Thursday, December 30, 2010

Tahniah Malaysia!

Kerana menjuarai Piala AFF Suzuki buat pertama kalinya. Perlawanan akhir yang sungguh mendebarkan. Walaupun Malaysia boleh dikatakan berada di kedudukan selesa namun asakan demi asakan pasukan Indonesia membuatkan para penonton resah gelisah dan tidak senang duduk. Tahniah dan terima kasih kepada wira-wira bolasepak kita. Tahniah lebih sedikit kepada jurulatih K Rajagobal, Mohd Safee Mohd Sali, selaku penjaring gol terbanyak Kejohanan dan juga Khairul Fahmi Che Mat selaku penyelamat gawang terhebat.

Disebabkan kejayaan yang diraih mereka, kita cuti esok! Tahniah juga kepada rakyat Malaysia yang tidak jemu-jemu memberikan sokongan kepada pasukan kita. Walaupun berkali terluka oleh persembahan buruk pasukan kita di masa-masa lalu, namun kita masih lagi tegar menyokong mereka. Itulah sikap yang sebaik-baiknya yang perlu ada di hati setiap rakyat Malaysia yang bertamadun. To forgive and to forget. Tiada dendam-dendam kesumat di hati setiap orang, tidak kira bangsa, tidak kira agama.

Mozar : Dalam memberi sokongan, jangan jadi lalang. Sekejap 'boo', sekejap sokong. Tak mahu sokong, dok diam-diam aje. Nak sokong, sokong sampai ke detik-detik terakhir sehingga wisel penamat perlawanan terakhir dibunyikan.

Friday, December 24, 2010

Terkenang Arwah Mak

Hampir 2 tahun arwah mak kembali ke Rahmatullah (11 Mac 2009) iaitu genap 2 tahun ulangtahun perkahwinanku. Ketika menitipkan tahlil dan yassin buat arwah, hampir-hampir sahaja butir-butir mutiara jernih jatuh dari kelopak mata. Imbasan kenangan bersama arwah mak bermain-main di benakku. Bukan selalu dapat mengutuskan tahlil dan doa kepada arwah mak di dalam jemaah yang ramai. Ketika itu rindu kembali menggebu-gebu pada arwah mak. Kenangan bersama mak masih kekal abadi di dalam sanubariku walaupun saban hari diasak pelbagai maklumat dan imej-imej yang datang silih berganti. Kalau suatu masa dulu aku berbangga bila diaju pertanyaan "mak ayah ada lagi?" dengan jawapan singkat "ya". Kini jawapannya lebih panjang sedikit jika diajukan pertanyaan yang sama. Aku hanya masih ada ayah.

Kenapa mak tidak selalu hadir di dalam mimpi-mimpiku? Mungkinkah rinduku pada mak tidak sekuat rindunya Bilal bin Rabah r.a dan para sahabatnya terhadap Rasulullah s.a.w? Kadang-kadang memang ya. Rindu pada mak tidak sekuat seperti hari pertama pemergian mak. Aku rasa sangat bersalah pada arwah mak. Kadangkala juga aku terlupa menitipkan doa dan sedekah buat arwah mak. Arwah mak dekat tapi jauh. Dekat di hati namun jauh terpisah oleh masa. Andai diizinkan dengan rahmat Allah kami dipertemukan di syurga nanti, aku masih menginginkan rupa mak seperti di pertengahan usianya. Rambut yang sedikit memutih dan dahi yang penuh kedutan namun terpancar kejernihannya kerana wajah sebegitulah yang sentiasa aku rindukan. Namun, tidak adil pula bagi mak. Mak juga ingin secantik penghulu bidadari yang semanis gadis 17 tahun. Allah lebih Mengetahui. Apa sahaja boleh diciptakanNya. Allah jugalah yang menciptakan kasih sayang dan kerinduan ini.

Walau arwah mak tiada lagi, amal jariah mak tetap terus mengalir di jiwa anak-anaknya kerana mak telah membekalkan kami dengan ilmu duniawi dan ukhrawi sedapat mungkin. Mak telah mengajar sendiri kesemua anak-anaknya mengaji dan mengkhatam Al-Quran lengkap dengan tajwidnya. Itulah ilmu yang paling berharga buat aku dan saudara-saudara sedarahku amalkan untuk mengirim buah tangan buat mak di alam kubur sana.

Walaupun mak telah tiada, aku bersyukur kerana masih mempunyai ibubapa mertua. Mereka juga ibubapa dunia akhiratku. Sekurang-kurangnya masih ada tempat berkongsi rasa dan berkongsi kasih. Tempat mereka selepas ibu kandung juga bukan calang-calang. Cuma perkenalan dengan mereka terlalu segera. Tidak bertahun-tahun bersama seperti ibubapa kandung. Namun, mereka selayaknya diletak setaraf ibubapa kandung kerana mereka juga adalah 'kecintaan' isteriku juga.

Dunia terus berputar bagai roda yang akan hanya terhenti kala tiupan Sangkakala. Kini isteriku telah menjadi ibu kepada anak-anakku yang comel. Semoga kasih mereka terhadap ibu mereka jauh melebihi kasih sayangku terhadap ibuku. Semoga ketiadaan kami nanti akan terus menetapkan iman dan haluan hidup mereka di samping sentiasa dapat mendoakan kesejahteraan kami ibubapa mereka pula.

Mozar : Kepada pembaca-pembaca yang budiman, sudilah kiranya menyedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarhamah Khadijah bt. Hassan (nama ibu : Embun) - (1941-2009). Semoga rohnya ditempatkan bersama roh-roh orang yang beriman dan yang beramal soleh.

Malaikatku kini telah pergi menyahut panggilan Illahi. Semoga malaikatku berada di makam yang terbaik di sana.

Thursday, December 23, 2010

Drama Melayu : Makan, Makan & Terus Makan...

Biasa tonton drama-drama Melayu tak? Nampak tak apa yang saya nampak? Kalaupun anda bukan peminat tegar dan menontonnya sekali sekala pun tentu anda akan perasan benda ni. Kalau anda tak sengaja terpandang TV yang sedang menyiarkan drama Melayu pun pasti anda akan terserempak dengan benda ni. 

Hampir-hampir 50% babak-babaknya adalah makan, makan dan makan. Rasanya ramai yang dah tak perasan pun sebab babak ni dah jadi ramuan utama setiap drama-drama Melayu. Kadang-kadang tak terkira banyaknya babak-babak makan ini dalam hanya satu telemovie atau drama rantaian berepisod. Drama-drama berbahasa lain memang ada juga tapi rasanya tak le sekerap drama-drama Melayu kot. Lagipun saya pun tak banyak tonton drama berbahasa lain selain Melayu dan Inggeris. Maaf le kalau tuduhan ini silap dan tragis.

Apa-apa pun cakap pasal babak makan ni kalau diperhatikan naik rimas juga. Asal nak sembang sikit makan. Asal makan sikit nak sembang. Nak bincang hal anak-anak, hal rumahtangga, hal kerja atau ibu segala hal pun semua kena ada babak makan. Macam la tak ada tempat atau lokasi lain untuk melontarkan dialog-dialog dengan berkesan. Yang kenyang pelakon-pelakon le. Kadang-kadang sampai ke hotel-hotel, kelab-kelab pun ada babak makan. Yang babak-babak di kampung pun apa kurangnya, kalau tak bersembang sambil makan-makan tak siap agaknya sesuatu telemovie atau sesuatu episod itu. 

Yang peliknya, pelakon-pelakon tu boleh pula menghafal dialog sambil makanan penuh di mulut. Mana nak mengunyah, mana nak ingat dialog lagi. Tak janggal ke pelakon-pelakon tu makan dan bercakap sambil gigi bersememeh dengan makanan. Bagi kita yang bukan pelakon ni, bila tengah makan diperhatikan orang, nak mengunyah pun tak berapa betul rasanya. Pelakon-pelakon tu selamba aje mengunyah penuh berselera dan kadang-kadang bercakap dengan mulut yang penuh. Kadang-kadang jijik juga tengok. Dah namanya pun pelakon, mesti buat apa benda pun kena nampak real.     

Seperkara lagi yang tak boleh diterima ialah bila ada babak bertekak dan bergaduh di meja makan. Kadang-kadang tu siap bersembur-sembur makanan dari mulut sambil pinggan mangkuk dan makanan bertaburan di atas lantai. Contoh yang sungguh tidak baik bagi anak-anak bila menghadap rezeki. Itulah yang tak berapa nak eloknya drama-drama kita. Sekiranya babak-babak makan ini hasil pengaruh drama-drama atau filem-filem luar (ada ke?), eloklah ditinggalkan sahaja. Carilah cara dan tempat yang lebih kreatif untuk bersembang. Di ruang-ruang tamu pun tak salah. 

Mungkinlah sebab musababnya drama-drama kita ini kebanyakannya adalah drama-drama berat ataupun komedi, itulah yang banyak babak makan dan terus makan tu. Kalau drama-drama aksi, tak sempat le nak buat babak-babak makan ni kot. Kesimpulannya, disebabkan terlalu banyak sangat babak-babak makan ni, eloklah diadakan satu anugerah khas bagi pelakon yang makan paling selamba, real, mantop dan meletop. Rasa-rasanya susah nak pilih pemenangnya sebab rata-rata pelakon kita memang makan bersungguh-sungguh dengan begitu berselera sekali.

Mozar : Masa mengunyah makanan di depan orang nak buka mulut pun control-control takut terlihat kelibat makanan yang terselit di celah-celah gigi.

Thursday, December 16, 2010

Bangau Oh Bangau!

Pernah dengar tak lagu kanak-kanak di bawah ini?

Bangau oh bangau, kenapa engkau kurus?
Macamana aku tak kurus, ikan tak mau timbul
Ikan oh ikan, kenapa tak mau timbul?
Macamana aku tak timbul, rumput panjang sangat
Rumput oh rumput, kenapa panjang sangat?
Macamana aku tak panjang, kerbau tak makan aku
Kerbau oh kerbau, kenapa tak makan rumput?
Macamana aku tak makan, perut aku sakit
Perut oh perut, kenapa engkau sakit?
Macamana aku tak sakit, makan nasi mentah
Nasi oh nasi, kenapa engkau mentah?
Macamana aku tak mentah, kayu api basah
Kayu oh kayu, kenapa engkau basah?
Macamana aku tak basah, hujan timpa aku
Hujan oh hujan, kenapa timpa kayu?
Macamana aku tak timpa, katak panggil aku
Katak oh katak, kenapa panggil hujan?
Macamana aku tak panggil, ular nak makan aku
Ular oh ular, kenapa nak makan katak
Macamana aku tak makan, memang makanan aku..2x hahaha

Ini adalah salah satu lagu kanak-kanak tradisional yang agak popular zaman dulu-dulu. Rasa-rasanya masih lagi diperturunkan kepada generasi kanak-kanak sekarang. Alkisahnya, dalam lagu ini cuba bayangkan jika ular tu tak mengaku katak memang makanan dia, entah sampai bila lagu ni nak habis. Yang orang dok tanya kenapa bangau tu kurus pasal apa? Ada ke bangau yang gemuk? Bangau tu pandai-pandai pulak buat alasan ikan tak timbul le. Kalau dia jawab memang dia spesies kurus, habis cerita. 

Dalam kes bangau membangau ini memang berlaku salah menyalah yang tiada berkesudahan kecuali seseekor yang menutup kes (ular, dalam kes ini). Masing-masing nak lepaskan tengkuk, walaupun memang ada justifikasinya alasan-alasan mereka itu. Cuma yang tak kenanya, tak pasal-pasal kerbau makan nasi. Mangsa yang paling malang ialah katak kerana ia berisiko dimakan ular manakala satu-satunya yang untung ialah ular kerana ia tidak perlu menyalahkan apa-apa lagi. Akan tetapi, jika dilihat secara terbalik pula, punca si bangau itu kurus ialah sebab ular hendak memakan katak. Semua kejadian saling berkait. Cuma yang tak kenanya, takkanlah si bangau jadi kurus hanya dengan satu kejadian semalaman.

Namun, apa-apapun begitulah juga kiasan sifat manusia, sentiasa nak lepaskan diri dari sebarang persoalan atau masalah dengan cara melibatkan orang lain pula. Memang seronok dan lega kalau dapat menyediakan alasan dengan menuding jari kepada pihak yang lain. Masalah akan terus berpusing-pusing tanpa ada kesudahannya jika empunya diri tidak mencari punca kesilapan dalam dirinya sendiri. Kadangkala, sesuatu jalan penyelesaian boleh dibuat tanpa menyalahkan mana-mana pihak-pihak yang lain walaupun kita layak berbuat demikian. Jika tidak, seseorang atau sesuatu pihak sudah tentu menjadi mangsa, seperti yang berlaku kepada sang katak. Kesudahannya, bila kes itu sampai ke pihak yang berkepentingan, masing-masing terkedu dan hanya mampu melihat dari jauh akan kesannya.

Lagu ini juga menggambarkan bahawa pihak-pihak yang di bawah tidak tahu bahawa masalah yang sedang menimpa mereka adalah berpunca dari tragedi yang sedang dihadapi oleh pihak yang lain (katak). Sekiranya semua pihak-pihak di atas katak itu bekerjasama menyelamatkannya, semua musibah yang mereka hadapi tidak akan pernah berlaku. Dengan itu, keangkuhan pihak di atas (ular) dapat dipatahkan.

Begitulah halusnya mesej yang cuba disampaikan dalam lagu orang dulu-dulu. Walaubagaimanapun, ini hanya pandangan peribadi saya sahaja. Jika anda mempunyai pandangan dari sudut pandang yang lain, silakan berkongsi di sini. Kita kupas maksud-maksud yang tersurat dan yang tersirat dalam lagu ini.

Mozar : Lagu ini akan berpusing-pusing macam gasing-gasing kalau sang ular menjawab soalan kenapa nak makan katak dengan berkata "Macamana aku tak makan, bangau kurus sangat, tak suka! tak suka!"

Part yang ular kena belit tu tiada dalam versi asal ye. Saja suka-suka aje tu. Tapi bagus, moralnya semua bekerjasama menewaskan ular tu. Apa yang penting...kerjasama!

Monday, December 13, 2010

Bahasa Kontot Yang Merimaskan

Dua remaja sedang saling berbalas komen di dalam Facebook :- 
Remaja 1 : ko watpe ptg nih.klu free jom r p kuar mkn
Remaja 2 : aq de exam sok.tgh cbuk studi nih
Remaja 1 : owh ader 2 paper lg jew kn.nti aq kol ko

Apa punya bahasa ni? Pening kepala memahaminya. Inilah lebih kurang bahasa budak-budak dan remaja-remaja sekarang dalam SMS atau berchatting. Rosak ejaan Bahasa Melayu yang kita sayangi ini. Kalau orang hendak buat subjek-subjek pelajaran sekolah dalam bahasa Inggeris ramai yang melenting dan berdemo. Hakikatnya, bahasa yang dipertahankan bermati-matian ini semakin hari semakin dirosakkan. Mungkinlah puncanya ialah dari kemalasan penulis itu sendiri untuk menaip perkataan-perkataan yang panjang-panjang. Lebih-lebih lagi untuk menghantar SMS. Namun, untuk chatting atau berFacebook dalam komputer, masalah menaip tidaklah begitu sukar kerana adanya keyboard

Jika keadaan ini terus dibiarkan dan diterima pakai, ejaan-ejaan yang betul akan terus pupus menjadi seperti contoh di atas. Segala perkataan seboleh mungkin ingin disingkatkan. Yang paling tidak boleh diterima ialah ada pula perkataan-perkataan yang boleh dieja dengan 2 huruf menjadi 3 huruf atau lebih. Kalau dek disebabkan malas sangat nak menaip, kenapa rajin sangat pula menambah-nambah huruf, contohnya, 'ni' menjadi 'nie' atau 'nih'. 'Ada' menjadi 'ader', 'tu' menjadi 'tue', 'ke' menjadi 'kew' (ini yang paling menyampah nak membacanya, mengada-ngada sangat bunyinya). Contoh-contoh ejaan mengada-ngada lain adalah seperti 'itew'(itu), 'jew'(je), 'cni'(sini) dan banyak lagi.

Seandainya fenomena bahasa kontot ini menjadi titik tolak bagi orang Melayu menjadi semakin maju dan semakin bergerak pantas, silakanlah. Itu petanda yang baik. Namun, jauh panggang dari api nampaknya. Rata-rata orang kita masih menjadi 'pengguna' tegar, dan bukannya 'pengeluar'. Harga barangan dan pasaran masih di tangan orang lain juga.

Berbalik semula kepada ejaan kontot tadi, nilai bahasa itu sendiri telah dinodai. Tiada kemanisan di dalam bahasa itu sendiri. Tiada puitisnya lagi jika setiap kali membaca jenuh pula untuk mengenalpasti apa sebenarnya perkataan yang dimaksudkan. Ke mana perginya anak-anak Melayu yang rata-ratanya 'peminat' Sastera tegar yang mana hanya segelintir sahaja 'meminati' bidang Sains. Tidakkah mereka bangkit mempertahankan kekhilafan ini? Barangkali budak-budak Sains yang belajar Kimia, Fizik dan Biologi yang memulakan bahasa kontot ini. Maklumlah otak dah berserabut dengan H2O mewakili air, CO2 mewakili karbon dioksida dan berbagai lagi singkatan Sains. Pelajar-pelajar pencinta Sastera atau yang 'terpaksa' tercampak ke dunia Sastera sudah tentu melenting dengan fenomena yang sedang berlaku ini. Melenting la sangat!!! Join sekaki lagi ada la.

Kita tunggu dan lihat sahaja ke manakah arah tuju bahasa Melayu kita ini di masa hadapan. Nampaknya fenomena ini sudah tidak ketemu jalan pulangnya lagi. Semakin ramai yang sudah boleh menerima dan memahami bahasa kontot ini, tetapi bukan saya kerana saya keberatan untuk membaca posts dan komen-komen yang dikontotkan secara melampau-lampau di dalam Facebook contohnya. Meluat dan menyampah membacanya. Kalau dulu-dulu hanya beberapa perkataan seperti 'yg', 'kg' atau 'org' sahaja yang disingkatkan. Sekarang ia semakin menjadi-jadi. Malahan, jika sesuatu perkataan Melayu itu sukar disingkatkan, dirojakkan pula dengan perkataan Inggeris. Agaknya benda ni memang dah jadi trend bebudak sekarang kot. Kalau tak diikut dikatakan kolot, skema, tak cool atau ketinggalan zaman. 

Mozar : Apa jadi kalau ejaan-ejaan ayat-ayat di dalam Al-Quran dikontotkan seberapa yang boleh? Tidak terkiralah orang yang akan ke neraka hanya kerana membacanya.

Friday, December 10, 2010

Berfikir Di Dalam Kotak

Apakah yang dimaksudkan dengan berfikir di dalam kotak ini? Yang sering kita dengar ialah saranan atau dorongan supaya kita 'berfikir di luar kotak'. Jika kita sendiri tidak tahu apakah kategori pemikiran kita, bagaimanakah kita hendak berubah? Berfikir di dalam kotak antara lain ialah berfikir secara mendatar, tidak mahu susah-susah memikir bagaimana untuk membuat sesuatu di luar kebiasaan. Tidak mahu susah-susah memikirkan untuk menyelesaikan sesuatu masalah dari sudut yang lain, tidak kreatif serta takut mengambil risiko di atas sebarang cadangan perubahan.

Jika berfikir di luar kotak, soalan kuncinya ialah "Bagaimana untuk...?" Sebaliknya, berfikir di dalam kotak pula mungkin berbunyi "Biarlah" atau "Lantaklah" atau "Tak kuasalah" ataupun paling teruk "Takutlah kalau..". Kita masih boleh hidup dalam kotak menikmati zon selesa tetapi kita tidak tahu apa yang sedang berlaku di luar kotak itu. Entah berapa banyak perkara atau orang yang telah memintas kita ke arah yang lebih maju lagi sedangkan kita masih selesa di takuk lama dan lambat laun akan terus disingkirkan dari permainan dunia yang semakin mencabar ini.

Sebagai contoh mudah, jika pembuat telefon bimbit 'tiga tiga sekupang' (Nokia 3310) yang begitu popular sedikit masa dahulu masih bermimpi bahawa ia masih menjadi rebutan ramai ketika ini, dengan senang-senang sahaja ia telah jauh ditendang oleh model-model telefon terkini seperti Blackberry, Samsung atau iPhone yang jauh lebih canggih. 3310 telah lama menjadi sejarah. Andainya tiada pemikir-pemikir di luar kotak sebijak sekarang, kita masih lagi menggendong telefon-telefon yang gemuk dan berat seperti itu yang hanya layak untuk membaling anjing.

Begitulah peri pentingnya kita berfikiran di luar kotak yang mana ianya perlu lebih 'advanced' dari orang lain atau pesaing kita dari masa ke semasa. Tidak kira apa jua bidang yang kita ceburi, semuanya memerlukan kita mengamalkan pemikiran-pemikiran kreatif di luar kotak agar kita tidak 'tewas' dan terus dilupakan. Berfikir di luar kotak ini boleh diasuh dan dilatih dengan menghadiri kursus-kursus yang berkenaan seandainya anda tidak memiliki bakat pemikir semulajadi. Hendak seribu daya, tak hendak seribu alasan.

Mozar : Untuk mengelakkan dari berfikir di dalam kotak, jangan pernah wujudkan kotak itu sendiri. Bagaimana ya?

Jack in the box : Bila ia terpacul keluar dari kotak, ia bisa memberi impak yang memeranjatkan. Itupun setelah ia keluar dari kotak!

Tuesday, December 7, 2010

Salam Maal Hijrah

Selamat menyambut tahun Hijrah 1432. Diharap muslimin dan muslimat sekelian ada membacakan doa akhir tahun dan awal tahun waktu Maghrib semalam. Doa-doa tersebut antara lain Insyaallah dapat melindungi kita dari malapetaka dan tipu daya syaitan untuk setahun yang mendatang ini. Tahun baru Hijrah ini lebih sinonim kepada persoalan penghijrahan. Tidak seperti tahun baru Masihi yang mana orang-orang sibuk mengutarakan tentang azam baru. Penghijrahan adalah lebih tepat daripada azam sebenarnya. Penghijrahan sebenarnya boleh sahaja dilakukan pada bila-bila masa. Lebih segera lebih baik. Penghijrahan juga tentu sekali dimaksudkan ke arah kebaikan.

Penghijrahan perlukan pengorbanan yang sangat besar terutama dari segi menewaskan hawa nafsu dan meninggalkan zon selesa. Azam, sebaliknya hanya hangat disebut-sebut di awal tahun dan berakhir seperti sejuknya tahi ayam. Ada yang berazam berhenti merokok, menguruskan badan, bekerja lebih keras dan berbagai-bagai lagi. Di akhir tahun, azam hanya tinggal azam dan terpaksa pula di carry forward ke tahun seterusnya. Berapa banyak azam-azam anda yang telah tertunggak dan kian lupus? Itulah sebabnya. Azam boleh sahaja diucap secara main-main dan tidak diikuti dengan kesungguhan. Sebaliknya, hijrah diri lebih suci dan beriltizam kerana ianya satu perjanjian dengan Allah s.w.t yang mana tidak sepatutnya dipermainkan. Hijrah perlukan perubahan yang benar-benar dari hati dan jiwa serta diiringi doa dan harapan. Barulah hidayah dari Allah akan datang mencurah-curah dan akhirnya akan terasa kemanisan dalam penghijrahan itu sendiri. Hijrah diri lebih manis andai disulami dengan bertambahnya taat dan cinta kita kepada Allah dan Rasul kerana Hijrah ini lebih menjurus kepada perkara-perkara kerohanian.

Mozar : Berhijrah dari panas baran kepada yang lebih cool. Faktor usia dan latihan dalaman banyak membantu.

Monday, December 6, 2010

Rahsia Yang Dah Tak Macam Rahsia Lagi

Dua orang yang kepoh saling terserempak lalu membibitkan dialog-dialog seperti di bawah ini :- 
Si Kepoh 1 : Kalau aku bagi tau benda ni kau jangan bagi tau orang lain tau. Janji??
Si Kepoh 2 : Ok, aku janji. Ceritalah cepat. Apa dia?
Si Kepoh 1 : Betul ni?? Boleh percaya ke?? Kalau orang lain tau, siap kau!
Si Kepoh 2 : Weii!! Cepatlah cerita! Banyak cikadak betul la kau ni...

Biasa dengar atau biasa buat dialog di atas ni tak? Confirm ada punya. Konon-konon rahsia le tu. Dalam pada janji tak cerita pada orang lain entah berapa kali pula dialog sebegini berlegar-legar dan berpusing-pusing kepada orang lain pula. Dah tak macam rahsia lagi dah le. Dalam seminggu dua, sekampung atau setaman dah tau. Kalau rahsia tu rahsia yang memang mengaibkan seseorang, memang agak malang le. Manusia bermulut tempayan ni bersepah-sepah di mana-mana. Bukan apa, gejolak rasa di dada orang yang sebegini bagaikan Tsunami, tak boleh ditahan-tahan nak menceritakan sesuatu rahsia tu. Berita sensasilah katakan. Tak mampu lagi nak disimpan agar hanya pecah di perut sahaja. Sudahnya, asal jumpa saja orang, dialog semacam di atas inilah tiket untuk dia menyebarkan cerita tu sambil berharap konon-kononnya rahsia tu tak disebarkan orang. Bila si pemilik kisah asal dah naik angin sebab rahsianya tersebar serata alam, pak-pak kepoh dan joyah-joyah kepoh ni buat-buat bodo macam muka Shrek. Semuanya buat-buat pandang ke timur, ke barat atau ke tenggara.

Sebetulnya, orang yang boleh dipercayai untuk menyimpan sesuatu rahsia mestilah seseorang yang benar-benar jujur dan amanah. Di mulut si mulut tempayan sesuatu rahsia itu akan menjadi satu bahan yang sangat syok dan sensasi. Habis diemail, diblog, difesbuk dan ditwitternya kepada kengkawan lain. Zaman internet, takde lain le dari menggunakan laman-laman sosial. Kalau dulu-dulu, makcik-makcik kepoh ni sampai lenguh le peha dan lutut menjaja rahsia dan gossip dari rumah ke rumah. Selagi tak cover sekampung atau setaman, dia takkan balik ke rumah. Lagi laju dari Broadband, juga laksana Internet Hotspotz.

Mozar : Rahsia yang disimpan di dalam otak manusia tidak akan dapat dipecahkan oleh sesiapa atau apa cara sekalipun. Sebaliknya, jika disimpan dalam alat-alat ciptaan manusia, lambat laun pasti akan terbongkar jua. Subhanallah!

Saturday, December 4, 2010

Mari Belajar Bahasa Tubuh

Bahasa tubuh ini ialah komunikasi tanpa kata2 yang terhasil dari pergerakan mana2 anggota badan walaupun sekecil satu sentimeter sekalipun. Ada yang menggunakan mata, liuk lentok tubuh, jari jemari, kaki dan apa2 jua bahagian tubuh yang boleh digerakkan. Tetapi, orang akan hanya gunakan bahasa tubuh ini apabila ada orang yang melihat. Kalau bersendirian dalam gelap atau tempat terkurung bukanlah membahasakan kepada sesiapa pun namanya. Biasanya bahasa tubuh banyak digunakan oleh orang2 yang nak mengorat ataupun orang yang tengah merajuk. Kadang2 hanya orang yang buat pergerakan tu aje yang faham. Orang yang melihat tak reti bahasa pun. Sedihnya. Dalam hal ini si pembahasa tu kenalah kreatif sikit. Jangan terlebih2 pulak. Confirm akan dicop 'gedik'. Kalau nak tengok bahasa tubuh yang obvious dan gedik sangat2 tengok le filem Hindustan. Itu dah over sangat. Segala bahagian tubuh digunakan sebaik mungkin, dengan mata yang terkelip2 atau terkuyu2, berguling2 berekar2 tanah dan tiba2 muncul entah dari celah mana2.

Pelakon yang baik dan berkarektor adalah pelakon yang bijak mengguna dan memanipulasi seni bahasa tubuh. Kadang2 untuk watak sedih, dengan raut muka yang sedih, mata yang kelihatan kosong atau berkaca benar2 dapat membawa penonton ikut sama menyelami perasaan dalamannya. Ataupun untuk watak girang, mata yang bersinar2 dan turut kelihatan tersenyum benar2 membuat penonton merasakan kebahagiaannya.

Bahasa tubuh adalah bahasa yang tidak diajar di mana2 sekolah. Ada sesiapa nak buka kelas? Bahasa ini datangnya secara semulajadi berdasarkan emosi dalaman. Orang yang tak ada perasaan maka tiadalah bahasa tubuh. Bahasa orang yang marah, merajuk atau bosan biasanya memang sangat senang dibaca, biasanya disulami dengan samada muncung yang panjang sejengkal, mata yang bak burung jampuk (burung hantu) atau gerakan tangan atau kaki berulang2. Orang yang sedang mengorat pula, mata memainkan peranan yang penting. Terlirik ke sini, terlirik ke sana. Jari jemari (bagi perempuan) memang tak diam, menjelajah merata2. Sekejap2 menguis2 rambut, membetulkan tudung le, semua dalam keadaan yang sangat 'control ayu'. Orang lelaki biasanya melihat melalui 'ekor mata' sahaja. Kadang2 orang tak sedar pun yang dia sedang memerhatikan sesuatu. Biasanya lelaki tak banyak menggunakan bahasa tubuh sebab mereka banyak menggunakan mata sebagai radar atau pusat kawalan. Walaubagaimanapun, ini semua hanyalah sekadar berteori. Kalau tak betul jangan maree.

Mozar : Orang yang sangat gemuk tentu agak sukar hendak mempamerkan bahasa tubuh dengan berkesan atas kekangan pergerakan. Rasa2nyalah!

Agak2nya bahasa tubuh ni universal tak?

Thursday, December 2, 2010

"That's It !"

"Opocot mak kau meletup!" (mungkin sekali reaksi terkejut beruk anda bila seseorang menghentam meja dengan kuat di depan anda). Tau pun terkejut. Entri ini ialah pasal seorang yang tiba-tiba naik angin dan menepuk meja dengan kuat sambil berkata "that's it!". Biasanya orang yang jadi begini bila dia dah tak tahan lagi menanggung kemarahan yang meluap-luap yang dipendam sekian lama. Jangan main-main kalau orang yang tak biasa speaking London tiba-tiba aje speaking. Itu tandanya dia dah marah tahap gaban hinggakan meletus bak Gunung Merapi. Kadang-kadang ada juga orang menyebutnya "this is it!". Kedua-duanya membawa maksud yang sama.

Kawan saya pernah mengalami pengalaman di mana seorang kawannya yang sedang marah giler tiba-tiba berkata "Who do you think do you are?" Secara grammarnya ayat ini memang le salah sebab tak semena-mena boleh tambah 'do' sebelum 'you' tu. Marah punya pasal dia tak ingat dah betul ke salah grammar dia. Ada dia kesah? Janji lepas segala perasaan yang terbuku di hatinya. Akibatnya, orang yang asalnya terkejut badak rasa nak tergelak pun ada. Bagi orang yang memang biasa speaking tu kita tak le terkejut sangat kalau dia tiba-tiba mengungkapkan "that's it" ni. Cuma terkedu sikit je la. Kadang-kadang kalau perempuan yang sebut, ala-ala manja aje, tandanya "I dah tak tahan lagi, I bosan!!"

Bagi yang kabur makna sebenarnya, "that's it" ialah "cukup-cukuplah" ataupun "cukup sampai di sini saja". Tapi, ayat ini sebenarnya bukan untuk ungkapan marah aje. Kalau ia disebut baik-baik secara lemah lembut ia boleh membawa maksud "benda ni berakhir di sini sahaja" ataupun "nah! dah siap pun". Jangan le pula bila ada seseorang cakap "that's it", anda ingat orang tu sedang marah. Kecualilah kalau dia hentam meja selagi mahu. Time tu cepat-cepat le angkat kaki. Moral of the story, kalau seseorang tu nampak baik dan innocent jangan le galak sangat nak membulinya dengan bermacam-macam cara. Dia pun ada perasaan juga. Cuma tak tunjuk je. Takut-takut keluar ungkapan dalam bahasa omputih yang lebih dahsyat lagi daripada itu. Kesian dia. Dengan sekali lafaz aje sifat innocent dan humblenya selama ini tiba-tiba buat orang pandang serong pada dia. Kalau itu buat orang jadi takut dan respek kat dia, taubat tak buat lagi, bagus le juga. Jadi, jagalah hati kawan-kawan di sekeliling anda kerana tanpa mereka, anda pun bukan kawan kepada sesiapa, tetapi hanyalah umpama seekor kera yang sumbang.

Mozar : Kalau seseorang tu tiba-tiba berceloteh "that's the way, ahak ahak, I like it, ahak ahak" sambil sebelah tangan bercekak pinggang dan sebelah lagi tunjuk langit maknanya dia terkena demam disko pop 70-an.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...