Tuesday, June 18, 2013

Tanda-Tanda Hampirnya Ramadhan 1434H

Adapun kita ini hampir-hampir benar hendak menempuhi bulan Ramadhan yang mulia. Sudahkah anda bersiap siaga untuk berjuang berhabisan-habisan menentang hawa nafsu di samping menggondol pahala berbakul-bakul? Bagi yang beriman dan yang bertaqwa, sejak habisnya Ramadhan tahun lepas lagi mereka telah mengatur strategi dan berazam untuk meningkatkan amal ibadat serta memperbaiki kekurangan di sana sini bagi Ramadhan yang baru lalu. Makanya, tanda-tanda Ramadhan semakin dekat senantiasa bermain-main di benak. Tak payah diperingatkan pun memang mereka telah cukup sedar bahawa Ramadhan semakin hampir.

Bagi yang tidak begitu soleh pula, sepanjang tahun berjoli sakan, tak sedar pun bilakah akan bermulanya Ramadhan. Bila ditanya, barulah terkira-kira dan terbelek-belek kalendar akan tarikh melihat anak bulan Ramadhan tersebut. Bagi mereka yang sememangnya leka ini akan tiba-tiba tersentak dan tercekik makanan apabila melihat bermacam-macam tanda-tanda akhir bahawa Ramadhan akan muncul. Bukan apa, ada yang rasa leceh, ada yang rasa malas dan tak kurang juga yang akan mula rasa sakit itu sakit ini. Tak kurang juga yang teruja beruk bila Ramadhan semakin hampir sebab biji mata dah berpinar-pinar dengan lambang RM, RM. Teruknyaaa!!! Oklah mari kita lihat tanda-tanda akhir bahawa Kiamat (Opps! Ramadhan) semakin hampir.

* Kedai-kedai dan pasaraya awal-awal lagi sudah memasang kain rentang dan iklan-iklan jualan untuk Aidilfitri. Padahal puasa pun belum.

* Dalam radio dan TV dah mula terdengar bisikan-bisikan berbunyi 'Yusufff Taiyoobbb' yang agak menyeramkan. Bulan-bulan lain tak keluar punya bisikan semacam ini.

* Kaki-kaki peniaga semusim dah mula merancang-rancang nak jual itu, jual ini sepanjang Ramadhan nanti. Bagi yang takde pengalaman buat juadah sedap-sedap tu tak payah la, buat penaya orang yang beli aje. Lagi satu yang jenis top-up dan perangat lauk semalam, bikin sakit perut aje memakannya. Pahala entah ke mana, dosa yang dapat.

* Surau-surau dan masjid-masjid pula dah mula bermesyuarat nak ambil imam dari negara mana pulak untuk mengimami Tarawih. Janji rating masjid naik.

* Tak semena-mena terdengar di sana-sini orang-orang mula menyebut perkataan 'moreh' yang sangat-sangat asing di bulan-bulan yang lain. Kalah kepopularitian perkataan 'Lailatul Qadar' ataupun 'zakat Fitrah'. Kalau pasal makan minum, orang kita memang No. 1.

* Orang-orang yang culas tak nak puasa pula sibuk mencari alasan dan bukti bertulis mengatakan bahawa mereka diserang gastrik. Gastrik bermusim pulak tu.

* Budak-budak nakal dah mula tenang-tenang paip-paip besi atau besi apa-apalah untuk dibuat meriam ataupun mercun buatan sendiri. Yang geramnya, bermula hari pertama puasa akan mulalah berdentum dentum bunyi mercun dan meriam diaorang di sana sini. Kalau budak dulu-dulu, lepas tarawih baru start main. Itupun meriam buluh, tempurung ataupun tin susu.

* Orang-orang perempuan sejak 4,5 bulan yang lepas dah mula sibuk menempah baju raya. Takut-takut tukang jahit dah tak terima tempahan kalau tempah last-last minute. Yang penting baju-baju tu mesti betul-betul 'terletak' di badan, tak mainlah baju-baju beli siap. Padahal kalau pakai tudung tak nampak pun bahu terletak ke tidak (kalau pakai tudung labuh la, kalau tudung ciput, nampak la tak terletaknya).

* Kerja orang perempuan juga, masa-masa inilah mereka mula pening-pening lalat memikirkan warna tema apa pula untuk dipakai secara sedondon satu rumah bagi Aidilfitri tahun ini. Tak sedondon tak sah. Seluar kecik dan 'cermin mata' pun kalau boleh sedondon juga.

* Masih lagi dengan orang perempuan, 2, 3 bulan menjelang Ramadhan ni baru la kelam kabut nak ganti cuti puasa tahun lepas. Kadang-kadang yang ganti sehari sebelum puasa pun ada. Bagi lelaki yang tertinggal puasa juga jangan le buat-buat tak tahu, mentang-mentang le takde pakej cuti-cuti Malaysia bagi lelaki. Orang lain tak tahu tapi Allah tahu.

* Bagi usahawan kuih raya pula tak tahu la bila diaorang start buat kuih raya, tau-tau dah berlonggok-longgok di pasaraya-pasaraya walaupun di awal-awal Ramadhan. Bagi yang suka menempah kuih pula, sekarang ini dan di saat ini dah mula la sibuk menempah. Bagi yang suka membeli kuih raya last minute pula, mereka akan menantikan kuih lelong di malam raya. Bagi yang buat kuih sendiri, ada yang sampai ke subuh raya baru siap.

* Tiket-tiket bas Raya tak lama lagi akan mulalah dibuka untuk tempahan gamaknya. Lama sangat dah tak naik bas, tak tahu sangat azab orang-orang yang nak mendapatkan tiket bas raya ni. Siapa lambat melepaslah.

* Akhir sekali, orang-orang kita akan mula membeli lampu kelip-kelip. Lip lap, lip lap sepanjang puasa dan raya. Lampu tahun lepas dah expired, maka terpaksalah membeli lampu baru saban tahun.

Oklah sampai sini dululah. Adapun, apabila munculnya tanda-tanda akhir akan berpuasa ini, maka haru birulah manusia sekelian alam. Bagi yang beriman akan merasa sangat bahagia kerana akan bertemu semula dengan yang dirindui. Bagi yang tidak beriman pula akan merasa seperti seketul batu besar sedang bergolek-golek dan akan menghempap mereka. Mana taknya, nak sarapan dan makan tengahari pun terseksa jiwa raga. Jenuh kena sorok-sorok. Tapi bila orang beli makanan untuk berbuka depa pun sibuk sama, buat makan malam.

Bagi yang belum sedar diri, inilah masanya untuk anda mula menyemai benih perubahan. Masih banyak masa lagi sebelum Ramadhan tiba. Bagi yang memang telah sedar, inilah masanya untuk anda memperkuatkan lagi senjata-senjata melawan hawa nafsu di samping memperkukuhkan lagi jentera untuk beramal. Selamat berpuasa dan selamat beramal!

Mozar : Buat pertama kalinya dalam sejarah, praRamadhan akan disambut dengan upacara pemBersihan atau pengGelapan secara besar-besaran merangkumi masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Kalau dibuat di dalam bulan Ramadhan mungkin akan lebih gempak kot sebab akan jadi ala-ala Perang Badar. Lu pikirlah sendiri, nak cakap pun malas.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...