Friday, April 22, 2011

Saya Mesti Kejam!

Apa kata kalau anda memicit, memijak dan menyepak seekor anak kucing atau arnab sampai mati atau setengah mati, lepas tu publish dalam Youtube macam yang ada orang pernah buat tu. Percayalah, dengan sekelip mata sahaja anda akan jadi terkenal seluruh dunia sambil diiringi cemuhan dan kutukan kaw kaw punya. Sanggup tak? Ala, bukan la nak suruh anda jadi sekejam manusia berhati haiwan buas tu. Tapi sekadar nak suruh anda berlaku kejam yang ala-ala manja aje. Jangan takut, takkan popularnya anda sampai ke Youtube pun atas kekejaman yang akan saya sarankan sebentar lagi.

Pertama sekali, anda perlu berlaku kejam terhadap diri anda sendiri dahulu. Maksudnya, jangan biarkan badan anda diternak dan dibelai manja terlebih-lebih sangat setiap hari. Maksudnya lagi, cuba tingkatkan usaha dan tingkatkan prestasi diri anda supaya anda muncul sebagai seorang yang 'baru' setiap hari. Sentiasa ada sesuatu yang 'surprise!!!' dari anda. Kejam sikit le kat diri tu supaya tidak asyik nak berehat, asyik nak mengulat atau asyik nak cari jalan mudah aje memanjang. Gerakkan sikit tulang temulang tu. Tegangkan siku tu! Kata orang tua-tua, orang yang malas itu ibarat 'tak lalu nak menegangkan siku', yang juga bermaksud malas tahap nak kasi straight lengan pun susah.

Kedua, kejam le sikit pada orang yang suka membuli, memperleceh atau memperbodoh-bodohkan anda jika anda tergolong dari kalangan yang lemah longlai dan gemalai. Bukan nak suruh tumbuk atau terajang balik pun. Kadang-kadang kesian juga tengok orang yang jadi mangsa keadaan sebegini. Dok 'menderita' aje tanpa berani nak membalas atau menunjuk perasaan. Kekejaman tahap yang paling minima yang boleh mangsa ini lakukan ialah dengan memboikot habis-habisan pemangsa-pemangsanya tadi. Buat la bodoh tahap cipan sedang menyorok ke, buat tak kisah ke, toye ke, bo layan ke atau seperti pembuli tu tiada kat situ ke. Akhirnya pemangsa pun akan naik fed up nak sakat. Kalau dilayan atau diberi apa-apa respon memang si pemangsa makin naik syok. Kalau sekiranya pula si mangsa tu tak melayan, si pemangsa pula mula naik kaki tangan, cepat-cepatlah pula belajar Taekwondo, Karate atau silat Kuntau untuk balas balik sikapnya yang keji itu. Oh! Kejamnya mangsa itu!!

Ketiga, anda layak berlaku kejam kepada si peminjam duit yang boros,  yang tak reti nak bajet gaji atau yang kaki botol, kaki judi atau kaki perempuan. Jangan tersirna langsung dengan pujuk rayu orang-orang yang macam ni. Kata-kata yang terbit dari bibir mereka ni mak aih! cair habis bila mendengarnya. Jangan sesekali anda jadi lilin, tapi jadilah batu belah batu bertangkup. Silap-silap 'ngap' aje orang yang macam tu. Kejam sikit kat orang macam ni. Bukan apa, di kemudian hari kita yang merana balik. Sakit hati bagai nak mencakar dada dengan kuku yang tajam. Si penghutang bebas mencari si pemiutang baru, sedangkan hutang-hutangnya yang lalu dikira lapuk dan langsai. Memang sakit hati dengan penghutang yang 'culas' macam ni. Nak diminta atau ditekan, dia pun habuk pun tarak. Itu pasal la along-along kena dari golongan yang hati perutnya telah dikeluarkan terlebih dahulu. Baru jumpa buku dengan ruas. Apapun, bukan nak suruh anda kejam seperti along pula, tapi tersangatlah kejamnya anda daripada apa jenis along sekalipun jika anda tidak bagi sesenpun kepada si peminjam tadi.

Keempat, anda perlu ada berperasaan kejam kepada budak-budak yang 'dikerah' mengutip derma bagi pertubuhan tertentu, ataupun menjual barangan bagi mengutip derma. Kes ini bagai ada satu sindiket yang mempergunakan kanak-kanak yang masih hingusan. Tempat mereka bukan di pasar-pasar atau di bank-bank. Mereka sepatutnya menghabiskan masa dengan didikan ilmu dunia dan akhirat di kelas-kelas. Anda perlu kejam sedikit dengan tidak menyokong untuk membeli barangan yang dijual oleh kanak-kanak ini. Jika terus-terusan pendapatan harian mereka lumayan, aktiviti ini akan terus berleluasa tanpa kekangan. Sebaliknya, jika anda simpati, anda boleh memberi duit poket kepada kanak-kanak ini yang tentunya lapar dan dahaga. Tapi dengarnya budak-budak yang tidak mencapai target pendapatan hariannya akan dibambu dan didera oleh pihak pengurusannya. Betul ke? Pihak berwajib perlulah turun padang terjah perkara ni supaya ianya tidak terus berleluasa.

Ini lagi satu episod, terpulanglah kepada anda samada nak kejam atau tidak. Perasan tak di merata-rata tempat yang ramai orang, ramai betul orang-orang yang minta derma nak buat masjid itu, masjid ini, sekolah tahfiz itu dan ini serta segala bagai lagi atas nama agama. Persoalannya, berapa banyak kutipan derma yang betul-betul untuk tujuan yang dinyatakan? Mungkin banyak sekali yang menipu. Ada tu, setelah bertahun-tahun, kutipan derma masih dibuat untuk masjid yang sama. Bila la nak siapnya agaknya. Kadang-kadang sangsi juga, sudahlah masjid yang hendak dibina itu di luar sempadan negara. Sudahnya buat-buat kejam, bulat dan tekadkan hati tak mahu bagi sesenpun. Yang jadi mangsanya kutipan yang betul dan asli. Kutipan derma tiruan (derma pun ada tiruan ke?) telah mencalit arang dan berbuat onar kepada yang betul-betul memerlukannya.

Kes seterusnya, kes pengemis palsu juga telah begitu berleluasa di merata bandar-bandar besar. Yang buat-buat buta, lumpuh atau capik pun berlambak. Kanak-kanak yang compang camping pakaiannya juga berlambak. Padahal ini semua sindiket. Tolong jangan bagi sedekah kat depa ni. Bagi anda yang bermurah hati dan berhati mulia tu eloklah salurkan sedekah anda ke tempat-tempat yang betul-betul memerlukannya. Kejam jangan tak kejam pada pengemis jalanan atau pengemis tempat makan ni. Anda hanya akan membantu memajukan lagi industri pengemisan ini (industri ke?).  Sakit hati tak kalau alih-alih pendapatan kemisan mereka lebih tinggi daripada pendapatan anda sendiri? Sakit hati tak bila alih-alih si buta simpan tongkat, simpan spek hitam lalu beredar menaiki teksi dengan selambanya? Sebelum anda sakit hati, baiklah anda tanamkan sikap kejam dan brutal dalam diri anda dengan tidak melayan si pengemis-pengemis yang datang menghurung bagaikan lalat itu.

Pendekata, penting tak sikap kejam tadi wahai kawan-kawan? tepuk dada tanya kejam. Orang yang memang semulajadi kejam sejak lahir tidaklah begitu relevan di dalam entri kali ini. Hanya orang-orang yang berada bagai di bawah lindungan Kaabah ataupun orang-orang yang selalu terpedaya, teraniaya atau tertindas sahaja yang patut menjadikan entri ini sebagai rujukan dan motivasi diri. OKlah panjang lebar dah ni rasanya. Kejam lak kalau kawan-kawan terpaksa membaca banyak-banyak. Dah le macam bagus je.

Mozar : Kadang-kadang pernah berlaku kejam pada diri sendiri apabila membiarkan diri terus nyenyak di subuh hari, subuh gajah pun tidak, subuh dynosaur pun tidak. Tak sedar apa balasan yang sedang menanti hasil perbuatan itu.

Antara dua orang ni yang mana lebih kejam? Yang berwajah bengis macam nak telan orang ke atau yang berwajah manis macam pakcik kantin? Try le tanya budak-budak kecik.

Monday, April 18, 2011

Dalam Hati Ada Taman

Seorang bouncer bisa melelehkan air mata? Seorang samseng dan kaki pukul sayangkan kucing? Seorang mat rempit menangis teresak-esak ditinggalkan kekasih? Seorang bermuka pecah kondo menangis bila menonton filem Hindustan? Sungguh-sungguh ironik. Inilah yang dinamakan dalam hati ada taman. Bagi orang-orang seperti ini, perwatakan mereka memang nampak keras dan brutal tetapi ada satu sudut yang lebih lembut di dalam hati-hati mereka, ala-ala ada taman bunga.

Pengalaman saya, pernah ada seorang guru/warden di sekolah dahulu yang mempunyai rupa dan perwatakan bengis, keras dan jarang-jarang tersenyum. Semua pelajar takut akan beliau bila bertembung, apatah lagi untuk bertentang mata. Namun, rupa-rupanya dalam bengis-bengis beliau, masih ada sisi halus di dalam dirinya. Contohnya, beliau memang gemar menyanyi pelbagai lagu, dari lagu-lagu rakyat hinggalah ke lagu-lagu yang cintan cintun. Seperkara lagi yang agak kelakar juga ialah pada suatu hari, dengan tidak semena-mena beliau boleh menangis di dalam satu perhimpunan apabila beliau agak stress dengan disiplin para pelajar. Memang semua pelajar terkejut badak pada masa itu. Keadaan dewan itu sunyi sepi. Beliau sempat mencurahkan rasa gundah hatinya yang lama terpendam terhadap pelajar-pelajar. Sekonyong-konyong dari peristiwa telenovela itu, guru itu tiba-tiba menjadi popular dan disukai ramai. Hinggakan apabila sahaja dia membuka mulut untuk berucap atau menyampaikan pesanan, pelajar-pelajar bersorak sorai dan memberikan tepukan yang panjang (nasib baik tiada standing ovation). Dah mengalahkan artis pula. Setelah mungkin agak rimas dengan kemahsyuran ataupun mahu meredakan perhatian para pelajar, beliau berbuat ala-ala watak bengis dan tidak berhati perut semula. Pelajar kembali kecutkan beliau. Walaubagaimanapun, beliau tetap ada taman di dalam hatinya dan nama beliau terus melekat di hati bekas-bekas pelajarnya oleh kerana sisi gelap dan sisi cerah beliau itu.

Ingat lagikah anda kepada bekas Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush? Siapa yang tidak ingat dengan seorang yang tidak berhati perut dan tidak berperikemanusiaan. 'Jasa' terbesar yang pernah dilakukannya kepada dunia ialah menyerang Iraq dan menamatkan riwayat Presiden Saddam Hussein. Namun demikian, beliau masih dikenang sehingga kini di atas sifatnya yang kejam itu dan juga sisi halus mulusnya ala-ala 'dalam hati ada taman'. Tapi, jangan silap, bukannya taman bunga, tapi taman haiwan ataupun taman permainan kanak-kanak. Apa tidaknya, dia terkenal dengan mengeluarkan banyak kenyataan-kenyataan bodoh dan lucu sepanjang pemerintahannya. Perlakuannya juga adakalanya ala-ala Mr. Bean. Sebagai contoh, membaca buku kanak-kanak dengan berkeadaan terbalik, meneropong dengan penutupnya masih tertutup dan banyak lagi quote-quote yang bodoh yang dikeluarkannya.

Kesimpulannya, walau apa pun watak kita, hati mau baik beb! Tanpa hati yang baik, siapa pun tidak ingin berkawan dengan kita. Sebaliknya, ramai yang akan mendoakan kejatuhan dan kemusnahan kita. Percayalah, sisi cerah dan halus dalam diri seseorang itu boleh membuatkan orang yang selama ini panas hati dengannya, sejuk hati semula. Kalau boleh, letakkan 'taman-taman syurga' di hati-hati kita semua. Baharulah hidup akan lebih bererti di dunia dan di akhirat. Baharulah terbitnya kasih sayang dan saling menghormati sesama insan seagama dan semasyarakat, mahupun senegara. Sengketa tiada, berukun damai lalu hidup seperti berada di taman-taman syurga.

Mozar : Kalau dalam hati ada taman bunga sampaikan asyik jadi Mat Bunga atau Minah Bunga tak guna juga. Asyik mabuk nak bercinta aje kerjanya, tak ada kerja lain. Sudahnya kite bakor je!

"Wei la, aku nampak dah! Saddam tengah dok melaram ngan spek hitam, berjubah hitam, dok atas batu hitam dan di dalam gua yang gelap gelita. Amboi-amboi, jaga hang Saddam! Sapa-sapa yang tak nampak ni pendek umur!"- kebodohan terlampau seorang Presiden?

Monday, April 11, 2011

Bila Hidup Penuh Kepalsuan

Baru-baru ini kita telah dihebohkan dengan kes telur ayam palsu yang berasal dari Tanah Besar China. Telur-telur itu dihasilkan dari bahan-bahan kimia yang meniru sebaik mungkin rupa asal telur. Sebelum ini kecoh dengan kes susu Formula Bayi yang palsu sehingga menyebabkan kematian bayi-bayi, juga di China. Kes yang sungguh tragis.  Kemudian kes susu yang dicampur Melamine. Jika dulu, kita hanya sering mendengar kes-kes wang palsu, tetapi kini kepalsuan telah menjalar ke perkara-perkara yang bukan wang ringgit. Maka tidaklah nampak jelas sangat seperti memalsukan wang ringgit yang asyik terkantoi sahaja. Terbaharu di negara kita, kes minyak masak dalam peket yang dicampurkan dengan minyak yang terpakai lalu dipek dan dijual semula. Minyak-minyak terpakai dibeli dari serata restoran dan premis makanan, tidak kira dari premis Islam atau bukan Islam. Halal haramnya ditolak ketepi ataupun tidak betah diambil tahu pun. Akhirnya pengguna juga merasai kesannya. Mujurlah si pemalsu juga seorang pengguna. 'What goes around comes around', kata pepatah Inggeris. Suatu hari si pemalsu juga besar kemungkinan terpaksa menagih simpati atau menyambung hidup dengan barangan-barangan palsu, setidak-tidaknya gigi palsu. Masa itu baharu tahu betapa seksanya terpaksa bergantung kepada peralatan palsu.

Nampaknya, satu demi satu barang-barang telah dipalsukan oleh manusia. Identiti juga boleh dipalsukan oleh manusia. Entah apa lagilah barangan lain yang telah dipalsukan sejak sekian lama tetapi masih tidak diketahui dunia.  Pemalsuan sebegini sedang dan akan terus berlaku demi keuntungan yang berlipat kali ganda. Ini kerja-kerja manusia yang tidak beretika dan hanya mementingkan diri sendiri. Walaubagaimanapun, tidak semua benda-benda palsu ini jahat dan tidak beretika.  Anggota-anggota badan palsu, gigi palsu, rambut palsu (ada baik, ada jahat), kanta mata palsu, jantung palsu dan sebagainya adalah benda-benda palsu yang luhur sifatnya.  Itu semua adalah kepalsuan yang amat diraikan di atas jasanya yang amat besar kepada manusia sejagat. Sedang di satu pihak giat mencipta kepalsuan yang bermanfaat, satu pihak lain pula tidak puas-puas mencipta kepalsuan yang membinasakan.  Mengapa tidak kepandaian di bidang peniruan dan penciptaan ini disalurkan ke arah benda-benda yang membantu menyambung nyawa atau setidak-tidaknya memberikan kegembiraan gantian di atas kehilangan pancaindera bagi insan-insan yang tidak bernasib baik, contohnya. Tidak putus-putus pahala yang akan diterima bilamana ilmu yang diperturunkan itu dimanfaatkan oleh segenap manusia.

Kepalsuan ada di mana-mana. Semudah-mudah membuat kepalsuan ialah mencipta janji-janji palsu. Tanpa perlu berusaha sedikitpun, janji palsu dengan mudah sahaja boleh dilafazkan. Si pendengar janji palsu diberikan harapan palsu yang akhirnya akan merobek jiwa raga mereka apabila janji hanya tinggal janji. Janji palsu dengan manusia belum tentu dibalas oleh manusia, tetapi berjanji palsu dengan Allah s.w.t, balasan yang setimpal akan diberikan olehNya dengan tujuan kafarah. Manusia juga biasa bermain dengan cinta palsu. Demi harta benda dan kemewahan, manusia sanggup berpura-pura mencintai pasangan yang kaya raya. Habis madu sepah dibuang. Masuk pintu depan, keluar pintu belakang. Semuanya demi kesenangan berlipat kali ganda yang juga bisa didapati dengan sekelip mata.

Manusia dengan kepalsuan memang tidak boleh dipisahkan. Kadangkala dikira 'tipu sunat', demi kebaikan pihak-pihak lain, kadangkala sememangnya ia menjadi kegemaran semulajadi. Siapa yang tidak pernah menyimpan VCD atau DVD palsu? Siapa yang tidak pernah memalsukan kerja rumah atau tugasan? Siapa yang tidak pernah memalsukan tandatangan? Siapa yang tidak pernah memalsukan emosi atau riak muka dan paling kurang siapakah yang tidak pernah memalsukan tidur? Namun, seandainya pemalsuan-pemalsuan yang pernah kita lakukan di masa lampau telah mendatangkan keburukan pada diri sendiri atau orang lain, bertaubatlah dan bertaqwalah kepada Allah s.w.t. kerana Allah s.w.t sentiasa menerima taubat hamba-hambanya.

Mozar : Pemalsuan barangan yang bersifat jahat kebanyakannya hanya indah pada rupa tetapi aspek keselamatan dan kualiti ditolak tepi. Berhati-hatilah dengan yang palsu.

Hi, saya pun ada mata palsu. Banyak pulak tu!

Tuesday, April 5, 2011

Apa Yang Membosankan Bila BerFacebook

Masa kini, kalau seseorang itu tak ada Facebook atau Twitter dia boleh dikatakan kolot, ketinggalan zaman atau anti sosial. Maka, malu-malu alah kita pun mulalah berFacebook. Dulu ada MySpace dan Friendster tapi langsung tak minat nak layan. Alih-alih muncul pula Facebook yang meletup-letup popularitinya. Bila sana sini orang berFacebook rasa tak cool pula kalau kita tak ada. Mula-mula memang excited nak cari kawan-kawan seramai mungkin, habis semua kawan-kawan lama dijejaki. Sebelum ni ada juga kawan-kawan yang invite ke Facebook melalui email, tapi malas nak layan. Masa tu, bila sana sini orang asyik bercakap pasal Facebook kita hanya boleh 'menganga' aje. Zaman la ni, dari budak-budak hingusan hinggalah ke tok nenek pun dah ada Facebook. Yang tak reti IT pun gagahkan diri belajar, demi Facebook.

Malangnya, dengan berFacebook ni mula-mula aje teruja. Lama-lama naik bosan dan menyampah pun ada. Antara sebab-sebabnya marilah kita tengok satu persatu seperti berikut ini :-

1) Kawan-kawan yang diADD mula-mula aje aktif berFacebook, lepas tu senyap dan hilang entah ke mana tanpa update Status dan tanpa mencelah dalam sebarang Comment. Alih-alih akaun Facebook dia pun dah tak aktif lagi.

2) Bila dicetuskan sesuatu Status minta pendapat kawan-kawan, ada la sorang dua aje yang nak respon. Yang ramai-ramai lagi tak reti-reti nak melontarkan pendapat dan buah fikiran. Friends aje ramai, tapi semuanya rakan senyap. Mungkin la sibuk kot. Hanya yang tak selalu busy macam kita ni je yang banyak masa nak berFacebook. Habis tu, kenapa yang gagah nak buka akaun kalau hanya jadi pembaca semata-mata? Mungkin juga kita ni tak popular kot. Ada orang yang popular tu, kadang-kadang tulis Status sepatah dua seperti contoh, 'nasi ayam', 'boring', 'KLCC' pun dah berebut-rebut kawan-kawan dia bagi komen. Tak faham betul. Yang tukang-tukang komen tu pun tak ada kerja lain kot. Kadang tu ada juga orang yang jumpa lipas dalam almari pun nak update Status. Kelakar menyampah pula membacanya. Buat menyesakkan laman Home aje. Tapi ada juga yang berminat nak menyampuk tu.

3) Ada pemilik akaun yang tak berapa nak aktif tu kita wish dia Happy Birthday pun dia buat tak tau je. Tak reti-reti nak jawab atau berterima kasih balik. Ataupun sebab dia tak buka Facebook berbulan-bulan lamanya kot. Sudahnya malas nak wish kawan2 yang tak berapa rapat. Buang idea aje nak memikirkan wishes yang lain dari yang lain selain dari simple wish seperti 'Happy Birthday' yang klise dan kitar semula.

4) Bila anda 'Like' sesuatu portal, 'Oh Media' contohnya, sakit hati membaca komen-komen yang mengutuk dan mencarut yang langsung tidak membina minda. Lagi satu paling benci bila ada yang tulis '1st', kononnya dia pengkomen pertama. Kepada yang berkenaan tu, tolonglah 'get a life' sikit. Kalau tak reti nak komen apa-apa silalah jadi pembaca aje. Komen-komen dalam blog-blog pun apa kurangnya. Ada aje makhluk yang menulis '1st'.

5) Tak ada tempat nak klik 'Unlike' bagi benda-benda yang kita tak suka. Kadang-kadang ada berita kemalangan pun ada orang klik 'Like'. Tak tahulah apa maksud diaorang yang sebenar. Mungkin kerana sukakan liputan cerita tersebut ataupun mungkin ada yang nak 'padan mukakan' orang-orang yang terlibat dalam kemalangan itu. Mungkin juga ada yang malas nak Share atau Comment, maka dia akan Like saja supaya kengkawan lain boleh baca sama.

6) Ada pula kawan-kawan yang main pelbagai Games dalam Facebook. Benda ni lagi la menyemakkan Home. Kita sendiri tak berapa nak minat main apa-apa game pun. Yang buat semak tu ialah bila contohnya, keluar status yang game dia dah capai tahap itu dan ini. Yang habis 'energy' minta tolong dari kawan-kawan pun ada. Pendekata, bermacam-macam status update lagilah. Bagi mereka yang dah minat tu nak buat macamana. Nasib baik status-status game itu boleh di 'Hide' dari muncul dalam Home.

7) Part yang kita tak suka juga ialah bila terADD kawan-kawan yang berniat bisnes. Asyik-asyik nak promote dia punya bisnes. Kadang-kadang tu dia sengaja menyampuk buat-buat macam mengomen. Alih-alih ayat-ayat yang seterusnya tiba-tiba aje dia kaitkan dengan dia punya bisnes. Biasanya yang jual insuran yang buat kerja macam ni. Bosan-bosan kita delete aje kawan-kawan pengiklan tu.

8) Terakhir sekali, paling tak boleh terima ialah membaca status-status dan komen-komen yang menggunakan bahasa-bahasa seperti makhluk asing yang kontot-kontot ejaannya. Malas nak layan ayat-ayat macam tu, tak berapa nak faham. Remaja-remaja la yang biasanya menggunakan perkataan-perkataan jimat huruf ni (huruf-huruf keyboard diaorang ada jangkahayat sampai beberapa kali klik aje kot, tu yang jimat-jimat tu). Sebenarnya diaorang ni pemalas tahap gaban. Nak taip panjang sikit pun malas. Kadang tu sebab nak conform dengan orang lain - malu dan takut kalau tak ikut trend masakini dengan menulis ayat-ayat dengan lengkap dan skema. Sudahnya, bahasa pun jadi rosak dan rojak. Dah semacam terbit pelbagai ejaan-ejaan baru pulak. Selain dari masalah ejaan, para remaja yang mencarut 'toot' itu 'toot' ini pun dah jadi macam mainan, tak kira lelaki ataupun perempuan. Apa nak jadi remaja masakini. Berjaya betul Facebook merosakkan lagi akhlak dan budi bahasa depa.

Walau bosan macamana sekalipun, Facebook tetap dilayari juga sebab kadang-kadang tergerak juga untuk mencetuskan buah fikiran terhadap sesuatu post. Untuk menjadi Facebooker yang berjaya, pandai-pandailah pilih kawan-kawan yang betul, komen yang baik-baik dan membina serta 'Like' benda-benda yang berfaedah. Akan datang, bagi yang ada Facebook tapi tak aktif mungkin boleh pula diklasifikasikan sebagai anti sosial dalam bentuk yang baru (pendapat seorang kawan di dalam status Facebooknya).

Mozar : Rajin betul budak-budak sekarang, asyik mengadap buku aje dalam bilik. Padahal berFacebook (face the book)-mengadap buku le juga namanya tu.

Sempat lagi tu nak iklan barang
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...