Tuesday, December 27, 2011

Facebook Kian Suram?

Siapa ada Facebook sila angkat tangan (sambil pusing-pusingkan tangan macam Usop Wilcha). Siapa yang tak ada Facebook(FB) pula sila angkat kaki (bergerak meninggalkan blog ini). Yang ada Facebook tu terkembang-kembang hidung menahan rasa bangga (Itu dulu.., semasa semua orang sedang kemaruk berFB). Sekarang, bila ditanya ada FB ke tak, jawapannya, "dah lama tak bukak, malas dah nak layan". Apa sudah jadi? Adakah FB semakin suram dan kelam di hati-hati pengikut-pengikutnya?

Biasanya orang yang baru membuka akaun FB akan begitu teruja untuk mengupdate status, melontarkan komen di sana-sini dan juga cilok mencilok. Contohnya, orang yang gila FB akan mengupdate apa sahaja sejak dari bangun tidur sampailah mata terlelap. Ada pelbagai update yang berbunyi contohnya, 'baru bangun tido', 'bekfast bla bla bla', 'jumpa lipas dlm kabinet', 'lunch di bla bla bla', 'boring', 'sedih', 'tension', 'teruja' dan pelbagai lagi sampailah last sekali 'gud nite uols'. Itu jam barulah tamat diari harian seorang facebooker tegar.

Menurut satu portal, rakyat Malaysia tidak kurang hebatnya dalam berjaringan sosial ini. Di sini saya petik sedikit ketaksuban orang-orang Malaysia dalam laman jaringan sosial ini menurut satu laman web yang beralamat http://malaysianbroadband.info.

The heaviest users of social networking are in Malaysia (9 hours per week), Russia (8.1 hours per week) and Turkey (7.7 hours per week).
When it comes to who has more friends, online consumers in Malaysia top the list with an average of 233 friends in their social network, closely followed by Brazilians with 231. The least social are the Japanese with just 29 friends and Tanzanians have, on average, 38 in their circle of friends.
Surprisingly, noted that China currently has the world’s biggest online population at 420 million but China consumers only have an average of 68 friends in their networks despite being heavy users of social networking sites, indicating a culture that embraces fewer but closer friendships.


Saya ada beberapa kawan FB yang kerjanya asyik mengupdate status FB pantang bergerak (menguit) sikit. Kalau yang penting-penting tak apalah, takde hal punya. Sampaikan setiap perkara yang terlintas di jiwa raga atau apa sahaja benda yang melintas di depan mata nak diupdate, rimas juga 'gua' baca. Jalan selamat tanpa menyinggung mana-mana pihak dan tidak merbahaya kepada bot-bot kecil ialah dengan senyap-senyap setkan option yang membenarkan 'only important update' sahaja yang akan bolos di tingkap FB saya. huhuhu. Dengan itu tingkap FB saya bersih dari update-update yang menyeramkan bulu tengkuk dan meloyakan tekak (maaf ye kiranya kawan-kawan yang makan durian terasa sendawa duriannya ada membaca entri ini).

Orang yang baru buka akaun FB juga akan cenderung mencari kawan-kawan seramai yang mungkin. Habis semua yang dikenali akan direquest menjadi kawan. Lagi ramai lagi glamour. Sampaikan kawan-kawan yang 'bau-bau bacang' pun di add semuanya. Akan tetapi, bila dah ada kawan seramai mungkin, tak pandai la pula nak jaga hubungan baik dengan kawan-kawan tu. Andai ada kawannya yang ikhlas meminta pendapat setulus hati, tak mahu pula menyalurkan buah fikiran. Bila kawan update berita sedih atau kematian, tak mahu pula mengucapkan takziah. Bila kawan-kawan berjaya dan gembira, tak mahu pula mengucapkan tahniah atau memberi perangsang. Last sekali, bila ada reminder kawan-kawan punya birthday, tak pula mahu mengucapkan selamat harijadi. Kawan apa benda namanya kalau begitu. Ada kawan-kawan diabaikan begitu sahaja. Masa nak add tak tengok-tengok orang, habis semua yang melintas dikautnya.

Dalam FB saya sendiri saya dah bagi amaran bertulis yang berbunyi 'Welcoming only true friends but not 'salesfriends' or mere 'friend collectors' to my window'. Biar kawan-kawan yang betul-betul ikhlas nak berkawan sahaja yang akan di add. Biar tak ramai kawan tapi semua kawan-kawan yang dipilih berkualiti dan terbaik dari ladang. Saya memilih untuk mengamalkan sifat seperti rakyat negeri China seperti petikan di atas tadi, 'a culture that embraces fewer but closer friendships'. Namun, kadang-kadang terlepas juga kawan-kawan yang tak seperti yang diharapkan yang termasuk kategori 'pengumpul kawan' seperti hobi mengumpul setem. Sikit lagi nak kena tapis semula dan unfriend kawan-kawan yang tak ada komitmen sebagai kawan. Paling tak boleh belah ialah ter add kawan-kawan yang asyik mengiklankan barangan atau perkhidmatan. Tak habis-habis nak promote barang jualan, pusing kot mana pun pasti ayat-ayat promosi tu terkeluar dalam komen-komen atau status-statusnya. Bagi kawan-kawan yang sedemikian rupa minta maaflah, kerana anda telahpun disingkirkan dari circle of friends saya kerana, 'juri telah bersuara'.

Berbalik kepada tajuk entri kali ini yang  mana FB semakin suram, apa pendapat anda? Ada benar, ada tidak benarnya, bergantung kepada akaun dan jaringan kawan-kawan masing-masing. Bagi jaringan kawan-kawan dalam akaun saya sendiri saya dapat melihat dengan jelas trend kemeruduman atau kehilangan keghairahan kawan-kawan untuk samada mengupdate status ataupun memberikan komen-komen membina atau sekadar menyampuk-nyampuk kosong. Ada kawan-kawan yang mengaku tidak membuka FB berbulan-bulan lamanya atas pelbagai alasan. Tidak kurang juga ramai pengikut-pengikut FB yang telah mula meninggalkan ladang, haiwan ternakan ataupun cafe setelah rasa bosan menguasai diri (meninggalkan games seperti Farmville, Cityville, Smallville? dan lain-lain). Satu lagi perkara yang diperhatikan kini, nak dapat 1 Notification pun dah susah. Hampir-hampir tiada aktiviti kawan-kawan yang berkait dengan kita. Kalau dulu, tinggal sahaja FB dalam seminggu, penuh Friend Requests, Messages ataupun Notifications.

Biasa terjadi juga, anak-anak dah besar panjang tapi gambar-gambar mereka dalam FB masih comel dan mungil, kes lama tak update gambar-gambar. Kawan-kawan yang dulunya meriah mengomen di sana-sini, sekarang telah lama menyepikan diri. Kalau dulu, pengalaman saya sendiri, nak mencelah komen sana-sini pun rasa macam malu-malu dan teragak-agak memikirkan ramai kawan-kawan yang akan turut sama membaca. Sekarang ni lantaklah nak tulis apapun sebab tak ramai yang akan terbaca sebab ramai yang tak akan buka FB berminggu-minggu lamanya. Aktiviti-aktiviti tu pun akan hilang sebagai older posts, kecuali jika ianya dibaca melalui profile kita.

Sebagai mengatasi kes suram menyuram ini dan juga sebagai seorang yang masih aktif berFB, saya akan melanggan atau 'Like' pelbagai page seperti akhbar atau portal-portal yang setiap masa dan ketika akan ada update terbaharu. Kalau nak diharapkan aktiviti kawan-kawan alamatnya terdengar bunyi cengkerik ajelah akaun FB saya. Kawan-kawan yang dulunya ghairah dan teruja kini telah layu dan menghilang. Kadang-kadang bila saya add kawan-kawan lama yang baru dijumpai, berkurun menunggu respon dari mereka. Mesti ini kes yang buka FB kadang-kadang atau jarang-jarang.

Kes FB suram ini juga bukan hanya terjadi pada orang-orang dewasa sahaja. Anak-anak buah saya yang masih muda remaja pun rata-rata dah jarang buka. Sesetengah orang tu pula buka akaun FB pun sebab tak mahu di'kunun'kan dek orang, atau sekadar mengikut trend semasa. Asal ada sahaja, jika tiada dikatakan kuno pula. Maka diletaknyalah gambar profilenya default bentuk muka yang putih biru tu sebab segan rupa dah tak secomel dulu lagi.

Entah sampai bilalah hayat FB ini akan berakhir. Adakah ia akan menerima nasib yang sama seperti contohnya, MySpace, Friendster dan berbagai lagi laman sosial yang tidak kita endahkan. Agak malang sebenarnya bagi sesiapa yang baru sahaja ingin berjinak-jinak menceburi dunia FB ini di kala ramai orang yang telah mula jelak dan bosan dengannya. Tentu sahaja mereka akan mendapat nonperforming friends (yang hanya tinggal gambar dan nama). Peninglah kepala Mark Zuckerberg selepas ini hendak mencipta keseronokan baru di dalam FB. Elok juga ini terjadi kerana sedikit masa dahulu, FB dikatakan salah satu dakyah Zionis untuk menyesatkan umat manusia. Sekarang nampaknya misi tersebut tidak ke mana, malah diburukkan pula (bagi pihak Zionis) dengan munculnya page-page yang berunsur keIslaman yang kian bercambah-cambah pengikutnya.

Ke mana semua orang ni hah? Dah beralih ke Google+ ataupun dR Book (konon-konon kepunyaan dR Rozmey) ke? Rasanya tidak. Orang dah letih dan penat melayan dunia maya yang bukan realiti ini. Nafsu manusia ingin mendapat lebih dan lebih lagi keseronokan dan kenikmatan. Entah apa pula keseronokan baru yang akan diciptakan di masa akan datang. 10 tahun dahulu, tidak pernah pun terfikir benda semacam FB ini akan muncul. Dalam setiap zaman, hiburan bagi umat manusia ini sentiasa berevolusi. Ada hiburan-hiburan yang masih kekal, dan tidak kurang juga yang telah menjadi lipatan sejarah.

Akhir sekali, satu-satunya perkara yang positif dapat dilihat dari FB ini ialah sifat kawan-kawan sekolah yang dahulunya macam kacang hantu kini lebih cenderung ke arah nilai-nilai murni dan lebih condong ke arah keIslaman. Manusia berubah mengikut masa. Masa bisa merawat segala-galanya.

Mozar : Ada baiknya juga Facebook kini kian suram kerana tak lama lagi orang akan beralih semula melayari laman-laman blog yang mana popularitinya agak terjejas sejak Facebook meletup-letup. Kalau mengomen di blog-blog, boleh lempar batu sembunyi tangan, sebab boleh jadi si 'anon', tak gitu?

Lagu 'Cinta Muka Buku' nyanyian Najwa Latiff. 20 tahun lagi ia boleh digelar 'Cinta Muka Kitab' ataupun 'Cinta Muka Buku Sejarah'. Masa tu nanti kita akan tersengih-sengih akan ke'kuno'an Facebook sepertimana kita menggelakkan handphone(armphone?) dulu kala. Tak tahulah kalau Facebook ni boleh bertahan sampai Kiamat pula. Hakikatnya, tiada apa yang kekal di dunia ini.

Friday, December 16, 2011

Enak Di Lidah Masterchef Belum Tentu Enak Di Lidah Kita

Anda ada menonton rancangan Masterchef di Astro? Agak menarik juga rancangannya, walaupun kadangkala ianya ditokok tambah dengan drama-drama kemarahan dan airmata. Tak kurang juga keadaan di mana peluh peserta-peserta menitis-nitis menambah perisa. Adakah masakan-masakan mereka nampak menyelerakan atau meloyakan? Bagi peminat makanan atau kaki masak pasti akan terliur dengan aneka jenis masakan yang dipaparkan termasuk yang tidak biasa kita makan mahupun lihat. Kebanyakannya makanan-makanan antarabangsa yang disediakan. Ada seorang kawan berpendapat jika dalam rancangan realiti nyanyian kita dapat mendengar sendiri serta mengadili sedap atau tidaknya suara dan nyanyian para pesertanya. Jika rancangan realiti masakan sebegini kita tidak tahu apakah rasanya masakan yang dimasak oleh peserta-peserta tersebut. Tahu-tahu jurinya sudah reject dengan mengatakannya tidak sedap atau tidak menjadi. Entah-entah pada kita yang berlidah tempoyak dan budu ni akan terasa sedap kalau diberi peluang merasainya.

Juri-juri yang mengadili masakan peserta-peserta sudah tentu mempunyai standard yang tersendiri tentang bagaimana sepatutnya sesuatu masakan itu berasa. Yang lari sedikit dari rasa yang sepatutnya akan ditolak sebagai tidak menjadi. Bahan-bahan yang digunakan bukannya setakat cabai, bawang dan rempah sahaja tapi entah apa-apa bahan dan tumbuh-tumbuhan yang digunakan sepanjang rancangan tersebut. Secara realitinya, tidak semua masakan-masakan yang nampak hebat tersebut 'kena' dengan lidah semua orang kebanyakan. Bagi masakan 'signature' seseorang chef contohnya, entah-entah hanya dia seorang sahaja yang gemar, orang lain akan muntah hijau bila memakannya.

Pengalaman makan di hotel-hotel berbintang-bintang, tak semua hidangannya sedap dimakan, malah kadangkala berasa pelik walaupun hiasannya menarik. Ada sesetengah orang yang tidak boleh 'masuk' tekaknya walaupun makan sesimple sekeping pizza. Ada juga orang yang tidak boleh 'masuk' makan spaghetti beserta sosnya. Sebaliknya pula, ada orang yang ala-ala urban yang tidak makan tempoyak, cencaluk, budu atau belacan. Tak kisahlah kan, masing-masing punya selera tersendiri. Kalau dipaksa-paksa makan termuntah monggek pula. Cuma yang tak boleh diterima ialah bila seseorang berkata "saya tak pandai makan ini atau itu". Macam la perkara makan-makan ni perlu belajar di sekolah-sekolah khas. Cuba ajelah dulu, kalau tak sesuai dengan tekak barulah reject. Ini tak, nak sentuh makanan pun macam orang suruh dia sentuh periuk api atau tahi kucing. Itu tekak mengada-ngada namanya. Kalau bagi sushi yang mentah atau separa mentah boleh pula telan. Ada standardlah katakan. Makan pun sampai kembang-kembang hidung. Kalau makan makanan ala-ala barat pula, dengan megahnya mereka menyuap makanan dengan garfu menggunakan tangan kiri (tangan basuh hajat).

Menurut kata orang, untuk menghasilkan masakan yang sedap, kita kena ikhlas dan memasak dengan penuh rasa kasih sayang. Baharulah terpancar unsur-unsur positif tadi di dalam masakan. Sebab itulah masakan mak-mak kita adalah selalunya yang 'the best in the world' kerana mereka menyalurkan kasih sayang mereka melalui makanan-makanan yang dimasak. Kalau masak sambil merengus dan marah-marah, pasti masakan tersebut rasa ke laut dan berakhir ke longkang. Tapi hati-hati ya, kedai-kedai makan yang menyediakan masakan yang rasanya sedap-sedap biasanya akan memasukkan Ajinomoto secukup rasa di dalam masakan mereka. Nasib la bagi mereka yang hari-hari makan di luar tu. Makin cepat le lapisan ozon atas kepala tu menipis. Ajinomoto ni kalau kacau dalam air sahaja pun boleh rasa sedap. Orang yang tak reti masak pun boleh buat masakan jadi sedap. Oleh itu, untuk mengelakkan dari asyik makan luar, ada baiknya anda belajar memasak sendiri walaupun anda bujang trang tang tang. Tak le sampai walau untuk menikmati secawan Teh O pun kena minum di kedai (macam kawan saya masa zaman-zaman bujang dulu).

Mozar : Bila pembantu rumah anda mula memasak dengan penuh kasih sayang, rasa masakannya pasti akan sedap sampai ada yang ingin ikut balik ke kampung halamannya.

Hidangan eksotik : Bagi yang gemar, ia mengembangkan perut dan selera. Bagi yang tidak gemar ianya mengembangkan tekak. Ok apa, cantik persembahannya.

Wednesday, December 7, 2011

Sebab Ada Orang Jahat, Semua Orang Susah!

Kata pepatah, seekor kerbau membawa lumpur habis semua kerbau terpalit. Disebabkan segelintir orang buat t**k, habis semua orang mendapat susah. Kalau yang jahat-jahat aje yang dapat susah tak apalah juga. Beberapa orang buat perangai jahat tak senonoh, semua orang terpaksa menghindari perangainya. Kalau dihapuskan saja orang yang buat hal tu kan senang. Kalau anda perasan, banyak benda-benda di atas dunia ni dibuat dan dicipta untuk mencegah dari kejahatan manusia. Antara benda-benda yang kita sedar atau tidak dibuat khas untuk mengelakkan orang jahat-jahat berbuat jahat adalah benda-benda atau perkara-perkara seperti berikut ini.

1) Jeriji besi
Yang ini mesti semua orang perasan punya. Kalau tak ada jeriji besi atau kandang besi, rasa macam tak selamat aje hidup atas dunia ni. Dah ramai sangat orang jahat atas dunia ni. Setiap rumah, premis dan pejabat kena pasang benda ni. Kalau masuk kedai emas dah rasa macam melawat banduan di penjara ataupun melawat taman ular dek kerana jeriji dan cermin yang mengurung habis tauke dan pekerja-pekerjanya sekali. 

Premis yang dipasang jeriji pun boleh kena umpil, inikan pula kalau yang tak ada langsung. Ini semua angkara orang-orang jahat le. Tak tahu nak cari kerja halal dan berfaedah. Kalau tak ada orang jahat, aman dunia serta rumah pun selesa tanpa ada besi-besi yang nak ditutup dan dimangga. Betapa indahnya pemandangan melalui sliding door kaca tanpa dihalang oleh jeriji-jeriji besi.

Kalau terjadi kebakaran, orang-orang dalam 'kurungan' besi juga yang susah balik. Kadang-kadang boleh bawa maut kerana terperangkap dalam bangunan. Tak ke menyusahkan orang betul! Lepas ni kereta-kereta pun mungkin perlu ada jeriji besi macam van Securicor tu contohnya. Sebab ramai penjahat yang dah mula memecah cermin kereta untuk mencuri atau menyamun.

2) Mangga kunci sebesar-besar alam
Dah ada jeriji besi, tak sah pula kalau tak ada kunci mangga. Setakat pakai selak aje, ketawa la sang perompak. Kalau ada mangga sebesar alam bukan tak boleh pecah, tapi lambat dan bising sikit la kerja nak memecahnya. Sempat le jerit-jerit atau telefon polis, kalau tersedar.

3) Alarm atau penggera keselamatan
Benda ni bagi yang berada sikit bolehlah pasang. Lagipun dalam rumah pun ada macam-macam benda yang boleh dirompak. Premis-premis perniagaan pun perlu ada benda ni. Kalau perompak nampak benda ni cuak le sikit nak masuk. Kalau alarm ada masalah pula, siap la bunyinya yang memekakkan telinga. Kadang-kadang tu false alarm. Kelam kabut la tuan rumah pergi tengok. Kena pula reset balik. Tak ke benda ni menyusahkan orang-orang kaya!

4) Kamera CCTV
Benda ni pun dah jadi lazim dipasang di mana-mana sahaja. Tujuan utamanya untuk memantau orang jahat. Kalau ada berlaku jenayah benda ni la yang akan jadi bahan bukti. Kadang-kadang CCTV ni merakam juga apa yang tak berkenaan. Orang yang tak sedar gambarnya terakam kadang-kadang terbuat aksi-asi yang tak senonoh. Alih-alih dah keluar Youtube. Tak ke menyusahkan orang ramai namanya. Nak korek hidung tak tentu pasal pun dah tak selamat dah. Ada aje yang memerhati.

5) Bonggol di jalanraya
Benda ni lagi satu. Menyakitkan hati betul kalau lalu di jalan-jalan yang banyak bonggol ni. Elok tengah sedap-sedap memandu, kena pula brek sana, brek sini. Yang lebih terasa azabnya benda ni ialah kereta-kereta yang telah di lowered. Padan muka juga, siapa suruh cari susah. Bonggol-bonggol ni dibina adalah angkara pemandu-pemandu yang berperangai pelesit yang memandu tak mengira keselamatan orang lain. Pentingkan diri sendiri. Dalam taman perumahan pun pecut macam pelesit, lebih-lebih lagi mat rempit. Kalau semua orang memandu secara berhemah, sejemput bonggol pun tak payah dibuat di mana-mana. Aman aje memandu.


6) Perisian anti virus atau firewall
Kalau komputer yang tak ada perisian antivirus ni alamatnya tak lamalah jangkahayatnya. Setiap satu jangkamasa kena update atau renew antivirus ni. Yang kaya pembuat perisian tersebut. Entah-entah yang buat antivirus tu sendiri yang mencipta virus-virus baru. Buat kuman sambil buat ubat. Bijak..bijak. Asalnya dulu memang virus-virus komputer ni kerja orang-orang jahat yang terlebih pandai nak menghuru-harakan dunia. Banyaklah komputer-komputer seluruh dunia yang jahanam dikerjakan virus-virus mereka. Sekarang ni sistem pertahanan komputer pun dah OK, antivirus pun banyak yang free version, dah tak terasa sangat ancaman virus-virus ni. Kadang-kadang ada juga kes virus ni yang tidak kita sedari, dengan menyangkakan bahawa sistem komputer yang rosak. Tak ke menyusahkan orang kalau data-data penting dalam komputer hilang lenyap dalam sekelip mata (kecuali komputer yang lembab, berkelip-kelip mata)?

Teringat masa belajar dulu, ada seorang kawan yang rabun IT fikir bahawa para pelajar tidak dibenarkan berkasut di dalam makmal komputer sebagai satu cara mencegah jangkitan virus. Dia ingat virus komputer tu macam kuman hidup yang boleh menjangkiti komputer. Mesti sampai sekarang dia tak habis gelak bila mengenangkan kisah lama tu. Masa tu saya pun tak sampai hati nak terangkan senario sebenar, biar la dia tahu sendiri aje!

Mozar : 'Jaga' diupah untuk jaga kalau-kalau ada orang jahat berbuat onar. Kadang-kadang 'jaga' sendiri siang berjaga malam mengantuk. Orang masuk, 'jaga' kena ketuk.


 Tak senonoh punya pekerja. Nasib baik ada kamera CCTV. Jahatnya kamu! Yang tak bestnya klip-klip video macam ni, depa tak tayang kesudahannya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...