Thursday, March 22, 2012

Anda Kacak, Lawa, Bergaya, Cun Melecun Sehinggalah...

...anda jatuh dalam longkang. Betul tak? Dah jatuh longkang sure anda nampak bodoh dan hodoh sampaikan orang tergelak pecah perut melihat anda. Kalau nak cover malu cuba-cubalah buat lawak atau buat muka atau gaya bodoh. Barulah blend dengan situasi tersebut. Kalau masih nak control hensem/ayu masa tu pasti anda akan terus digelakkan orang.

Oklah, tajuk ni bukan pasal jatuh longkang tapi lebih mendalam lagi. Orang-orang yang kacak lawa bergaya ni kadang-kadang bukannya boleh control perwatakan mereka ni 24/7 atau 8 hari seminggu. Kadang-kadang mereka ni juga buat tingkahlaku yang tak berapa senonoh daripada orang yang tak kacak lawa. Ada yang secara sengaja ataupun ada yang memang tabiat sejak jadi lagi. Pernah dengar tak ungkapan orang putih, "Don't hate me because I'm beautiful"(jangan benci aku kerana aku cantik). Piirah mabuk orang nak benci sebab dia cantik, tapi orang benci sebab sifat-sifat buruk yang ada dalam diri orang yang perasan cantik tersebut. Kecualilah ada kes-kes terpencil orang cemburukan kejelitaan dan kebaikan budi seseorang itu kerana sering mendapat perhatian dan menjadi kesukaan ramai, lalu cuba menjatuhkannya. Cantik susah, tak cantik pun susah hati pula.

Cuba kita perhatikan sekeliling kita ke arah orang yang ada rupa atau yang tak ada rupa tapi control lawa ketat-ketat. Mereka ni nampak mengancam di pandangan mata sehinggalah mereka melakukan perkara-perkara seperti yang dipaparkan di bawah ini. Fail!!!! Langsung tak selera!

1. Mengorek bijih (tahi hidung) di khalayak ramai. Harga bijih tak menentu pun dia masih melombong tanpa segan silu di hadapan orang. Lepas tu sental celah mana-mana atau gentel-gentel sampai jadi kering dan bulat, lalu menjentiknya jauh-jauh. Senonoh tak? Kalau buat sorang-sorang bersunyi diri tu lantaklah.

2. Bercakap dengan mulut yang penuh dengan makanan sampai nak tersembur-sembur keluar apa yang dimakan. Kalau makan ikan bilis mau terjulur ekor-ekor ikan tu. Geli tau tengok gigi berselebet dengan makanan kalau orang tu masih nak bercakap juga. Telan la baik-baik dulu sebelum nak bercakap.

3. Sendawa besar lepas makan. Kalau sendawa kecil-kecilan tu manis le juga orang dengar sebagai tanda kenyang. Kalau dah macam bunyi badak menguak, tu lepas mentekedarah le namanya tu. Boleh pengsan orang sekeliling kalau orang tu sendawa bau petai, jering, atau durian. Tak senonoh ye!

4. Mengorek sisa-sisa makanan di celah-celah gigi dengan pencungkil gigi secara terbuka, tanpa selindung-selindung di sebalik tangan atau tisu. Lebih tak peka keadaan ialah bila ada yang mengorek ke dalam mulut dan celah-celah gigi menggunakan jari telunjuk. Lepas tu mengunyah-ngunyah ataupun meludah sisa-sisa makanan tu.

5. Menguap sebesar-besar alam tanpa menutup mulut. Sunnah Nabi ialah menutup mulut dengan belakang telapak tangan kiri sambil beristigfar kerana masa tu syaitan cuba masuk ke dalam badan. Lebih teruk lagi kalau yang tambah-tambah sound effect pula bila menguap macam buat "wa wa wa tu bulan..." sambil mengetuk-ngetuk mulut dengan telapak tangan.

6. Melepas bom atom atau bom saraf ketika orang lain sedang syok-syok makan atau bergebang. Potong betul!! Tak kira le kentut senyap atau kentut kebaboom, dua-duanya bikin panas..aje. Mau aje rasa nak sepak orang tu. Kalau nak melepas pun pergi le buat-buat minta diri ke tandas atau ke kedai menjual CD/DVD Muzik yang bising ke (untuk kentut besar). Kawan-kawan pun tak sakit hati kecuali jurujual kedai CD tu.

7. Menghembus segala hingus dan kahak di tahap maksima sampai macam bunyi seksofon atau trombone depan kawan-kawan. Lepas tu berkeruk-keruk bunyi kahak di tekak yang cuba dikeluarkan. Yang tengah menikmati minum petang dengan aman sentosa akan menjadi satu perang dunia ataupun medan pembuangan isi perut dek penangan membuang kahak tadi. Elakkan sama sekali melakukan perkara ini di medan-medan selera ye! Tak selera I!

8. Meludah sana, meludah sini tak kira dalam taman atau dalam pekan. Simpan dan kemam ajelah air liur tu sampai jumpa tandas. Bila kawan ajak bersembang, buat bahasa isyarat aje. Yang penting jangan sesiapa pun pernah nampak anda berludah di mana-mana, seolah-olah orang fikir anda tak ada air liur. Barulah anda nampak ayu dan jelita setiap masa dan ketika.

9. Bersin tanpa menutup mulut dan hidung. Dah tu bunyi macam orang tengah nak mengamuk pulak tu. Terkezut aku! Rasa nak marah betul bila orang bersin kuat-kuat macam tu. Hidung macam serombong keretapi kot. Ada sesetengah tu terlampau tak nak berbunyi bila bersin pula sampai tutup hidung dan mulut rapat-rapat. Yang keluar hanya bunyi "ciut". Itu dah melampau sangat, tak elok pula sebab itu akan merosakkan sistem dalam hidung dan telinga dek kelajuan angin bersin tu beratus kilometer sejam lajunya.

10. Bercakap berapi-api atau berasap-asap tentang topik hangat sampai tempias di sana sini. Tau-tau kawan-kawan slow-slow angkat kaki..."hujan dah turun..."

11. Bercakap dengan suara yang sangat nyaring atau terpekik terlolong macam terkejutkan polong. Tak ada adablah orang yang suka meninggikan suara ni. So annoying! (bahasa Melayunya, sangat memarahkan).

12. Bercakap mencarut itu dan ini, tak kira benda sendiri, benda mak ayah sendiri atau benda-benda orang lain. Satu lagi kes 'no manners', haprak, berulat! Biasanya benda-benda ni keluar waktu sedang marah berapi-api. Orang lawa-lawa tak manis marah-marah tau. Jatuh merudum saham tu. Kontrol le kemarahan tu seketat yang boleh. Kalau boleh lepaskan dengan tangisan yang teresak-esak tapi masih control ayu sambil menyeka airmata dan hingus dengan tisu atau sambil membetul-betulkan rambut atau tudung. Tapi awas! Lelaki yang macho-macho pula jangan buat macam tu, alih-alih tetiba jadi adik-adik. Yang macho kena control sedih/marah seketat yang boleh biar airmata tu jatuh berderai dengan sendirinya tanpa muka jadi 'termewek'.

13. Menggaru atau mengorek di tempat-tempat sulit atau yang tidak sepatutnya di khalayak ramai. Tapi ada juga yang kantoi berperilaku tak senonoh di tempat yang sunyi tapi sebenarnya terakam di dalam CCTV. Sangkanya tak siapa yang melihat. Tau-tau dah jadi kompilasi dalam YouTube.

14. Berbau hangit dan hapak tak tau dari celah mana. Paling kurang dari rambut la, malas nak cuci rambut selalu. Pakaian boleh tahan mahal dan berjenama tapi bau fail! Mesti orang sebegini jenis rumah yang berselerak macam kandang kambing. Cancel nak buat pasangan hidup kalau jumpa yang jenis macam ni.

15. Ada tompokan peta dunia dan peta topo di betis, di peha, di leher atau di muka. Tak payah pakai GPS pun boleh jumpa jalan, jika anda tergolong di dalam kumpulan seperti ini.

16. Tidak pandai berkomunikasi dengan baik di khalayak ramai atau dengan kawan-kawan sekalipun. Tanya sepatah jawab suku patah. Lepas tu buat-buat muka bodo atau slenga. Malas nak layan orang yang berat mulut, berat segala-galanya macam ni. Muka cantik pun tak guna kalau minda kosong.

17. Tidak pandai menjawab soalan dengan baik. Lain ditanya lain dijawab. Lepas tu buat-buat muka bijaksana. Ataupun dari spesies poyo tak bertempat. Cakap besar macam dia aje yang perfect dalam dunia ni. Suka melekeh-lekehkan orang lain dan berlagak pandai. Semua sifat-sifat tersebut hanya mengundang benci orang lain.

18. Bersikap ego, pentingkan diri sendiri, pemalas, kuat tidur, kuat makan, kuat merokok, kuat mengampu, kuat mengular/mengulat, kedekut, kaki menempek, kuat mencuri, kuat mengumpat, kuat memfitnah, kuat makan jamu (ni pun salah ke?) adalah sifat-sifat buruk yang semua orang tak boleh blah punya tak kiralah anda cantik atau tak cantik. Yang tak cantik pula kalau ada sifat-sifat macam ni langsung le tak berharga satu sen pun. Yang cantik tapi buruk perangai boleh juga jadi cover-cover majalah sebab segala keburukannya ter'cover', siapa yang tahu.

Dah le setakat ni, penat dah menaip. Tak akan habis-habis rasanya senarai ni. Sifat-sifat buruk manusia ni akan terus berevolusi dari masa ke semasa. Kalau zaman dulu masa tak ada internet, tak wujud orang yang gila internet atau gila Facebook sampai mengadap komputer berjam-jam sehari sampaikan kebajikan anak-anak pun terabai. Akan datang entah sifat buruk apa pula yang akan wujud, tunggu dan lihat sahajalah. Nak cakap pun malas!

Mozar : Anda kacak, lawa, bergaya, cun melecun sehinggalah ada orang lain yang memintas anda dengan kecantikan yang luarbiasa. Tak kiralah dengan kaedah susuk ke, Botox ke, Vitamin C+ ke, Lambor Weight Management ke, Ijok Skin Solutions ke atau Sungai Senam Hair Care.




Thursday, March 8, 2012

Hari Ini Hari ...........Ku!

Bagaimana hari anda hari ini? Ada sesuatu yang menarik berlaku tak? Kalau hari ini hari bosan anda, bawa-bawalah baca entri yang membosankan ini sebab saya sendiri pun bosan nak menulisnya. Kalau masih bosan juga pergi tengok cermin dan tengok sendiri muka bosan anda yang buruk tu. Hakikatnya, setiap hari apa yang akan anda hadapi dan alami adalah berbeza-beza. Mungkin hari ini lebih baik atau lebih buruk dari semalam. Mungkin hari ini akan membawa seribu satu harapan baru dalam hidup anda dan mungkin juga hari ini adalah hari terakhir anda bernafas di atas muka bumi ini (yang ni ramai yang takut, tiba-tiba segar balik muka bosan tadi). Apapun, di bawah ini dibentangkan beberapa jenis label-label hari yang memang dekat dengan kehidupan anda sehari-hari. Layankan!

Hari Gembiraku
Jika anda gembira tentu ada yang sedang membuat hati anda berbunga-bunga hari ini. Contohnya, anda menerima kenaikan pangkat atau kenaikan gaji. Ataupun hati sedang berbunga-bunga cinta hasil dari cinta yang berbalas setelah sekian lama bertepuk sebelah tangan. Ataupun gembira kerja-kerja anda yang tertangguh sekian lama kini telah beres. Paling tidak anda berasa gembira kerana mak pak mertua tak jadi nak datang bertandang berbulan-bulan lamanya di rumah anda (kes menantu hantu kubur).

Hari Malasku
Yang ni memang semua orang biasa mengalaminya saban hari dan malam. Kalau boleh tiap-tiap hari nak diisytiharkan sebagai Hari Malas. Nak bergerak dari keadaan rehat dan bersenang-senang memang le azab. Tak ramai orang yang tersangat rajin di dunia ini melainkan yang malas-malas belaka adanya. Yang malas pergi kerja pula alih-alih aje ambil MC beli. Hari Malas ni sinonim atau sepupu sepapat le dengan Hari Ngular atau Hari Ngulat. Namun, kes malas yang paling melampau ialah bila seseorang berkata, "Nak cerita pun malas".

Hari Bodohku
Kadangkala, dalam sesuatu hari kerja-kerja anda langsung tak menjadi. Buat A jadi C. Buat ABC jadi XYZ. Masak ikan 3 rasa jadi 1 rasa (uwekkk, tak sodap!). Terasalah teramat bodohnya anda hari itu. Maka layaklah hari itu digelar Hari Bodoh anda. Di hari bodoh itu juga bersiap sedialah untuk anda diperbodoh-bodohkan orang. Di hari itu juga anda tidak digalakkan berhubung dengan sesiapa kerana takut-takut kebodohan anda akan jelas dilihat orang. Kalau sengaja buat-buat bodoh atau memang asalnya 'bodo' takpe. Hari Bodoh ini sewaktulah juga dengan Hari Sengal, Hari Tengin, Hari Bengap dan Hari Tak Berapa Cerdik.

Hari-Hari Mauku
Yang ni bahaya sikit. Pantang tersentuh, mau. Pantang terlihat, mau. Pantang diajak, mau. Sedar-sedar anak dah 20 orang, masih lagi mengaum. Kalau hari-hari mau beef steak, chicken chop, pizza, burger dan pelbagai lagi makanan segera susah juga. Mau sampai beratus-ratus kilogram kolesterol tersumbat dalam badan.

Hari Naik Hantuku
Hari ini adalah hari yang anda paling marah, lebih marah daripada Angry Bird yang kecurian telur oleh sang babi. Apa yang melintas di depan mata nampak macam kecik besar, kecik besar aje. Sebab-sebab yang lazim termasuklah dimarahi bos, kehilangan barang, duit tarak, tertipu tertipah dan macam-macam lagilah yang membuatkan anda naik hantu. Masa tu jangan berani nak dekat orang yang naik hantu ni. Silap-silap kena cekik, kena parang atau paling kurang kena jegil dengan kening naik sebelah persis Ziana Zain.

Hari Wanitaku
Jangan salah faham ya, ini bukannya hari anda bersifat seperti wanita pula, tapi hari wanita dalam hidup anda, bersempena hari ini adalah Hari Wanita Sedunia. Sementelah itu saya ingin berterima kasih kepada semua wanita-wanita solehah dan yang berjaya serta berjasa menjadikan saya manusia selama ini.

Banyak lagi sebenarnya hari itu, hari ini sedunia yang kita sendiri boleh labelkan. Sampaikan kalau ada 2,3 orang pakai baju berwarna sama pun kita dah kata Hari Ungu Sedunia, Hari Kelabu Sedunia dan macam-macam warna hari lagilah. Yang pentingnya anda enjoy dengan hari-hari anda walau hari apapun yang anda labelkan kepada hari-hari anda. Jika anda 'menikmati' setiap hari yang anda lalui, anda akan terasa masa beredar begitu pantas. Sedar-sedar dah hari Isnin balik, sedar-sedar dah hari Jumaat balik.

Mozar : Hari ini hari membadakku. Dari pagi lagi rasa macam nak membadak aje memanjang tapi tak boleh sebab hari ni hari kerja. Qadha hujung minggulah nampaknya.

"Grrrwwwrrrr!!! (geremmm...I) You won't like it if I'm angry. Today is my bad...hair day!! Groarrrrr!!!!"

Friday, March 2, 2012

Selepas 99 Entri

99 entri telah berlalu. Maknanya entri kali ini adalah yang ke 100. Pelbagai rencah dan warna tulisan telah dicuba. Entah apalah tanggapan para pembaca terhadap penulisan saya. Bermula dengan menagih respon dan komen dari para pembaca dalam beberapa entri-entri terawal nampaknya tak jalan. Maklumlah blog yang tak popular, siapalah yang nak komen sangat. Namun, terima kasih kepada saudara Eyman Hykal, Gigi Palsu dan beberapa Anon yang mempelopori dan memecah tanah melayangkan komen-komen. Selepas dari itu blog ini terus-terusan sunyi dari sebarang komen. Tak apalah, asalkan ada yang sudi membaca. Lebih bermakna lagi sekiranya ada pembaca yang mendapat inspirasi dari tulisan-tulisan saya selama ini. Sekoman-koman blog ini dalam seminggu tak pernahlah lagi sampai kosong dari sebarang pelawat. Memang sentiasa ada, walaupun seorang. Kadang-kadang datangnya dari nun jauh merentasi benua. Mungkin ada yang hanya tersesat ataupun blogwalking. Tapi kalau dah 4,5 kali datang melawat bukanlah blogwalking lagi namanya. Terima kasih kepada para pembaca tidak kira di mana sahaja anda berada di sudut dunia ini.

Tiada siapa yang sempurna di dunia ini, yakni semuanya tidak maksum seperti Nabi s.a.w, yang terpelihara dari sebarang dosa dan kesilapan. Saya juga tidak lari atau berjalan dari membuat kesilapan. Kadangkala ada entri yang menghiris dan mengguris, kadangkala memualkan tekak dan kadangkala bisa mencebikkan bibir pembaca. Minta maaf ye jika ada yang tersentap hati dan perasaan sehingga mentalak tigakan blog ini. Realiti itu kadangkala menggigit.

Apapun situasinya, saya akan terus menulis dan menulis di blog ini. Banyak perkara yang kadangkala datang tiba-tiba di benak yang ingin dikongsikan bersama pelayar-pelayar di luar sana. Kadangkala sekadar menyatakan ketidakpuasan hati terhadap sesuatu perkara, kadangkala ingin membuat kritikan sosial yang pedas dan sinis, kadangkala ingin berkongsi kisah peribadi dan kadangkala sengaja menulis bahan-bahan ringan tapi 'ada makna tersirat' di sebaliknya. Apapun terpulanglah kepada pembaca samada faham atau tidak, suka atau tidak, benci atau tidak. Setiap entri adalah umpama satu buah tangan terbaru untuk pembaca. Berdebar menunggu reaksi pembaca. Tapi disebabkan tiada lagi sebarang komen dari pembaca, nampaknya kini debaran itu memang tiada langsung. Nak tulis apa-apa topik pun dah tak kisah dah.

Akhir sekali, bagi yang telah kenal dan suka dengan blog ini, teruskanlah menyokong dan menjadi peminat tegar. Jika buruk beritahu saya, jika bagus beritahu kawan. Bagi yang terjebak atau yang terserempak dengan blog ini pula, janganlah takut atau malu-malu untuk meneroka ke entri-entri yang lain atau yang terdahulu. Semoga anda akan mendapat sedikit sebanyak manfaat dari mana-mana tulisan saya ini. Yang baik itu datangnya dari Allah s.w.t dan yang buruk itu datangnya dari hawa nafsu saya yang lemah ini. Yang hangit tu datangnya dari bau ketiak anda sendiri ataupun lauk-pauk yang sedang ditenggek di atas api. Pergi tengok cepat!!! kang terbako lak rumah.

Mozar : Berharap dapat mengekalkan momentum penulisan sehingga 9999 entri and beyond! Masa tu mungkin dah bongkok tiga dah kot. Semoga Allah s.w.t mengurniakan kesihatan yang terbaik buat saya dan juga anda untuk sepanjang hayat. Amin.


Dipersembahkan di sini suatu yang pembaca semua tak dapat lihat. Prestasi blog ini masih di tahap suam-suam botol susu aje. Entah-entah makin menyejuk aje.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...