lalu. Perlu diingat bahawa kehidupan kita ini pun penuh dengan ujian dan dugaan yang tidak tertulis dan termaktub di mana-mana. Beruntunglah jika anda dapat melihat sendiri ujian yang telah tertulis hasil dari usaha dan titik peluh anda. Anda mampu mengawalnya sebaik mungkin semasa membuat persediaan bagi menghadapinya. Cemerlang, sederhana atau gagalnya seseorang calon itu semuanya merupakan ujian dariNya.

Kepada ibubapa/penjaga serta adik-adik semua, apa jua keputusan yang dicapai, bersyukurlah di atas kecemerlangan dan redhalah di atas ketidakcemerlangan. UPSR bukanlah segala-galanya. Berjaya atau kurang berjayanya anda bersiap sedialah untuk terus menongkah arus yang jauh lebih deras di hadapan. Perjalanan anda masih terlalu jauh lagi jika dipanjangkan umur. Tahniah kepada kesemua calon-calon yang telah mengambil UPSR bagi tahun ini kerana anda telah mencuba yang terbaik(sekurang-kurangnya tetap hadir ke dewan peperiksaan bagi merasai suasana peperiksaan sebesar itu). 

Mozar : Buat ibubapa/penjaga biarlah keputusan yang cemerlang itu menjadi hadiah paling bermakna dan bukannya anugerah untuk dibangga-bangga atau dicanang-canang. 

Wednesday, November 10, 2010

My Best Friend's Wedding

Musim orang kahwin (cuti sekolah) nampaknya semakin hampir. Rasanya memang terlalu awal untuk kita mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada bakal-bakal pengantin. Time ni le bakal-bakal pengantin sedang gelabah puyuh dan tak tentu rasa. Bukan lagi 3 rasa, tapi dah beraneka rasa. Sesuai dengan sembang pasal kahwin ni, pernahkah anda menonton filem tahun 1997, 'My Best Friend's Wedding'?

Kisahnya berkisar tentang seorang wanita yang mempunyai masa 4 hari untuk mensabotaj perkahwinan kawan baiknya yang telah bertemu jodoh dengan wanita lain. Berbagai peristiwa lucu dan menyentuh hati berlaku sehinggalah majlis perkahwinan itu berlangsung. Bila kawan baiknya dah nak kahwin dengan orang lain baru le dia gelabah nak menyatakan rasa hatinya. Ada dialog yang agak menarik dalam filem ini yang lebih kurang bunyinya "Jika anda sayangkan seseorang itu, lepaskan dia. Jika dia datang kembali kepadamu, dialah milik mutlakmu". Untuk lebih mendalam, sinopsis filem ini boleh dibaca di sini. Tu la, masa berkawan baik tak mahu berterus terang, cakap biar terang. Sebagai satu contoh, dalam sebuah filem Indonesia, Heart, ada satu dialognya yang berbunyi, "Cinta itu harus diungkapin..."(klik video Heart ini dan tonton pada minit ke 4:48 hingga 5:05).

Apapun, entri ini bukanlah nak menggalakkan anda melakukan perkara yang sama seperti watak dalam filem Wedding itu. Sebaliknya, ia sebagai tauladan bahawa kadangkala ada benda yang kita perlu 'let go' dan juga perlu percaya dengan ketentuan Allah s.w.t. Walau sebagaimanapun usaha kita untuk mengubah sesuatu ketentuan Allah, ia tetap tidak akan berhasil tanpa izinNya. Bagi yang pernah mengalami pengalaman yang lebih kurang sama dengan filem ini atau yang pernah frust kasih tak kesampaian, bebaskan sahaja perasaan yang tidak molek itu dan belajarlah untuk memaafkan kerana yakinlah bahawa Allah s.w.t mempunyai perancangan yang lebih baik untuk anda. 

Jika tajuk entri ini diambil secara literal, ianya bermaksud 'Perkahwinan Kawan Baik Saya' yang langsung tidak ada kena mengena dengan dengki mendengki atau sabotaj mensabotaj. Untuk kawan-kawan baik saya dan juga kawan-kawan baik anda semua di luar sana marilah sama-sama kita ucapkan Selamat Pengantin Baru, semoga berbahagia dan jodoh berkekalan hingga ke akhir hayat. Kalau mahu, sampaikan ucapan anda kepada rakan-rakan atau kawan-kawan baik anda yang akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi di sini.

Mozar : Kepada Pengantin yang 'diperbaharui' diucapkan selamatlah juga.

Trailer filem My Best Friend's Wedding

Tolak Batu Dengan Kayu Je..

Amboi! angkuhnya statement. Macam la dia boleh makan segala-gala benda kecuali batu dengan kayu. Kalau entri sebelum ni tentang si pemilih makan, yang ini pula tentang si buruk makan. Kalau tolak batu dengan kayu maknanya masih banyak lagi benda-benda lain termasuk yang haram dan yang tak boleh dimakan dia sental juga. Contohnya, khinzir, buaya, katak, ular dan tidak ketinggalan kaca dan besi. 

Orang yang selalu guna ungkapan sebegini sebenarnya memang berniat baik. Tak mahu menyusahkan hati tuan rumah atau host dengan menggambarkan bahawa depa ni langsung tak memilih makan. Bagilah apa sahaja, gerenti beres punya. Senang hati juga tuan rumah kalau dapat melayan orang semacam ni. Bagi le apa saja, depa belasah sampai licin. Makanan pun tak terbazir. Cuma kalau untuk dibelanja makan parahlah sikit bawa orang macam ni. Tak kenyang-kenyang! Semua benda jalan.

Kesimpulannya, ungkapan ni hanya sesuai untuk orang bukan Islam dan 'weirdo' (orang pelik) aje kot sebab depa masih boleh makan semua binatang-binatang yang haram dimakan umat Islam termasuk juga haiwan-haiwan yang eksotik. Sebaliknya ada pula orang yang 'weirdo' yang boleh makan kaca dan besi sebagai snek (boleh sampai sendawa ke?). Ceritakan kisah kawan-kawan anda yang 'baik hati' ataupun yang memang dari jenis pelahap semulajadi tu di sini. Kita tengok betul ke dia hanya tolak batu dengan kayu aje.

Mozar : Pernah cuba tolak batu dengan kayu, tapi kayu tu patah. Kayu tu dah reput rupanya. kuikuikui.
Hidangan paling istimewa setelah ditolak batu dengan kayu?

Tuesday, November 9, 2010

Tekak Mengada-Ngada

Itu tak gemar, ini tak gemar. Susah betul orang yang sangat memilih makanan ni. Ada yang langsung tak suka makan sayur, bawang, makanan laut dan entah apa2 lagi (yang alahan dikecualikan). Ada juga yang pernah mengalami trauma semasa kecil akibat sesuatu makanan itu sehingga menolaknya terus. Ada yang memang langsung tak selera tanpa sebab akan sesuatu makanan itu. Ada juga yang memang konon2nya high taste yang hanya memilih makanan di tempat2 tertentu sahaja. Memang susah melayan orang2 sebegini. Ada yang sanggup pergi berpuluh2 batu jauhnya semata2 untuk menikmati makanan yang dia 'boleh masuk' sedangkan ada kedai makan yang tak seberapa langkah pun jaraknya. Yang paling tak boleh diterima ialah taste orang yang hanya selera dengan masakan Cina atau Barat yang hanya disediakan di premis2 yang diragui kehalalannya. Halal, haram atau syaknya ditolak tepi. Yang penting 'tembolok'nya harus dipuaskan. Orang2 pemilih ni memang menyusahkan orang lain, keluarga, pasangan hidup atau juga orang yang ingin menjemputnya makan2 di tempat2 yang sembarangan. Orang2 ini cenderung menjadi pembazir apabila selera tak kena. Dengan menjamah sesuap, pinggan makanan ditolak ke tepi. Orang sebegini selayaknya dihantar ke negara2 yang mengalami kebuluran sahaja. Baru tahu nak bersyukur dengan nikmat Allah s.w.t.  

Satu lagi tabiat buruk orang2 pemilih ni ialah suka memecat atau mencaci makanan. Jika tidak suka, tinggalkan sahaja dengan cara yang baik. Sedap atau tak sedapnya semuanya datang dari Allah s.w.t juga. Ada kebarangkalian bahawa orang2 yang terlalu memilih makanan ini mudah dihinggapi penyakit kerana badan menjadi tidak lasak atau tidak imun. Ini kerana zat2 atau vitamin yang tertentu adakalanya hanya boleh didapati hasil memakan makanan yang pelbagai. Hasilnya, mereka mudah terkena sakit angin, perut tak lawas, sakit2 urat atau sendi di sana-sini. Masa tu, hidangan ala2 sajian istana zaman silam pun tak berguna lagi.

Mozar : Memilih untuk tidak merokok agar tidak menjadi pemilih makanan.

Monday, November 8, 2010

Lebih Tajam Dari Mata Pedang & Lebih Bisa Dari Sembilu

Sia...pa saya? Give up? Awaklah lidah manusia. Lidah manusia yang sememangnya 'superb' tu. Ia boleh menjerumuskan manusia ke lembah neraka dan juga boleh menerbangkan manusia ke taman2 syurga. Sebelum manusia ada bahasa pertuturan rasmi mesti fenomena ini tidak pernah berlaku. Ia mula berlaku apabila manusia mula pandai memanipulasi ayat2 secara sindir-menyindir, kias berkias dan sinis-menyinis dengan hanya menggunakan perkataan2 yang biasa2 sahaja (biasanya dilakukan dengan mata yang dikecilkan dan mulut yang agak terjuih2 sedikit sebagai penambah perisa). Bahasa yang basic seperti bahasa kanak2 tidak mampu menerbitkan ungkapan2 yang bisa kerana ianya tidak dipusing2kan. Bagi yang bermulut bisa, mulut laser atau takde insurans ni puas sangat rasanya dapat membisai orang agaknya. Sebaik2 ungkapan biarlah ungkapan yang lahir dari 'berfikir sebelum berkata2'. Dengan itu anda akan terelak dari menyinggung, mengecil, menghina atau melukai hati orang lain sewenang2nya. Lebih buruk lagi bila lidah yang tajam tadi bercabang2 pula. Lafaz dan ungkapan bukanlah mainan kerana dengan hanya sekali lafaz maka sahlah sebuah pernikahan sebaliknya dengan sekali lafaz juga sahlah sebuah perceraian. Kadangkala senyap itu lebih bijak dari berkata2 yang sia2.

Mozar : Selalu gunakan lidah buaya untuk meremajakan kulit muka, makan lidah jin di kala Raya dan tak pernah makan sup lidah.

Thursday, November 4, 2010

Ku Ada Kamu



Meremang bulu roma tak bila dengar dan tonton video lagu ni? Kalau takde langsung maknanya anda memang tiada perasaan atau dari spesies 'blur'. Lagu ini meraikan kasih sayang sesama insan tidak kira apa jua status hubungan anda (asalkan bukan yang terlarang). The best part ialah bila terbentang banner merah tertulis 'Smile, Cause Someone Loves You'. Kasih sayang adalah suatu yang percuma, namun jika mengabaikannya harga yang perlu dibayar sangatlah besar. Sayangilah orang2 yang sedang menyayangi anda dengan sepenuh jiwa kerana untuk kesempurnaan hidup anda perlu hidup dalam kasih sayang. Kasih sayang yang subur di dalam satu2 keluarga akan melahirkan keluarga dan masyarakat yang bahagia. Jiwa yang ketandusan kasih sayang lazimnya akan terlibat dalam krisis identiti, sosial dan kemanusiaan. Siapakah yang sedang anda sayangi? Kongsikan kasih sayang anda itu di sini.

Mozar : Sebelum ni ada lagu 'Tak Punya Siapa' nyanyian seseorang yang pernah dikecewakan oleh bekas 'Raja' yang botak. Tak ingat, sila tengok sini.

Tuesday, November 2, 2010

Ketawa Itu Penawar Duka


Ish ish ish...dahsyatnya ketawa dia. Betul ke seekor monyet boleh ketawa begitu sekali (tanpa suara dubbing)? Siapa yang tak ketawa kalau kena geletek, kan? Mr. Bean, mungkin. Ketawa merupakan penawar duka dan stress. Menurut kajian para penyelidik, ketawa juga elok untuk kesihatan jantung (baca di sini ). Oleh itu, banyakkanlah ketawa untuk kesihatan asalkan jangan terlebih sampai berguling-guling. Ingat-ingat le juga, dah terlepas ke titian Siratulmustaqim? (orang-orang tua kita selalu pesan). Nak ketawa boleh, jangan sampai tak ingat dunia sudah!

Hidup tanpa tawa dan gurauan memang agak bosan juga. Maka jadilah macam kehidupan Mr. Bean yang hidup dalam persekitaran yang kelihatan agak membosankan baginya. Dia hampir-hampir tak pernah ketawa tapi orang lain yang ketawa melihat gelagatnya. Naluri manusia seboleh-bolehnya akan cuba berlawak di mana sahaja dan kadangkala tak kira masa. Adakah anda atau ada kawan-kawan anda yang ketawa tak ingat begini? Cerita lah sikit. Kalau anda ada cerita tentang orang latah pun OK juga.

Mozar : Ketawa tak hengat bila tengok orang jatuh tersungkur/terlentang, tapi bila diri sendiri terjatuh, ketawa tu delay dalam 2,3 hari kemudian.

Monday, November 1, 2010

Pengorbanan Yang Tulus

Berkorban apa saja, harta ataupun nyawa... Sempena Hari Raya Korban yang bakal menjengah tidak lama lagi, eloklah kita berbicara sedikit tentang subjek pengorbanan. Pengorbanan meliputi pelbagai aspek dan bentuk termasuk berkorban harta benda, wang ringgit, masa, perasaan mahupun nyawa. Nabi Ibrahim a.s diuji oleh Allah s.w.t dengan terpaksa 'mengorbankan' anaknya Ismail a.s yang sehingga kini menjadi peristiwa penting dalam kalendar Islam.

Pengorbanan yang tulus suci tanpa mengharapkan balasan akan membuahkan rasa kepuasan yang amat sangat. Ikhlas dan rela walaupun tanpa pujian, tanpa dikenang dan tanpa penghormatan. Sebaliknya pengorbanan yang menuntut balasan atau pujian akan membuatkan jiwa semakin parah andainya ia tidak berjalan seperti yang diharapkan. Akhirnya pengorbanan yang dibuat hanya sia-sia tanpa ganjaran di dunia mahupun di akhirat.
 
Sempena Hari Raya Korban yang mulia ini, korbankanlah sedikit masa dan rasa malu anda untuk mencoretkan sedikit pengorbanan yang anda telah lakukan terhadap apa sahaja di atas dunia ini di sini. 

Mozar : Saban hari terpaksa mengorbankan puluhan malah ratusan nyawa hanya kerana makan dan minum tanpa diundang. Maafkan patik wahai Sang Ratu semut!
Pengorbanan seorang ibu yang menyentuh hati. Terkenang-kenang arwah mak. Apa khabar mak DI ALAM SANA?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...