Wednesday, March 20, 2013

Jangan Nak Mengeboom Sangatlah!

Kebaboommm! Dia mengeboom lagi. Elok-elok cerita tu tentang orang jatuh basikal dah pula jadi cerita orang jatuh motor ataupun jatuh kena gesel dengan lori babi. Sengaja nak menyedapkan cerita. Biar bertambah perisa. Biar semua orang yang mendengar terlopong terngangah (jaw dropping). Kalau tak ditokok tambah takut-takut orang akan bosan dan jatuhlah pula martabat sang penglipurlara.

Orang-orang dulu kala pun sebenarnya banyak menokok tambah cerita lalu disampaikan dari mulut ke mulut sehingga ke generasi hari ini. Bayangkanlah meletup-letupnya cerita asalnya dek kerana digoreng dan dikebaboom dek kaki boom. Wujudlah dongeng itu dongeng ini yang berbagai-bagai warna dan hikayat. Burung garuda yang kecil dikatakan besar dek melihatkan bayang-bayangnya yang besar di tanah.

Zaman dahulukala sekitar tahun 40-50 an, barangsiapa yang pandai berkisah dan pandai mengeboom sudah pasti akan disukai ramai. Masa tu usahkan suratkhabar, internet mahupun televisyen, api letrik pun belum tentu ada. Boring giler duduk di zaman tu, kan? Boring-boring, tidur cepatlah jawabnya setiap malam. Dah le sejuk, gelap pula. Maka anak pun ramailah berderet-deret sebab tak ada kerja lain yang paling best di masa-masa begitu. Tak payah tutup-tutup mata lagi bagi yang dapat pasangan bukan bagai diidam.

Itu dulu, sekarang inipun masih berkembang lagi sikap boom mengeboom ni. Bukan sekadar cakap-cakap mulut, malah boleh dibuat dengan gempak secara maya. Alih-alih riuh senegara kerana si polan bin si polan cucu si polan dah mengeboom membawa cerita-cerita fitnah dan ditambah asam garam secukup rasa. Yang jenis kaki baran, kaki kepoh dan yang huru hara dengan cepat aje boleh menelan bulat-bulat apa yang didengar dan dilihatnya. Huru-haralah seantero dunia dibuatnya.

Sebagai renungan...
Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6).

Lagi satu perangai orang kita ialah bila dengar sesuatu cerita yang belum pasti kesahihannya, berebut nak sampaikan pada orang lain. Akibatnya, sudah pasti cerita itu akan jadi lain. Pernah tak main satu permainan di mana orang pertama disuruh membaca satu ayat atau mesej kemudian perlu pula menyampaikannya secara bisikan pada orang kedua. Begitulah pula orang kedua perlu menyampaikan kepada orang ketiga dan diulang ke orang yang seterusnya. Confirm! bila sampai ke orang yang ke sepuluh, cerita atau mesej asal akan berterabur bagai nak rak, jadi caca marba ataupun ke laut. Begitulah kesan secara praktikalnya bila sesuatu cerita disampaikan dari mulut ke mulut. Orang yang ke berapa ratus juta entah versi apalah yang akan diterimanya.

Di mulut orang kaki boom, cerita yang ala-ala sendu bisa menjadi membuak-buak. Gelak besar berdekah-dekah ataupun geram sampai menumbuk dinding orang-orang yang mendengarnya. Berjayalah tu mengeboom-ngeboom. Sukalah tu orang respon baekk punya. Ingat tak berdosa ke membawa cerita yang tidak benar dan diragui kesahihannya.

(Dipetik dari satu blog yang saya terlupa mencatat rujukannya) Dalam Islam, sesuatu berita benar tetap tidak boleh disebarkan jika orang yang berkaitan cerita itu tidak mahu ia disebarkan kepada orang lain. Menyebarkan berita benar pun dilarang, inikan pula menyebarkan berita tidak benar.
 
Mengenai berita benar dan berita tidak benar yang disebarkan tanpa kebenaran atau kerelaan orang berkaitan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud : “Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah (mengumpat)?
Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Lalu Baginda meneruskan sabdanya : Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya.
Lalu ditanya oleh seorang sahabat : Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?’
Rasulullah bersabda lanjut : “Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)

Lagi satu kes, last ni, ada pula jenis orang yang agak-agak nak dikata bodoh-bodoh alang tak juga tapi cukup berani menyampaikan cerita yang didengari atau dibaca tanpa berlapik-lapik. Walaupun tergagap-gagap bercerita, konfiden habis dengan apa yang diceritakannya itu tepat dan jitu. Orang begini kalau cerita yang dibawanya itu jauh menyimpang ke laut pun dia tak akan sedar kecuali disedarkan oleh orang yang memang tahu versi sebenar cerita tersebut. Bahaya juga orang begini, boleh sesat orang yang mendengarnya. Tak pasal-pasal ada yang mengasah parang, mengasah golok dek kerana mendengar ceritawara atau rekayasa sang pencerita. Padahal dia yang dengar info tak betul tapi ada hati nak bercerita kat kengkawan. Atau, boleh jadi juga orang sebegini sebenarnya pekak badak, lain yang disebut, lain pula yang didengarnya.
 
Demikianlah adanya. Ramai sebenarnya orang yang pandai atau suka boom mengeboom ni. Bagi yang sudah kenal benar dengan orang sebegini, sampai mati pun orang takkan percaya cakapnya. Umpama sebuah cerita rakyat Inggeris bertajuk, 'A boy who cried wolf', kisah seorang budak yang suka menipu dia diserang serigala. Bilamana serigala betul-betul menyerangnya tiada siapa yang percaya lagi cakapnya sehinggalah dia akhirnya terkorban diterkam serigala.
 
Mozar : Orang yang suka mengeboom ni bahayanya samalah tarafnya seperti 'Sultan' sos tiram yang sedang bercita-cita mengeboom negeri di bawah bayu tu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...