Thursday, August 21, 2014

Malaysia...Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta

Dari mana lahirnya sebuah cinta? Dari mata turun ke hati kah? Dari kenalan lahir sayang kah? Ataupun dari mana sebenarnya? Malaysia...di sini lahirnya sebuah cinta. Itulah jawapannya. Daripada tanahair inilah lahirnya segala rasa cinta kita yang murni, abadi dan sejati. Kita lahir di sini, menyedut udara nyaman, makan dan minum, tumpang berteduh, sakit pening dan hidup riang gembira semuanya berlaku di dalam tanahair kita yang tercinta ini. Maka dari situ lahirlah cinta sejati kita terhadap tanahair kita ini, tak begitu kisahnya? 

Siapa yang tidak cintakan tanah tumpahnya darah kita ini? Mungkin boleh dikira dengan jari. Mungkin mereka yang pernah melalui pengalaman pahit di bumi ini ataupun mungkin yang mencari-cari padang yang lebih menghijau di tempat lain. Hakikatnya, kita yang bermastautin di dalamnya ini amat sayang dan cintakan negara ini, betul tak? Jika tidak, tidaklah kita begitu bersungguh-sungguh melestari hidup di bumi ini dengan segala daya usaha dan kudrat agar kita terus dapat berdiri gagah di atasnya. Berusaha keras demi kelangsungan hidup di tanah ini, bukan di tanah-tanah yang lain.

Siapa yang mahukan kucar kacir dan hiruk pikuk di bumi bertuah ini? Tiada siapa, kecualilah yang terlalu mementingkan diri sendiri, tidak berfikir panjang ataupun yang telah hilang akal serta adab kesopanannya. Jangan lupa bahawa hidupnya kita di atas tanah ini adalah hanya pinjaman semata-mata daripada cucu cicit kita yang bakal hidup melata di atasnya suatu hari nanti. Jangan rosakkan tanah ini dengan tangan-tangan dan nafsu-nafsu rakus kita hari ini. Yang merana adalah generasi-generasi kita yang terkemudian nanti. Berhentilah mengocakkan tanah ini dengan perkara-perkara yang tidak dapat diterima oleh akal dan fitrah manusia.

Andaikata cinta terhadap tanah ini sudah tiada lagi, mengapa terus berada di atasnya? Tidak malukah terus berada di sini? Tidak malukah terus menuai hasil mahsulnya sambil tiada langsung rasa cinta kepadanya. Benar, kerakusan dan ketamakan boleh membuahkan rasa cinta. Namun, itu adalah cinta dunia dan cinta kebendaan semata-mata. Itulah jua cinta si perosak masyarakat. Yang sebaiknya, berkongsilah segala bentuk kemakmuran dan kekayaan yang kita kecapi sesama manusia sejagat. Baharulah dinamakan cinta agung. Yang susah dibantu, yang sakit diubati, yang menderita dibela, serta yang tidak mampu tidak ditekan dan ditindas. Biar ada rasa hormat sesama manusia. Dunia tidak akan pernah aman dan sentosa andai manusia tiada rasa kasih sayang, hormat ataupun malu sesama manusia. Jika dengan manusia pun sudah gagal, usahkan pula dengan Penciptanya.

Sempena Hari Kemerdekaan yang ke 57 ini marilah kita sama-sama bermuhasabah diri terhadap apa yang telah kita sumbangkan kepada negara selama ini dan apakah pula yang telah kita 'rosakkan' sepanjang kehidupan kita selama ini. Berhijrahlah kepada yang lebih baik demi menyelamatkan tanahair kita yang semakin tenat dengan perkara-perkara yang menjengkelkan, menyirapkan darah serta meremangkan bulu tengkuk. Semoga hari-hari yang mendatang akan lebih bermakna dan membahagiakan kita, ibarat dihulurkan tangan naik ke daratan yang penuh debunga wangi.

Mozar : Hayatilah tema kemerdekaan tahun ini, Malaysia...Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta walau apa sekalipun tanggapan anda terhadap tema kali ini. Kekuatan kita yang sebenarnya harus terletak pada permuafakatan serta rasa kasih dan sayang sesama insan.



Peristiwa Gaza : Demi cinta mereka kepada Allah yang Maha Agung serta cinta kepada tanahair, rakyat Palestin tidak berganjak walau seincipun dari negara tercinta walau diasak dengan ledakan bom Zionis saban hari dan malam.
Di sini pula lahirnya tema Kemerdekaan yang ke 57 ini sempena lagu 'Warisan' nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Hj. Arshad. Terharu mendengar lagu ini. Penuh bermakna dan penuh patriotik di samping melodinya yang sangat menangkap halwa telinga.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...