Tuesday, February 5, 2013

Takutkan Manusia Vs. Takutkan Allah

Siapa takutkan Allah lebih dari takutkan manusia atau segala makhluk di atas mukabumi ini sila angkat tangan! Cewah, semua angkat tangan walaupun tak berapa nak lurus, ala-ala berlagak taqwa. Betul ke takutkan Allah ni? Susah nak percaya kan? Ada la kot seorang dalam 15 orang. Kalau tak percaya mari sini saya bongkarkan kes-kes yang berkaitan untuk renungan kita bersama. Bagi yang benar-benar takutkan Allah mesti hidung kembang kembi semangkuk, cuma awas jangan jadi riaklah pula. Takut dengan Allah bermakna takut nak riak-riak juga kan? Ok dah sedia! Mari kita semak...

1) Bila terdengar seruan azan yang mendayu-dayu di masjid/surau sambil di masa yang sama terdengar lagu latar drama petang-petang yang mendayu-dayu, yang mana satukah yang akan kita abaikan atau tinggalkan? Jawab la sendiri. Takut miss jalan cerita ke, takut Allah marah?

2) Bila cikgu bagi buat kerja sekolah buat sendiri-sendiri, berapa ramai dari kita yang meniru bulat-bulat dari kerja kawan-kawan atau ciplak dari mana-mana sumber? Sedangkan Allah sentiasa dok perhati aje kat kita. Takutkan cikgu marah lebih dari takutkan Allah marah?

3) Bila tiba-tiba kita terserempak dengan sekeping duit RM50 di atas lantai, kita kebas semacam aje, tak tanya-tanya dah siapa gerangan empunya. Padahal ikut hukum, kena iklankan dulu dan tunggu sampai setahun tiada penuntutnya barulah boleh jadi milik kita. Jaga-jaga, kalau kita jumpa duit dan terus ambil, kita mungkin sekali akan hilang sejumlah wang yang lebih besar pula di lain masa.

4) Anda cuba mencuri barangan di kedai runcit ataupun pasaraya dengan penuh cekap dan berhati-hati. Tapi sedarkah anda bahawa di celah bedah mana sekalipun anda menyorokkan barang curi tersebut, Allah tetap dapat melihatnya. Itupun ramai juga yang telah terkantoi terakam dalam CCTV. Contohnya, kes susu kangkang. Takutkan CCTV ke, takutkan Allah?

5) Kita terkejar-kejar ke tempat kerja takut-takut kalau punch card merah, kena bambu dengan bos ataupun kena potong gaji. Sebaliknya kita buat muka tenang dan tak bersalah kalau solat kita dilewat-lewatkan sampai 2, 3 jam sekalipun. Yang tak pernah bersolat langsung tu pula, memang dia tak rasa pun yang Allah tu benar-benar wujud gamaknya. Siapakah yang lebih besar di sini? Bos, anda atau Allah?

6) Satu lagi hal tentang abaikan solat ni banyak terjadi kepada budak-budak asrama. Depa ni bersolat sebab takut kena hukum dengan warden ataupun takutkan Allah? Jangan rasa yang depa tu masih muda depa boleh dimaafkan begitu sahaja oleh Allah s.w.t. Dah banyak dah kejadian di mana yang tak sempat tua lagi dah meninggal ataupun sakit kronik. Tak kesampaian la azam bila dah pencen baru nak duduk surau atau masjid.

7) Yang perempuan pula, mereka bertudung kerana semua orang di sekeliling mereka bertudung ataupun kerana takutkan perintah Allah? Kalau takutkan Allah, walau keluar selangkah di luar rumah pun mereka tetap akan bertudung. Tak kiralah masa semua orang tak ada pergi kerja ke atau semua orang tengah tengok bola, Malaysia masuk Final Piala Dunia sekalipun.

Cukuplah sampai di sini dulu mengomel dan berlagak warak. Sebenarnya 3 setengah dari perkara-perkara di atas saya sendiri pernah terjebak. Cuba teka yang mana? Yang nombor 7 tu tolak tepilah, kerana saya seorang pria budiman (yelah tu!). OKlah, anggap sahaja entri kali ini sebagai "bukan marah, nasihat...!!!" buat semua yang sudi membaca. Bersamalah kita membentuk akhlak dan budi pekerti yang mulia hari ini agar generasi kita di masa hadapan akan lebih gemilang dan tersohor.

Mozar : Masa berada di negara Uncle Sam dulu saya lebih takutkan manusia psiko daripada hantu sebab kat sana tak ada polong, pocong, pontianak, hantu raya, toyol, langsuir, mak lampir, sundel bolong dan bapak segala hantu. Terpengaruh dengan filem le ni. Hantu-hantu kat sana tak seseram hantu Made In Malaysia. Habis-habis ada Zombie, Evil Dead, Exorcist atau Dracula yang masih sarat merupa manusia yang hodoh yang ada kaki dan banyak yang masih berjalan kaki.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...