Monday, January 13, 2014

Enjit-Enjit Semut Siapa Sakit Naik Atas

Enjit-enjit semut siapa sakit naik atas....(diulang berkali-kali sampai muntah monggek sambil tangan di bawah sekali naik ke atas bersilih ganti). Pernah ke main natang ni? Kalau tak pernah dan tak tahu cara bermainnya sila tanya Pakcik Google. Ada siapa-siapa yang tahu falsafah di sebalik permainan ini tak? Saya pun tak tahu. Mungkin sebagai satu permainan untuk suka-suka untuk hiburan kanak-kanak sahaja. Atau mungkin juga bagi budak senyap dari menangis. Takkan kot sebab kadang-kadang ada yang cubit kuat-kuat. Buat bagi menangis lagi adalah. Ataupun mungkin pula sebagai satu cara kanak-kanak bermain secara yang paling termurah dalam dunia.

Kalau tak ada siapa yang tahu falsafah permainan ini, biarlah saya sahaja yang memandai-mandai buat andaian. Kalau bagus huraiannya beritahu kawan, kalau tak bagus beritahu mak ayah. Ceritanya begini. Sementelah rakyat jelata sekarang ini sedang sakit-sakit hati, hangin satu badan dan tengah meroyan-royan dengan kenaikan itu dan ini maka elok benarlah permainan ini dijadikan metafora kepada huru-hara yang sedang melanda ini.

Enjit-enjit semut siapa sakit naik atas...Siapa yang sakit kena cubit tu cepat-cepat le naik atas. Tak payah tunggu lagu habis 2 kali pun tak apa. Ramai lagi orang lain yang sedang kena cubit di atas anda. Cepat-cepat cubit pula orang yang di atas sekali tu. Biar semua sama-sama merasa sakitnya. Susah juga rasanya nak buat kesimpulan dari elemen-elemen ini berdasarkan keadaan semasa.

Satu perkara yang jelas di sini ialah permainan ini mengajar supaya segala kesakitan dan kegusaran biar dirasai samarata oleh setiap orang tidak kira dari level manapun anda berada. Dalam permainan ini ada yang berkulit tebal, berkulit lembut, yang muda dan yang lebih tua sedikit dan juga ada lelaki dan perempuan. Keupayaan menahan sakit itu mestilah berbeza-beza. Kekuatan cubitan juga boleh jadi berbeza-beza. Bagi yang berkulit tebal (berdompet tebal?) kuranglah sikit merasa kesakitan berbanding dengan si kulit nipis mahupun yang lebih lemah fizikalnya.

Bila seseorang membuat onar dengan mencubit kuat-kuat, pasti secara tindakan refleks semua orang akan terlibat untuk mencubit orang lain dengan lebih kuat juga. Ianya saling berkait bagai domino effect. Jika tidak mahu huru-hara dalam permainan tidak payahlah sakit menyakiti sangat. Mainlah dengan tenang dan penuh kasih sayang, pasti tiada yang akan perit menahan sakit. Satu yang tak bestnya, anda tidak akan dapat membalas balik cubitan orang yang di atas anda walau berapa ratus putaran sekalipun anda bermain. Sedihh! Kecualilah sehingga permainan itu dibubarkan dan susunan tingkat akan berubah pula.

Dalam sistem kehidupan pula kita perlu contohi sikap tidak sakit menyakiti seperti di atas tadi. Golongan yang lemah harus tidak diperlakukan sesuka hati, Perlu ada timbang tara serta timbang rasa. Takkanlah si bapa sampai hati hendak mencubit tangan anaknya yang kecil mungil selagi mahu (kalau si bapa pun turut bermain la). Ataupun, takkanlah si bapa yang sihat gagah sampai hati hendak mencubit tangan si datuk yang dah berkerepot selagi mahu (ini pun kalau-kalau si datuk pun turut bermain juga). Menjeritlah orang tua tu nanti. Moralnya di sini, yang lemah kita bantu sedaya upaya. Kalaupun tidak dengan wang ringgit, bantulah dengan tidak membebankan mereka dari segi jasmani dan rohani. Pasti sekali ada jalannya, tak gitu?

Memanglah permainan ini benar-benar menguji kesabaran para peserta (cewah! 'peserta'). Bukan apa, sebab permainan ini sangat-sangatlah membosankan, betul tak? Tertanya-tanya bilalah la nak habisnya. Saja nak ambil hati kawan-kawan aje bila bermain permainan ni. Dah le lenguh tangan-tangan, lebam-lebam pula kena cubit. Tak adalah, sebenarnya kesabaran yang dimaksudkan di sini ialah kesabaran dalam menghadapi kesakitan dicubit. Puas sudah menyerap rasa sakit, bila keadaan tidak bagai kehendak hati bersabarlah sehingga kesakitan itu reda dengan berada di kedudukan paling atas. Tak adalah kena cubit oleh sesiapa buat beberapa saat. Lepas tu siap kena ligan balik dengan sang pencubit setia. Tak ke besar punya sabar kalau nak main permainan ini sampai 100 round tanpa henti? Siapa tak suka permainan ni, pergi main benda lain! hehehe.

Hakikatnya, dalam kehidupan pula, bila kita ditimpa kesusahan atau keperitan hidup hendaklah kita bersabar dan terus bersabar. Bersabar di sini bukan bererti berserah kepada keadaan. Buatlah sesuatu yang bijaksana bagi mengubah keadaan. Yang pastinya, kesusahan itu akan tetap datang silih berganti tiap masa dan ketika. Hanya jiwa yang kental dan kebijaksanaan dalam menongkah kehidupan mampu menyelamatkan kita dari tewas dan terjelepok ke lembah nestapa.  

Namun, adakalanya kesabaran itu ada hadnya juga. Sesekali kita pasti akan meletus, menjerit dan juga memberontak. Siapa yang nak pujuk tu? Bila sudah sampai tahap ini, keadaan akan menjadi buruk dan tidak terkawal. Mungkin huru-hara dan kemusnahan akan menjadi pilihan terakhir bagi menamatkan konflik di dalam diri. Bila ditambah pula dengan hasutan dan bobrokan dari orang luar, bara yang merah menyala akan menjulangkan pula api yang marak bernyala-nyala. Masa itu, segalanya kian kusut dan celaru. Sukar untuk kembali ke titik asal semula.

Jangan cepat hilang sabar. Cepat-cepat pergi main enjit-enjit semut ataupun main 'jan jan jala itik jala ayam'. Kalau kita tidak berpuas hati dengan sesuatu hal, ada cara menanganinya dengan bijak dan berhemah. Kuatkan iman dan kuatkan rohani. Bersiap sedia dengan persiapan diri yang yang lebih bijak dan tuntas di masa hadapan. Tonjolkan segala kebaikan dari dalam diri dan jangan sesekali meruntuhkan kepercayaan orang terhadap kita. Tidakkah Allah membantu golongan yang benar dan tidakkah Allah akan membantu golongan yang teraniaya jika benar anda telah dianiayai? Fikirkan sejenak.

Mozar : Enjit-enjit semut, barang naik siapa sakit...

Setelah berpuluh-puluh tahun tidak mendengar lagu Enjit-Enjit Semut, tup-tup Hantu Kak Limah keluar dengan single "Enjit-Enjit Semut'nya. Meletup-letup pulak tu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...