Tuesday, November 29, 2011

Ayat-Ayat Orang Nak Mematikan Sembang

Kalau entri sebelum ini adalah mengenai Ayat-Ayat Orang Yang Tak Ada Modal Nak Sembang, kali ini mari kita semak pula ayat-ayat atau cara-cara orang nak mematikan sembang. Dah dapat modal bersembang dah 'terlebih sudah' pula. Ini masalah juga. Pernah jadi tak di mana anda terbersembang dengan si mulut murai, si bertih jagung, si mulut tempayan ataupun lebih dahsyat lagi yang suka 'mengebom' (sembang mengarut-ngarut dan merapu-rapu). Kalau dilayan, sampai lembu balik kandang dan seterusnya ayam berkokok semula pun tak habis-habis lagi cerita. Tak dilayan tak sampai di hati, nak dilayan pula kita yang bernanah telinga, fikiran pula melayang entah ke mana-mana.

Siapa yang tak pernah hadapi benda ni maknanya anda hidup dalam dunia tersendiri dan langsung tak bergaul dengan orang. Orang yang bergebang ni biasanya intipati utamanya ialah mengumpat berbakul-bakul ataupun ulangsiar cerita-cerita lama dia ataupun mengulangi cerita-cerita yang dah basi. Orang-orang yang mendengarnya akan pasti sampai rasa nak naikkan biji mata hitam ke atas kelopak mata seraya berkata-kata dalam hati 'daaaa' sambil mulut ternganga dan lidah nak terkeluar sikit. Betul tak? OK lah kalau tak betul pun rasa-rasanya anda pernah cakap atau buat perkara-perkara seperti di bawah ini untuk menghentikan perbualan dalam pelbagai situasi.

1) Buat-buat nak pergi tandas walaupun tak terasa nak membuang pun. Tapi kalau tak malu elok juga dilepaskan angin ketika itu sebagai menandakan anda sakit perut. Protttt!! ambik sebijik!

2) Buat-buat rasa lapar dan minta diri nak makan dulu. Tapi alasan ni bahaya sikit, kemungkinan besar si kepoh tu nak ikut makan sama.

3) Buat-buat tengok jam sambil berkata " Alamak lupa la..(sambil menepuk dahi tapi tak dinyatakan pula lupa apa, sehingga diterjah baru kelam kabut nak mereka cerita). Siap sedia dengan cerita yang konkrit OK!

4) Buat-buat kata yang anda dah lewat dan terpaksa gerak dulu, padahal boring nak gila dengar sembang si kepoh tu.

5) Sebutlah "Lihat, burung wak-wak!" ala-ala filem Kala Malam Bulan Mengambang sambil anda mengorak langkah seribu.

6) Kalau perbualan telefon pula eloklah dibuat bunyi "toooot toooot" ala-ala line putus, kemudian terus letak. Taktik sebegini elok benar dibuat pada telemarketer yang asyik mengganggu nak jual insuran atau kad keahlian. Kalau nak kejam lagi terus letak telefon tanpa sepatah kata.

7) Kalau chatting dalam facebook pula contohnya, susah juga nak mematikan chat dengan tiba-tiba bila di sana tengah rancak berchatting, tak sampai hati tak layan. Biasanya orang akan tulis, 'OK la saya ada kerja sikit'. Padahal nak chat dengan orang lain ataupun nak buka website lain. Terus offlinekan chat. Orang di sana tak nampak tak apa. Bye bye..!!

8) Akhir sekali, cara yang tidak kurang berkesannya ialah dengan anda menukar topik tiba-tiba kepada topik yang orang satu lagi tak gemar atau tak ada pengetahuan langsung. Mesti orang tu mula menganga dan kelihatan bibit-bibit kebosanan timbul di riak wajahnya. Masa tu, anda bolehlah angkat kaki bila-bila masa sahaja. Contohnya, ceritalah tentang aksesori kereta ataupun lumba kereta pada yang wanita ataupun ceritalah pasal barangan make-up atau beg tangan pada yang lelaki. Confirm sembang kencang termati di situ sahaja.

Mozar : Tiba-tiba terkedu tanpa kata bilamana pasukan Harimau Muda tiba-tiba tertewas dengan Bahrain dalam masa 6 minit sahaja. Sembang-sembang terhenti di situ tanpa berbuat atau berkata apa-apa. Senyummmm (kelat), tak perlu kata apa-apa.

Tuesday, November 22, 2011

Emas Yang Sangat Manis

Syabas dan tahniah kepada Pasukan Harimau Muda Malaysia kerana berjaya memenangi Final Bolasepak di Sukan SEA ke-26, 2011 di Jakarta, Indonesia. Tidak dapat tidak, kejayaan mereka ini harus sekali dititipkan sebagai satu entri sebagai satu kenangan yang manis untuk dikenang, kalau dapat sehingga ke anak-anak cucu nanti. Bila menyelak-nyelak kembali lembaran blog ini pada tahun-tahun mendatang, kemanisan ini akan pasti terbit semula rasanya.

Untuk berita kemenangan ini yang dipetik dari Sinar Harian, sila klik link ini - Syabas Harimau Muda!

Walaupun Indonesia telahpun mengaut sebanyak 166 pingat emas setakat perlawanan ini berlangsung, tiada emas yang lebih mereka dambakan daripada kilauan emas yang satu ini. Banyak sekali sentimen kebencian, propaganda dan provokasi yang melatari pertemuan antara sang Harimau dan sang Garuda ini. Sokongan secara fizikal bagi perlawanan bolasepak sebegini adalah sesuatu yang dapat dibuat secara mega, yakni besar-besaran. Dikatakan hampir 100,000 orang penyokong Indonesia dapat hadir memberikan sorakan dan tidak kurang provokasi kepada pasukan-pasukan yang sedang bertarung sengit.

Melihat ke sisi lain yakni melihat keletah acara sukan yang sebegini kalut dan meresahkan, terfikir pula entah apalah tujuannya ianya terus diadakan. Semangat kesukanan yang dimomok-momok ternyata sudah agak pudar. Sebaliknya ia telah bertukar menjadi satu medan pertempuran dan tempat beradu siapa yang hebat dan siapa yang kononnya memenangi 'karma'. Perkataan 'pertemuan' atau 'pertembungan' telah bertukar menjadi 'pertarungan' atau 'pertempuran'. Pertarungan dari segi maksudnya hampir sekali kepada pergaduhan atau peperangan di medan perang. Sukan tidak sepatutnya menjadi medan peperangan, tetapi tidak lebih daripada salah satu cabang hiburan. Kita patut terhibur bila menonton sukan-sukan yang kita gemari, bukannya geram ataupun sakit hati.

Apa yang berlaku dalam kes ini, apabila sahaja gol terjaring, kita bersorak kegeraman, bukan kegembiraan. Dalam hati ada rasa 'padan muka', 'ambik kau', 'rasakan' dan apalagi ayat-ayat geram yang lain. Hanya apabila wisel penamat ditiup baharulah terselinap rasa bangga, sebak dan terharu akan kemenangan tersebut. Bagi yang kecundang pula, akan meratapi kekalahan serta menyimpan dendam kesumat. Andai sukan itu hanya untuk suka-suka, selepas sahaja tamat permainan, kedua-dua pasukan akan redha dengan adat permainan, ada yang kalah, ada yang menang.

Perasaan untuk menang atau 'membalas dendam' tidak akan wujud di dalam sukan-sukan lain seperti squash atau bowling contohnya, kerana sukan-sukan itu tiada rekod membalas dendam atau sentimen sakit dan menyakiti hati sesama negara-negara yang bertanding. Jika Nicol David kalah sekali duapun, rakyat Malaysia akan redha dalam beberapa minit seusai pertandingan, lantas hati akan berkata 'tak ada rezeki' atau 'cuba lagi dalam game yang lain'. Begitulah sepatutnya 'semangat kesukanan' itu berlaku dan tercerna.

Namun, perlawanan yang tiada sentimen atau sejarah hitam selalunya bukan satu sukan pilihan atau sukan yang 'panas' di hati masyarakat. Memang seronok dan berdebar-debar menyaksikan acara-acara sukan yang berserta misi balas dendam serta saling atas mengatasi. Orang-orang yang tidak pernah meminati sukan sekalipun akan turut serta memberikan sokongan serta menambah rencah. Memang seronok membangkitkan kemarahan penyokong-penyokong pihak lawan dengan pelbagai cara dan pelbagai kata-kata provokasi dan cemuhan. Sukan-sukan yang tiada unsur-unsur tersebut biasanya agak sejuk atau suam-suam kuku sahaja sambutannya.

Bukan untuk mendabik dada atau perasan bagus. Rakyat Malaysia diperhatikan mempunyai kewarasan yang agak tinggi dalam menangani keletah dunia sukan ini. Berpuluh atau beratus kali kita pernah gagal dalam pelbagai jenis sukan, lebih-lebih lagi sukan bolasepak. Bolasepak kita tidak pernah lagi bangkit untuk pergi jauh semenjak zaman Datuk Mokhtar Dahari. Namun, rakyat kita terus tegar menyokong tanpa jemu-jemu atau putus asa terhadap pasukan-pasukan kebangsaan kita yang silih berganti. Bila kalah kita redha dan terus menaruh harapan bahawa kita akan berjaya di masa-masa yang lain pula. Walaupun hanya di peringkat Sukan SEA yang sifatnya begitu 'asas' berbanding kejohanan sukan dunia yang lain, lihatlah di seluruh pelusuk Malaysia, rakyat jelata rata-rata terpaku di hadapan kaca TV sambil berdoa, berharap dan bersorak untuk pasukan kesayangan negara kita. Itu belum lagi menjejakkan kaki ke Piala Dunia. Sifat patriotik rakyat Malaysia masih utuh dalam hal-hal seperti ini walaupun dari pelbagai sudut anasir-anasir liar cuba merobek sifat patriotik ini dari dalam hati-hati rakyatnya.

Atas dasar semangat kesukanan yang tulen, syabas juga wajar ditujukan kepada seluruh rakyat Malaysia kerana tanpa sokongan anda semua, bolasepak hanyalah satu sukan yang terpinggir yang mana keputusannya hanya akan dibaca di dada-dada akhbar keesokan harinya. Pujian pula harus ditujukan kepada jurulatih, Ong Kim Swee, penjaring-penjaring gol dan juga penjaga gawang Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat. Yang lain-lain pula bukan tidak penting, tetapi tidak disebut-sebut maka orang tidak akan begitu mengingati. Jika bukan kerana mereka yang lain, contohnya ramai yang dibuang padang, alamatnya 'bungkuslah' juga permainan itu. Atas sumbangan yang lain juga sebagai satu pasukan, pasukan Harimau Muda Malaysia akhirnya berjaya menggigit pingat-pingat emas yang sangat manis itu.

Mozar : Teringat bermain bola kampung, hari-hari team boleh bertukar-tukar orang mengikut undian. Main pun untuk happy-happy aje. Setiap hari bermula episod baru, tiada dendam-dendam kesumat.

Terimalah lagu Selamanya Harimau Malaya yang agak 'cool' ini sebagai hadiah menyokong bagai nak rak.

Thursday, November 10, 2011

Tanya Sama Pokok...

Apa yang nak ditanya pada pokok ni hah? Baiklah, kita tanya apa sebab pokok-pokok bergoyang. Kalau tak ada sebab takkan mereka bergoyang dengan sendirinya. Kurang-kurang ianya angkara angin, haiwan seperti kera, monyet, beruang ataupun monyet kepala hitam. Jangan tak tahu, bukan main lagi alasan pokok-pokok ni bila ditanya apa sebab goyang. Apapun alasan pokok-pokok ni bergoyang, mari kita tanya pada pokok-pokok yang terpilih seperti di bawah ini.
Tanya sama pokok...

...Kelapa apa sebab goyang. Nanti jawab kelapa, "Angin yang goncang." Boring!!!

...Bunga di taman-taman apa sebab goyang. Nanti jawab pokok bunga, "Aku dah tak larat dah nak bersubahat menanggung dosa. Nak aje aku belit malaun-malaun yang buat projek kat celah-celah aku ni. Ataupun nak aje aku bela ular segemuk leher unta kasi belit sama itu pemerojek-pemerojek."

...Kayu balak apa sebab goyang. Nanti jawab balak,"Sebab, sebab..!!! (rak..rak..boom!). Tak sempat nak ngucap dah kawan tu. Wahai pencuri-pencuri balak, berhati-hati! Di dunia seronok mengaut laba berganda, di akhirat derita menanggung bala bencana!

..Petai apa sebab goyang. Nanti jawab petai, "Apa lagi kalau bukan dikeroyok dek orang-orang ori yang ingin menjual petai-petaiku. Hehehe."

...Getah apa sebab goyang. Nanti jawab getah, "Entah le Cik Jah oi! Sepatutnya aku ni tak le sampai bergoyang pun kalau tak ada angin. Tu la pasal, orang menoreh dia pun nak menoreh. Getah tengah mahal! Tak pernah-pernah noreh tetiba nak noreh. Ni lah jadinya. Habis badan aku dibalun dan dikelarnya sesedap rasa. Kalau boleh dia nak tebang aku terus supaya getah keluar membuak-buak dan dia boleh jadi jutawan segera kot."

...Rambutan apa sebab goyang. Nanti jawab rambutan, "Bukan kau tak tau, musim cuti sekolah, budak-budak takde kerja lain dari memanjat aku. Turun! Turun! Nanti jatuh! Aku lak yang gayat tengok budak-budak tu. Tapi, kalau musim rambutan, bukan aje budak-budak, tapi bapak budak, tok budak dan mungkin mak budak pun panjat sama."

...Durian apa sebab goyang. Nanti jawab durian, "Nyampah aku Cik Jah! Entah orang dari mana-mana entah asyik tenang-tenang buah-buah aku. Siang malam pagi petang. Tak selesa betul aku. Tu yang aku bergoyang-goyang tu. Hempap sebiji atas kepala tu baru tau. Musim ni lah anak-anak yang jarang-jarang balik tetiba balik kampung, yang sedara jauh mula mengaku sedara dan yang lebih brutal lagi 'deme berani nampo!' kata Mr. Os."

...Tauge apa sebab goyang. Nanti jawab tauge, "Ko sengal ke apa tanya aku soalan macam ni. Dah aku dok dalam air mesti la bergoyang-goyang. Tengah marah dah ni, dah le orang kata aku hidup makan baja air kencing. Hangin satu badan nih!"

...Teratai apa sebab goyang. Nanti jawab teratai, "Aku tengah dok layan lagu Teratai Layu Di Tasik Madu ni. Tengah feeling habis la ni sebab ada kena mengenanya dengan diri aku. Kadang-kadang aku layan juga lagu Inul Daratista atau Amelina. Bergoyang, bergoyang...!!!!. Jangan kaco aku la!!!"

...Padi apa sebab goyang. Nanti jawab pokok padi, "Angin yang goncang... Tak lah, aku tak mau la bagi alasan boring macam pokok kelapa di atas tu tadi. Aku bergoyang sebab aku dah penuh berisi dengan beras. Pengorbanan aku melahirkan anak-anak benih sungguh mulia. Aku mengenyangkan orang-orang Malaysia yang mana rata-rata 'libang libu' kalau tak jumpa nasi dalam sehari. Makin berisi makin menunduk gitu, tatak sombong punya. Bukannya makin menunduk makin berisi. Itu bidalan minah-minah terlanjur yang perutnya berisi budak."

...Pisang apa sebab goyang. Nanti jawab pisang, "Ni tak lain le kerja makcik kantin tengah ngutip daun nak buat nasi lemak 50 sen, Makcik Senah nak buat lepat dan Makcik Saripah nak buat pulut panggang. Botak aku dibuatnya. Leceh betul. Pantang nak melawa sikit." 

...Lalang apa sebab goyang. Nanti jawab lalang, "Sebelum aku jawab, layak ke aku ni dipanggil pokok? Belajar tak habis ke? Apa-apapun kalau nak tanya juga, aku ni adalah ibarat orang yang tak ada pendirian, ke sini masuk, ke sana pun masuk. Sob..sob, betapa hinanya aku di dalam bidalan Melayu tu. Kehadiran aku pun selalu dibenci, asyik dibuang, diracun atau dibakar orang. Bila kena bakar aku akan mengamuk terbakar habis-habisan. Baru depa ada akal nak panggil bomba. Baru kecut perut tengok api menjulang bergoyang-goyang."

...Pangkal apa sebab goyang. Nanti jawab pokok pangkal, "No komen! Ini kes orang-orang yang sedang berperang, aku malas nak masuk campur walaupun aku tahu pokok pangkal kejadiannya."

...Pelaburan ASN/ASB apa sebab goyang. Nanti jawab pelaburan pokok, "Poket dah kering kontang tahap gaban le tu sampai pelaburan pokok pun boleh goyang."

Mozar : Nak tanya sama pokok tembakau apa sebab masih bergoyang. Bikin orang-orang bergoyang-goyang kaki ketika menikmatinya. Juga bikin orang bergoyang-goyang iman walau dah tahu benda tu tak baik.

Hayatilah lagu Pokok di bawah ini yang mengandungi seribu maksud yang tersirat.


Yang ni pula Versi filem Anakku Sazali yang sungguh nostalgik. Layan jerr...lebih-lebih lagi suara nyaring budak pompuan tu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...