Monday, June 20, 2011

Minggu Yang Sukar

Minggu yang lepas adalah satu minggu yang sangat sukar untuk diharungi. Tanggal 13 Jun saya telah kehilangan seorang kawan setaman perumahan yang boleh dikatakan akrab. Tanggal 16 Jun pula saya telah kehilangan bapa mertua. Kedua-duanya kes yang mengejut, tanpa sakit-sakit yang lama. Kawan tersebut kembali ke Rahmatullah di usia 47 manakala bapa mertua di usia 71. Kawan tersebut meninggalkan seorang balu dan 4 orang anak yang masih lagi mentah-mentah. Bapa mertua pula meninggalkan ibu mertua, anak, menantu serta cucu. Innalillahiwainnailaihirojiun.

Allah menjadikan kematian bukan bertujuan membebankan kehidupan orang-orang yang ditinggalkan. Allah mempunyai perancanganNya sendiri. Setiap jiwa pasti akan merasai mati, cuma masa dan ketikanya sahaja yang tidak diketahui. Setiap saat dan ketika mahu tidak mahu kita terpaksa bersedia ke arah itu. Bagi kita yang masih hidup, kematian demi kematian yang disaksikan adalah berupa peringatan agar kita lebih menghargai kehidupan, menghargai kesihatan, menghargai sesiapa jua di sekeliling kita serta juga menghargai segala nikmat-nikmat Allah yang telah kita kecapi selama ini. 

Bagi pembaca yang budiman, kiranya ingin menambah bekalan kepada arwah-arwah, tujukanlah sedekah kalian kepada Abu Sepian b. Umi Kalsum (bapa mertua) dan Megat Jamshid b. Zaharah (kawan). Alfatihah.

Tidak ketinggalan, Selamat Hari Bapa bagi bapa saya dan juga anda yang masih mempunyai bapa. Bagi yang telah kehilangan bapa sedekahkan Alfatihah buat bekalan mereka di alam Baqa sana.

Mozar : Tidak ada enaknya kehidupan dunia ini kerana intinya berisi ingatan akan usia tua dan mati (Syair Arab).

Tuesday, June 7, 2011

Hidup Perlu Ada Nilai Tambah

Perkataan 'nilai tambah' ini dalam bahasa Inggerisnya disebut sebagai 'added value'. Ertinya sesuatu benda baik yang kita ada yang lebih dari kebiasaan atau lebih dari orang kebanyakan. Hidup kita amat perlukan nilai tambah ini. Jika tidak, kita akan jadi seorang yang sangat statik, lembab, tidak produktif atau membosankan. Seperti contohnya, sebuah kereta keluaran terbaharu, sudah ada sekurang-kurangnya 'air bag' ataupun kamera pandang belakang berserta skrin LCD. Itulah nilai tambah namanya kerana ianya tidak terdapat di kebanyakan kereta-kereta lain.

Nilai tambah pada diri boleh merupakan nilai dalam sifat-sifat fizikal mahupun mental, atau lebih penting lagi dari segi nilai kemahiran diri yang pelbagai. Sesuatu organisasi yang bergerak pantas dan maju amat mendambakan kakitangan-kakitangannya yang mempunyai nilai tambah yang dinamik. Setiap masa ada sahaja pengetahuan atau skil terbaharu yang dipersembahkan oleh mereka. Bagi industri yang tidak berdaya maju, cukuplah dengan hanya menggaji pekerja-pekerja yang hanya tahu membuat kerja-kerja rutin tanpa bantahan atau improvisasi. Cukup masa masuk kerja, makan, rehat dan balik yang diulang-ulang saban hari dan tahun. Hasil atau outputnya maintain di takuk yang sama, hanya cukup makan, asalkan tak menanggung kerugian.

Seseorang itu boleh juga menambah nilai dirinya dari segi rupa atau penampilan diri. Bukankah semua industri atau pekerjaan mengalu-alukan rupa yang cantik dan menawan? Sebut sahaja apa jenis kerja. Tiada halangan untuk wajah-wajah atau rupa yang menarik yang mewarnainya. Kebersihan rupadiri akan menambahkan lagi ketrampilan serta berpotensi sekali menggamit kepercayaan pelanggan. Kerja buruh kasar sekalipun, tidak salah jika penampilan pekerjanya menarik. Cuma yang salahnya jika kerja-kerja diabaikan demi menjaga kecantikan diri. Dah asyik nak touch up bedak pantang bergerak sikit pun sakit juga. Kalau kerja model atau pelakon bolehlah buat macam tu. Oleh itu bagi yang biasa comot berlemuih tu usahakanlah agar anda lebih nampak bersih dan berketrampilan, sekurang-kurangnya tidak berbau hangit atau hapak.

Satu cara lagi dalam menambah nilai diri ialah dengan membekalkan ilmu pengetahuan yang penuh di dada. Ilmu boleh membawa seseorang itu ke mana sahaja, walaupun ke Marikh. Tanpa ilmu pengetahuan seseorang itu akan begitu rendah nilainya. Senang diperkotak katikkan serta dipermain-mainkan. Perlu diingat bahawa apa yang tidak kita ketahui boleh melukakan kita. Jika anda tiada ilmu, nak ditolak ke tengah tak boleh, gayat. Ditolak ke tepi pun tak boleh, jatuh. Habis apa yang anda tahu buat? Lama kelamaan anda hanya akan menjadi seperti melukut di tepi gantang, ada tak menambah, tak ada pun tak mengurang. Kerjanya mengabihkan 'boreh' aje.

Namun, perlu diingat pula, ilmu sahaja tanpa praktikalnya tak berguna juga. Cakap berdegar-degar tapi bila nak realisasikan 'fail'. Kenalah juga ada skil. Kemahiran perkomputeran, contohnya, tak datang dengan hanya membaca teori sampai khatam, tanpa memetik walau satu huruf pun pada keyboard. Seseorang kerani di zaman kini tidak lagi hanya perlu pandai menaip itu dan ini. Dia perlu belajar lebih banyak ilmu-ilmu perkomputeran seperti Word Processing, Presentation Tools dan banyak lagi. Kalau tidak, dia hanya mampu digelar 'kerani cabuk' aje. Suruh pakai Excel atau Powerpoint pun dah gelabah puyuh. Dulu-dulu bolehlah. Dulu ada jawatan khas sebagai typist atau jurutaip. Rasa-rasanya jawatan tu dah pupus dah kot sekarang ni ataupun telah menjadi lebih advanced sehingga tidak layak digelar typist lagi. Berbekalkan ribbon dan kertas karbon, typist dulu-dulu hanya menaip apa sahaja yang diberikan kepada mereka tanpa banyak soal. Sekarang bila dah ada komputer dan printer nampaknya kerja-kerja menaip jadi lebih mudah, tak le terperosok jari di celah-celah keyboard typewriter atau bengkak jari-jari bagi yang tidak mahir menggunakannya. Agaknya kursus-kursus jurutaip pun dah tak ada dah masakini. Tak taulah kalau tak perasan.

Walaubagaimanapun, sebagai amaran, jangan sesekali anda mewujudkan nilai tambah yang bersifat jahat. Jangan sesekali memenuhkan dada dengan ilmu hitam nan gelap. Jangan mengada-ngada nak mengubah rupa dengan menambah tanduk kat kepala ke, kulit cantik-cantik tambah tattoo ke, atau botox muka sampaikan kala bersedih pun seakan tersenyum atau juga menyumbat silikon pada aset terpenting. Kalau ya pun kurang rupa bawa-bawalah tonjolkan kelebihan di sudut yang lain pula. Itu semuanya bukan menambah nilai tapi menambah hampeh. Dari segi kelaku pula jangan le nak mempertajamkan lidah yang sedia tumpul atau nak memperkeraskan kepala sampaikan laga dengan buah kelapa, boleh pecah kelapa. Itu hanya menambah benci orang pada kita.

Seluhur-luhur penambahan nilai adalah dalam menambah nilai agama dan keimanan dalam diri. Kalau biasa tak sembahyang, sembahyanglah banyak-banyak sampai hitam dan lekuk dahi. Kalau tak reti mengaji, belajarlah sampai boleh jadi imam Tarawih sekurang-kurangnya. Tak le bertolak-tolak kalau disuruh jadi imam. Kalau selama ni rajin melepak di kelab-kelab dan pusat-pusat hiburan, belajar-belajarlah beriktikaf di masjid-masjid atau surau-surau. Kalau selama ni tak menutup aurat, janganlah sayang-sayang nak tutup habis tempat yang wajib ditutup. Kalau kuat mengumpat atau bergosip bawa-bawalah banyak membaca, ada juga faedahnya, cuma jangan baca majalah yang macam nama buah tu dahlah. Ini semua adalah nilai tambah yang sangat disukai oleh Maha Pencipta kita, Allah s.w.t. 

Akhir sekali, jika hendak seribu daya, jika tak hendak seribu dalih. Keputusan di tangan anda samada untuk menambah nilai kebaikan dalam diri atau sebaliknya. Proses pembelajaran tidak akan pernah berhenti sejak kita dilahirkan lagi. Ilmu juga tidak hanya datangnya dari seorang yang berkot, bertali leher, berPhD berjela-jela atau juga dari seorang yang berserban sebesar bakul, janggut sampai ke pusat dan berzikir dengan buah kelapa. Ilmu boleh datang walaupun dari sekecil bayi yang berusia beberapa hari. Gedung ilmu tanpa batasan pula datangnya dari Internet. Kita hanya perlu cari dan gali ilmu-ilmu yang bermanfaat daripadanya. Kalau emas yang kita gali, kayalah kita, kalau tahi yang kita gali, papalah kita.

Mozar : Saban minggu dan bulan terpaksa menambah nilai perkhidmatan telefon prabayar tetapi nilai perkhidmatan yang diterima masih tidak begitu memuaskan.

Siapa nak tambah nasi? Laju je angkat tangan. "Sorong papan tarik papan, buah keranji dalam perahu. Suruh makan dia makan, suruh mengaji dia tak mahu."

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...