Tuesday, April 24, 2012

Pandai Tak Boleh Diikut, Bodoh Tak Boleh Diajar

Hish teruknya!!! Jangan jumpalah orang macam ni. Sakit jiwa dibuatnya. Orang begini sedang berada di sempadan yang ekstrim. Langsung tak boleh di bawa ke tengah atau duduk berbincang baik-baik. Degilnya tuhan sahaja yang tahu. Mereka bak penjaga sempadan yang tidak membenarkan sesiapa pun orang luar masuk. Kalau beginilah sifat seseorang, begitu kental dan tegar sebagaimana dia menjaga kesucian Islam alangkah baiknya. Malangnya, pandai dan bodohnya tidak bertempat. Langsung tak boleh dipakai punya!

Mari kita telusuri sifat bodoh ini dahulu. Dunia ini kalau tak ada orang yang bodoh pun susah juga. Semua orang nak tunjuk pandai dan tak kurang juga yang memandai-mandai. Kalaupun semua orang di dunia ini pandai, mesti ada, tidak dapat tidak orang yang terkurang sedikit kepandaiannya. Mustahil ada orang sama pandai atau sama bodoh. Tidak ada. Kalau tidak, haru biru juga dunia jika ditakdirkan semua orang sama bodoh atau semua orang sama pandai. Kalau semua sama-sama bodoh, dunia jadi kacau bilau juga. Yang di sini bergaduh, bertekak dan berbunuh-bunuhan, yang di sana bergomol bertarik-tarik rambut. Dunia akan mundur semundurnya sampaikan nak buat kereta sorong pun tak ada seorang pun yang mampu memikirkannya. 

Hakikatnya, kita masih perlukan orang yang bodoh sedikit dalam dunia ini kerana itu adalah hukum alam. Tetapi, perlu diingat, biarlah si bodoh itu yang boleh dan mahu diajar. Kalau tak ada orang yang bodoh misalnya, nak jual sebuah kalkulator pun tak akan laku bila semua manusia cekap mengira dan mencongak. Atas kebodohan manusia juga banyak peluang-peluang pekerjaan dapat diwujudkan. Contoh bodoh-bodoh, adanya orang yang bodoh buat karipap, maka bolehlah orang-orang yang pandai sikit buat karipap berniaga karipap. Adanya orang yang bodoh buat minuman oren soda, maka wujudnya 'oren bodoh' di kampung-kampung.

Mari kita kaji pula sifat pandai. Kepandaian itu adalah juga merupakan satu fardu kifayah jika dilihat dari kepentingannya kita menuntut ilmu-ilmu yang bermanfaat. Logiknya, seseorang itu boleh dikatakan pandai bila adanya orang lain yang tidak pandai. Sebenarnya dia tak sepandai mana pun. Orang pandai senang-senang boleh memperbodoh-bodohkan orang yang sememangnya bodoh. Tapi perlu diingat, jika seseorang itu pandai dalam satu perkara, tidak semestinya dia pandai dalam perkara-perkara yang lain juga. Seorang peguam yang pandai berhujah di mahkamah belum tentu pandai menggantikan paip yang rosak atau menukar tayar yang pecah. Masa itu peguam yang ala-ala bijaksana di mahkamah bolehlah digelakkan atau diayam-ayamkan oleh si kurang pandai lulusan sekolah atap yang pandai dalam perkara-perkara tersebut. Moralnya, jangan perasan diri kita telah terlalu pandai kerana sudah pasti ada orang lain yang lebih pandai dari kita.

Mari kita congak pula kalau dunia dipenuhi oleh orang yang bijak-bijak pandai belaka, kurang-kurang 1st degree dalam tangan. Rasa-rasanya aman tak dunia ni? Mungkin tidak. Semuanya nak berlumba-lumba tunjuk pandai. Semua nak menang. Hari ini seseorang buat telefon pintar, esok orang lain pula buat telefon genius, lusa orang buat telefon bijaksana pula. Lagi satu tak ada siapa yang nak guna telefon yang bodoh-bodoh yang cuma ada fungsi basic-basic aje. Orang tua-tua pun nak guna telefon pintar. Selanjutnya, semua orang semakin pandai menegakkan benang yang basah walaupun kata bidalan mengatakannya mustahil. Orang-orang pun pantang silap sikit protes, saman, demo dan bermacam-macam cara lagi. Susah juga kalau semua orang atas dunia ini dah pandai-pandai belaka. Dalam pandai-pandai tu eloklah sekiranya ianya pandai yang boleh diikut dan boleh dicontohi. Kalau pandai yang tak boleh diikut, bukanlah ianya 'pandai' dalam ertikata yang sebenarnya, 'pandai' sinis aje namanya tu. Itu pandai yang memandai-mandai dan pandai yang membinasakan.

Berbalik kepada isu pokoknya bodoh tak boleh diajar, pandai tak boleh diikut, memang teruk gila! Susah nak handle orang macam ni melainkan dihantar ke pulau Jerejak atau Alcatraz aje (malangnya, kedua-duanya telah menjadi produk pelancongan). Kalau dicampak mereka ini ke suatu pulau terasing, kita tengok apa yang akan jadi. Dengan syarat biar semuanya mempunyai sifat 'terpuji' yang sama tara. Kalau mereka saling berbunuh-bunuhan dan berparang-parangan sesama sendiri pasti tiada siapa yang akan hairan. Kalau sebaliknya mereka berbaik pakat dan berukun damai pula, pasti ramai pula yang akan musykil. Pendekata, dari segi logiknya orang-orang sebegini dilihat dan dicop sebagai orang-orang yang tidak punya masa depan kerana mereka ini adalah perosak diri sendiri serta juga masyarakat di sekelilingnya.

Kesimpulannya, jika anda pandai dan berilmu tinggi, manfaatkanlah kepandaian anda itu ke saluran yang tepat dan berfaedah. Berbakti kepada yang memerlukan di samping memajukan diri, keluarga serta masyarakat. Percayalah, akan ramai yang akan mengikuti anda dek kerana kepandaian anda itu. Sahamnya anda juga yang akan dapat di akhirat kelak. Contoh paling dekat, penceramah-penceramah ilmu agama. Jika ilmu yang anda ajarkan benar, tepat, tulus dan bermanfaat maka ramailah yang akan mengikuti anda secara fizikal mahupun secara maya seperti di blog, Facebook atau Twitter, contohnya. Sebaliknya jika anda rasa diri anda bodoh yang mana anda sendiri tidak sedar yang anda bodoh, bawalah bermuhasabah diri. Jangan jadikan kebodohan anda itu bagaikan duri yang merosakkan diri sendiri dan juga masyarakat anda. Anda tidak akan digelar 'bodoh' selagi anda tidak berkata-kata ataupun melakukan perkara-perkara yang pelik dan menjengkelkan di mata orang orang lain. Akhir sekali, jika pandai jadilah pandai yang boleh diikut, jika bodoh pula, jadilah bodoh yang bersedia diajar dan diperbetulkan.

Mozar : Alangkah indah dan nyamannya bercamping diiringi deruan ombak atau deruan jeram sambil disulami kicauan unggas-unggas. Jika ada yang memilih bercamping di tengah-tengah kota Metropolitan, itu 'hak kebebasan' anda. Siapa nak ikut dan belajar secara terbuka sila angkat tangan!

Yang ini kategori pandai tak boleh diikut, bodoh tak boleh diajar atau kedua-duanya sekali? Teruknya!!!

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...