Tuesday, May 24, 2011

Dalam Hati Ada Jamban

Siapa yang tak pernah masuk jamban sila angkat tangan! Hanya orang yang tak ada perut aje yang tak pernah masuk jamban. Takpun bayi-bayi yang masih pakai lampin. Bukan apa, entri kali ini nak menerjah kisah betapa busuknya hati dan mulut orang yang dalam hatinya ada jamban. Entri ini adalah 100% kontras daripada entri lepas yang bertajuk Dalam Hati Ada Taman.
Pengalaman saya sendiri, ada la seorang mamat setaman ni, dia ni memang sangat rajin bekerja dan sangat berbakat dalam pelbagai jenis kerja. Dari kerja-kerja memasak, bercucuk tanam hinggalah ke kerja-kerja pertukangan. Kerja-kerjanya memang tip top. Kalau kerja-kerja gotong royong dialah tekongnya. Dialah pengarah, dialah kuli, dialah segala-gala. Amalan pun boleh tahan, sembahyang tak tinggal, bacaannya boleh laa. Parti yang didokong pun parti yang berpaksikan Islam.
Akan tetapi.., ada sudut busuk di dalam hatinya yang membuatkan orang lain berbulu aje kat dia ni. Ada jamban di dalam hatinya. Mulutnya mengalahkan joyah-joyah ataupun minah-minah kepoh. Mulutnya tak ada lain dari nak melaser dan membisa orang. Mulutnya asyik mengeluarkan ayat-ayat yang busuk-busuk belaka. Serba tak kena jadinya orang yang bekerja bersama-sama dengan dia kalau ada gotong royong atau rewang. Semuanya salah di pandangan matanya. Cara dia aje yang betul. Kalau menegur baik-baik tu tak apalah juga. Ini tidak, rasa nak bernanah aje telinga mendengar bebelan dan laserannya. 

Orang lain pun ada cara tersendiri juga nak buat kerja, bukannya asyik nak kena ikut acuan dia aje. Nak dilawan, kita yang terpalit bau jambannya (ala-ala menyerang jamban yang dipangkah X dalam filem Ali Baba la pulak). Maka, diam aje la walau hati bagaikan kebab yang sedang berasap-asap. Diam adalah pintar. Kalau dilawan melarat-larat pulak. Lagipun dia la konon-kononnya orang harapan setaman. Konon-kononnya juga dia mengaku orang susah. Kalau orang susah, hati ‘kiut’ apa ada hal, ni dah le susah tapi buat-buat muka legend.
Mulutnya tak sudah-sudah mengeluarkan laser apabila sahaja berkesempatan. Asyik mencelah dan mencuri-curi peluang aje nak melaser orang. Ada aje modal dia nak memerli, menyindir atau memperkecilkan orang lain. Nak dikatakan Ultraman, perutnya boroi. Nak dikatakan X-Men, tak pulak dia melindungi matanya dengan spek supaya tak terpancar keluar laser. Nak dikata raksaksa di Jepun yang boleh mengeluarkan api dari mulut tu, mungkin ada sikit-sikit kot sebab perutnya seakan-akan sama. 

Bahagia gamaknya hidupnya dapat mengeluarkan laser-laser yang terpendam dan bergejolak di dalam perutnya. Tak pun dia ingat fardu Kifayah gamaknya dalam satu-satu masyarakat tu, perlu ada seorang yang berhati dan bermulut jamban, kalau tidak sekampung mendapat dosa. Gitu kalu, mengaji lulusan atas gunung atau busut mana-mana le tu. Kalau dari lahir-lahir dah bermulut laser memang susah le nak dikikis sifat tu. Bukannya dia kira siapa yang dilasernya. Orang-orang yang baik-baik ala-ala di bawah lindungan Kaabah pun habis dilasernya. Sedangkan apalah dosa orang-orang itu pada dia.
Berhati-hatilah semua bahawa kejahatan lidah manusia ni boleh mengheret seseorang itu ke neraka. Free-free aje dapat masuk, tak payah tempah pun. Seandainya si mamat ni dah bertaubat atau juga mungkin tidak berdaya lagi nak melaser satu hari nanti, entri ini akan saya singkirkan dengan senang hati, tanpa undi-undi masuk lagi. Sekiranya anda semua masih dapat membaca entri ini, maknanya si mamat mulut laser ni masih lagi mengganas di merata tempat. 

Buat si mamat yang makan cili ni, bawa-bawalah bertaubat. Cukup-cukuplah tu, sebelum lebih ramai lagi orang yang akan menjauhi dari bermasyarakat angkara mulut anda yang berbau jamban itu. Jangan sampai orang mendoakan yang buruk-buruk terhadap anda sudahlah. Andai mamat ni terbaca entri ini (baca ke??? Dia pun buta IT rasanya) insaflah dan kembali menjadi masyarakat yang berkasih sayang, berkasihan belas, hormat menghormati serta pandai menjaga hati orang lain. Berfikir sebelum bercakap! Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
Mozar : Kalau orang yang dalam hati asyik teringat kat jamban aje susah juga. Susah nak dibawa berjalan orang macam ni. Baru lepas satu dua tiang letrik dah nak kencing, nak berak atau nak muntah. kuikuikui.
"@#$@*% betul! Sapa la yang buang barang kemas tak tengok tempat ni. Menyusahkan orang betul" - Satu pekerjaan yang tak ramai yang sanggup buat. Hanya mampu dibuat oleh orang yang dalam hatinya ada jamban. Jangan sesekali hina depa ni, kalau tak, nak berak kat mana pun tak tau la.

Monday, May 23, 2011

Takziah & Alfatihah

Salam takziah kepada semua keluarga-keluarga 16 mangsa kejadian tanah runtuh di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa Sabtu lalu. Bacaan Alfatihah pula disedekahkan kepada semua yang telah kembali ke Rahmatullah, semoga kesemuanya mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah s.w.t. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Dalam berasa sedih dan pilu dengan perisitiwa ini, terpalit juga rasa syukur dan redha bahawa anak-anak ini sedang berada di tempat yang baik-baik dan sedang melakukan aktiviti yang baik-baik. Allah lebih mengasihi mereka. Setiap benda dan perkara yang ada di dunia ini hanyalah pinjaman semata-mata. Apabila Allah menarik semula pinjaman-pinjaman tersebut, mahu tidak mahu kita sebagai insan-insan kerdil di sisiNya harus meredhakannya.

Mozar : Segala apa jua pinjaman-pinjaman dari Allah s.w.t haruslah dijaga dan dipelihara sebaik-baiknya agar Allah pula memberikan segala ganjaran dan kebaikan sebagai balasannya.
Wajah-wajah suci anak-anak dan petugas di hari kejadian. Ada di antara mereka yang tinggal beberapa langkah sahaja lagi menuju syurga. (Foto dikongsi dari Facebook Amin Idris)

 

Monday, May 16, 2011

Terima Kasih Cikgu!

Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara, tema Hari Guru bagi tahun ini. Guru-guru adalah insan-insan mulia yang mendidik ke arah kebaikan dan kesempurnaan dalam hidup. Tidak kira guru apa pun, dari guru tadika, guru sekolah, ustazah, guru muzik, guru mengaji, guru silat, guru sekolah memandu hinggalah ke pensyarah dan professor semuanya adalah insan-insan berharga yang wajar sekali dihormati dan disanjungi. Elok benar kiranya ada satu hari istimewa seperti Hari Guru ini untuk meraikan guru-guru.

Janganlah pula ada teori mengatakan ada dakyah halus dan tersembunyi dalam menyambut Hari Guru sebagaimana yang terjadi pada Hari Ibu. Jika ada satu hari khas sebegini nampaknya guru-guru akan lebih dikenang dan dihormati. Adakalanya cikgu-cikgu yang garang dan bengis pun dihormati dan disayangi di hari yang istimewa ini. Tambah menyentuh lagi adanya persembahan-persembahan para pelajar terhadap guru-guru mereka yang kadangkala bisa menitiskan airmata keharuan guru-guru. Tidak ketinggalan juga ada permainan-permainan membabitkan antara guru dan pelajar. Bagi guru-guru yang favorite pula akan tidak cukup tangan menggendong hadiah-hadiah dari pelajar-pelajarnya. 

Bagi guru-guru yang telah mendapat banyak hadiah ini,'juri-juri awam' anda mungkin telah mengadili anda dari pelbagai sudut yang menarik. Bagi yang berhadiah ciput atau tiada langsung, fikir-fikirkanlah kembali 'kekurangan diri' dan 'apa yang terkurang'. Bangkitlah semula dengan penuh bermakna di masa hadapan. Saya melihat sendiri ada guru-guru yang memang tidak begitu disukai ramai, tiba-tiba sahaja menjadi popular. Ada sesuatu yang baru dilakukannya dalam mendidik pelajar. Namun, bukanlah populariti yang harus dicari, tetapi komitmen dan sifat 'dekat di hati' pelajar-pelajar adalah merupakan formula berkesan untuk disenangi mereka.

Di masa dulu-dulu (60-80 an), guru adalah suatu profesion yang amat dihormati. Kalau dulu, murid-murid cukup segan dan malu bila bertembung dengan guru-guru. Silap-silap menyorok atau melencong mencari jalan lain. Ibubapa juga begitu menyanjungi guru-guru. Zaman sekarang nampaknya keadaan di sekolah-sekolah telah menjadi begitu kucar-kacir. Tidak tahu akar umbi puncanya. Banyak sekali kes guru-guru yang tidak dihormati, diherdik malah dilawan atau dipukul. Masalah-masalah disiplin semakin membimbangkan. Institusi keluarga yang pincang juga mungkin salah satu penyumbang terbesar. Guru-guru pula yang terpaksa menggalas tugas keibubapaan. 

Sebaliknya, tidak semua guru mempunyai bakat keibubapaan yang baik. Mereka juga manusia seperti kita semua. Maaf cakap, tidak dinafikan ada juga guru yang mengajar dengan sambil lewa tanpa ada 'feel' atau rasa bertanggungjawab. Mungkin ada yang telah bosan, malas, atau ada juga yang takut akan perangai pelajar-pelajarnya sendiri. Kerjaya guru kini semakin mencabar saban hari dan saban tahun. Diburukkan pula dengan sikap ibubapa yang sering menyalahkan guru, menyerang guru, mengugut guru, semuanya atas sikap hendak memenangkan anak-anak sendiri, tanpa usul periksa.

Bukan calang-calang orang yang mampu menjadi guru terbaik yang dihormati dan disanjungi.  Kerja berhadapan dengan insan-insan yang masih 'kosong' fikirannya memang bukannya mudah. Banyak perkara dan benda-benda baru yang berebut-rebut ingin menerjah minda-minda mereka. Jika benda-benda hitam yang masuk dahulu, maka keluarnya juga hitam. Maka, menjadi tugas guru-gurulah untuk mengasak sebanyak mungkin unsur-unsur positif serta maklumat berguna ke dalam minda-minda mereka. 

Percayalah, walau sejauh manapun sesorang itu tersasar dalam hidup, pengajaran-pengajaran berguna yang pernah diterima olehnya semasa mindanya masih 'bertatih' di bangku sekolah dulu tetap akan terus terngiang-ngiang dan membawanya semula ke arah jalan yang benar. Tidak rugi guru-guru menyelitkan nasihat-nasihat atau panduan hidup dalam pembelajaran pelajar-pelajarnya sehari-hari. Ilmu-ilmu bermanfaat yang dicurahkan kepada anak-anak pelajar adalah bagaikan akaun pelaburan akhirat yang tidak akan pernah rugi.

Terima kasih kepada semua guru-guru yang pernah mendidik saya selama ini. Tanpa ilmu-ilmu dari guru-guru secara rela atau redha, suka atau tak suka, dipaksa atau terpaksa, kesemuanya telah menjadikan saya manusia. Adakalanya pernah rasa menyesal ada pelajaran-pelajaran yang diambil endah tak endah samada di sekolah atau di universiti. Bila tiba masanya ilmu yang berkaitan jadi berguna baharulah rasa menyesal itu datang. 

Terima kasih juga kepada semua guru-guru yang baik dan ramah, yang bersungguh-sungguh mengajar dan tak kurang juga yang bengis dan garang kerana di penghujung hari, kesemua ilmu-ilmu yang dikutip walau secara yang susah atau senang, secara disukai atau separuh hati kesemuanya berguna bila tiba masa dan tempatnya yang betul. Terima kasih juga kepada guru-guru yang mengajarkan ilmu-ilmu yang tidak saya minati, kerana tanpa guru-guru yang mengajarkannya belum tentu saya akan mencarinya sendiri dari buku-buku atau sumber rujukan yang lain.

Selamat Hari Guru kepada semua guru-guru di mana sahaja berada. Jasa bakti kalian hanya Allah s.w.t sahaja yang dapat membalasnya dengan setimpal.

Mozar : Guru yang paling baik, paling berkesan, paling garang dan paling ditakuti masih segar dalam ingatan sehingga kini. Guru yang senantiasa dalam ingatan pula ialah guru yang kini menjadi suri hidupku.

Sunday, May 8, 2011

Walaupun Kini Ibu Telah Tiada...

Selamat Hari Ibu buat semua ibu-ibu di seluruh dunia. Seorang ibu itu begitu istimewa kedudukannya di sisi agama dan juga sesebuah institusi keluarga. Tanpa ada seorang ibu, blog ini dan juga entri yang mengenang ibu ini tidak akan pernah wujud. Bertuah dan beruntunglah bagi kalian yang masih ada ibu dan di masa yang sama terus menabur bakti kepada ibu-ibu kalian. Bagi yang telah tiada ibu, kebajikan kalian di dunia ini terpadam sudah, cuma doa-doa kalian yang soleh solehah sahaja yang masih belum tertutup akaunnya.

Walaupun kini ibu telah lebih 2 tahun kembali ke Rahmatullah, aura ibu masih ada di mana-mana. Kasih sayangnya dikenang, pengorbanannya dikenang, garang tegasnya dalam mendidik juga dikenang. Di situlah tempat aku berkongsi rasa, berkongsi rahsia dan tempat mengadu hal. Tidak putus-putus ibu mendengar hal anak-anaknya, walaupun telah besar panjang, walau telah beranak pinak sekalipun. Ada hal yang indah, ada yang kelat dan pahit. Semuanya terpaksa ditelan ibu. Selagi ada hayat, ibu terus-terusan berkongsi masalah dan perasaan dengan anak-anak. Mungkin sudah sampai masanya untuk ibu berehat dari itu semua, maka Allah s.w.t memanggilnya dengan penuh terhormat. Tanpa banyak menyusahkan sesiapa. Itulah doa ibu yang tidak pernah ditinggalkannya setiap kali seusai solat-solatnya.

Walaupun ibu telah tiada, rumah peninggalan ibu masih tidak banyak terusik. Sentuhan tangan ibu masih terlihat di setiap sudut rumah. Ianya begitu nostalgik. Pokok-pokok bunga yang masih ada hasil tanaman ibu juga masih terus hidup subur walaupun tiada lagi tangan yang membelek dan membelainya setiap hari. Sesekali mengunjungi rumah ibu, nostalgia bersama ibu terus menggamit rasa. Perasaan yang pernah aku bayangkan sekiranya ibu tiada sewaktu hayat ibu masih ada memang jauh tersasar. Perasaan ketika ini lebih teruk lagi daripada yang dapat aku bayangkan. Sunyi dan sepi tanpa hilai tawa ibu yang suka berlawak, yang terkadang hingga terkekeh kekeh ketawanya. Juga tanpa suara ibu yang mengejutkan anak-anak untuk bersolat Subuh. Juga tiada suara ibu yang galak berbual ketika bersahur sedangkan anak-anak masih mamai dan pening-pening lalat menghadap hidangan.

Walaupun ibu telah tiada, masakan ibu yang hingga kini tiada tandingannya, tetap aku rindui. Rendang ayam dan juga kuih karipap ibu memang tidak terbanding. Setiap kali raya, ibu bertungkus lumus membuat rendang sekuali besar. Anak-anak, menantu-menantu sehinggalah ke cucu-cucu semuanya gemarkan rendang ibu. Resepi kasih sayang bercampur air tangan agaknya. Kuih karipap ibu juga the best in the world. Walau di mana-mana sahaja aku membeli karipap, walau daripada 'Hantu Karipap' sekalipun, aku akan terus-terusan hampa kerana rasanya jauh ke laut daripada hasil tangan ibu. 

Walaupun ibu telah tiada, legasi ibu yang minat bertanam tanaman masih aku teruskan. Jika ibu lebih berminat dengan tanaman bunga-bungaan, aku pula lebih berminat kepada tanaman makanan atau sayur-sayuran. Kata ibu, dia tak serasi menanam sayur-sayuran, asyik mati aje. Sebenarnya ibu memang sangat obses dengan bunga-bungaan. Pantang terjumpa yang ganjil sikit, yang masih tiada dalam koleksinya, cepat-cepat digapainya. Tapi elok juga ibu sukakan bunga-bungaan, rumah nampak lebih indah dan berseri berbanding dengan rumah yang langsung tiada bunga. Bunga-bunga yang tahan lasak masih terus hidup subur di laman rumah ibu walaupun kini tiada penjagaan.

Walaupun ibu telah tiada, jasa ibu dalam menurunkan ilmu-ilmu agama dan ilmu kehidupan masih utuh aku jadikan panduan dan amalan dalam hidup. Ilmu tajwid ajaran ibu membolehkan aku membaca Al-Quran dan Yassin dan menyedekahkannya kembali kepada ibu. Aku juga layak untuk mengimami solat berjemaah, apabila diperlukan. Sekurang-kurangnya bacaanku tidak jauh berbeza daripada yang ahli di dalam bacaan Al-Quran. Itulah amal jariah paling berharga yang sempat ibu titipkan buat anak-anaknya.

Walaupun ibu telah tiada, ayah, pasangan cinta ibu masih ada lagi. Malangnya, ayah tidak lagi mengingati ibu. Allah lebih tahu serta lebih menyayanginya. Bila ayah diketemukan dengan ibu nanti, tentu kasih dan cintanya adalah yang abadi selama-lamanya kerana tempat ibu terus kosong tidak digantikan sesiapa. 

Walaupun ibu telah tiada, aku tiada ibu lain lagi sebagai pengganti, kecuali ibu mertua dan ibu-ibu saudara. Aku dan kalian semua hanya ada seorang ibu. Ibu tiada galang gantinya seperti alat-alat ganti mesin atau kenderaan. Semasa seorang ibu sedang singgah dalam hidup kalian, perbuatlah yang terhabis baik untuknya kerana apabila dia dijemput pulang oleh Allah s.w.t, ibu tidak akan kembali lagi selagi hayat kalian masih ada. Selamat Hari Ibu bagi kalian yang masih bersama-sama ibu ketika ini manakala Al-Fatihah buat ibu saya, Khadijah bt. Hassan serta semua ibu-ibu yang telah meninggalkan kita.

Mozar : Kusangkakan Hari Ibu akan dapatku sambut untuk sekurang-kurangnya 10 tahun lagi bersama-sama ibu memandangkan dalam bulan-bulan terakhir sebelum ibu pergi, kesihatan ibu agak memberangsangkan. Bila terkena kencing manis di tahap kronik, ajal maut susah untuk diramalkan. Jagalah kesihatan anda dan juga ibu-ibu dan bapa-bapa anda sebelum terlambat.

Ada kesedihan yang tak terucap di wajah ibu ketika sedang terlantar kesakitan


Wednesday, May 4, 2011

Opocot Mak Kau Meletup!!

Eh, eh! melatah pulak dia. Pantang terkejut sikit dah melatah. Penyakit latah ini hakikatnya bukannya boleh dibuat-buat atau diolok-olok. Tak sangka dalam Wikipedia pun ada diterangkan definisi berkenaan 'latah' ni. Bahaya sebenarnya kalau kita mengusik orang yang latah sampai tahap hyper. Kalau disuruh apa pun dia akan buat termasuk menetak dan membalun orang. Dia dalam keadaan 'rayan' atau tak sedar apa-apa. Dia di bawah sedar. Sedar-sedar di bawahnya bergelimpangan orang yang mati ditetaknya. Kadangkala kain baju dia sendiri pun boleh bergelimpangan di sana-sini. 

Kesian sebenarnya tengok orang latah ni. Bila dah sedar balik dia akan rasa penat dan kadangkala malu. Orang yang gemar mengusik tu pun jaga-jaga sikit! Dah banyak dah kes orang selalu mengusik orang latah, lambat laun dia pula akan jadi latah juga. Memang seronok mengusik orang latah ni. Macam-macam cara kreatif boleh dibuat untuk mengejutkan orang tu supaya dia terlatah. Asal terkejut je dia melatah, asal melatah je dia mencarut. 

Satu lagi kategori latah ini ialah 'melatah' yang berlaku di atas sedar, yang kadang-kadang saja ikut-ikutkan perasaan. Boleh tahan tapi taknak aje. Asal kena marah dia melatah. Asal kena kritik dia melatah. Asal kena tegur dia melatah. Melatahnya boleh jadi dalam bentuk gabra, gelabah dan tak tentu hala. Boleh jadi juga dalam bentuk mengamuk dan melenting tak ingat dunia. Semuanya bergantung kepada tahap keegoan diri pelatah itu masing-masing. Yang penakut dan lurus-lurus bendul akan jadi gabra tak tentu arah bila dimarah dan dikritik manakala yang besar kepala akan melenting dan menghentam balas. Melatah kategori-kategori yang ini susah juga nak dihentikan. Lepas habis latah, si lurus bendul akan rasa lega dan penat. Si keras kepala pula akan rasa puas dapat memarahi balik di samping menyimpan dendam kesumat.

Melatah kategori kedua tadi boleh aje nak ditahan atau dikekang kalau kita ada seni melawan gelora. Sebagai contoh, kadangkala ada la si mulut laser tiba-tiba aje menyindir atau melaser kita dengan tak semena-mena. Cuba diam atau Pause sekejap. Jangan cepat melatah. Kalau dijawab terus dan serta merta mungkin boleh jadi perang besar sampai naik kaki tangan ataupun boleh juga jadi sebaliknya, laser yang kita balas balik tak cukup 'power'. Fikir dulu sebelum bertindak. Selepas fasa Pause tu berakhir baru le kita bertindak. Fikirkan ayat-ayat yang paling menusuk qalbu buat si pelaser tadi sampai dia terkedu tak boleh nak kata apa-apa lagi. Ayat-ayatnya boleh jadi dalam bentuk tarbiah agama ataupun sesuatu yang tepat kena dengan batang hidungnya. Kalau sampai dia menangis-nangis lagi baik. Biar dia insaf.

Satu lagi tindakan selepas fasa Pause tu tadi ialah diam aje jangan melawan atau menjawab balik. Jangan melatah langsung. Buat bodoh aje walaupun anda sebenarnya seorang bijak pandai. Anggap aje dalam hati yang si pelaser tadi sewel atau meroyan dan memang sifat semulajadinya sejak bayi lagi. Dalam masih berkuek-kuek lagi dia dah melaser mak bapak dia, cuma mak bapak dia aje yang tak faham. Kalau faham dah lama mak dia kata "dari kecik taknak m****s, dah besar menyusahkan orang."

Kesimpulannya, dalam apa jua lokasi dan situasi janganlah cepat melatah atau tak payah melatah pun melainkan anda benar-benar latah. Dah latah bawah sedar tu nak buat macamana, orang pula asyik gemar nak mengusik lagi dan lagi. Makin lama semakin teruklah latahnya. Bagi yang latah ikut perasaan tu ingat-ingatlah bahawa anda 'tak hidup dipuji, tak mati dikeji'. Kena marah, kritik, laser, bambu semuanya adalah asam garam hidup. Tepuk dada tanya iman, jangan tepuk belakang orang latah dah le!

Mozar : Sekecil-kecil latah ialah menyebut "mak kau!" atau mencarut satu atau dua perkataan. Sebesar-besar latah ialah menyebut segala-gala perbendaharaan carut-marut yang ada di dalam kepala.

Mampukah seorang minah latah merealisasikan aksi yang mendebarkan sebegini?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...