Friday, March 14, 2014

Pulanglah MH370!

 
 "Ya Allah Ya Tuhanku. Andainya ia tersembunyi di langitMu, Kau turunkanlah. Andainya ia tenggelam di lautanMu, Kau timbulkanlah. Andainya ia berada di daratanMu, Kau tunjukkanlah. Dan andainya ia berada di alam lainMu, Kau singkapkanlah"

Hari ini telah masuk hari yang ke tujuh sejak 8 Mac lalu pesawat MAS MH370 hilang. Entah apalah yang terjadi ke atasnya tiada siapa yang dapat tampil memberikan jawapan yang meyakinkan sehingga kini. Hanya Allah s.w.t sahaja yang mengetahuinya. Pelbagai teori, pelbagai andaian dan pelbagai telahan dan rekayasa bermain-main di media-media cetak, elektronik dan juga media-media maya. Namun, MH370 tetap tidak diketahui untung nasibnya.

Seluruh dunia buntu memikirkannya. Segala peralatan pengesanan yang canggih dan terkini telah digunakan namun semuanya gagal menemukan jawapan. Lainlah jika berlakunya 40 atau 50 tahun dahulu. Lihatlah di sini bahawa keupayaan manusia tidak ubah bagai setitik air (kalau adapun?) berbanding selautan air di atas muka dunia ini. Siapa yang dapat melawan kekuasaan Allah s.w.t. Mungkin kejadian ini adalah iktibar untuk manusia-manusia yang mahu berfikir. Peristiwa ini boleh jadi mengimankan ramai orang dan di masa yang sama boleh mengkufurkan sesetengah orang. Berhati-hatilah dalam tindak tanduk dan perkataan-perkataan kita.

Dalam kita berikhtiar dengan segala teknologi dan teori-teori saintifik, jangan sesekali mengenepikan pertolongan dari Allah s.w.t. Jika Allah berkehendakkan berlakunya sesuatu, sepantas kilat ianya akan berlaku. Kum Fayakun. Jika Allah tidak mengizinkan berlakunya sesuatu, maka buatlah sehabis-habis ikhtiar sekalipun ianya tidak akan tercapai. Di samping berikhtiar, jangan lekang dari berdoa dan tunduk hina kepada kudrat Allah s.w.t.

Allah s.w.t itu tidak pernah zalim ke atas diri hamba-hambanya. Kadangkala sesuatu yang tidak kita sukai itulah yang sebenarnya yang terbaik buat kita, dan kadangkala sesuatu yang tidak kita sukai itu adalah sebenarnya yang tidak baik buat kita. Allah s.w.t sentiasa menguji hamba-hambanya sebagai peluang bagi mereka mempertingkatkan darjat mereka di akhirat kelak. Peganglah hakikat ini.

Reaksi dan pendapat pakar-pakar dan pemerhati-pemerhati di seluruh dunia dalam kejadian ini sememangnya bercampur baur di antara malapetaka terhempas pada mulanya, kepada teori konspirasi berkait dengan kes berprofil tinggi, rampasan pesawat dan tidak menolak juga kehilangan ke alam lain yang tidak dapat dilihat oleh manusia. Kesemua perkara-perkara tersebut memang pernah terjadi dalam sejarah. Perkara pertama memang telah banyak sangat berlaku. Perkara kedua dan ketiga juga pernah terjadi untuk beberapa kali.

Untuk perkara keempat, kehilangan di alam lain pula, kemungkinan besar kehilangan misteri sebuah pesawat Skyhawk A4 PTM yang dipandu oleh Lt. Wahi Anuar bin Mat Amin, pernah terjadi dalam tahun 1988 adalah contoh yang terbaik. Jangan lupa juga kepada peristiwa Ashabul Kahfi yang mana 7 orang yang beriman dan bertaqwa telah ditidurkan Allah s.w.t di dalam sebuah gua selama 300 tahun Masihi atau 309 tahun Hijrah. Segalanya tidak mustahil jika Allah hendak menunjukkan kekuasaannya kepada hamba-hambanya yang masih ragu-ragu dan kufur kepadaNya.

Pendekata, selagimana misteri atau suratan ini masih belum terungkai, seluruh dunia masih berteka-teki. Hendaknya biarlah MH370 kembali dengan megahnya di KLIA atau Beijing dengan disambut penuh kegembiraan serta keinsafan umat-umat seluruh dunia. Banyak sebenarnya pengajaran dan iktibar yang boleh diambil dari peristiwa ini. Antaranya, inilah peluang kita menilai dari segala segi samada dari sistem keselamatan dan pertahanan negara, kemudahan aset dan peralatan berteknologi tinggi, pentadbiran atau institusi-institusi negara dan tidak ketinggalan juga peluang bagi kita menilai siapa kawan dan siapa lawan kita di kala susah dan senang.

Mozar : Umpama suatu audit yang menjumpai ketidakpatuhan dan kepincangan di sana-sini di dalam sistem kehidupan, marilah kita perbetulkan apa yang silap dalam diri, keluarga, negara dan hubungan dengan manusia sejagat. Bermuhasabah diri dan periksa semula keimanan dan ketaqwaan terhadap Allah s.w.t di dalam diri sendiri. Mulakanlah dengan sifat dan perasaan kasih sayang sesama insan dan buang jauh-jauh persengketaan dan permusuhan yang merugikan. Bergerak maju ke hadapan, jangan pandang-pandang ke belakang lagi. Cuma pandang-pandanglah ke atas langit kalau-kalau MH370 telah kembali.

 

  Akhir sekali hayatilah klip video yang sangat menyentuh hati ini. Walaupun ada dari para penumpang dan anak kapal yang terdiri daripada yang berlainan bangsa dan agama, demi kemanusiaan dan kasih sayang sesama insan, semua dari kita berkongsi rasa yang sama. Pulanglah MH370 berserta kesemua yang ada di dalamnya dengan selamat sejahtera. Kami semua menantimu setiap detik dan ketika. We love you!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...