Tuesday, April 24, 2012

Pandai Tak Boleh Diikut, Bodoh Tak Boleh Diajar

Hish teruknya!!! Jangan jumpalah orang macam ni. Sakit jiwa dibuatnya. Orang begini sedang berada di sempadan yang ekstrim. Langsung tak boleh di bawa ke tengah atau duduk berbincang baik-baik. Degilnya tuhan sahaja yang tahu. Mereka bak penjaga sempadan yang tidak membenarkan sesiapa pun orang luar masuk. Kalau beginilah sifat seseorang, begitu kental dan tegar sebagaimana dia menjaga kesucian Islam alangkah baiknya. Malangnya, pandai dan bodohnya tidak bertempat. Langsung tak boleh dipakai punya!

Mari kita telusuri sifat bodoh ini dahulu. Dunia ini kalau tak ada orang yang bodoh pun susah juga. Semua orang nak tunjuk pandai dan tak kurang juga yang memandai-mandai. Kalaupun semua orang di dunia ini pandai, mesti ada, tidak dapat tidak orang yang terkurang sedikit kepandaiannya. Mustahil ada orang sama pandai atau sama bodoh. Tidak ada. Kalau tidak, haru biru juga dunia jika ditakdirkan semua orang sama bodoh atau semua orang sama pandai. Kalau semua sama-sama bodoh, dunia jadi kacau bilau juga. Yang di sini bergaduh, bertekak dan berbunuh-bunuhan, yang di sana bergomol bertarik-tarik rambut. Dunia akan mundur semundurnya sampaikan nak buat kereta sorong pun tak ada seorang pun yang mampu memikirkannya. 

Hakikatnya, kita masih perlukan orang yang bodoh sedikit dalam dunia ini kerana itu adalah hukum alam. Tetapi, perlu diingat, biarlah si bodoh itu yang boleh dan mahu diajar. Kalau tak ada orang yang bodoh misalnya, nak jual sebuah kalkulator pun tak akan laku bila semua manusia cekap mengira dan mencongak. Atas kebodohan manusia juga banyak peluang-peluang pekerjaan dapat diwujudkan. Contoh bodoh-bodoh, adanya orang yang bodoh buat karipap, maka bolehlah orang-orang yang pandai sikit buat karipap berniaga karipap. Adanya orang yang bodoh buat minuman oren soda, maka wujudnya 'oren bodoh' di kampung-kampung.

Mari kita kaji pula sifat pandai. Kepandaian itu adalah juga merupakan satu fardu kifayah jika dilihat dari kepentingannya kita menuntut ilmu-ilmu yang bermanfaat. Logiknya, seseorang itu boleh dikatakan pandai bila adanya orang lain yang tidak pandai. Sebenarnya dia tak sepandai mana pun. Orang pandai senang-senang boleh memperbodoh-bodohkan orang yang sememangnya bodoh. Tapi perlu diingat, jika seseorang itu pandai dalam satu perkara, tidak semestinya dia pandai dalam perkara-perkara yang lain juga. Seorang peguam yang pandai berhujah di mahkamah belum tentu pandai menggantikan paip yang rosak atau menukar tayar yang pecah. Masa itu peguam yang ala-ala bijaksana di mahkamah bolehlah digelakkan atau diayam-ayamkan oleh si kurang pandai lulusan sekolah atap yang pandai dalam perkara-perkara tersebut. Moralnya, jangan perasan diri kita telah terlalu pandai kerana sudah pasti ada orang lain yang lebih pandai dari kita.

Mari kita congak pula kalau dunia dipenuhi oleh orang yang bijak-bijak pandai belaka, kurang-kurang 1st degree dalam tangan. Rasa-rasanya aman tak dunia ni? Mungkin tidak. Semuanya nak berlumba-lumba tunjuk pandai. Semua nak menang. Hari ini seseorang buat telefon pintar, esok orang lain pula buat telefon genius, lusa orang buat telefon bijaksana pula. Lagi satu tak ada siapa yang nak guna telefon yang bodoh-bodoh yang cuma ada fungsi basic-basic aje. Orang tua-tua pun nak guna telefon pintar. Selanjutnya, semua orang semakin pandai menegakkan benang yang basah walaupun kata bidalan mengatakannya mustahil. Orang-orang pun pantang silap sikit protes, saman, demo dan bermacam-macam cara lagi. Susah juga kalau semua orang atas dunia ini dah pandai-pandai belaka. Dalam pandai-pandai tu eloklah sekiranya ianya pandai yang boleh diikut dan boleh dicontohi. Kalau pandai yang tak boleh diikut, bukanlah ianya 'pandai' dalam ertikata yang sebenarnya, 'pandai' sinis aje namanya tu. Itu pandai yang memandai-mandai dan pandai yang membinasakan.

Berbalik kepada isu pokoknya bodoh tak boleh diajar, pandai tak boleh diikut, memang teruk gila! Susah nak handle orang macam ni melainkan dihantar ke pulau Jerejak atau Alcatraz aje (malangnya, kedua-duanya telah menjadi produk pelancongan). Kalau dicampak mereka ini ke suatu pulau terasing, kita tengok apa yang akan jadi. Dengan syarat biar semuanya mempunyai sifat 'terpuji' yang sama tara. Kalau mereka saling berbunuh-bunuhan dan berparang-parangan sesama sendiri pasti tiada siapa yang akan hairan. Kalau sebaliknya mereka berbaik pakat dan berukun damai pula, pasti ramai pula yang akan musykil. Pendekata, dari segi logiknya orang-orang sebegini dilihat dan dicop sebagai orang-orang yang tidak punya masa depan kerana mereka ini adalah perosak diri sendiri serta juga masyarakat di sekelilingnya.

Kesimpulannya, jika anda pandai dan berilmu tinggi, manfaatkanlah kepandaian anda itu ke saluran yang tepat dan berfaedah. Berbakti kepada yang memerlukan di samping memajukan diri, keluarga serta masyarakat. Percayalah, akan ramai yang akan mengikuti anda dek kerana kepandaian anda itu. Sahamnya anda juga yang akan dapat di akhirat kelak. Contoh paling dekat, penceramah-penceramah ilmu agama. Jika ilmu yang anda ajarkan benar, tepat, tulus dan bermanfaat maka ramailah yang akan mengikuti anda secara fizikal mahupun secara maya seperti di blog, Facebook atau Twitter, contohnya. Sebaliknya jika anda rasa diri anda bodoh yang mana anda sendiri tidak sedar yang anda bodoh, bawalah bermuhasabah diri. Jangan jadikan kebodohan anda itu bagaikan duri yang merosakkan diri sendiri dan juga masyarakat anda. Anda tidak akan digelar 'bodoh' selagi anda tidak berkata-kata ataupun melakukan perkara-perkara yang pelik dan menjengkelkan di mata orang orang lain. Akhir sekali, jika pandai jadilah pandai yang boleh diikut, jika bodoh pula, jadilah bodoh yang bersedia diajar dan diperbetulkan.

Mozar : Alangkah indah dan nyamannya bercamping diiringi deruan ombak atau deruan jeram sambil disulami kicauan unggas-unggas. Jika ada yang memilih bercamping di tengah-tengah kota Metropolitan, itu 'hak kebebasan' anda. Siapa nak ikut dan belajar secara terbuka sila angkat tangan!

Yang ini kategori pandai tak boleh diikut, bodoh tak boleh diajar atau kedua-duanya sekali? Teruknya!!!

Friday, April 13, 2012

Waktu Seakan Terhenti Bila...

Lambatnya masa berlalu...Sehari rasa bagai setahun, sejam bagai sehari, sesaat bagai sejam. Pernah tak keadaan ini berlaku pada diri anda? Mesti pernah kan? Selalunya orang akan mengeluh yang waktu bergerak tersangatlah pantas. Nak buat apa pun tak sempat. Ini dah terbalik pula. Hakikatnya, masa adalah suatu yang relatif bagi semua orang. Jam yang sama, waktu yang sama dan 24 jam yang sama boleh jadi berbeza-beza rasa tempohnya bagi setiap orang. Ada yang rasa sekejap, ada yang rasa lama.

Bercakap berkenaan waktu yang seakan terhenti, sudah tentu maksudnya masa berjalan bagaikan siput lambatnya. Dalam situasi bagaimanakah waktu itu bergerak lambat? Mari kita lihat situasi-situasi yang berkenaan yang mana ianya boleh berlaku.

1) Anda sedang menghadapi saat yang sangat cemas seperti di dalam satu rompakan, kemalangan, bencana alam ataupun sedang diugut dengan pisau di tengkuk. Waktu-waktu begitu bukan sahaja masa yang seakan berhenti, silap-silap jantung pun boleh berhenti mengepam darah. Ditoreh pun tak berdarah. Untuk menggerakkan semula masa di ketika-ketika sedemikian ialah dengan anda perbanyakkan berdoa dan berzikir dengan mengingati Allah s.w.t di samping pasrah serta berserah.

2) Sedang menghadapi temuduga yang mana anda tidak begitu bersedia. Macam-macam soalan yang diutarakan dan anda hanya mampu menjawab dengan 'tak pasti'. Lebih parah lagi jika anda dihentam pula oleh si penemuduga di atas kelemahan-kelemahan anda menjawab soalan. Rasa nak tercabut lutut dan rasa nak cabut lari sahaja dari temuduga itu kan? "Bilalah nak habis ni", kata hati anda.

3) Sedang kena marah atau dileter oleh orang atasan tempat kerja anda ataupun bagi pelajar, oleh pensyarah ataupun guru-guru. Telinga rasa bernanah aje manakala jarum saat jam pula seolah-olah digayut-gayut supaya bergerak lambat-lambat. Bagi yang suka mengambil pengajaran dari kes ini rasanya tak kisah pun, bagi yang kena hentam semberono memang terbakar hati manakala yang memang salah dan bebal memang layak pun kena maki hamun.

4) Anda sedang terlewat untuk menghadiri satu temujanji ataupun terlewat ke tempat kerja. Tersangkut pula di dalam kesesakan jalanraya ataupun terpaksa menunggu kenderaan awam yang tidak kunjung-kunjung jelma. Dalam hati bagai dirobek dan dipalu. Rasa nak terkencing dan terberak pun ada. Terasa bagai dunia dalam keadaan pegun dan statik sahaja.

5) Menanti suatu kes pembedahan atau kelahiran. Tuhan sahaja yang tahu betapa kalau boleh anda ingin gerakkan sahaja jarum-jarum jam sepantas yang boleh. Penantian yang sedemikian rupa tersangatlah menyeksakan. Bukan senang untuk menghadapi situasi hidup atau mati, sempurna atau tidak sempurnanya ataupun berjaya atau tidak berjayanya. Macam-macam perkara bermain-main di benak. Apa yang boleh dilakukan ketika itu ialah bersedia untuk kemungkinan yang buruk dan berharap untuk yang terbaik.

6) Sedang menanti orang yang tidak pandai menepati janji. Bila berjanji asyik berlengah. Munafik sifatnya. Memang tak boleh tahanlah jika melayan orang yang berperangai sebegini. Untuk mereka-mereka ini anda perlu tipu sedikit dengan bagi janji terlebih awal sedikit dari yang sepatutnya, baru dia ada akal. Kalau boleh hadiahkan dia sebuah jam dinding untuk dipakai di tengkuk.

7) Menanti waktu untuk masa tamat bekerja lebih-lebih lagi anda dah tak banyak kerja hendak dibereskan ataupun juga terlalu banyak benda yang hendak diselesaikan dalam hari itu juga. Rasa nak balik rumah tersangatlah menggebu-gebu. Akibat terlalu bosan tak ada kerja ataupun dek kerana terlalu penat bekerja dan tak sabar untuk berehat.

8) Berdebar menanti wisel penamat dibunyikan sementelah pasukan Harimau Malaya sedang mendahului Brazil dalam Piala Dunia dengan jaringan 3-2. Moga suatu hari nanti situasi sebegini bukan lagi mimpi-mimpi rakyat Malaysia.

9) Bila anda memang tak ada sebarang jam atau penunjuk waktu di sisi anda. Duduk pula di dalam bilik yang memang tak nampak matahari langsung. Langsung tak tahu siang ataupun malam. Boleh jadi gila kalau seseorang itu tidak dapat melihat pergerakan waktu untuk beberapa hari lamanya. 

10) Asyik terpandangkan jam yang memang dah mati. Hahaha. Kalau tak pandang jam lama-lama memang tak perasan hidup ataupun matinya. Perasan tak kalau kita tiba-tiba pandang kat jarum saat jam nampak macam jarum itu tak bergerak kerana itulah lamanya jarak masa sesaat itu. 

Kesimpulannya, waktu akan terasa terhenti apabila kita berasa terseksa dalam menanti itu dan ini. Jika kita berasa seronok sepanjang masa, waktu akan terasa tersangat laju. Contohnya, bila kita menonton filem atau rancangan yang menghiburkan, terasa cepat sangat dah nak habisnya, tak puas menonton. Lain pula halnya kalau anda menonton cerita seram, rasa tak sanggup untuk berada lebih lama lagi di hadapan skrin wayang ataupun di kaca TV.

Akhir sekali, hargailah masa kerana masa yang hilang itu tidak dapat diganti semula. Masa yang Allah s.w.t beri kepada kita di atas dunia ini semakin hari semakin singkat.

Mozar : Bila tak ada idea nak menulis blog ini, semua ayat-ayat rasa lemau dan masa pula seakan terhenti, sebab terus tertidur.

Monday, April 2, 2012

Jangan Terlalu Berharap

Jangan terlalu berharap...
Janganlah terlalu berharap di atas segala sesuatu yang ada di atas dunia yang fana ini. Andai asyik menaruh harapan yang tinggi di atas apa jua perkara atau benda, anda pasti akan kecewa andainya harapan itu tidak kesampaian. Jika harapan itu tercapai maka bahagialah anda. Kehidupan kita telah ditentukan oleh takdir dari Allah s.w.t. Jika hidup tidak diiringi doa maka ianya akan berjalan seperti yang telah ditakdirkan Ilahi kerana hanya doa-doa yang makbul sahaja yang akan mampu mengubah takdir. 'Takut' dan 'harap' kita hanya perlu ditujukan kepada Allah s.w.t. 'Takut' andainya kita dipinggir dan disingkirkan oleh Allah s.w.t manakala ber'harap' pula moga-moga Allah memilih kita ke syurgaNya. Maka, berharaplah semata-mata kepada Allah s.w.t.

Selain dari terus-terusan berharap dengan keredhaan Allah s.w.t, janganlah menaruh harapan yang terlalu tinggi ke atas apa sahaja yang berada di atas mukabumi Allah ini. Dunia ini digerakkan oleh tangan-tangan manusia. Jika perbuatan dan pekerjaan manusia itu baik-baik belaka maka baiklah juga perkara-perkara yang terbit hasil daripadanya. Selagi mana manusia itu tidak sempurna selagi itulah janji-janji manusia boleh diragui atau tidak boleh dipercayai. Maka itulah terbitnya saranan agar jangan terlalu berharap walau di atas apa perkara sekalipun di atas dunia ini. Sehabis-habis ikhtiar ialah pasrah dan redha di atas ketentuan Allah s.w.t. Maka, berharaplah semata-mata kepada Allah s.w.t.

Mengharapkan cinta dan kasih sayang seseorang insan biarlah berpada-pada. Jangan terlalu memuja, memuji dan optimis bagaikan puncak dunia telah anda tawan. Kasih sayang insan tiada yang asli, sejati atau tiada yang tidak berbelah bahagi. Tiada cinta yang sempurna di atas dunia ini. Andai diuji onak dan duri, ombak dan badai, cinta manusia mampu goyah. Begitu juga tika diuji kerlipan intan dan taman nan berbunga wangi, manusia mudah sekali berpaling arah dan berpaling tadah. Namun sang pemuja cinta terus berharap cinta yang berkecai akan kembali dalam pelukan. Malangnya, segala-galanya hanya akan menjadi peristiwa sadis dan hampa. Maka itu, janganlah terlalu berharap pada sebuah cinta dan kasih sayang yang tidak pasti.

Mengharapkan janji-janji manusia pula perlu ada batasannya. Manusia bisa menjanjikan bulan dan bintang, padahal langit pun tidak terduga. Janji-janji boleh digula-gula dan digoncang-goncang bagai tong kosong. Bila dibuka isinya hampa. Siapa yang akan kecewa dan merana? Tentu sekali si pemilik harapan menggunung. Gunung yang didambakan hancur menjadi debu. Pengharap terduduk kembali di tanah datar, tidak berganjak walau sejengkal pun. Si penabur janji mendabik dada dengan takbur. Yang kenyang si manusia-manusia yang rakus yang belum nampak apa-apa yang menanti di hadapan. Maka itu, janganlah terlalu berharap...

Andai anda menaruh harapan yang terlalu tinggi supaya sesuatu yang diingini itu bakal terjadi, cuba berhenti sejenak. Kembali ke tanah semula dan berpijaklah di bumi nyata. Buang jauh-jauh harapan yang tinggi menggunung, jika tidak anda akan terpukul dengan teruk andai harapan itu hancur berkecai. Pasti akan merobek jiwa dan raga. Jalan selamatnya ialah merendahkan harapan (expect less). Jika impian dan harapan berhasil anda akan sangat berbahagia, jika tidak berhasil sekalipun, anda tidak akan jatuh terjelepuk dan menghadapi kemalangan emosi yang tragis. 

Rahsia hidup bahagia adalah salah satunya terletak pada harapan yang rendah (expect less) seperti yang tertera pada no. 5 dalam gambar di bawah ini.


Mozar : Just another abstract entry from me. Short and vague. Just being sentimental at times!

 Kok gini udah berat kesnya. Sampei berhenti berharap gitu. Gimana ini?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...