Friday, January 28, 2011

Wira-Wira Tak Didendang

Siapakah 'wira' di hati anda? Bukanlah adiwira-adiwira seperti Batman, Superman atau Cicakman yang dimaksudkan ya! Itu semua hanyalah khayalan di bawah sedar sang-sang pencipta watak. Kita sedang berada di bumi nyata. Mungkin anda tidak sedar bahawa wira-wira yang tak didendang atau diraikan ini sebenarnya hidup bertebaran di sekeliling kehidupan anda. Ungkapan bahasa Inggeris bagi istilah ini ialah 'Unsung heroes'.

Bagi anak-anak di luar sana, anda tak perlu memandang jauh lagi. Wira-wira sejati anda adalah ibubapa ataupun penjaga anda sendiri. Merekalah 'guardian angel' atau 'malaikat penjaga' bagi anda. Apa tidaknya, dengan tulang empat kerat mereka, selagi daya merekalah yang menjaga kelestarian hidup anda ketika anda masih tidak mampu berdikari atau ketika anda masih bertatih meniti titian hidup. Merakalah wira-wira sejati anda. Dendangkanlah serta raikanlah mereka sebaik-baiknya.

Di sebalik wira-wira di hati anda itu wujud pula kategori wira-wira di hati masyarakat. Mereka ini bukanlah pemakai baju kalis bom, punya kuasa laser mengalahkan musuh ataupun boleh terbang sambil mengangkat beban yang bertan-tan beratnya. Mereka hanyalah manusia-manusia biasa yang sangat humble dan terkadang tanpa kita sedaripun kehadirannya. Mereka mengerah tulang yang lebih banyak keratnya dari kebanyakan orang. Pekerjaan-pekerjaan harian mereka bak kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Sesetengah pekerjaan itu memang kotor, jijik atau berbahaya bagi sesetengah orang namun seseorang perlu melaksanakannya. Di sinilah wujudnya peranan bak wira bagi wira-wira yang tak didendang tadi.

Melintasi jalan-jalan raya yang sibuk sedang kita asyik merungut-rungut akan kesesakan trafik, kita tidak perasan pun adanya insan-insan kerdil yang sedang menyabung nyawa di bawah jalanraya, menguruskan saluran kumbahan yang tersumbat. Di atas langit sana, beberapa orang wira pula sedang tegar menyabung nyawa meniti ceracak, demi membina bangunan-bangunan pencakar langit.

Di sudut yang lain pula, sanggupkah kiranya anda memunggah sambil menghidu sampah sarap yang berlangau dan berulat yang entah apa wabak penyakit yang boleh berada di dalamnya saban hari dan malam? Terlalu sedikit yang sanggup, bukan? Untungnya, anda insan-insan yang masih sanggup melakukannya samada secara rela atau terpaksa. Bukankah mereka ini juga sebenarnya wira-wira sejati (sekadar memberi beberapa contoh)?

Pendekata, sesuatu kerja yang anda tidak sanggup dan tidak mampu buat sedangkan ada orang-orang lain yang mampu melakukannya, anggaplah mereka itu wira-wira anda. Walaupun tanpa upah yang berderet-deret nombornya, mereka tetap cekal menempuhnya demi sesuap nasi, seteguk air atau mungkin sekelumit cahaya lampu. Sekiranya anda seorang yang berperikemanusiaan, hormatilah tugas-tugas mereka, pandanglah mereka dengan kedua belah mata anda dan jangan sesekali mencebik andai mereka menghalang kelancaran hidup anda.

Berilah hormat walaupun dengan hanya secebis senyuman ketika melintasi lantai yang sedang disapu oleh si tukang sapu. Tanpa mereka yang menyanggupi kerja-kerja yang anda tidak sanggup buat, di manakah anda ketika ini? Mungkin sekali sedang memakai topeng pengelak bau, menyinsing pakaian dari terkena air kumbahan di jalanan, masih berumah atau berpejabat dari papan dan rumbia, atau mungkin sekali sedang berjalan terjengket-jengkot sambil mengelak dari terpijak sampah sarap di merata ceruk dan sudut.

Dendanglah wira-wira sebegitu walaupun bukan dengan limpahan wang ringgit atau batu permata. Sedikit hormat dan prihatin mungkin boleh diberikan sebagai sekecil-kecil penghargaan. Mereka itu pasti sekali perwira sejati kepada anak-anak dan keluarga mereka. Mereka itu pasti sekali sandaran dan harapan besar bagi anak-anak dan keluarga mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup. Tanpa ada yang berada di bawah tidak mungkin akan ada yang berada di atas. Fikir-fikirkanlah.

Mozar : Wira-wira tak didendang di negara kita kini kebanyakannya adalah di kalangan wira-wira yang diimport. Namun, apa salahnya mereka diendahkan, mereka juga manusia. Punya keperluan dan tanggungan hidup yang perlu dipenuhi. Kita sendiri juga yang melepaskan tugas-tugas wira itu kepada orang-orang asing.

'Wira' di hati keluarga, belum tentu dianggap 'wira' di hati masyarakat

Tuesday, January 25, 2011

Ganjarkan Diri Anda Sendiri

Penat dan bosan dengan sesuatu benda yang anda kerjakan?
Hampir putus asa mengejar impian atau cita-cita anda?
Tunggu sekejap! Ada yang tidak kena di sini. Mengapa anda harus berasa sedemikian rupa? Mungkin setiap hari anda bekerja tanpa henti, membuat kerja-kerja yang terlalu rutin atau mendapat rehat yang terlalu sedikit. Apapun keadaan diri anda, hidup mesti diteruskan. Apapun pekerjaan atau tugasan yang anda hadapi, ianya perlu dilaksanakan secara bijak dan berhemah supaya membuahkan hasil yang memuaskan. Jika sebaliknya, satu kerja pun tidak akan sempurna di samping banyak masa yang akan terbazir begitu sahaja.

Mengapa tidak anda menangani kebosanan dan kepenatan bekerja dengan cara anda mengganjarkan diri anda sendiri. Ungkapan dalam bahasa Inggerisnya berbunyi 'reward yourself'. Setiap tugasan dan pekerjaan yang kita lakukan boleh kita applikasikan kaedah ganjaran diri ini. Tidak kiralah anda bekerja sebagai CEO, peniaga, petani sehinggalah kepada para pelajar yang mengulangkaji pelajaran. Dengan kata lain, mengganjarkan diri ini boleh juga disifatkan sebagai sessi me'release tension' agar yang tegang dapat dapat dikendurkan, yang ketat dapat dilonggarkan.

Kerja-kerja yang memenatkan atau kadangkala membosankan boleh menjadi menggembirakan andai anda boleh berjanji dengan diri sendiri bahawa anda akan mengganjarkan diri anda dengan sesuatu yang menyenangkan seusai kerja-kerja tersebut. Seandainya kerja-kerja anda itu memang dijanjikan sesuatu ganjaran oleh pihak lain, itu merupakan satu bonus. Contohnya, anda dibayar upah atau gaji di atas kerja-kerja anda. Sekiranya tiada, anda sendirilah yang perlu memujuk diri anda sendiri dengan pelbagai 'upah' yang wajar.

Sebagai satu contoh yang jelas, setelah anda penat bekerja keras mencari rezeki berhari-hari, apalah salahnya anda mengganjarkan diri anda dengan pergi bercuti di tempat-tempat yang anda inginkan, membeli barang-barang yang selalu anda impikan atau sekurang-kurangnya mengambil beberapa hari cuti rehat untuk 'catch up' semula aktiviti masyarakat yang telah lama anda tinggalkan dek kesibukan anda selama ini.

Sebagai seorang pelajar pula, kesibukan menelaah dan membuat tugasan boleh 'dilegakan' dengan sekecil-kecil ganjaran seperti mencuri-curi masa untuk menghirup secawan kopi atau coklat panas. Cara yang lain, janjikan diri anda bahawa anda akan hanya bersosial atau 'mengadap buku' (facebook) setelah anda selesai segala tugasan anda. Dengan cara-cara itu ia akan dapat menyegarkan anda semula di samping merangsang kesungguhan anda untuk menyudahkan apa yang anda buat bila mengetahui ada sedikit ganjaran yang sedang menanti anda. Ganjaran yang lebih menggembirakan lagi ialah apabila anda mendapat markah yang cemerlang bagi kerja-kerja kursus anda atau kertas peperiksaan yang anda duduki.

Kesimpulannya, menyediakan ganjaran diri akan membuatkan anda lebih bermotivasi dan lebih komited dengan kerja-kerja anda. Rasa bosan dan penat akan dapat dihindari bila sahaja anda memulakan pekerjaan. Ini juga tidak secara langsung dapat menyihatkan minda dan emosi anda. Semakin besar ganjaran yang anda sediakan, semakin bersemangatlah anda dengan kerja-kerja anda. Setiap kali unsur-unsur 'M' mula mendekati anda ingatlah bahawa anda ada sesuatu yang membahagiakan sedang menanti anda di hujung sana. Selamat tinggal Mr. M!

Mozar : Agak-agak juga bila mengganjarkan diri anda. Jangan sampai hanyut, pokai atau terus terjatuh di zon selesa yang melalaikan hingga kerja-kerja anda terus terbengkalai.

Bungee Jumping : Salah satu cara mengganjarkan diri secara ekstrim, ada bran?? Penaya kat lembu ni. "Aku tak dilahirkan untuk diperlakukan sebegini...!!!!!. Gayat siot...!!!!!"

Tuesday, January 18, 2011

Ku Ada Kamu 2



'Sedetik Lebih' : Nyanyian Anuar Zain

Entri kali ini adalah lebih kurang sambungan kepada entri terdahulu, Ku Ada Kamu yang mana subjeknya adalah juga berkaitan cinta dan kasih sayang. Kali ini kasih sayangnya lebih mendalam lagi sehingga rasa cinta mula mekar dan mengharum. Secara peribadi, sudah lama kita tiada lagu yang lirik dan melodinya sebegini indah dan mengasyikkan. Tangkap syahdu tu! Lagu ini merupakan Original Soundtrack untuk filem Hikayat Merong Mahawangsa terbitan KRU Studios. Bagi yang sedang dilamun cinta dan kasih sayang, lagu ini sangatlah membuai jiwa. Bagi pasangan yang telah berkahwin, dedikasikan lagu ini untuk pasangan hidup anda kerana cinta merekalah yang seharusnya anda raikan. Bagi pasangan cinta 'terizin' hayatilah lagu ini sebagai panduan demi membina bahtera hidup bersama nanti. 

'Sedetik lebih' dalam lagu ini adalah menggambarkan bahawa hebatnya cinta yang dilayari sehinggakan ianya sedetik lebih sedikit daripada 'selamanya'. Secara realitinya, tiada sebarang detik masa pun yang boleh wujud selepas sesuatu itu dilabel 'selama-lamanya', kerana selama-lamanya itu bermakna 'infiniti' atau 'ketakterhinggaan'. Tak ke pening tu nak fikir. Jiwang habis. Alam percintaan memang selalunya dikaitkan dengan mengimpikan benda-benda yang 'impossible' dalam dunia ini sebagai bukti dalamnya cinta itu. Ada yang menjanjikan bulan dan bintang. Ada yang sanggup meredah lautan api. Ada yang sanggup dada dibelah kapak dan berbagai lagi yang agak mengada-ngada bunyinya. 

Ungkapan 'sedetik lebih' ini merupakan sesuatu yang baru dicipta. Agak puitis juga bunyinya. Apa-apa pun, semustahil manapun kedalaman cinta yang ingin dibuktikan, biarlah ianya seiring dengan realiti. Janganlah ianya bersifat 'habis madu sepah dibuang' ataupun 'sudah dapat gading bertuah tanduk tidak berguna lagi'.

Mozar : Teringin nak menyaksikan kehebatan filem 'Hikayat Merong Mahawangsa' ini. Mungkin sekali 'the most anticipated film of the year' selepas filem '2 Alam' dR Rozmey (huhuhu).

Monday, January 17, 2011

Usia Anda Semakin Keemas-Emasan Bila...

1. Rambut anda dah berwarna keperak-perakan.
2. Tengkuk dah mula beropol-ropol yang mana ditiup angin pun boleh terbuai-buai.
3. Krim siang, krim subuh, krim tengahari, krim senja dan krim malam dah tak mampu lagi nak menegangkan kulit muka anda.
4. Kepala bak padang jarak padang tekukur. Ataupun berjam-jam cuba sebak rambut supaya menutupi bahagian yang licin berkilat. 
5. Dah malas nak kira berapa banyak dah tanda-tanda penuaan. Bukan setakat 7 tanda lagi dah.
6. Nak cucuk benang dalam jarum pun asyik miss aje. Nak membaca pulak asyik adjust jauh dekat, jauh dekat.
7. Buat 'To Do List' sementelah nak ke dapur atau ke tingkat atas rumah sebab tak upaya nak berulang-alik beberapa kali. 
8. Tekak anda semakin mengada-ngada. Itu dah tak gemar, ini dah tak gemar sedangkan masa muda andalah Raja atau Ratu makan. Memanjangnya jalan-jalan cari makan.
9. Kawan-kawan karib mula datang berjinak-jinak dan menggesel-gesel anda. Nama-nama depa ni macam biasa dengar je..diabetes, hipertensi dan jantung koronari (macam nama-nama omputih tu!). Depa ni biasanya digelar sahabat 3 serangkai. Kalau berkawan, sangat setia. Sehidup semati bagai.
10. Dah dapat kawan-kawan karib tu tadi, anda asyik pula kena melayan kerenah depa sampai nak makan macam-macam pun dah tak boleh. Mengada-ngada punya kawan!
11. Rancangan-rancangan TV dan hiburan dah tak berapa nak menarik minat anda. Tak kuasa nak layan dah. Ada tu, cerita-cerita omputih dah cukup nyampah sebab ada babak-babak bercium (kecuali si tua keladi). Rancangan nyanyi-nyanyi lagi le nyampah. Tapi bila penyanyi sezaman menyanyi, layan juga. Lagi satu, anda dah mula layan drama-drama berciri kekeluargaan.
12. Budak-budak tanpa teragak-agak memanggil anda pakcik/makcik ataupun tok/opah.
13. Anda disangka berjalan dengan cucu bila menghantar anak bongsu anda ke sekolah.
14. Yang kaki rempit dan samseng jalanan dengar bunyi motor pun dah nyampah. Muda-muda dulu kononnya puncak dunia telah ditakluki. Bayangkan anak-anak muda yang samseng dan tak bermoral hari ini, dah tua nanti semuanya lembik dan tak berdaya. Jangan nak eksyen le tengah muda ni! 
15. Dah naik bosan sebab sejak lahir dah tak terkira berapa kali dah kena tukar IC baru.
16. Mula rasa nak berjinak-jinak dengan surau dan masjid. Yang ni bagus sangat. Mata hati dah nampak kilauan keemas-emasan tu.
17. Dah mula berjinak-jinak dengan masjid tu baru ada akal nak sedekah yasin dan tahlil kepada roh-roh orang yang telah pergi. Baru anda sedar bahawa senarai nama orang-orang yang telah pergi dah sampai 2 mukasurat kertas kejang.

Kesimpulannya, selagi kita masih bernafas, eloklah sentiasa beringat bahawa kita bukan muda selamanya. Tanda-tanda penuaan yang kita alami adalah fitrah alam supaya kita beringat. Yang banyak dosa, tinggal-tinggalkanlah dan bertaubat sungguh-sungguh. Uban di kepala adalah telegram yang masa kita berfoya-foya dah nak habis. Umur manusia setakat 70-80 tahun aje paling-paling selesa. 100 tahun ke atas hanya bonus. Tanda-tanda penuaan juga merupakan benteng pertahanan semulajadi badan supaya kita lebih berhemah dan berhati-hati dalam pemakanan, pergerakan dan amalan-amalan yang tidak sepatutnya. Kata orang, dah tua buat cara tua, jangan terlebih sudah!

Mozar : Insaf di usia lanjut banyak ruginya. Nak sembahyang banyak-banyak, nak ke surau, mengaji dan sebagainya memerlukan semangat yang bukan calang-calang. Kurang-kurang sakit lutut, kaki dan pinggang confirm ada. Lagi satu, otak pun dah benak.

Wednesday, January 12, 2011

Tolong Ingatkan Aku...

Andai aku LUPA tolong ingatkan aku :-
1. Agar sentiasa mencintai Allah dan Rasulnya Nabi Muhammad s.a.w.
2. Agar menjaga tiang agamaku supaya tidak roboh dimamah anai-anai(syaitan durjana) sekaligus menjaga segala rukun Islam dan rukun Iman.
3. Agar sentiasa bersyukur di atas segala kurniaan Ilahi samada yang aku suka ataupun tidak.
4. Agar sentiasa menjaga kehormatan diri, keluarga dan keturunanku.
5. Agar bersifat jujur serta amanah dalam segala hal.
6. Agar bersifat kasih serta mengasihi akan segala insan dan makhluk di sekelilingku.
7. Agar menjauhi segala sifat2 Mazmumah dan mendekati sifat2 Mahmudah.
8. Agar sentiasa berusaha memajukan diri, keluarga, masyarakat dan agamaku.
9. Agar bersederhana dalam segala hal.
10. Apa yang aku tertinggal di sini.

Andai aku LUPA, tolong ingatkan aku (versi merapu) :-
1. Supaya gosok gigi sebelum tidur walau mengantuk macamana sekalipun.
2. Supaya kunci jam/set alarm untuk bangun sembahyang subuh esok.
3. Gosok baju awal2 supaya tidak kelam kabut nak ke tempat kerja.
4. Bagi makan ayam, itik, kucing dan ikan (lupa lak, tak bela apa2 binatang pun. Korang ada?).
5. Renew road tax dan insurans. Nanti kena saman kalau takde.
6. Check email, facebook dan blog (yang ni takkan lupa kot sebab kalau tak buat rasa tak lengkap hariku-ngulat pun ya).
7. Kalau beras dah tinggal sikit. Boleh le singgah kedai beli.
8. Bila rancangan feveret di TV dah start.
9. Kunci pintu dan tingkap dengan mangga yang sebesar alam. Penyamun dan perompak dah tak kira shift dah sekarang ni.
10. Supaya tidur, hari dah jauh malam. Udah2 le berfesbuk dan berbloggingnya tu.

Mozar : Andai aku INGAT, tolong LUPAkan aku perkara2 silam yang menyakitkan hati. Aku tidak mahu hidup dengan masa silam.

Tuesday, January 11, 2011

Aku Lupa!

Ada tengok tak Raja Lawak episod pertama Jumaat lepas? Ada satu sketsa yang agak menarik juga tentang subjek lupa. OK lah juga persembahannya. Tak le buat kelakar seram. Kredit kepada peserta tersebut (Nazmi dari Perak) kerana saya ingin meminjam tajuk entri yang sama berkenaan LUPA. 

Bila dah kena penyakit lupa ni memang la huru-hara hidup jadinya. Agak-agaknya apa yang menyebabkan kita lupa ya? Mungkin faktor usia dan juga pemakanan. Tak pun dek banyak sangat berkhayal benda yang bukan-bukan. Tapi lupa yang paling tak senonoh ialah lupa dunia. Padahal masih lagi duduk atas dunia. Lagi satu lupakan mati. Padahal setiap hari ada orang yang mati. Bersempena hari lupa sedunia yang akan diwujudkan tak lama lagi (acah aje!), marilah kita semak senario-senario lupa ini dari kalangan pelbagai jenis manusia mahupun haiwan. 
Lupa sang kekasih
1. "Lupa lak harijadi awek aku" (so cliche!).
2. "Lupa lak nama awek/boifren aku" (kes kekasihnya antarabangsa).
3. "Lupa lak aku ada date hari ni" (kes tengah pokai atau banyak kekasih gelap).
4. Lupa yang awek dia ada mak bapak (angkut ke sana ke mari tak payah balik-balik rumah dah).
Lupa sang suami
1. Lupa tarikh ulangtahun perkahwinan (memang dah delete dari ingatan ataupun memang tak pernah kisah pun).
2. Lupa nak belikan baju anak-anak (sebab tak pernah lupa nak belanja kawan-kawan dan berjoli katak).
3. Lupa nama anak-anak (dek kerana anak-anak dah boleh buat satu team bola, siap dengan pemain-pemain simpanan sekali).
4. Lupa nak balik rumah (sebab bini suka berleter - saja luputkan rumah dari ingatan).
Lupa sang isteri
1. Lupa lipstick baru dah beli ke belum untuk bulan ni (dek kerana beli lipstick macam beli lolipop).
2. Lupa ikan dalam peti ais tu beli pada bulan berapa (dek kerana asyik membelai diri sampai hari-hari terlupa nak masak).
3. Lupa nama anak-anak (dek kerana asyik menghafal nama-nama pelakon sinetron dan drama-drama Korea). 
4. Lupa dah makan ke belum (dek selalu sangat mengikat perut supaya langsing macam mak dara).
Lupa seorang boss
1. "Kan I dah bagi bonus tahun ni, tak ingat?" (buat-buat kelakar seram Niyang Rapik pulak di hujung-hujung tahun).
2. Lupa syarikat dia buat bisnes apa (dek kerana semua kerja dari A-Z semua harap orang lain uruskan, yang dia tukang peghabih je).
3. Lupa yang pekerja-pekerjanya 90% Indon dan Bangla (sebab semua pekerja2nya dah fasih berbahasa Melayu Riau-bukan bahasa Melayu kontot tau!).
4. Lupa ter'fire' kroni-kroni sendiri (dah kerjanya tukang peghabih je. Jumpa di tempat kerja pun jarang-jarang..tu yang dah tak berapa kenal tu).
Lupa seekor ayam daging betina
1. Lupa macamana rasanya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang (hakikatnya, memang tak pernah rasa pun).
2. Lupa asal-usul (makpak sendiri pun tak kenal, lahir-lahir je dah yatim piatu. Memang tak mungkin ada makpak pun).
3. Lupa tujuan dibela sampai gemuk (tauke ayam ketawa ngeh! ngeh! ngeh! bila si ayam bertanya).
4. Bila dah tau tujuan tauke ayam, lupa lak nak berdiet supaya kurus dan tak bermaya (tak boleh tahan bila tengok dedak ayam dah macam rasa popcorn KFC).

Apa-apapun, kisah-kisah lupa di atas hanya direka untuk hiburan semata-mata. Kalau ada persamaan dengan sesiapapun ianya hanya kebetulan sahaja atau buat-buat akal macam kebetulan. Begitupun, sebenarnya banyak lagi kisah-kisah lupa yang kelakar dan tragis. Kalau sudi kongsi-kongsikanlah bersama. Jangan lupa-lupa ye!

Mozar : Kalau lupa apa benda yang kita lupa, habis cerita. Nak cerita pun tak dapat sebab terlupa di mana kita mula-mula lupa tu. Tak dapek den nak nolong.


Bagi yang lupa tak dapat ditolong lagi dengarkanlah lagu ni. Harap-harap lagu sang juara ni dapat membantu. (Video klip asal terpaksa dibuang sebab Ana Raffali kini telah bertudung litup - Alhamdulillah, tahniah!)

Monday, January 10, 2011

Andai Kita Dipisah Lagu Dan Irama

Saya percaya ramai yang telah menonton Anugerah Juara Lagu ke 25 malam semalam. Seperti biasa, ada yang suka dan ada yang tidak suka akan keputusannya. Maka, bermula hari ini lebatlah kritikan dan kritikan balas dari segenap peminat2 lagu di Malaysia ini. Anugerah AJL ini merupakan salah satu dari pelbagai program2 berkonsepkan nyanyian di negara kita. Apa2pun, bukanlah tentang AJL yang ingin saya kisahkan dalam entri kali ini kerana berlambak blog2 lain yang sedang membicarakannya ketika ini. Apa yang nyata dilihat di sini ialah, lagu2 dan irama telah menjadi pengaruh yang amat besar dalam kehidupan manusia. Apa jadi kalau kita tidak mempunyai lagu2 dalam kehidupan kita? Tentu hidup begitu membosankan atau kerja2 pun tidak berjalan lancar bagi sesetengah orang.

Secara sengaja atau tidak sengaja manusia memang gemar atau secara semulajadi suka mempelbagaikan alunan dalam bahasa mahupun percakapan. Kalau tiada lagu2 dicipta sekalipun, manusia akan terus berlagu dengan cara2 yang tersendiri. Berbeza dengan haiwan2 yang hanya boleh berbunyi atau berkomunikasi dalam irama yang amat terhad sekali (monotone). Kita pun tidak tahu samada haiwan2 itu sedang berkomunikasi ataupun sedang bernyanyi2 riang. Bunyinya seakan2 sama sahaja setiap kali.

Menyanyi merupakan salah satu cara manusia melepaskan segala macam emosi tidak kira riang, sedih, rindu mahupun marah. Lagu2 yang kita gemar amat berkait rapat dengan emosi semasa. Yang tengah jiwang tu pasti memilih lagu2 yang cintan cintun. Yang frust2 tu pasti memilih lagu2 yang tangkap leleh. Yang memilih lagu2 Rock kapak pula berjiwa ganas le kot. Bila dah suka sesuatu lagu tu mulalah menyanyi bagai nak rak. Yang sedap tu sedap la, yang tak sedap tu, menyusahkan orang lain le pula. Yang perasan sedap pun tak kurang juga. Kadang2 dalam ujibakat nyanyian sesuatu program TV,pelik betul tengok orang2 yang perasan sedap tu bermati2an merasakan diri mereka layak. Bukan tak cermin diri sendiri tapi tak dengar suara sendiri langsung.

Bagi yang gemar menyanyi dan berkaraoke, di sini ada berita baik untuk anda. Saya postkan satu keratan ceramah Ustaz Mohd Kazim Elias tentang nyanyian ini. Dengar baik2 ye. Nak menyanyi boleh, tapi ada batas2nya yang perlu kita patuhi. Nanti tak le orang asyik pandang serong aje orang2 yang suka menyanyi ni. Hukumnya harus jika menepati segala terma dan syaratnya.

Mozar : Minat menyanyi sejak kecil lagi. Terapi yang terbaik untuk hidup riang dan gembira.

Suara Ustaz Kazim dalam video ni boleh tahan juga lemak merdunya

Thursday, January 6, 2011

Tentang Peluang Kedua

Wajarkah kita diberi peluang kedua dalam segala hal di atas dunia ini? Siapa yang tidak mahu, betul tak? Kehidupan kita ini penuh dengan perkara-perkara yang tidak disangka-sangka. Ujian demi ujian Allah s.w.t menghujani kita silih berganti selagi kita masih bernyawa. Dalam banyak perkara adakalanya kita menang dan adakalanya kita tewas. Andai kita tewas dalam melunaskan sesuatu ujian mahupun impian, tiada apa yang lebih indah daripada mendapat peluang kedua. Peluang kedua bagaikan mati hidup semula, bagai pohon layu disirami air, bagai danau kering dilimpahi selautan air. Tidak ada sesiapa yang sempurna di dalam dunia ini. Setiap insan pasti sekali pernah menghadapi kegagalan dalam hidup. Kata-kata dorongan supaya jangan berputus asa di atas kegagalan tidak akan bermakna andai tiada jalan untuk bangkit semula atau lebih enak disebut peluang kedua.

Kerana peluang kedualah yang hampa akan terus bangkit meneruskan perjuangan yang telah kandas. Peperiksaan contohnya, andai tiada peluang kedua maka buntulah jalan, lenyaplah cita-cita dan berkecailah harapan. Kepada yang punya kuasa atau autoriti di atas muka bumi ini, janganlah terlalu angkuh untuk tidak mengizinkan peluang kedua dalam perkara yang anda punya kuasa mutlak kerana anda juga pasti sekurang-kurangnya sekali dalam hidup memerlukan peluang kedua. 

Allah s.w.t sendiri begitu pengasih dan penyayang sehinggakan sebelum nyawa sampai di halkum sekalipun Dia masih memberi ruang dan peluang untuk hambanya bertaubat walaupun tidak terhingga Maha beratnya dosa silam hambanya. Bukan hanya peluang kedua, malah peluang yang infiniti diberikan olehNya. Manusia kerdil yang hati-hatinya dipegang oleh Allah s.w.t harus dan sepatutnya berjiwa murni dan berlapang dada untuk memberikan peluang kedua kepada insan-insan yang mendambakannya. Tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan di atas dunia ini dan tidak seharusnya ada jalan mati di dalam kehidupan ini melainkan hanya bila dijemput oleh Allah s.w.t.

Mozar : Warna-warna kehidupan di atas dunia ini adakalanya terlalu abstrak untuk dimengertikan. Andai peluang kedua masih kecundang, carilah haluan yang lain pula kerana anda mungkin berada di tempat yang salah.
Perlumbaan 100 m : Tiada banyak masa untuk membuat kebangkitan semula bila telah jauh ketinggalan. Peluang menang hanya sekali. Pemenang di tempat kedua hingga terakhir akan terus dilupakan orang.

Wednesday, January 5, 2011

Raya Yang Menaikkan Darah

Raya puasa ke Raya Haji? Dua2 bukan, tapi 'jalanraya'. Memandu di jalanraya2 di Malaysia ni memang boleh buat kita naik darah dan hangin satu badan. Memandu keluar aje dari perkarangan rumah di awal pagi, ada le pejalan2 kaki yang baru balik jogging, tak reti nak jalan tepi2 walaupun disediakan lorong pejalan kaki. Kita le terpaksa mengelakkan depa ni. Yang bermotosikal dan berbasikal pun tak kurang juga yang menunggang sampai makan 1/3 jalan. Kena le slow2 nak elak depa ni. Biasanya warga2 emas yang selalu bawa motor sampai ke tengah. Daya imbangan pun dah berkurangan kot. Boleh le dimaafkan.

Yang merempit pula satu hal juga. Alih2 ada aje yang mencelah dan 'menganyam' di celah2 kereta. Lagi sakit hati tengok. Dalam hati doakan yang tak baik2 aje kat depa ni. Mengganggu ketenteraman awam. Bunyi ekzos depa pun begitu menyucuk2 sanubari dan kotak kesabaran. Lalu pula di kawasan yang sesak dengan pejalan kaki, kadang2 yang menyeberang jalan tu macam dah tak ingat yang dia masih hidup. Dah le menyeberang terhegeh2. Muka macam tak bersalah dan buat2 tak tengok kereta. Yang control macho dan ayu pun ada juga. Kita juga terpaksa mengelakkan depa ni. Kadang2 tu dah ada jejantas malas nak panjat. Rela menyabung nyawa dari menyabung tenaga.

Memandu pula melintasi simpang2, sekali lagi suhu darah di tahap tertinggi. Keluar dari simpang secara pejam mata dan tutup telinga memang telah lama menjadi budaya terpuji rakyat negara kita. Kita le kena mengelak bagai nak gugur jantung. Yang masuk simpang tanpa signal pun dah jadi kebanggaan negara juga. Kita menunggu le macam orang bodoh ingat kot depa nak jalan straight. Lampu signal punya hal jangan cakap le. Kebanyakannya hanya sebagai aksesori tambahan, beli kereta dapat free atau hanya untuk mainan anak2 kecil depa aje. Anak2 tu lagi banyak menggunakannya daripada depa. Kalau dapat beli kereta tanpa lampu signal mungkin boleh dapat murah sikit kot. Dunia tanpa tamadun macam tulah.

Memandu pula di jalan2 yang agak sibuk, ada le pula mamat2 yang perasan yang samada dia dah bawa mengikut halaju yang betul atau tak perasan banyak kereta lain di belakangnya. Memandu bagai bersiar2 di kebun bunga. Menyirap betul darah bila peak hour orang nak cepat ke tempat kerja, ada pula mamat2 yang hanya mementingkan diri sendiri macam ni. Kadangkala selamba aje memandu di lorong laju. Nak kata lesen 'P' tak juga. Nak kata perempuan, lelaki. Nak kata sakit, tak pula macam sakit, muka nyombong lagi ada la. Orang macam ni memang tak layak hidup di kalangan manusia. Kalau di luar negara, memandu terlalu perlahan pun kena saman seperti memandu laju juga. Kat Malaysia ni nasib la tak ada.

Kalau yang slow sangat kita marah apatah lagi yang bawa kereta macam pelesit tercabut ekor. Perasan berada di litar lumba kot, ataupun nak menunjuk2. Sampai kat lampu isyarat kena berhenti juga. Dapat le juga kita tengok muka orang yang tak tau malu tu. Kenapa tak redah je terus lampu merah? Kadang2 terpaksa la bersangka baik yang orang tu ada emergency. Kalau perempuan yang bawa laju2 macam tu lagi le geram. Tak sesuai langsung.

Akhir sekali, ibu segala kemarahan di jalanraya jatuh kepada sikap pemandu2 lori dan bas yang jadi pembuli besar di jalanraya. Mentang2 besar, macam nak dirempuhnya segala orang. Malas nak cakap dah, semua dah sedia maklum. Cakap2 pun takkan mengubah apa2. Cukup le setakat ni dulu. Buat kena darah tinggi aje. Hari2 terpaksa menyumpah2 (walaupun Istighfar balik) kepada pengguna2 jalanraya yang tidak semenggah seperti yang dikisahkan tadi.

Walaubagaimanapun, tak semua pengguna jalanraya buruk perangainya. Masih ramai lagi 'law-abiding citizen' (warganegara patuh undang2) yang sentiasa berhati2 dan bertimbangrasa di jalanraya. Buat mereka ini, syabas diucapkan.

Mozar : Kalau aku seekor Sang Kelembai pasti ramai pengguna2 jalanraya yang akanku tegur lalu menjadi batu. Lady driver dan warga emas juga tak terkecuali dari menjadi batu kerana memandu dengan terhegeh2.

Saturday, January 1, 2011

Selamat Datang 2011!

Selamat tahun baharu diucapkan kepada semua pelawat2 sekelian. Semoga azam yang pernah ditanam di awal tahun 2010 telahpun terlaksana. Bagi yang mengalami peristiwa penting samada yang gembira ataupun yang duka pastinya tahun 2010 akan dikenang sampai bila2. Bagi setiap orang, permulaan tahun merupakan satu fresh start bagi segala2nya. Yang bersekolah atau belajar di IPT akan memulakan penggal atau semester baru. Yang bekerja, satu jadual yang padat bagi setahun akan menanti, hanya penghujung tahun memberikan kelegaan bagi mereka. Awal tahun juga menyaksikan pelbagai perbelanjaan yang terancang terpaksa disediakan, contohnya persekolahan dan pembelajaran anak2. Apa2pun, bagi yang telah menyediakan payung besar sebelum hujan pada tahun lepas, perbelanjaan2 sebegitu tidaklah begitu menggusarkan. Makanya, permulaan tahun ini adalah masanya untuk mula menyediakan payung2 yang baru pula bagi menghadapi hari2 tengkujuh tahun hadapan pula.

Akhir kata, semoga tahun 2011 ini kita akan terus dikurniakan kesihatan, kebahagiaan dan kemakmuran hidup yang terbaik bagi menghadapi hari2 yang mendatang. Selamat Tahun Baharu 2011 semua!

Mozar : Setiap detik berlalu membawa kita jauh dari detik kelahiran tetapi membawa kita semakin hampir kepada detik kematian.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...