Friday, December 21, 2012

Oh! Melampau

Tidak semena-mena rasa macam cool pula bila mendengar ungkapan "Oh! Melampau" ini. Ini gara-gara menonton filem Istanbul Aku Datang beberapa minggu yang lalu. Terdapat adegan di mana hero-heronya, Beto dan Tomok bergomol dek kerana Lisa Surihani. Dalam adegan tersebut, Beto telah ditolak-tolak dan dicabar oleh Tomok sampailah ke satu tahap Beto tidak dapat lagi mengawal perasaan lalu membelasah Tomok. Yang dah tengok tahulah adegan ni. Disebabkan hilang sabar, Beto telah menyebut Oh! Melampau. Macam kelakar aje bunyinya. Mungkin boleh jadi ungkapan 'trending' kot tak lama lagi.

OKlah, bukan saya nak jadi pengulas filem pula. Itu kerja Ku Seman Ku Hussein suatu masa dahulu. Cuma saya ingin applikasikan ungkapan Oh! Melampau ini dalam kehidupan seharian kita. Senarionya tentulah apabila kita tidak dapat lagi menahan sabar di atas sesuatu perkara setelah diasak dan diasak dengan sesuatu yang menyakitkan jiwa raga. Siapa yang dapat bersabar sepanjang masa dan sepanjang hidup, tak tahulah, memang dia setaraf malaikat. Bagi kita yang kadang-kadang bertaraf wali dan kadang-kadang bertaraf syaitonnn ni eloklah kita intai-intai beberapa perkara yang mungkin kita semua pernah lalui yang membuatkan kita juga akan tersebut, Oh! Melampau.

* Celik aje mata di pagi hari dah dengar hiruk pikuk, hingar bingar di luar rumah. Bunyi anjing, bunyi jiran sebelah berleter, bunyi lesung batu, bunyi budak meraung, bunyi hon sana-sini, bunyi enjin motor dan enjin kereta, bunyi pintu pagar dikunci, ditutup dan macam-macam lagilah. Nak buat macamana, dah duduk flat atau rumah teres, terpaksalah tanggung segala bunyi-bunyian sebegini. Cuma yang boleh sampai tahap Oh! Melampau bila bunyi enjin-enjin buruk yang di warm-up sampai lebih setengah jam, kemudian di press-press lak minyaknya. Wow! Memang melampau! Dapat kot makian sedas-dua bagi pelaku-pelaku tersebut.

* Tinggal rapat-rapat dengan orang lain ni satu lagi yang tak tahan ialah bila mendengar dentum-dentam muzik dari rumah jiran-jiran. Itu masih boleh tahan lagi, belum sampai tahap didih. Apabila saja tuan rumah yang pasang lagu kuat-kuat tadi dah mula pula berkaraoke dengan suara kataknya, cukup dengan vibrato baek punya, apa lagi, Oh! Ni memang melampau. Nak kena buang taman, kampung atau daerah juga jiran-jiran tu tadi.

* Bila pasang aje TV masa-masa baru balik kerja tak ada lain akan tersiarlah drama-drama Melayu, Tamil atau Kantonis. Malas-malas nak layan sangat kita pun pergi buat kerja lain tanpa menutup TV. Alih-alih asal ditinggalkan aje TV, tak lain keluarlah Sinetron. Bila tinggal aje TV, Sinetron. Bila Sinetron je, TV ditinggalkan. Siapa tak tahu apa itu Sinetron, silalah tanya penggemar Bawang Putih Bawang Merah, Nada Cinta, atau yang terbaru gamaknya Cinta Bersemi Di Putih Abu-Abu. Dah melampau betul saluran-saluran TV sekarang ni tak kira saluran mana pun. Dah macam tak ada cerita lain nak disogokkan. Bagai melanggan Indopek lak kayaknya.

* Asal dengar aje ada naik gaji ke, dapat bonus ke di sektor awam mulalah peniaga-peniaga menaikkan harga barang-barang keperluan. Dah macam durian runtuh pula bagi mereka. Banyak le alasan-alasan palsu nak menaikkan harga barang. Gula naik 1 sen, air minuman naik 20-30 sen. Untungnya berlipat kali ganda. Bila barang-barang bukan keperluan asas seperti teh, Milo dan susu pun turut naik juga kita tak berapa nak selidik sangat. Yang kita nampak gula, padahal bukan banyak sangat naiknya sedangkan barangan tersebut tadi naik berlipat kali ganda. Tak ramai yang sedar sebab beli pun tak begitu kerap. Akan tetapi, satu barang yang saya suka kalau naik harga ialah rokok. Padan muka penghisap rokok tegar. Pada mereka, "Oh! melampau." Bagi saya pula, "Cukup-cukuplah tu wahai sang pelampau!". Agama kita pun tak berapa nak berkenan dengan perokok-perokok ni, cuma fatwanya aje yang masih kelabu, kelam dan berkabut sepertimana seekor semut hitam di atas batu hitam dan berspek hitam.

* Asyik tengok perkara melampau di tahap nasional aje, elok juga kita lihat keterlampauan di tahap global pula. Tak lain, perkara yang menyakitkan hati umat-umat dunia yang bertamaddun dan berperikemanusiaan ialah perihal kekejaman puak Zionis Israel terhadap warga Palestin. Perbuatan mereka memang terlampau-lampau. Kalau boleh dijotos-jotos, dilempang-lempang atau dipijak-pijak mereka itu tak apa juga. Ni tidak, semua kuasa-kuasa besar dunia kecut perut dan bersekongkol dengan Zionis. Wayang semata-mata! Geram betul. Oh! Sungguh melampaui batas. Tunggulah balasan yang pedih dari Allah s.w.t, wahai Zionis laknatullah.

Akhir sekali, walau kita geram bagaimana sekalipun, hendaklah kita berfikir sebelum bertindak. Jika tak dapat berbuat apa-apa, pasrah dan berdoa semoga kes selesai dengan baik. Jika mampu bersuara, suarakan baik-baik, tanpa pertikaman lidah atau pertumpahan darah. Jika mampu naik tangan atau kaki, lakukan berpada-pada, supaya tidak mengundang susah di kemudian hari. Jika mampu mengangkat senjata seperti nak berperang dengan Zionis, lakukannya dengan niat ikhlas kerana Allah dan juga Islam. Jika langsung 'tiada yang di atas', sebut sahajalah dalam hati, Oh! Melampau sambil menutup mata dan telinga.

Mozar : Oh! Melampau sungguh semut-semut di rumahku. Dah dibubuh perangkap air di sekeliling bekas minuman dan diletakkan cuma renggang sedikit sahaja dari tepi bekas perangkap air, depa boleh buat jambatan sesama sendiri pula demi nak menyeberang juga ke bekas jag minuman. Makan buih sabun la jawabnya kesemua semut-semut tu tadi. Namun, ku tetap respek dengan kesepakatan dan semangat berpasukan semut-semut tersebut.

 
Lebih kurang beginilah asal usul kejadian tragis yang telah menimpa semut-semut di rumahku itu tadi.

 

Friday, December 14, 2012

Bagaimana Merawat Lara?

Adoyai...kecundang juga rupanya pasukan Harimau Malaya dalam Piala AFF Suzuki kali ini. Begitulah adat permainan. Sekejap di atas, sekejap di bawah bagai pusingan bola. Untuk sentiasa berada di atas sambil mempertahankannya, memang sulit. Bapak segala juara dunia, kejohanan apa sekalipun suatu hari pasti akan kecundang jua, kecuali jika dia bersara awal. Takut jatuh kecundang le tu! Tentang Piala Suzuki ni, tak apalah dah tak ada rezeki nak buat macam mana, cuba lagi di edisi yang akan datang. Itulah sahaja ayat klise yang mampu kita keluarkan sebagai penyedap rasa, asalkan tak meroyan, betul tak? Satu lagi cara penyedap rasa kalah ialah dengan mengenang bahawa negara kita masih lagi aman makmur dan tenteram berbanding negara mereka. Lebih baik mempertahankan keamanan negara daripada mempertahankan title yang tidak semua orang mendapat untungnya.

Walaubagaimanapun, seluruh rakyat Malaysia yang waras dan sayangkan Malaysia pasti akan tetap berasa duka lara dengan kekalahan tersebut. Tapi, tolak tepi la dukalara si kaki judi yang kalah bertaruh. Bagi yang berjiwa 'Malaysia', pasti kekalahan itu sedikit sebanyak menyentap jiwa dan raga. Normallah bersikap demikian kerana ia juga membabitkan maruah negara. Hanya yang dah tak sukakan Malaysia atau yang langsung tak minat bola atau yang berkira-kira untuk berhijrah ke negara asing saja yang langsung tak ambil pot tentang menang atau kalah ini. Alangkan pertandingan bola antara kampung, taman, daerah atau negeri pun kita sokong kasi menang bagai nak rak, inikan pula yang berskala negara. Bertanding dengan orang asing yang jauh berbeza budaya dan keturunan lagilah semangat nak menang tu membuak-buak. Kalau setakat pertandingan bola kampung, esok lusa masih bertemu dan bertegur sapa dengan orang-orang kampung sebelah. Tak adalah nak masam-masam muka kot. Yang penting, peace yo!

Berbalik kepada soalan pokok tadi, bagaimana merawat lara, saya sendiri pun tak boleh nak bagi jawapannya. Ada banyak cara yang boleh kita usahakan yang mana ianya juga bergantung kepada tahap kreativiti atau kemampuan diri anda sendiri. Bagi yang mempunyai kesihatan mental yang tip top, mudah sahaja menghilangkan lara rasa walaupun segunung musibah datang menimpa. Begitu juga bagi yang beriman dan yang beramal soleh, tetap akan kembali mencari Allah s.w.t. Cuma yang dikhuatirkan sedikit ialah orang-orang yang berjiwa kerdil, mudah kecewa dan berputus asa bila apa yang didapati tidak bagai dikata. Mereka ini akan cenderung memilih jalan penyelesaian yang hitam dan sia-sia atau paling dahsyat menamatkan riwayat diri sendiri atau juga orang lain. Mereka ini perlukan bimbingan kerana tidak mampu menyelesaikan masalah secara bersendirian.

Tiba-tiba di celah-celah kebuntuan ada yang menempelak,
"Cakap senang la, cuba ko yang kena, aku nak tengok camne, sembang je kencang!" (kes yang kureng budi bahasa).
Tiba-tiba pula dalam sob sek, sob sek, terdengar pula suatu nada sayu,
"Kau tak rasa apa yang aku rasa. Kau tak mungkin mengerti." (cewah! macam bahasa drama petang-petang lak).
Tiba-tiba pula datang seorang yang tiada ekspresi wajah bermonolog,
"Hidup ini tidak bermakna lagi. Dunia memang kejam." (sambil memegang sebilah pisau belati). Owhh ini kes paling berat!
Inilah contoh-contoh bahasa orang yang ditimpa sesuatu kesusahan atau ujian dari Allah s.w.t. Dari sini bolehlah disimpulkan bahawa, janganlah kita cuba memburukkan keadaan pula bila dalam berdukalara. Jadilah orang yang boleh dibantu dan dibimbing, bukannya jadi orang yang didoakan kasi jahanam terus atau bukan juga orang yang tidak akan diterima oleh bumi dan langit. Berkongsi rasa dalam menyelesaikan segala apa jua masalah. Tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan kecuali maut atau 'bodoh piang'.

Siapakah di dunia ini yang tidak pernah kecewa dan berjiwa lara? Jawapannya, 'tiada' (dah agak dah). Dari yang semiskin-miskin manusia sehinggalah yang sekaya-kaya manusia semuanya pernah merasainya. Inilah ujian atau juga kifarah terindah dari Allah s.w.t sebenarnya. Jika kita berjaya menanganinya, maka dosa-dosa kita yang lalu InsyaAllah akan terampun dengan rahmatNya. Allah tidak menyeksa dan mendera jiwa kita dengan percuma. Ada ganjaran berlipat kali ganda di akhirat kelak sebagai 'upah'nya. Cuma jangan kita menolak tuah dengan mengambil jalan singkat melakukan sesuatu yang di luar keredhaan Allah s.w.t. Bagi anda yang berjiwa besar dan beriman, saya kira inilah salah satu cara terbaik bagi anda merawat jiwa yang lara, iaitu kembali kepada ketentuan Allah s.w.t. Cara-cara yang lain mungkin ada yang berkesan tetapi ganjaran pahalanya yang besar belum tentu.

Mozar : Ada ke yang berdukalara dengan kekalahan Harimau Malaya semalam dengan cara memboikot K-Pop atau takmo lagi tengok drama Korea atau lebih tragis lagi takmo lagi menari Gangnam (kes bengang si pengadil Korea yang tak bermutu)?

Wednesday, November 21, 2012

Perbuatlah Yang Terbaik Untuk Gaza, Ya Allah Ya Rahman!

Selamat menyambut tahun baru Hijrah 1434. Sudah selama 1,434 tahun peristiwa Hijrah Rasullullah s.a.w ke Madinah berlaku. Hijrah baginda itu adalah demi mengembangkan agama Allah s.w.t ke seluruh tanah Arab dan seterusnya ke seluruh pelusuk dunia. Maka hari ini kita dapat memeluk agama Allah yang indah ini hasil pengorbanan Nabi s.a.w, para sahabat Nabi, para tabein sehinggalah ke pewaris-pewaris Nabi di kalangan ulama-ulama di masa kini. Maka hiduplah kita dengan penuh ketenangan dan kemakmuran di dalam jiwa bagi yang benar-benar menghayatinya. Bila jiwa telah diresapi iman, tercampak di mana-mana sekalipun, amalan-amalan soleh tetap menjadi peneman sejati.

Sekonyong-konyong Tahun baru Hijrah kali ini tiba-tiba dicemari oleh serangan puak rejim Zionis ke atas Gaza, entah yang ke berapa kali dalam sejarah, tidak terkira rasanya. Seluruh dunia hanya mampu menyaksikan dari jauh bagaimana para mujahidin Palestin mempertahankan tanahair mereka di samping memberikan serangan balas. Pengaruh Zionis nampaknya telah begitu melampau sekarang ini. Tiada siapa berani menghalang kejahatan mereka melainkan pejuang-pejuang tulen Palestin, anak-anak kecil serta remaja-remaja Palestin (walaupun dengan hanya membaling batu-batu).

Masyarakat dunia yang lain hanya dapat memerhati dengan perasaan geram dan benci. Nampak benar Israel telah benar-benar menakluki dunia. Ekonominya berkembang di seluruh pelusuk dunia. Secara sedar atau tidak kita saban hari menyumbang kepada kekuatan ekonomi Israel melalui ratusan produk dan jenama mereka. Jika bukan kerana memiliki dana yang maha besar, khadam berkuasa polis dunia dan proksi-proksi senyap, sudah lama Israel terlingkup dikerjakan pejuang-pejuang Palestin yang beriman dan ikhlas menegakkan agama Allah s.w.t. Sudut positifnya, mungkin juga Allah ingin memberi peluang mudah untuk pejuang-pejuang Palestin bergelar syuhada di Akhirat kelak. Kita di sini belum tentu untung nasib kita di akhirat nanti. Sedangkan dalam aman tenteram lagikan bercakaran dan bercanggahan prinsip, inikan pula bila diuji dengan sedemikian hebat. Datang seekor Dajjal membawa seketul burger pun mungkin ramai yang akan tewas, belum lagi ditayang-tayangkan 'replika syurga' olehnya.

Peristiwa Gaza juga telah tempias ujiannya kepada seluruh umat Islam di atas dunia ini. Allah akan tanya di akhirat kelak apakah yang kamu ikhtiarkan apabila melihat umat Islam dan agama Islam dipijak-pijak oleh kafir Yahudi laknatullah ini. Bukan Allah tidak boleh menurunkan badai taufan yang maha hebat ataupun menghantar burung-burung Ababil bagi menghancurkan Israel tetapi Allah ingin memberi ganjaran yang besar terhadap usaha dan ikhtiar kita semua. Teringat pula kisah seekor burung kecil yang membawa titisan air dalam paruhnya bagi memadamkan api yang membakar Nabi Allah Ibrahim a.s, walaupun dilihat terlalu kecil sumbangannya, burung itu takut jika Allah akan menanyakan sumbangannya terhadap peristiwa tersebut di akhirat kelak. Apakah pula sumbangan kita terhadap peristiwa rakyat Gaza dibom hidup-hidup? Untuk berperang mengangkat senjata bersama-sama mereka, rasanya ramai yang tak sanggup, termasuklah saya sendiri. Ampuni aku ya Allah...hamba ini lemah iman dan serba serbi.

Bila yang di atas tadi tidak mampu dibuat, maka bila ada perkara-perkara berkaitan bantuan kemanusiaan terhadap Gaza, apa salahnya kita turut sama menyumbang. Ada satu riwayat, pada satu kutipan bantuan peperangan, seorang sahabat Nabi s.a.w telah dengan seikhlas hati menyedekahkan sebiji kurma, yang hanya termampu olehnya, Nabi s.a.w sendiri telah meletakkan sumbangannya itu yang teratas sekali sebagai menyanjungi keikhlasan hatinya. Jadi, apa jua cara bantuan wajiblah kita sokong. Jika diminta boikot barangan Israel, maka boikotlah, melainkan anda akan pengsan atau sesak nafas setiap kali tidak dapat menikmati produk-produk Israel tersebut. Lebih baik lagi, bila diminta rayuan derma Palestin, hulur-hulurlah setakat yang kita mampu melainkanlah jika hanya tinggal sehelai kain sahaja untuk menutupi tubuh, yang mana bila ditarik ke atas, lutut terdedah, ditarik ke bawah, buah dada pula terdedah. Jika yang demikian kesnya, dapatlah dikecualikan.

Cukuplah dulu di sini mengenang Gaza (yang majoriti dari kita mampu lakukan). Sempena tahun baru ini apa lagi kalau tidak menyemai azam yang baru setelah benih yang ditanam tahun lepas mati kering. Terkesima sebentar apabila mendengar seorang ustaz mengingatkan, kita asyik sibuk berusaha bermati-matian untuk benda-benda yang akan kita tinggalkan, sebaliknya benda yang akan kita bawa kita abai-abaikan. Betapa jahilnya jiwa ini. Teramat benarlah kenyataan tersebut bagi majoriti (majoriti lagi) kita umat yang bergelar Islam di atas dunia ini. Jadi, sempena azam tahun baru Hijrah ini marilah kita mengumpul sebanyak-banyak bekalan untuk akhirat kelak. Bukan nak duduk syurga sehari dua tau, tapi 'selama-lamanya' (jangan cuba-cuba mencongak-congak berapa lamanya selama-lamanya itu, nanti boleh jadi mereng). Selamat beramal dan jangan lupa mendoakan umat seagama di Palestin. Mereka adalah saudara-saudara kita juga yang mungkin akan berjiran dengan kita masa kat syurga nanti, wallahua'lam.

Mozar : Jangan putus asa dengan rahmat Allah serta nusrah dari Allah s.w.t wahai saudara-saudaraku di Palestin. Teruskan berjuang dan berjihad memartabatkan tanahair dan hapuskan laknatullah kafir Yahudi. KO Zionis! KO Yahudi! eh eh!
 
 

Pusing kot mana pun Palestin terus-terusan dibedil. Rupa-rupanya banyak proksi-proksi yang lempar batu terus tidur.
X+Y+Z/GAZA = ??? Dipinjam Dari Big Like Video (facebook).

Wednesday, September 26, 2012

Selamat Menuju Ke Alam Barzakh, Kakak!

Tanggal 22 September 2012, kira-kira jam 10.50 malam kakak yang disayangi telah selamat kembali ke Rahmatullah, hanya 4 hari selepas harijadinya yang ke 46.Begitu kehendak Allah s.w.t. Kakak pergi jua walaupun segala usaha perubatan dan kerohanian telah dilakukan. Seminggu bertarung dengan kesakitan akibat stroke. Ada pendarahan di dalam otaknya. Kakak koma dan krirtikal selama seminggu tersebut. Alhamdulillah, pemergian kakak begitu tenang dan mudah sekali, semasa masih di dalam koma.

Rasa amat terkilan kerana tidak berpeluang berlama-lama dengan kakak sejak beberapa lama. Kakak bertukar sekolah mengikut suami nun di selatan tanahair. Sejak dari itu, agak sukar untuk kami bertemu. Kalau adapun cuma sekejap, di hari-hari perayaan utama. Di hari raya tahun-tahun yang lepas juga tidak lama.

Di kala ini, apa yang tinggal ialah kenangan-kenangan pahit dan manis bersama kakak yang menerpa saban waktu bila sahaja teringatkan kakak. Arwah adalah satu-satunya kakak yang saya ada, di samping ada seorang adik perempuan dan juga seorang abang. Hilanglah pula kini kakak sebagai yang sulung sebagai pengganti mak yang juga telah pergi pada 2009. Tidak lama rupanya jarak pemergian mak dan kakak. Memang segalanya berlaku dengan pantas. Tidak pernah disangka kakak pula akan menyusul dengan sebegini cepat. Semasa Aidilfitri yang lepas kakak masih sihat dan ceria seperti biasa. Tiada langsung tanda-tanda yang arwah akan meninggalkan kami.

Masa kecil kami di Tapah, Perak mula menggamit segala macam nostalgia dan peristiwa. Kakak memang teman rapat semasa kecil. Terlalu banyak kenangan yang tidak habis-habis kalau hendak diceritakan. Beza umur kami hanya 3 tahun, maka jurang perbezaan itu tidaklah begitu besar. Memiliki beberapa bakat dan minat yang sama membuatkan kami agak serasi. Banyak perkara yang kadang-kadang agak gila-gila kami lakukan bersama. Namun, apabila saya mula belajar di asrama penuh, hubungan itu telah agak renggang sedikit. Hanya sesekali dapat bertemu di cuti-cuti sekolah. Apabila kakak pula melanjutkan pelajaran di maktab perguruan dan terus mengajar makin jauhlah jarak hubungan kami. Perpisahan kali ini adalah perpisahan untuk jangkamasa yang sangat panjang, dan semoga kami diketemukan semula di alam syurga. Amin.

Seingat saya, kakak banyak melalui pelbagai dugaan yang berat-berat dari Allah s.w.t. Dari disahkan menghidapi jantung yang berlubang sehinggalah dugaan melalui anak-anak yang sakit serta seorang anak yang meninggal dunia semasa kecil. Bagi jiwa yang lemah dan rapuh memang tidak tertanggung agaknya menerima ujian-ujian sedemikian. Kakak memang tabah dan cekal mengharunginya. Tidak kelihatan pun garis-garis keperitan di wajahnya selama hayatnya, malah nampak 'sempoi' dan ceria sepanjang masa.

Semoga kakak akan berada di makam yang terbaik di sisi Allah s.w.t kerana berjaya mendepani segala ujian dan dugaan tanpa menyesali nasib atau berkeluh kesah. Kumpulkanlah kakak, Ya Allah di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh hendaknya. Semoga kakak juga sedang berbahagia bertemu dengan yang telah mendahului seperti nenek moyang, saudara mara, kawan-kawan dan yang paling teristimewa, arwah anaknya dan juga arwah mak. Sesampainya di sana kakak jangan lupa menyampaikan salam rindu saya pada arwah mak ye! Mesti arwah mak juga tersangat gembira bertemu kakak.

Mozar : Semoga kematian setiap insan adalah merupakan suatu 'happy ending' seperti hikayat-hikayat indah di syurgaloka. Maka itu, mengapa perlu bersedih dengan kematian, sebaliknya kita yang masih hidup ini perlu mengirimkan bekalan sebanyak mungkin buat mereka menerokai alam barzakh dengan jayanya.

Gambar arwah yang paling terbaru sebelum arwah kembali ke Rahmatullah. Al-Fatihah buat Maizon bt. Khadijah. Semoga damai dan bahagia DI SANA.
 

Saturday, September 8, 2012

Telah Merdekakah Kita Jika...

Pada hari ini masih belum terlambat kiranya untuk kita menghayati makna kemerdekaan negara kita yang mana kita masih lagi berada di dalam Bulan Kemerdekaan 2012, yang mana akan berakhir dengan sambutan Hari Malaysia pada 16 September nanti. Sudah 55 tahun kita meraikan kemerdekaan negara. Makna Merdeka yang hakiki ialah apabila kita bebas dalam mengamalkan apa jua pegangan agama tanpa sebarang halangan dan kekangan. Tiada orang yang akan mengancam, mengugut atau mengacukan senjata apakala kita hendak menunaikan solat di surau-surau ataupun di masjid-masjid. Tiada ketakutan langsung untuk kita bermasyarakat, mencari rezeki dan meneruskan kehidupan seharian. Apakah tidak kita kecapi kebebasan seperti ini selama 55 tahun kita merdeka?

Memanglah tidak semua bentuk kebebasan boleh kita kecapi dengan sewenang-wenangnya di atas mukabumi ini. Semua aspek dalam kehidupan ini terkandung undang-undang dan peraturannya yang tersendiri. Sekecil-kecil peraturan ialah di dalam rumah-rumah kita, sekolah-sekolah kita sehinggalah kepada sebesar-besar peraturan dan perlembagaan yang telah termaktub di dalam negara. Jangan kita pertikaikan mengapa kita tidak boleh buat itu dan ini yang bercanggah dengan norma kehidupan serta pelik di mata masyarakat umum. Sedangkan di dalam rumah kita sendiri, sebagai ketua keluarga kita cenderung untuk mengeluarkan segala bentuk peraturan dan larangan kepada isteri dan anak-anak kita. Jika tidak berbuat demikian maka hancurlah sesuatu institusi kekeluargaan itu. Begitu juga akan hancurnya sesebuah negara jika segala aspek kehidupan tiada peraturan dan undang-undang yang perlu dipatuhi.

Sebagai seorang mukmin yang sejati juga, kita juga sebenarnya terpenjara dari melakukan sebarang kerosakan, dosa dan maksiat di atas dunia ini. Pokoknya, tidak semua perkara dalam hidup kita harus merdeka. Kita masih lagi hidup dikandung adat, adab serta peraturan-peraturan ciptaan manusia. Akan tetapi, terdapat pula perkara-perkara yang kita sepatutnya merdeka tetapi kita sendiri yang masih terbelenggu dan terjajah tanpa kita berusaha untuk keluar dan memerdekakan diri sendiri. Sesungguhnya kemerdekaan terbesar dalam diri ialah apabila dapat melawan tuntutan hawa nafsu dan terlepas dari bisikan syaitan dan iblis. Jika dua perkara tersebut kita gagal, janganlah anggap diri kita sudah merdeka. Memandangkan ramai dari kita masih 'belum merdeka', maka wujudlah satu persoalan, 'Telah merdekakah kita jika....'(teruskan membaca).

Telah Merdekakah Kita Jika...

* Di subuh yang hening dan dingin, kita masih terus dibaluti selimut sehingga terlepas dari menunaikan solat Subuh saban hari. Jika dalam tuntutan pekerjaan atau sebarang temujanji boleh pula bergegas bangun dan lalu janji ditepati. Ini baru kitaran hidup yang basic bagi satu permulaan hari. Bagaimana pula untuk menghadapi perkara-perkara yang lain sepanjang hari?

* Kita masih perlu berpakaian dengan acuan orang-orang Barat sehinggakan mendedahkan aurat di sana-sini. Di kala ramai orang telah berhijrah dengan mengenakan tudung, kita pula masih berbangga mengurai-nguraikan rambut di hadapan berjuta-juta manusia yang bukan mahram. Yang lelaki pula ada yang terpaksa berkot dan bertali leher, yang kelihatan sangat kebaratan, walaupun bukan kes mendedah aurat. Rimasnya tengok, tak sesuai la dengan cuaca di Malaysia yang panas terik begini.

* Kita masih lagi tertipu di sana-sini dengan sindiket penipuan secara telefon, email, gores dan menang, pelaburan tidak sah, skim cepat kaya dan pelbagai lagi kaedah dan taktik. Hakikatnya, orang yang pernah tertipu cara-cara tersebut adalah orang yang bersifat tamak dan tidak dapat berfikir secara waras dan kritikal semasa kejadian. Akhirnya, dalam keadaan marahkan sang penipu, mereka juga terpaksa menyesali kebodohan dan kerakusan diri sendiri.

* Kita terus-terusan takut dengan apa tanggapan orang lain terhadap diri kita walaupun kita berbuat sesuatu perkara yang baik dan murni. Contoh paling hampir ialah mengadakan kenduri kahwin secara kecil-kecilan. Tak ramai yang berani buat majlis yang ringkas dan menjimatkan kerana takut-takut sampai tujuh keturunan orang akan masih bercerita tentang majlis kenduri kahwin tersebut. Ironinya, jika majlis yang bapak grand kebaboom sekalipun, jika yang hadir ramai terkena cirit-birit, sampai tujuh keturunan jugalah orang akan terus mengata-ngata.

* Kita masih terus mendewa-dewakan segala bentuk hiburan yang datangnya dari luar negara. Jarang-jarang sekali kita terbit dan obses dengan satu fenomena asli yang 'Made in Malaysia'. Mungkinlah beberapa ikon hiburan yang lalu seperti Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, Allahyarham Dato' Sudirman, Dato' Siti Nurhaliza mahupun Mawi dengan gelombang 'Tsumawi'nya pernah menggemparkan rakyat Malaysia suatu masa dahulu. Pengaruh yang dibawa oleh ikon-ikon negara tersebut dilihat sangat positif dan beradab sifatnya, tidak seperti yang datangnya dari luar, kebanyakannya merosakkan jiwa rakyat.

*Kita masih percaya untuk bergaya dan kelihatan hebat kita perlu menggunakan barangan dari yang berjenama serta yang mahal-mahal sahaja. Hakikatnya, jika kena dengan gaya dan cara penggunaan, barangan berharga murah serta yang 'berjenama negara' pun masih boleh membuatkan anda nampak hebat. "Apa salahnya kasut saya buatan Gombak?" ujar Vanidah Imran dalam satu iklan kemerdekaan sedikit masa dulu. Mahal tak semestinya hebat, murah tak semestinya 'koman'.

* Kita masih mencari hiburan dengan cara yang melalaikan serta menyalahi hukum syarak. Contohnya, ramai orang yang berhibur dengan cara berjudi, minum arak, berdisko berdangdut, menagih dadah & pil khayal, melanggan pelacur dan pelbagai lagi cara yang lagho dan maksiat. Bukan tidak ada hiburan yang baik-baik seperti beriadah, bersukan, melancong, jalan-jalan cari makan atau pelbagai cara lagilah. Yang penting jangan berhibur dengan cara yang sengaja cari pasal atau yang cari masalah.

* Kita asyik berhasad dengki terhadap kejayaan dan kesenangan orang lain. Seandainya kelebihan orang lain itu adalah hasil titik peluh dan penat lelahnya sendiri, apa perlunya kita berperasaan dengki dan khianat terhadapnya. Lainlah segala-galanya yang dikecapinya itu hasil dari kerja-kerja yang kotor. Adanya orang yang senang dan berharta, kita juga yang boleh menumpang tui. Mintalah derma itu dan ini banyak-banyak darinya. Kalau bukan diminta secara terus sekalipun, dia tentu sekali akan membayar zakat dan cukai pendapatan (bersangka baik). Semua orang akan merasa akhirnya. Apa nak dengki-dengki.

* Bila nak tidur kita masih beralih ke kiri, kanan, atas dan bawah disebabkan resah gelisah hingga susah tidur memikirkan pelbagai masalah dan dilema dalam diri. Ada yang perniagaan di ambang bahaya, ada yang putus kasih, ada yang berkonflik keluarga, ada yang bermusuh-musuhan serta banyak lagilah yang konflik-konflik yang hadir dalam diri. Jika diikut-ikutkan sangat boleh mengakibatkan seseorang itu sakit mental. Maka itu, belajarlah menangani segala macam masalah secara positif.

Begitulah adanya. Bukan senang sebenarnya untuk menafsirkan istilah merdeka ini. Namun, kita masih beruntung kerana negara kita bebas merdeka dari penjajahan secara fizikal oleh kuasa-kuasa asing. Dari segi anasir-anasir senyap yang cuba menjajah seperti dakyah Yahudi, Kristian, Freemason, Illuminati dan sebagainya, hanya diri kita sendiri yang dapat mengubahnya. Benda-benda penjajahan secara halus sedemikian rupa sangatlah mudah untuk kita kekangi secara dalam diri berbanding dengan terpaksa mengangkat senjata untuk mengecapi kemerdekaan sepertimana negara-negara lain yang sedang bergolak ketika ini. Semoga Allah s.w.t mengubah nasib negara-negara Islam yang masih dan sedang tertindas di merata pelusuk dunia ketika ini, Amin ya Rabbal Alamin. Sesungguhnya, harga sebuah kemerdekaan sesuatu negara itu sangatlah mahal. Akhir kata, Selamat Hari Raya, Selamat Hari Merdeka dan Selamat Hari Malaysia.

Mozar : Merdeka yang sebenar-benar merdeka ialah bila kita telah menjejakkan kaki ke alam syurga nanti. Buatlah apa sahaja yang anda suka dan inginkan. Jangan kacau bini orang, buat huru hara, merompak dan menyamun sudah. Rasanya confirm tak akan ada pun sifat-sifat busuk macam tu kat syurga nanti, sebab kita semua akan jadi baik budi pekerti, penuh sopan dan santun serta kasih mengasihi. Wallahua'alam. Semoga semua dari kita akan bertemu jua di sana nanti akhirnya. Amin.

Iklan Merdeka Petronas yang sangat nostalgik serta menyentuh perasaan dan ego seorang manusia.

Monday, August 27, 2012

Ramadhan Dah Berlalu, Amalan Apa Yang Masih Melekat?

Kata pujangga ada menyebut, 'batu yang berguling tidak akan mengumpulkan lumut'. Maknanya kalau batu itu duduk senyap di suatu tempat untuk suatu masa yang lama, lumut-lumut akan terkumpul di permukaannya. Jika ia sentiasa berguling ke sana ke mari, tiada sedikitpun lumut yang akan melekat di atasnya. Contoh batu yang berguling ialah batu-batu sungai yang sentiasa hanyut di bawa arus. Begitulah juga kehidupan kita sebagai manusia. Jika kita tidak fokus, tidak sabar, tidak tawadduk, buat kerja tak habis dengan sentuh sini sikit, sentuh sana sikit, kita tidak akan mendapat apa-apa di penghujungnya. Ramadhan telahpun berlalu, siapa yang untung, siapa yang rugi? Ramadhan adalah umpama sebuah 'Universiti' yang mendidik kita dengan nilai-nilai murni serta amalan-amalan yang soleh.

Berbicara tentang amalan di bulan Ramadhan yang lalu, apakah amalan soleh yang masih terlekat dalam diri anda yang mana anda masih kekal mengamalkannya sehingga ke hari ini? Tolong jangan jawab solat Tarawih, kalau tak kena lapor ke pejabat agama le pulak. Contohnya, dalam bulan Ramadhan anda banyak membaca Al Quran, berzikir, bertahmid, bersolat-solat sunat, bersedekah, berjemaah Subuh dan sebagainya. Amalan yang mana satukah yang masih melekat di hati sanubari anda, ceciter, ceciter. Amalan-amalan zahir seperti mengurangkan nafsu makan, meninggalkan rokok, meninggalkan perkara-perkara haram dan maksiat, memperbanyakkan sabar, jujur serta amanah dan sebagainya boleh juga dimasuk kira dalam tajuk ini.

Adakah anda dari kategori batu yang berguling atau batu yang duduk diam? Bagi anda yang jenis berguling, tentu sahaja amalan apa pun tak lekat. Orang lain beramal macam-macam, anda pula cari kerja yang lagho dan tak berfaedah semata-mata untuk melalikan puasa (menahan lapar dan dahaga). Padahal kalau tidur di bulan Ramadhan pun dapat pahala dengan syarat bukan tidur sepanjang hari. Ada orang yang melalikan puasa dengan cara melayan TV selagi ada cerita, sukan atau sinetron. Ada yang pergi memancing sampai tak bersolat langsung. Ada yang melayari internet sampai terlajak ke laman-laman larangan. Macam-macam caralah orang buat untuk sekadar menahan lapar dan dahaga. Guling-guling ke sana ke mari sepanjang Ramadhan, akhirnya sampai takbir Aidilfitri bergema, anda hanya dapat habuk. Lebih malang lagi, sifat-sifat lalai yang baru tercipta di bulan Ramadhan yang lepas telah melekat pula dalam diri anda. Elok-elok sebelum puasa tak bisa menonton sinetron, kini sudah mula melanggan siaran Pelangi pula. Untunglah Astro...

Andai anda tergolong dalam batu yang diam dan pegun, pastinya banyak perkara-perkara baik dan berfaedah yang masih terlekat dalam diri anda. Sekurang-kurangnya solat Subuh berjemaah telah menjadi agenda baru dalam hidup anda. Masa bulan puasa, solat Subuh agak senang dikerjakan sebab ianya hampir sangat dengan waktu Imsak. Di sinilah indahnya Ramadhan, ianya melatih kita menjadi seorang yang lebih soleh daripada biasa. Besar sungguh fadilatnya jika kita dapat mengerjakan 2 rakaat sunat sebelum Subuh. Pahalanya lebih baik dari dunia dan seisinya. Itu belum lagi mengerjakan solat Subuh secara berjemaah. Bagi yang sudah terlekat keenakan membaca Al-Quran pula, syabas diucapkan. Al-Quran akan dapat menyelamatkan kita dari azab siksa sedari kita mula dimasukkan ke dalam kubur lagi. Akan muncul seorang pemuda yang akan menghalang Malaikat Munkar & Nakir daripada menyoal kita di dalam kubur. Jika di dalam kubur sudah selamat, apatah lagi perjalanan yang seterusnya, kerana kubur adalah merupakan taman-taman syurga, yakni halaman kepada mahligai-mahligai di syurga nanti.

Jika anda merupakan batu yang berguling, belum terlambat untuk anda berhenti berguling. Cuma anda diumpamakan sebagai main-main dan culas semasa belajar di Universiti Ramadhan. Sudahnya anda tidak mendapat pahala yang besar di bulan Ramadhan dan di kemudian hari akan terus liat untuk beramal di bulan-bulan lain kerana anda tidak berlatih secukupnya semasa Ramadhan. Jika anda merupakan batu yang pegun pula, janganlah tiba-tiba panas punggung lalu berguling-guling tak tentu arah pula. Teruskan sifat-sifat mulia dan soleh yang anda pelajari di Universiti Ramadhan untuk selama-lamanya, 'for the rest of your life'. Tak lama manapun sebenarnya untuk kita terus jadi baik dan beramal soleh untuk seumur hidup. Kehidupan di dunia ini terlalu singkat dan usia kita juga tidak dapat dijangkakan.

Semoga Ramadhan yang baru lepas ini mencatat rekod terbaik dalam diri anda. Tahun depan pecahkan pula rekod anda itu lagi. Kalau hebat lagi, pecahkan rekod orang lain pula. Bagi yang tahun ini pecah muka dan pecah jari kerana mercun, tahun depan tak payahlah nak pecahkan rekod tu lagi. Yang buruk-buruk tu tak payah diajar, yang elok-elok aje yang naik fed up mengajarnya.

Mozar : Buat semua muslimin dan muslimat, selamat mengerjakan puasa sunat Syawal pula. Pahalanya seperti kita telah lengkap mengerjakan ibadah puasa selama setahun. Bagi yang nak raya tu jangan le anggap lepas puasa 6 baru boleh raya, tu ajaran mana tu. Bagi yang tak nak buat puasa 6, takpe, tak paksa pun. Esok di akhirat nanti, jangan le jeles kalau orang makan kijang panggang, awak makan ciak panggang aje (perumpamaan aje, jangan le ambil bulat-bulat, hohhh!).

Wednesday, August 15, 2012

Hari Raya, Jalanraya, Hantu Raya & Pilihanraya..??

Tinggal 3 hari sahaja lagi kita akan meninggalkan bulan Ramadhan 1433 Hijrah. Agak-agaknya berapa banyaklah amalan kita yang diterima Allah sepanjang Ramadhan ini. Harap-harap puasa kita diterima Allah kerana itulah amalan utama yang wajib bagi setiap umat Islam. Kalau puasa dah gagal, amalan-amalan lain tak tahulah bagaimana pula statusnya. Bersempena dengan mood raya yang kian membuak-buak bagi setiap orang, marilah kita lihat perkara-perkara yang agak sinonim dan berkaitan dengan musim raya ini, kecuali pilihanraya?? Melainkanlah kalau pilihanraya dibuat dalam bulan Syawal, maka ianya memang amat berkaitan.

Bila sebut pasal hari raya, ramai yang gembira, teruja, terkesima dan tidak kurang juga yang pening kepala, trauma mahupun yang bersedih. Ia bergantung kepada keadaan semasa seseorang itu. Yang paling gembira tentulah kanak-kanak yang masih tak tahu apa-apa dan tidak memikul apa-apa tanggungjawab. Yang tak kurang gembiranya ialah gadis-gadis yang baru nak naik, melaram dengan baju serba baru serta yang dah mula ada buah hati pengarang jantung. Tak kurang gembira juga ialah anak-anak yatim serta anak-anak yang miskin ketika mereka diraikan dengan penuh meriah. Orang-orang yang dah dewasa atau telah menjejak usia emas dah agak berkurangan dah keriangannya di hari-hari raya begini. Apapun keadaannya, kegembiraan itu sebenarnya boleh dicipta. Ciptalah kegembiraan anda sendiri di hari yang mulia ini nanti tidak kira dalam peringkat umur yang mana anda berada. Dengan syarat, yang muda buat cara muda, yang tua buat cara tua, jangan dicampur adukkan, nanti jelek pula di pandangan orang lain.

Bila sebut pasal jalanraya, semua orang akan terbayang jalan-jalan yang 'jam' dekat-dekat nak raya ini. Lebih-lebih lagi sehari sebelum raya, tak tahu nak disumbat ke mana dah kereta-kereta yang bersepah-sepah di jalanraya. Bagi yang ada pengalaman hitam di jalanraya pasti akan segera terimbas semula bayangan-bayangan itu di depan mata. Bagi yang akan balik ke kampung halaman pula pasti akan berasa teruja walaupun terpaksa menempuh kesesakan mahupun terpaksa berjam-jam mengesot macam siput, demi kampung tercinta, redah ajelah. Cuma masa nak balik ke rumah sendiri nanti perasaannya tidak akan lagi teruja, sebaliknya tension memanjang bila 'jam' di sana sini. Bagi yang kaki bawa kereta laju-laju pastinya trauma dengan road block dan speed trap di sana sini bersempena Op Selamat 1. Bagi mereka ni, tak payah la nak laju-laju sangat, semua orang kalau boleh nak sampai dalam sekelip mata juga, tapi apakan daya, sama-sama susah, sama-sama senang dan semua orang kena saling beralah, saling memberi dan saling menerima. Yang perlu dielakkan dalam memberi atau menerima ialah samada saman, penampar, maki hamun, cium bontot, kena usung ke hospital atau lebih tragis lagi ke bilik mayat.

Bila sebut pasal hantu raya, ramai yang dah meremang bulu tengkuk. Ada yang kata rupanya seperti seekor beruk yang besar dan ada pula yang kata ia boleh menyerupai rupa pembelanya. Hantu-hantu ni ada orang kata tak wujud. Tapi ramai yang pernah nampak hantu. Iblis, syaitan dan jin memang wujud dan ada diceritakan di dalam Al-Quran. Hantu-hantu ni rasanya dari spesies jin, tu yang boleh dibela-bela oleh manusia tu. Jika syaitan dirantai di bulan Ramadhan, jin-jin pula tidak. Jin ada yang Islam, ada yang kafir. Itulah sebabnya ada orang yang masih mendakwa nampak hantu walaupun di bulan Ramadhan. Jangan terkejut jika anda masih boleh terserempak dengan hantu raya di bulan Ramadhan ini kalau benarlah hantu raya itu dari spesies jin. Dia pun nak buat persiapan raya juga, busuk-busuk 3 jenis kuih raya wajib ada.

Bila sebut pasal pilihanraya, ramai yang buat muka pelik, muka tak puas hati, muka benci menyampah, muka slenga, muka 'ada aku kisah' ataupun muka teruja. Buatlah muka macam mana sekalipun, tarikh pilihanraya tetap masih lagi rahsia. Undi anda pun rahsia. Cuma yang menang aje tak akan dirahsiakan. Kalau yang menang pun rahsia, haru biru juga jadinya. Pada wakil rakyat yang mana satu kita nak mengadu minta itu minta ini. Siapa yang memerintah pun tak tahu. Rakyat pun jadi mati kutu dibuatnya.

Cukup la merapu setakat ini. Dah nak dekat raya dah. Maka dengan ini, saya mengambil kesempatan ini untuk memohon ampun dan maaf zahir dan batin kepada semua pembaca-pembaca, pelawat-pelawat, pelintas-pelintas, pesesat-pesesat (yang pernah sesat ke sini) dan apa-apa 'pe' lagilah seandainya ada tulisan-tulisan saya yang begitu menghiris hati anda semua. Anggaplah ianya hanya teguran ikhlas atau sekadar renungan untuk difikirkan bersama. Saya pun bukannya baik sangat, namun dengan cara menulis benda-benda yang baik-baik dan bermanfaat maka sahamnya di akhirat tetap akan diperolehi juga sedikit sebanyak, InsyaAllah. Akhir kata, Selamat Hari Raya Aidil Fitri Minal Aidin Wal Faizin.

Mozar : Dah berkurun tak membeli kad raya sejak zaman internet dan zaman handset ni. Kalau masa sekolah rendah dulu, kawan duduk sebelah pun siap diberi kad raya sambil ditulis amaran, 'pecah kaca pecah gelas' lagi. Kalau tak balas, tahun depan nampaknya blacklist le kawan tu.


Iklan yang sedang hangat diperkatakan sekarang. Semoga mendapat sedikit keinsafan darinya. Siapa yang tak nangis tengok ni tak boleh raya! 

Friday, August 10, 2012

Ramadhan : Masa-Masa Kemuncak Telah Tiba!

Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang bergembira dengan kedatangan Ramadhan, Allah akan mengharamkan tubuhnya daripada disentuh api neraka.”

Sudah 21 Ramadhan kita lalui sehingga ke hari ini. Bergembirakah kita dengan kehadiran Ramadhan kali ini serta Ramadhan-Ramadhan yang sebelumnya? Siapa yang belum gembira tu rasanya belum terlambat lagi untuk berasa gembira. Bukan calang-calang ganjaran yang dijanjikan Allah s.w.t sempena Ramadhan ini, lebih bernilai dari segala apa yang ada di langit dan di bumi ini. Siapa yang tak rasa gembira tu tak dapeklah den nak nolong kecuali diri anda sendiri. Siapa yang gembira Pandelela Rinong menang pingat gangsa Olimpik awal pagi tadi, OKlah sikit-sikit, tapi mestilah tidak sehebat gembiranya terhadap kedatangan Ramadhan.

Nampaknya sekali lagi kita sedang berada di fasa 10 hari terakhir Ramadhan seperti tahun-tahun yang lepas. Inilah fasa kemuncak di mana terdapatnya Lailatul Qadar yang mana ganjaran pahalanya adalah seperti kita beribadat selama 1000 bulan atau lebih kurang 83 tahun lamanya. Berapa ramailah sangat yang mampu sampai ke usia keemasan begini selain nenek Wok dan beberapa orang di dunia ini yang masih boleh dikira dengan jari (walaupun bukan seorang punya jari).

Jika setiap tahun anda mendapat ganjaran umpama 1000 bulan ini, berapa ribu bulankah yang anda akan dapat, kiralah sendiri sebelum anda bertemu Ramadhan yang seterusnya. Jika umur anda 40 tahun contohnya, dah ada dalam 25,000 bulan, tolak umur akil baligh. 1000 bulan tahun depan belum confirm lagi tau, kot-kot tak bertemu lagi Ramadhan. Dahsyat sungguh ganjaran ini. Kalau anda tidak teruja langsung dengan janji Allah ini, maknanya iman dan taqwa anda sedang sakit tenat. Ganjaran depan mata kita bermatian-matian nak cuba dapatkan, walaupun sekecil satu scoop asikrim, ooppss!

Oleh yang demikian, selagi ada kudrat, selagi ada kemudahan, keamanan, kelapangan dan selagi masih ada matahari, bulan dan bintang, beramallah kita sebanyak-banyaknya. Jangan sampai kita miskin di akhirat nanti dek kerana kurang amal atau dek terlalu banyak 'deduction' sebab terlalu banyak buat dosa pada orang lain. Sekurang-kurangnya bila kita banyak pahala, dapatlah kita 'cover' bayar hutang bagi pahala kat orang lain yang kita umpat keji atau kita khianati semasa Hari Pengadilan nanti. Wallahua'lam.

Sekurang-kurang amalan tetapi sangat meriah untuk dikerjakan di bulan Ramadhan ini ialah dengan menunaikan solat Tarawih. Kalau tak mampu berTarawih, perbanyakkan zikir atau bertilawah Al-Quran. Amalan-amalan yang wajib jangan sesekali pula ditinggalkan, jangan hanya mengejar Tarawih sedangkan solat-solat fardhu tercicir. Pahala amalan sunat akan berganda seperti amalan fardhu manakala yang fardhu pula akan digandakan sebanyak 10 kali. Hanya di Ramadhan! Tawaran hebat ini akan terbatal dalam lebih kurang 8 hari sahaja lagi. Cepat! Cepat! Kita rebut sebelum terlambat sepertimana terlambat nak dapatkan aiskrim free apabila jam telah menunjukkan pukul 10 malam.

Sekian sahaja buat kali ini. Kalau tiada aral dan masih ada idea untuk entri Ramadhan, InsyaAllah kita bertemu lagi di minggu hadapan sebagai minggu terakhir Ramadhan. Sedih tak Ramadhan dah nak habis? Tolong tanya kat iman anda sekejap. Kalau ada yang rasa sebak tu baguslah. Kalau ada yang menitis air mata tu, syabas! Kalau ada yang meraung-raung tu, anda memang terbaekkk!

Mozar : Kalau musim Piala Dunia atau Euro ramai orang yang sanggup bersengkang mata dan mengekang nafsu seks untuk menonton bola. 10 malam terakhir Ramadhan ini harap-harapnya orang-orang yang sama ini sanggup pula berbuat perkara yang sama juga untuk beramal ibadat di malam-malam hari.


Monday, August 6, 2012

Emas Yang Sangat Liat

Siapa yang tidak tahu menahu berita Datuk Lee Chong Wei semalam, sila angkat tangan! Ada la dua tiga orang angkat tangan. Seorang duduk dalam gua dan 2 orang lagi duduk bawah tempurung. Apapun memang frust habis, kita hampir-hampir sangat untuk menggenggam emas pertama Sukan Olimpik. Malangnya Lin Dan juga yang lebih memiliki tuah walaupun peluang menang agak seimbang. Mana-mana pihak pun boleh jadi juara jika kena dengan gayanya. Melepaslah ganjaran bernilai kira-kira RM5 juta bagi Chong Wei. Bagi kita pula, melepaslah hadiah percuma aiskrim Baskin Robbins, Kayu Nasi Kandar serta kemungkinan besar sekali, cuti 'peristiwa' seluruh negara.

Nampaknya masih liat betul negara kita nak mengecapi emas Olimpik. Harap-harap Olimpik 4 tahun lagi akan muncul satu atau beberapa bintang baru bagi acara apa sekalipun yang akan memecahkan tembok Olimpik yang liat ini. Perkara mendapat pingat emas inipun, masa kita belum pernah dapat atau baru dapat sedikit kita begitu teruja untuk mendapatkannya. Jika dah berpuluh-puluh pingat emas digapai kita pun sudah tidak begitu 'heran' sangat dah. Macamlah kes Dato' Nicol David yang asyik menang aje di merata kejohanan dunia, kita pun taklah begitu teruja sangat untuk mengetahui keputusan setiap perlawanannya lagi, tak begitu? Jangan tipu nak mengaku.

Dah tak ada rezeki namanya nak buat macam mana. Apapun kita perlu hormat dan kagum dengan semangat perjuangan Chong Wei sehingga ke mata-mata akhir. Beliau telah mengerah segala kudrat dan segala teknik dan taktik yang ada untuk mengatasi Lin Dan. Dia memikul beban yang amat berat di belakangnya kerana seluruh rakyat Malaysia menaruh sebesar-besar harapan terhadapnya. Kalau untuk dirinya sendiri sahaja, tidaklah terasa gusarnya sangat. Apapun, ternyata Lin Dan masih berada di dalam kelasnya yang tersendiri. Namun, beliau tetap nampak cuak dan gelabah juga kerana ke mana sahaja dia pergi, dia terus dibayangi oleh Chong Wei. Malu dan takut kalau-kalau kali ini dia tertewas pula. Semangat Tembok Besar China dalam bidang sukan bukan lagi calang-calang. Kuasa besar seperti Amerika Syarikat pun sudah tidak senang duduk lagi kerana asyik dibayangi oleh pungutan pingat emas demi pingat emas dari China. Saat entri ini ditulis China masih mendahului dengan kutipan 30 pingat emas mengatasi Amerika dengan 28 emas.

Sebagai seorang Islam yang beriman kita perlu yakini bahawa jika Allah tidak mengurniakan sesuatu hajat atau keinginan kita itu, bermakna Allah mempunyai perancangannya yang lebih baik untuk kita. Umpama kita dikurniakan hujan lebat dan guruh petir yang zahirnya menyusahkan, di penghujungnya Allah ingin mengurniakan pelangi yang sangat indah buat kita. Biarlah kita kalah sekalipun asalkan Allah s.w.t masih mengurniakan keharmonian, keselamatan dan kebahagiaan buat seluruh rakyat Malaysia, selagi ada bulan dan bintang. Kalau kemenangan Olimpik ini jadi tiket untuk sesuatu negara itu jadi kuat dari segi ketenteraan dan pertahanan, menjadi negara yang disegani dan dihormati hingga negara luar tidak berani masuk campur atau paling kurang rakyatnya tiada yang miskin melarat, silakanlah berjuang bermati-matian sekalipun. Macam alasan klise orang yang kalah pula, tapi sebenarnya inilah fleksibiliti, berfikiran positif serta tegar meneruskan kehidupan dengan lebih positif.

Siapa yang miss Tarawih kerana Badminton semalam sila angkat tangan! Huii ramainya!! Rugi berganda la nampaknya. Kalau menang ada la juga rasa puas hati. Memang la feelnya tak sama menonton secara langsung berbanding dengan siaran ulangan. Ikut pandai-pandai andalah, nanti ada yang marah kata tak patriotik pula, uhuhuk. Bagi yang pandai berTarawih sendiri bolehlah buat kemudian selepas menonton tu, bagi yang tak pandai pula dapatlah telur ayam. Inilah yang tak baiknya Olimpik berlangsung di bulan Ramadhan. Agak terjejas jugalah kehadiran Isyak dan Tarawih, tak seperti hari-hari biasa.

Mozar : Kagum dengan peserta dari negara underdog contohnya, Ruta Meilutyte dari Lithuania yang entah dari ceruk mana tiba-tiba memenangi emas acara renang 100m kuak dada sehingga mengalahkan peserta dari Amerika Syarikat. Kagum juga dengan kejayaan Ye Shiwen dari China yang mengundang ragu tak beralasan dengan mengatasi rekod dunia lelaki dalam acara renang 400m medley individu.

Melatih atau menyeksa? : Perlukah Malaysia berbuat sebegini rupa? Nak kena hambat dengan parang cubalah buat. Lin Dan pernah 'diseksa' macam ni juga ke? Pendapat saya, kita tak perlu sampai begini.  Jadikan sukan-sukan ni sebagai suka-suka aje, bukan untuk cari musuh atau cari pengaruh. World peace!
Gambar-gambar lain yang berkenaan sila lihat di sini

Thursday, August 2, 2012

Ramadhan : Apa Yang Kita Nampak & Apa Yang Kita Tak Sedar

Bertemu lagi kita di bulan Ramadhan yang mulia ini. Nampaknya semenjak dua menjak ini semakin meningkat jumlah pembaca-pembaca yang sudi singgah di halaman saya ini. Terima kasih di atas sokongan tuan-tuan dan puan-puan sekelian (yang adik-adik atau anak-anak mungkin tak berminat nak baca kot). Kali ini bersempena Ramadhan yang masih berbaki berhari-hari lagi marilah kita selidiki pula perkara-perkara yang kita nampak jelas dan perkara-perkara yang kita mungkin tidak sedar dalam kita berpuasa sehari-hari. Berpuasa ini hakikatnya memupuk sifat sabar, amanah (tak curi-curi makan minum), rajin beribadat, rajin membaca Al-Quran, mula belajar-belajar menjauhi rokok dan pelbagai lagi sifat-sifat mulia yang lain jika ianya benar-benar dihayati dengan tekun.

Janganlah kita berpuasa kerana semua orang berpuasa, kerana rutin hidup, malu kat orang lain, nak dapat upah ataupun sebab ustaz-ustaz kata wajib puasa. Ini adalah perintah Allah yang unggul dan dijanjikan dengan pahala dengan berlipat kali ganda. Seharusnya, hayatilah Ramadhan ini dengan sepenuh jiwa dan ikhlas kerana Allah s.w.t kerana ibadah puasa hanyalah untuk Allah s.w.t berbanding amalan-amalan lain yang untuk diri kita sendiri. OKlah mari kita saksikan apa maksud tajuk entri ini untuk kita ambil iktibar ataupun sebagai renungan.

* Apa yang kita nampak, seolah-olah semua umat Islam di sekeliling kita berpuasa. Kita tak sedar bahawa ramai di antara umat Islam ini yang mencuri-curi makan di bulan ini termasuk orang-orang yang tidak kita sangka-sangkakan.

* Apa yang kita nampak, macam wanita-wanita Islam di sekeliling kita ini semuanya sedang berpuasa. Kita tak sedar entah bilalah yang 'sedang bercuti' itu menyorok-nyorok makan. Takkan sanggup berlapar seharian, melainkan kalau kita berpuasa, kita dah memang setkan dalam otak, jadi laparnya tidak terasa sangat. Kadang tu ada yang sanggup pura-pura bersahur dan berbuka bersama-sama dengan orang lain kerana malu jika dilihat sedang 'bercuti ke luar negara'.

* Apa yang kita nampak, orang berbondong-bondong bersolat Tarawih di masjid-masjid dan surau-surau. Kita tak sedar bahawa tidak semua orang yang rajin berTarawih itu rajin menunaikan solat-solat 5 waktunya. Bersangka baiklah perkara ini tidak pernah berlaku. Kalau benar, janganlah jadikan Ramadhan ini pentas lakonan opera semata-mata. Padahal untuk solat-solat fardhu, ganjarannya akan digandakan berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan yang lain manakala solat-solat sunat pula akan diberi pahala seperti solat yang fardhu.

* Apa yang kita nampak, anak-anak kita yang dilatih berpuasa keletihan bagai nak rak bila berpuasa. Kita tak sedar yang mungkin anak-anak tersebut berpuasa pura-pura dengan minum air paip atau makan chickadees sorok-sorok di belakang kita. Yang penting dapat upah berpuasa bila raya nanti. Bukan budak-budak sekarang aje yang buat taktik ini, budak-budak dulu-dulu pun sama aje, tak boleh kata mengata lagi dah.

* Apa yang kita nampak, orang berborong-borong membeli juadah berbuka puasa. Kita tak sedar bahawa, dalam ramai-ramai itu ada yang puasa 'yang yok', yang puasa pura-pura, yang 'sedang bercuti', yang gastrik tiba-tiba, yang beli makanan ikut belakang kedai mamak dan macam-macam penyamar-penyamar yang lain. Yang untungnya peniaga-peniaga, semua dia lump sum.

* Apa yang kita nampak, juadah berbuka puasa kita sampai tak muat meja di rumah-rumah kita. Kita tak sedar apalah pula juadah (atau layakkah dipanggil juadah) yang sedang dinikmati oleh orang-orang yang fakir dan miskin.

* Apa yang kita nampak, setiap kali Ramadhan kita terpaksa mengeluarkan zakat fitrah. Kita tak sedar bahawa kita diwajibkan membayar fitrah kerana kita masih tidak tergolong dalam golongan yang fakir miskin. Wang zakat dari kita itulah yang akan membantu golongan fakir miskin tersebut setiap tahun bagi menghadapi persiapan Syawal yang mendatang.

* Apa yang kita nampak, kita rasa letih dan lapar seperti sia-sia sahaja (bagi yang kurang iman, jangan maraa) bila berpuasa. Kita tak sedar bahawa, berpuasa ini juga merupakan satu latihan mental dan fizikal bagi kita menghadapi saat-saat sukar ketika darurat, contohnya seperti ketiadaan makanan dan minuman. Perang Badar sendiri berlaku pada 17 Ramadhan, tahun 2H. Ianya berakhir dengan kemenangan besar bagi tentera Islam yang diterajui oleh Nabi Muhammad s.a.w. Inilah antara hikmah Ramadhan.
* Apa yang kita nampak, segala bentuk bidang pekerjaan di dunia berjalan seperti biasa seperti bulan-bulan yang lain. Kita tak sedar bahawa pengorbanan bagi mereka yang bekerja di sektor perburuhan sangatlah berat dan besar di bulan ini. Syabas dan salute kepada umat-umat Islam yang masih tegar bekerja keras walaupun dalam keadaan yang lapar dan dahaga. Harap-harapnya ekonomi umat Islam di serata dunia tidak sedikitpun terjejas di bulan yang mulia ini.


* Apa yang kita nampak, puasa hanya dapat lapar, dahaga dan letih semata-mata. Kita tak sedar bahawa terdapat banyak manfaat kesihatan yang boleh didapati daripadanya. Antaranya menurunkan paras gula darah, merendahkan kolesterol, menyingkirkan toksin dan banyak lagi.

*  Apa yang kita nampak dan baca hanyalah kelebihan puasa seperti di atas hasil dari kajian-kajian saintifik yang lama. Kita tidak sedar sebenarnya saintis Barat terus-terusan membuat kajian tentang manfaat puasa ini dari masa ke semasa. Kajian terbaharu ialah puasa boleh mengelakkan pengecutan otak manusia dan mencegah kanser (mari baca di sini). Mungkin dari sifat fobia mereka terhadap Islam, mereka ini sentiasa mencari-cari apakah amalan-amalan umat Islam yang bermanfaat yang boleh menyebabkan umat-umat Islam ini kuat dan mempunyai sifat survival yang tinggi. Wallahua'lam.

* Apa yang kita nampak Sukan Olimpik London 2012 dirasmikan secara gilang gemilang di bulan Ramadhan tahun ini. Kita tak sedar bahawa mungkin ada dakyah Yahudi tersembunyi di sebalik penganjurannya di bulan yang mulia ini. Sudahlah satu demi satu elemen-elemen yang dipersembahkan mempunyai unsur-unsur Freemason dan lluminati (baca di sini). Ataupun, pertubuhan rahsia itu semakin cuba menonjolkan diri dengan lebih jelas lagi di mata dunia. Berhati-hatilah kita dengan fitnah Dajjal di akhir zaman ini. Setidak-tidaknya Olimpik di bulan Ramadhan ini hanyalah untuk melalaikan umat-umat Islam supaya terpaku di depan TV saban waktu dan acara sukan. Ironinya, walaupun disogok dengan acara bertaraf dunia sedemikian, umat Islam masih ramai yang belum terlalai untuk memenuhi acara solat Tarawih secara besar-besaran di seluruh dunia. Yang menonton sukan itu hanya pada sebelum atau selepas bersahur pun ramai. Yang pentingnya amalan puasa tetap diteruskan walau digoda dengan apa sahaja 'gula-gula' di dunia ini.

* Apa yang kita pernah nampak ialah satu hadis tentang akan berlakunya satu peristiwa besar di bulan Ramadhan bagi tahun 2012 ini. Kita tak sedar bahawa ianya adalah hadis palsu apakala pertama kali kita membaca atau mendengarnya sehinggalah ada penerangan oleh ulama-ulama mengenainya. Rupa-rupanya ianya adalah hadis palsu ciptaan zionis Yahudi yang ingin menakut-nakutkan umat Islam. Takut tak, takut tak? Macam tak logik langsung pun ada. Tak ada roh atau aura hadis langsung, sesat lagi menyesatkan. Hadis palsu itu adalah seperti berikut :
Nu'aim bin Hammad meriwayatkan dengan sanadnya bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda :
Bila telah muncul suara di bulan Ramadhan, maka akan terjadi huru-hara di bulan Syawal.." Kami bertanya: "Suara apakah, ya Rasulullah?" Beliau menjawab :

"Suara keras di pertengahan bulan Ramadhan, pada malam Jumaat, akan muncul suara keras yang membangunkan orang tidur, menjadikan orang yang berdiri jatuh terduduk, para gadis keluar dari pingitannya, pada malam Jumaat di tahun terjadinya banyak gempa. Jika kalian telah melaksanakan shalat Subuh pada hari Jumaat, masuklah kalian ke dalam rumah kalian, tutuplah pintu-pintunya, sumbatlah lubang-lubangnya, dan selimutilah diri kalian, sumbatlah telinga kalian. Jika kalian merasakan adanya suara menggelegar, maka bersujudlah kalian kepada Allah S.W.T dan ucapkanlah: "Mahasuci Al-Quddus, Mahasuci Al-Quddus, Rabb kami Al-Quddus!", kerana barangsiapa melakukan hal itu akan selamat, tetapi barangsiapa yang tidak melakukan hal itu akan binasa".


* Akhir sekali, apa yang kita nampak ialah ramai dari kita yang telah berjaya menghabiskan Ramadhan dengan jayanya tanpa meninggalkan walau sehari pun kecuali wanita dan orang yang ada uzur syarie. Kita mungkin tak sedar yang puasa kita itu sebenarnya tidak berkualiti kerana banyak perkara-perkara makruh yang telah kita lakukan termasuk makan sampai nak pecah perut bila berbuka ataupun kejar asap rokok dahulu bila sahaja masuk waktu berbuka. Nak tahu bahaya kejar rokok dahulu sebelum makan, nah baca kat sini!


Nampak tak apa yang kita nampak atau yang kita tak sedar sepanjang kita berpuasa Ramadhan ini. Ada yang macam lucu tapi ianya memang berlaku ataupun kita memang tak pernah ambil tahu mengenainya. Pendekata, apa yang baik itu dijadikan iktibar, yang buruk itu kita jadikan sempadan. Selamat meneruskan puasa dengan lebih bersemangat dan lebih berhati-hati lagi menjaga tata tertibnya.
Mozar : Apa yang kita nampak ialah Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengumumkan tarikh permulaan puasa dan juga tarikh Hari Raya. Kita mungkin dah tak sedar dah yang pengumuman tersebut tidak langsung menyebut tentang anak bulan, samada kelihatan atau tidak.
Maskot London 2012 : Maskot yang hodoh yang dikatakan ada unsur Dajjal yang bermata satu.

Thursday, July 26, 2012

Ramadhan Datang Lagi : Babak & Skrip Berulang Lagi?

Syukur Alhamdulillah dapat lagi kita menghirup udara Ramadhan yang mulia ini buat ke sekian tahunnya. Bagaimana amalan-amalan anda setakat ini, kurus atau gemuk? Badan kurus le sikit kot. Seperti saban tahun yang berlalu pastinya babak-babak dan skrip-skrip Ramadhan terus diulang-ulang bak rancangan-rancangan di Astro. Nak tahu apa perkara-perkara yang di'rerun' beratus-ratus kali setiap kali tibanya Ramadhan, marilah kita melihatnya satu persatu.

*Sehari sebelum berpuasa, berduyun-duyunlah orang memenuhi pasar-pasar dan pasar-pasar malam untuk membeli barang-barang keperluan Ramadhan. Dah macam 'hari memasak' nak raya pulak. Dan juga dah ala-ala nak simpan stok makanan bagi menghadapi musim sejuk yang panjang.

*Bazar dan gerai Ramadhan tumbuh bagai cendawan di merata-rata tempat. Ada yang sedap sampai berbaris orang membelinya. Ada yang tak sedap, sehari dua dah tutup gerai. Ada yang jual benda basi, berbakul-bakul kena sumpah seranah. Ada yang buruk dan tercemar, berduyun-duyun orang masuk hospital. Ada yang tuan gerai tak puasa pun ada, memang melampau!

*Ramadhan juga amat sinonim dengan bunyi-bunyi mercun dan meriam. Tengok ajelah nanti siapa yang kena! Stok-stok mercun sentiasa ada di pasaran gelap. Dah tak boleh buat apa dah untuk mengekangnya. Selagi ada permintaan di situ ada penawaran.

*Masa membeli juadah berbuka borong sampai nak rebah. Bila berbuka makan selagi mahu sampai nak rebah. Bila membuang makanan yang terbazir tong sampah bagai nak rebah. Bila bertarawih asyik mengantuk kekenyangan sampai nyaris-nyaris nak rebah.

*Orang-orang yang dicekup tidak berpuasa terus-terusan jadi fenomena saban tahun. Badan sihat, gemuk, tinggi, otak waras, cukup sifat, cukup pakai tetapi tetap tidak berpuasa. Imannya aje yang tak cukup sifat. Orang yang kencing manis atau gastrik pun berusaha gigih untuk berpuasa, inikan pula yang sihat bulat.

*Bila tiba bab soaljawab agama tentang puasa, ada la timbul soalan-soalan yang ustaz-ustazah pun dah jelak dah nak jawab. Balik-balik tanya apa hukumnya kalau lupa berniat puasa ataupun batal ke tidak kalau korek hidung dan korek telinga. Apa hukumnya menerima suntikan ataupun menderma darah. Balik-balik juga tanya boleh ke bersetubuh di malam hari dan apa hukumnya jika tak mandi wajib selepas waktu Imsak. Soalan-soalan macam ni masa sekolah menengah pun dah pernah cover dah. Takpun dalam internet, majalah dan suratkhabar pun berlambak. Jangan malas membaca.

*Kalau dulu persoalan Tarawih 8 rakaat atau 20 rakaat terus-terusan jadi perbalahan dan kekhilafan. Tapi kini, kekhilafan tersebut agak reda kerana kebanyakan masjid dan surau telah mula melakukan Tarawih 8 rakaat sahaja. Kalau tidak, tempat-tempat yang buat 20 rakaat tu pecutannya macam peluru, sampai nak tarik nafas atau sendawa pun tak sempat. Pahala entah ke mana, dapat exercise aje. Kesian kat makcik-makcik dan pakcik-pakcik yang sakit lutut.

*Soalan-soalan yang amat popular di bulan Ramadhan pula ialah "Awak beraya di mana tahun ni?" Ini persoalan yang terpaksa diputuskan oleh para suami isteri awal-awal puasa lagi supaya tak jadi perang besar masa Raya nanti. Ikutkan memang lelaki berhak memutuskan untuk ke rumah ibunya sendiri, kerana dia masih bertanggungjawab penuh ke atas ibu bapanya. Cuma lelaki ni lebih matang, bertoleransi dan senang diajak berbincang. Maka timbullah istilah giliran, raya tahun ni rumah mak kau, raya tahun depan rumah mak aku, raya tahun lagi depan rumah mak madu kau la pulak.

*Bab nak raya ni, mak bapak la yang pening kepala kerana nak menyediakan baju-baju dan kelengkapan raya. Pakaian kanak-kanak sekarang ni rata-rata dah mengalahkan harga pakaian orang dewasa. Sedangkan baju kanak-kanak, tak banyak pakai kain dan tak payah nak tarik dan jahit kain sampai lebih sedepa pun. Musykil juga harganya mahal. Nak kata rumit, sekarang banyak kerja-kerja rumit dah diambil alih oleh mesin-mesin jahit yang canggih-canggih. Bagi yang kurang berkemampuan, susah hati juga time-time raya ni. Tak sampai hati juga tengok anak-anak asyik pakai baju jualan lelong aje. Nak juga sesekali pakaikan KIKI ke, LALA ke, KOKO ke atau apa-apa entah lagi. Apa jua keadaan pun mesti anak didahulukan, gaya diutamakan. Mak bapak beralah le pakai baju murah-murah, beli satu dapat dua, untuk laki bini sekali.

*Lepas episod baju raya selesai, datang pula episod kuih raya. Busuk-busuk nak juga sebalang atau sebangsa dua. Nanti apa pula kata tetamu yang berkunjung kalau kita tak ada kuih raya langsung. Tengok biskut-biskut raya di kedai-kedai boleh juling juga biji mata, mesti last-last tersambar juga sebekas dua. Makannya tak ada tara mana sangat, tapi nafsu membeli tu yang jahat. Beli banyak-banyak, habis raya sudahnya ke tong sampah jua. Habis bab kuih, bab duit raya pula. Busuk-busuk terbang juga seratus dua. Yang tak boleh tahan tu, budak-budak sekarang dah pandai meminta-minta dan juga mengira-ngira duit di depan kita. Mahu tak mahu kena la sediakan juga duit raya sebelum kita dimalukan di khalayak tetamu. Benda dah terajar sejak dulu kala, dah tak boleh nak diundur lagi dah.

*Bagi perantau-perantau di kota-kota besar, balik beraya di kampung adalah suatu perkara yang sangat-sangat mengujakan. Walau apa cara sekalipun, balik mesti balik walaupun menumpang lori sayur sekalipun. Tiket-tiket bas dan keretapi laku bagai goreng pisang panas. Awal-awal Ramadhan lagi tiket dah 'sold out'. Meraung-meraung le yang tak dapat tiket balik tu. Tak apa, cuba lagi di tahun depan. Takpun terpaksa le menaiki bas-bas tambahan, bas-bas sekolah ataupun bas-bas haram. Bagi yang bekerja di bandar-bandar kecil boleh ketawalah tengok orang lain bermati-matian balik raya, hendak-hendak yang melawan arus pula. Orang balik ke Utara, dia balik ke Selatan. Macam saya le tu!

*Bercerita tentang juadah di pagi raya pula, teringat saya beberapa tahun lepas ada seorang pemanggil ke sebuah stesen radio sambil menangis-nangis menceritakan tentang kisah raya yang menyedihkan. Kisahnya lebih kurang, pemanggil tersebut telah pergi ke suatu rumah orang yang miskin dan mempunyai ramai anak di suatu pagi raya. Apa yang dilihatnya ialah juadah yang terhidang di pagi raya itu hanyalah kangkung atau bayam yang direbus yang dihadapi dengan penuh selera dek anak-anaknya yang ramai itu. Sampai sekarang bila saya teringatkan kisah tersebut rasa sebak tak boleh ditahan-tahan. Dalam kemewahan kita hari ini, ada orang lain yang sedang menderita kesusahan. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada dan jangan lupa membantu orang yang di dalam kesusahan.

*Bila nak dekat raya, suasananya mesti lebih havoc. Berkeliaranlah orang ke sana kemari mencari ayam itik lembu kambing, rempah ratus dan cabai cibin nak buat juadah wajib di pagi raya. Masa tu, Tarawih pun dah tunggang terbalik. Biasa la, minggu pertama memang sendat mendat masjid dan surau. Minggu-minggu akhir dan masa-masa kecederaan, surau lengang dan lega. Senang le sikit nak bernafas. Makmum yang sahut selawat pun ala-ala manja aje. Takut-takut juga suara tu kuat sangat terdengar dek orang lain. Kalau awal-awal Ramadhan macam nak pecah masjid suara orang berselawat. Berbalik kepada esoknya nak raya, sibuklah orang-orang membuat 'final touch up' kepada projek raya masing-masing. Yang menjahit baju tak tidur-tidur le sampai subuh. Yang merebus ketupat dan yang membakar lemang berkotak-kotak le rokok menunggunya masak.

*Yang tak syoknya dekat-dekat nak raya, bazar Ramadhan dah ramai yang mula bungkus gerai. Pilihan makanan pun dah tak banyak sangat. Hanya yang betul-betul laku aje yang akan bertahan ataupun yang tak berapa laku tapi mengambil kesempatan berniaga sebab tak ramai orang buka gerai. Masa tu juga biskut-biskut raya juga mula dijual secara berleluasa, nak muntah tengok banyak sangat kuih-kuih dan biskut yang sama dipamerkan. Kadang tu, warna dan hiasan aje yang beraneka rupa, rasanya macam dibuat satu bancuhan aje. Kuih-kuih tradisional juga yang mantap. Dah tentu rasanya berbeza-beza antara satu sama lain.

*Menjelang raya juga banyaklah sms-sms berpantun dan berkias dilayangkan kepada kawan-kawan dan sedara mara. Semuanya main forward aje, sms yang kitar semula. Kalau sms macam tu perasaan membacanya agak 'kureng' sikit, tiada berjiwa sebab ucapan-ucapan tersebut bukannya lahir dari isi hati sebenar pengirim. Cubalah karang sendiri lain kali ye, supaya lebih menyentuh hati, lebih-lebih lagi dikirimkan kepada musuh-musuh seumur hidup anda. Mudah-mudahan anda akan berbaik semula. Biasanya raya-raya macam ni hati orang-orang agak lembut dari biasa. Senang aje dapat memaafkan kesalahan-kesalahan orang lain. Siap sebak dan sedu sedan lagi bila bermaaf-maafan secara zahir dan batin.

*Satu-satunya episod yang kita harap tidak akan berulang di bulan Ramadhan ini ialah tragedi kemalangan jalanraya yang telah meragut sejumlah nyawa seperti yang pernah berlaku dalam beberapa Ramadhan yang lepas-lepas. Tak sanggup lagi mendengar tragedi balik kampung yang menyayat hati. Biarlah semua perantau-perantau dari pelusuk manapun dapat sampai ke destinasi masing-masing dengan selamat dan sejahteranya. Hari Raya adalah hari kemenangan yang perlu disambut dengan riang dan gembira dan bukannya dengan kisah sayu dan pilu.

Kesimpulannya, perkara-perkara yang dipaparkan di atas tiada satu pun yang baru. Kesemuanya diulang tayang tahun demi tahun. Mesti bosan anda nak baca, kan? Tapi, disebabkan ianya dekat di hati kebanyakan dari kita, maka kita boleh terima juga kan. Jadi, tidakkah anda ingin mengubah mana-mana babak dan skrip yang sama ini, lebih-lebih lagi yang teruk-teruk tu? Marilah sama-sama kita mengubahnya kerana hanya kita sendiri yang mampu mengubahnya. Sekian, selamat menjalani ibadah puasa dengan penuh bererti dan penuh keuntungan, dunia dan akhirat.

Mozar : Semenjak ketiadaan mak, raya dah tak berapa nak meriah lagi. Tak dapat nak cium tangan mak, peluk mak dan kucup dahi mak lagi di pagi raya. Saat-saat terindah itu telah tiada lagi. Semuanya telah menjadi lipatan sejarah yang akan terus dikenang-kenang selamanya.

Mangsa mercun : Umpama drama sekuel atau drama yang di 'remake' sepanjang zaman. Harap-harap janganlah sepanjang Nada Nada Nada Nada Nada Cinta. Bosan banget!

Thursday, July 19, 2012

Bijaklah Mencipta Suasana

Duduk rumah, bosan. Duduk luar rumah, bosan. Duduk pejabat, bosan. Duduk kedai makan pun bosan. Apa nak jadi ni? Hidup diselubungi bosan, bosan, bosan. Siapa yang membosankan sebenarnya? Anda atau keadaan dan persekitaran anda? Rasanya, 90% keadaan andalah orang yang membosankan, bukannya persekitaran anda berada. Tak pandai mencipta suasana atau kata orang putih, tak pandai nak create a situation.

Bumi Allah ini tidak seinci pun membosankan melainkan dibosankan oleh orang-orang yang membosankan. Ada orang yang boleh merasa bosan menonton sesebuah filem sedangkan majoriti orang menyukainya. Ada orang yang bosan berulang alik ke tempat kerja setiap hari sedangkan ada yang teruja untuk ke tempat kerja. Faktor tarikan bagi kedua-dua jenis orang yang suka dan yang tidak suka tadi sudah tentunya berbeza-beza. Contohnya, bagi yang suka atau tidak menyukai sesuatu filem, mungkin ianya dinilai dari konsep penceritaannya, pelakonnya, sinematografinya, ataupun jalan ceritanya. Jangan pelik bila filem yang pelik-pelik pun ada pengikutnya yang tersendiri.

Contoh kedua, bagi yang merasa gembira ke tempat kerja ialah bila dia ikhlas bekerja bagi meraih rezeki halal buat keluarganya demi kesinambungan hidup. Kalau tiada kerja maka melaratlah kehidupan seluruh keluarganya. Ini satu contoh orang yang bersyukur dengan apa yang ada. Ada juga yang gembira ke tempat kerja kerana ada 'skandal' yang menanti saban hari. Ada yang gembira kerana dia memang cintakan pekerjaan yang dia lakukan. Bak kata mutiara, 'bila kita mencintai pekerjaan kita, kita seperti tidak pernah bekerja selamanya'.

Bagi yang bosan ke tempat kerja boleh jadi kerja yang dibuat tidak setimpal dengan upah yang diberi. Atau boleh jadi sepanjang dia bekerja segala usahanya tidak pernah dihargai di tempat yang sepatutnya. Bosan juga boleh jadi bila hari-hari menghadap muka rakan sekerja yang tidak sebulu, yang hari-hari menyakitkan jiwa raga. Bosan juga bila tak ada kerja sangat nak dibuat, ke hulu ke hilir laksana mandur. Ngantuk sana, ngantuk sini. Cukup time balik. Bosan juga disebabkan terpaksa menempuhi lalulintas yang tak pernah senggang, ataupun terpaksa bersardin-sardin di dalam kenderaan-kenderaan awam dengan pelbagai ragam, pelbagai bau, pelbagai warganegara serta pelbagai warna kulit. Memang membosankan! Sakit hati!

Agak susah juga sebenarnya nak memperkembangkan tajuk bijak dalam mencipta suasana ini. Sebabnya memang banyak sangat keadaan yang bosan hardcore punya. Susah juga nak buat-buat bagi suatu keadaan bosan menjadi interesting. Tapi tak apa, semua keadaan boleh ditukarkan kepada menarik jika anda bijak menguasai suasana. Jangan suasana yang menekan diri anda. Jika tidak, lama kelamaan anda akan mendapat sakit jiwa. Pokok pangkalnya sentiasalah bersikap dan berfikiran positif di dalam apa jua keadaan yang anda hadapi.

Mari kita lihat beberapa contoh bagi mencipta suasana bosan kepada yang lebih ceria dan mengasyikkan. Bagi orang yang bosan duduk terperap di dalam rumah, pandai-pandailah mencipta kerja atau hobi yang menyeronokkan. Jika rumah anda bagai kapal yang sedang karam, pandai-pandailah untuk mengemasnya supaya mata lebih sejuk dan nyaman bila memandangnya. Kalau dah asyik kena kuak kain kotor, kain baru basuh tiap kali nak landing, masalah juga. Manalah tak bosan duduk di rumah. Ruang hidup tu semakin sempit. Sifat rajin harus dipupuk sedikit demi sedikit. Hari ini kemas bilik kecil dulu, esok kemas bilik tidur dan esok-esok lagi kemas ruang tamu pula. Tulat dan tonggeng offerlah nak kemaskan rumah jiran tetangga pula. Minta la upah sedikit sebanyak. Tak ke boleh mendatangkan pendapatan. Percayalah, rumah yang kemas dan teratur akan membuatkan fikiran anda tenang dan segar. Tak payah keluar berhibur di luar lagi. Lagi baik kalau anda masukkan home theater ataupun projector sekali dalam rumah anda. Tak payah nak keluar tengok wayang lagi, bagi yang kaki wayang. Bagi yang kuat beribadat pula, buatlah rumah anda ala-ala Masjidil Haram, Masjid Negeri ataupun Masjid Jamek. Sejuk perut ibu mengandungkan anda dulu.

Bagi yang tak ada hobi, tu yang dok melangu macam ayam berak kapur. Langsung tak tahu nak cari kerja yang berfaedah. Mulakanlah sesuatu hobi yang anda rasakan menarik. Malas nak beli majalah, layari aje internet. Berlambak-lambak tip-tip berguna bagi memulakan sesuatu hobi. Contohnya, seperti memasak, berkebun, bertukang, seni kraftangan atau juga jahit menjahit. Tetapi, pastikan benda-benda yang anda pilih itu yang anda benar-benar minat supaya anda sentiasa gembira melakukannya dan bukan pula menyebabkan anda jadi hamba atau terbeban kerananya. Yang terbaiknya, semua hobi-hobi tadi mampu menjana pendapatan yang lumayan jika anda betul-betul berjaya mengusahakannya. Boleh jadi anda tak perlu bekerja makan gaji lagi. Akhirnya, anda menjadi bos kepada satu perniagaan yang baru! Masih bosan lagi ke kalau wang berkepuk-kepuk masuk ke kantung anda?

Sebenarnya cara mengubah suasana ini berkait rapat dengan kreativiti anda sendiri. Sebagai contoh, suatu pembentangan kertas kerja atau tugasan yang membosankan boleh ditokok tambah dengan sedikit humor, teka-teki, pantun, soalan-soalan trivia mahupun kesan-kesan khas. Suatu ceramah agama atau tazkirah boleh ditambah dengan sedikit usik mengusik bagi memeriahkan suasana, seperti yang dilakukan oleh Ustaz Azhar Idrus ataupun Ustaz Kazim Elias. Sebaliknya, maki memaki dan hamun menghamun tak boleh tau! Begitu juga menu harian yang sama dan membosankan boleh anda meriahkannya dengan penambahan bahan-bahan baru di dalamnya ataupun tukar cara memasaknya. Lebih meriah lagi kalau anda mampu melakukan 'plating' seperti yang dilakukan oleh chef-chef terkenal apabila menghidangkan masakan mereka. Terasa selera tu lebih sedikit daripada dihidangkan secara selambak di dalam pinggan. Akhir sekali, semudah-mudah cara menghilangkan kebosanan ialah dengan membaca. Bacalah apa sahaja bahan bacaan yang berfaedah serta menghiburkan. Ilmu dapat, minda cerdas serta fikiran pun akan jadi lebih tenang.

Bercakap mengenai topik ini juga, teringat saya masa kecil-kecil dulu. Akibat terlalu bosan menonton iklan yang disogokkan secara bertali arus semasa rancangan kegemaran disiarkan, saya dan adik beradik telah mencetuskan satu idea. Kami mengubah suasana bosan tersebut dengan cara menulis senarai iklan-iklan yang kami jangkakan akan disiarkan sepanjang hari. Setiap seorang mempunyai satu senarai tersendiri. Nasiblah kalau ada yang sama tekaan. Apabila sesuatu iklan disiarkan kami akan tick pada senarai sendiri. Siapa yang paling banyak iklan yang diteka disiarkan dialah pemenangnya. Biasanya senarai itu akan terguna pakai untuk 2 atau 3 hari. Oleh kerana permainan ini, kami sentiasa pula ternanti-nantikan iklan apa yang akan keluar samada menepati tekaan atau tidak. Dari suasana bosan dan marah-marah boleh jadi terbalik pula. Apa yang penting kita harus bijak dalam mengubah suasana!

Mozar : Sempena Ramadhan Al Mubarak yang akan menjengah sehari sahaja lagi, marilah kita bijak-bijakkan diri untuk mengubah dari suasana lagho, sia-sia dan rugi-rugian kepada suasana iman dan amal yang membuak-buak. Perbanyakkan amal-amal soleh yang mendatangkan pahala dan rahmat Allah yang tidak terhingga itu. Tersangatlah rugi bagi siapa yang lewa dan meremeh-remehkan ibadat-ibadat di bulan yang mulia ini.

Mamat sorang ni bermasalah betul. Ni namanya tak menepati suasana dan berada di tempat yang salah.

Friday, June 29, 2012

Lain Orang Berbeza Masalah, Berbeza Rasa

Pernahkah anda terfikir akan apa masalah-masalah yang mungkin dihadapi oleh orang lain yang berlainan jantina, tempat tinggal, taraf hidup, pekerjaan mahupun yang berlainan status daripada kita? Jika tak pernah, anda memang seorang yang malas berfikir di luar kotak atau mungkin juga seorang yang terlalu mementingkan diri sendiri, betul tak? Bila tidak kisah atau tidak prihatin akan masalah atau kesusahan orang lain maka itulah namanya mementingkan diri sendiri.

Sebelum apa-apa, tahukah anda bahawa segala sesuatu barangan dan perkhidmatan di dunia ini adalah bermula daripada masalah-masalah manusia sendiri. Dari situ akan wujudnya peluang-peluang pekerjaan yang baru. Contohnya, trend yang terkini, perniagaan-perniagaan secara online wujud bagai cendawan tumbuh akibat dari masalah-masalah yang dihadapi oleh pembeli atau pengguna itu sendiri. Ada pembeli yang malas untuk keluar bershopping secara fizikal di kedai-kedai atau pusat membeli belah disebabkan oleh faktor-faktor seperti pengangkutan, kos perjalanan, 'pengikut' yang ramai dan sukar dikawal dan juga sekecil masalah parking. Jadinya, mahu tidak mahu, alternatif yang terbaik bagi mereka ialah dengan memesan barangan atau perkhidmatan secara dalam talian, tidak kira melalui telefon ataupun internet. Dengan cara perkhidmatan secara online ini, satu jenis masalah manusia dapat diselesaikan walaupun bukan secara total. Masalah penipuan dalam talian pula mungkin wujud.

Masalah seorang pelajar pula tak lari dari menyiapkan tugasan dan juga menghadapi peperiksaan demi peperiksaan. Bagi seorang pelajar yang rajin dan pintar, kedua-dua perkara ini bukanlah satu masalah yang sangat besar untuk diharungi. Bagi pelajar yang average pula, effort yang perlu dicurahkan bukanlah semudah memetik jari. Usaha mereka tentu lebih sedikit daripada pelajar-pelajar yang pintar. Maklumlah pick up agak slow, tu yang kena kerja lebih sedikit. Yang bijak pandai, baca sekali lalu pun dah faham dan boleh membuat tugasan serta menjawab soalan peperiksaan dengan baik. Namun, bagi pelajar yang tak ada masa depan pula, bagi mereka, tugasan dan peperiksaan samada dirasakan hanya menyusahkan hidup ataupun terlalu senang hati sampai tak kisah langsung samada nak lulus ataupun gagal sekalipun. Akhir sekali, bagi golongan pelajar penipu pembohong pula takkan ada banyak masalah juga. Segala kerja akan ditiru dan diciplak dari merata-rata sumber. Dalam peperiksaan pula bawa toyol 2, 3 ekor. Bila masuk alam pekerjaan nanti barulah teraba-raba, tak tahu itu, tak tahu ini. Ngabihkan boreh je!

Masalah juga boleh jadi berbeza-beza rasa apabila dilihat di dalam banyak aspek kehidupan. Dalam hal pengangkutan, contohnya, seorang yang berpendapatan rendah atau sederhana akan menghadapi masalah untuk memiliki kenderaan untuk pergi bekerja ataupun untuk kegunaan seisi keluarga. Hanya kenderaan kecil atau yang murah sahaja yang mampu dimiliki. Jika berkeluarga besar, berkereta kecil alamatnya bersesak-sesaklah seisi keluarga bagai sardin dalam tin. Jika tidak pun, separuh ahli keluarga terpaksa menaiki kenderaan awam. Bagi yang berpendapatan besar dan memiliki kenderaan mewah, tentulah rasanya lebih selesa. Namun, malangnya masalah yang akan timbul pula ialah takut-takut kenderaan mewah tersebut dicuri atau dirampas oleh sang penyamun. Sekarang ini kes samun dan curi kereta semakin menjadi-jadi. Ironinya, yang miskin tak mampu berkereta elok dan selesa, yang kaya raya pula, tak mampu nak berkereta murah-murah, jatuh standard atau badan boleh jadi gatal-gatal atau sakit-sakit limpa.

Ada satu lagi senario di mana masalah boleh jadi berbeza-beza rasa dari satu individu ke satu individu yang lain. Ianya berkenaan dengan komunikasi sesama manusia. Bagi seorang yang berani dan berketrampilan, muncul di khalayak ramai, berpidato, berhujah, bersyarah, mengajar mahupun membuat apa-apa persembahan kesenian, bukanlah satu masalah besar bagi mereka. Masalah mereka ialah dalam aspek bagaimana untuk memberikan persembahan yang terbaik dan yang lain dari yang lain. Sebaliknya, bagi seseorang yang sangat-sangat penakut dan pemalu, membuat penampilan seperti yang disebutkan tadi adalah umpama mengalami batu besar yang dihempap ke dada. Gejolak rasa takut, cemas dan berdebar-debar memang tidak dapat dibendung-bendung lagi. Habis sejuk beku kaki dan tangan dibuatnya. Hendak membuka mulut pun bagai rahang diikat-ikat apatah lagi jika disuruh membuat sedikit lakonan ataupun menari. Mahu pengsan di situ juga.

Itulah antara beberapa perkara yang dapat kita lihat di mana untuk situasi yang sama, dua individu berbeza akan mempunyai dua rasa yang berbeza. Seorang positif, seorang lagi negatif. Kepelbagaian rasa, citarasa dan tingkahlaku manusia inilah yang mewarnai kehidupan di dunia ini sehinggakan ianya boleh dijadikan peluang-peluang pekerjaan, dari sudut positifnya. Sebaliknya, di sudut negatifnya pula, kekurangan dalam diri manusia pula akan dijadikan peluang untuk mengeksploitasi golongan yang lemah. Selagi mana manusia hidup, pelbagai masalah tetap akan datang silih berganti. Hanya yang cekal dan bijak menanganinya sahaja yang akan terus berjaya dalam hidup.

Mozar : Masalah seorang penjual makanan ialah bilamana selera manusia sangat berbeza-beza. Bagi satu hidangan yang sama, ada pelanggan yang makan kata sedap, tetapi ada pula yang langsung tidak menggemarinya.

Wednesday, June 20, 2012

Biar Bergaduh Dahulu Jangan Bergaduh Kemudian

Kata orang tua-tua, biar bergaduh dulu jangan bergaduh kemudian. Memang ada benarnya juga ungkapan ini jika dilihat dalam banyak perkara. Maknanya, eloklah kita siap-siap gaduh-gaduh dulu jangan sampai mula-mula elok dan rela tetapi kemudian hari menyesal tak sudah lalu jadi gaduh. Siapa yang tak faham? Kalau tak faham mari kita tengok siapa yang kena dan siapa yang terkena!

Kes pinjam meminjam

Ini kes yang paling relevan dan paling banyak berlaku. Ianya tak kiralah pinjam duit ke, pinjam kereta ke, pinjam baju ke, pinjam laptop ke ataupun pinjam bini, eh! Perkara pinjam meminjam ni memang lazim dilakukan di mana-mana sahaja. Bukan orang yang susah aje yang selalu pinjam meminjam ni tapi, orang yang sangat boros, yang tak ukur baju di badan sendiri, yang sengkek berlagak kaya dan juga yang tak pandai menguruskan hidup adalah jenis-jenis orang yang banyak terjebak dalam perkara ini.

Dalam kes ini, cubalah sedaya upaya anda untuk tidak memberi pinjam apa yang dipinta walaupun anda terpaksa bertegang leher atau menyingsing lengan. Berilah apa sahaja alasan yang munasabah agar anda dapat terlepas dari memberi pinjam. Memang kejam bunyinya tapi demi kebaikan anda di kemudian hari secara berpanjangan, anda perlu juga buat. Biar bermasam muka dengan tidak memberi, jangan sakit hati selepas benda yang dipinjam tidak dipulangkan ataupun telah punah ranah. Jika tidak, sakitnya boleh merobek-robek sampai ke jantung, sudah terhantuk baru nak terngadah dan juga umpama nasi telah menjadi bubur.

Kalau anda rasa sayangkan duit atau sayangkan barang anda, janganlah bagi pinjam pada sesiapapun, tak kiralah pada saudara mara, kawan-kawan mahupun pada adik beradik sendiri sekalipun (kadang-kadang la). Masa meminjam, lembut gigi dari lidah. Masa membayar atau memulangkan, keras hati dari batu. Bila berlaku gaduh di kemudian hari begitu, cakap pun dah tak guna lagi. Alamatnya bergaduh sampai sudah le. Biasanya, bercakap dari pengalaman, kalau bergaduh siap-siap sebelum terjadinya pinjam meminjam ini gaduhnya takkan lama sebab tiada apa barang yang menjadi taruhan atau sandaran. Tak ada benda yang akan dituntut-tuntut sampai bawa mati daripada peminjam yang tak tahu malu.

Walaubagaimanapun, ada satu pengecualian di sini. Abaikan sekejap saranan brutal seperti di atas. Sekiranya anda seorang yang baik hati, tak kisah atau redha kalau orang tak dapat bayar balik hutang atau memulangkan semula barang anda, teruskan sahaja niat baik anda itu. Dengan syarat orang yang berhutang itu diketahui jujur dan bukan kaki kelentong. Ini kerana menurut seorang ustaz, memberi hutang/pinjaman adalah lebih baik dari kita bersedekah. 

Jika memberi hutang, orang yang meminta itu memang dalam keadaan benar-benar terdesak dan amat memerlukan pertolongan. Manakala memberi sedekah tidak semestinya diterima oleh orang yang betul-betul terdesak. Pendekata, menolong orang atau menunaikan hajat seseorang adalah sangat besar pahalanya. Lagi satu, besar juga pahalanya jika kita dapat halal menghalalkan segala hutang-hutang orang terhadap kita. Yakinlah bahawa ganjaran di akhirat nanti akan jauh lebih besar. Dengan cara begini, tak payah nak bergaduh dulu atau bergaduh kemudian. Lari tajuklah pulak! Bukan apa, setiap perkara di dunia ini perlu dinilai dari sudut pandang yang berbeza-beza. Barulah aman dunia.

Kes menjadi penjamin
Bunyinya lebih kurang aje dengan peminjam. Ini satu hal juga. Biasanya untuk membuat pinjaman kereta atau suatu pinjaman yang besar nilainya diperlukan seorang penjamin jika pendapatan seseorang itu cukup-cukup makan aje, bagi tujuan kelulusan oleh pihak bank. Bukan nak suruh anda dengan tegas dan hati keringnya untuk tidak mengizinkan diri anda menjadi penjamin. Tengok keadaan orang yang nak ditolonglah. Kalau si peminjam ada rekod yang bersih selama hidupnya, bolehlah dipertimbangkan. 

Jika si peminjam memang terkenal si kaki kapur, kaki gebang besar, kaki nak melaram tak padan dengan rupa, wajarlah anda cari gaduh siap-siap dengan orang tu. Bukan apa, takut merana seumur hidup di kemudian hari. Kurang-kurang anda yang akan kena blacklist. Anda sendiri juga yang akan terjerat dengan terpaksa jadi pak sanggup membayar hutang orang termasuk tidak boleh membuat apa-apa pinjaman di masa hadapan.

Kes pinang meminang atau nikah kahwin

Kes nikah kahwin ini pun bukan satu perkara yang boleh dibuat main-main atau cuba-cuba. Kesannya akan berpanjangan selagi nyawa dikandung badan. Jika terbukti hasil siasatan spy-spy anda bahawa orang yang datang meminang anak anda adalah seorang kacang hantu, seorang perengus, seorang penipu bersiri atau kasanova bersiri maka layaklah anda reject orang itu mentah-mentah, sebelum ia masak menjadi lauk. 

Moralnya, siasat dulu siapa calon menantu yang ingin meminang anak gadis anda. Jika rombongan yang datang tu siap berpantun-pantun 'buah cempedak di luar pagar', jawablah pantun tu dengan 'buah cempedak dah jadi nangka'. Faham-faham la mereka yang anda telah reject pinangan tersebut. Kalau ditaruh juga orang yang tak semenggah macam tu, kemudian hari anak dara anda juga yang akan makan nasi berulam jantung, itupun mujur dapat makan. Kalau anak dara anda dah gelenyar juga nak kahwin dengan orang tu, tak tahu lah nak buat macam mana, kan. Siap-siaplah dengan plan B, C atau terus sahaja ke plan Z.

Mozar : Rasa nak aje tengking telemarketer yang tak reti-reti bahasa yang kita taknak perkhidmatan yang ditawarkan. Tapi malas nak kurang ajar sangat. Senang offkan telefon dengan penuh berat hati (la sangat!!). Biar orang tu bengang dulu, jangan kita yang bengang kemudian hari dengan mengambil perkhidmatan yang kita memang tak perlukan langsung.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...