Tuesday, May 8, 2012

Ramai Yang Bijak Pandai, Namun Sedikit Yang Berakal

Alkisahnya, ada seekor kerbau yang setiap paginya akan dibawa oleh seorang anak pengembala yang masih kecil menuju ke sawah padi yang akan dibajak. Jika tiada pekerjaan, kerbau itu akan dibawa oleh pengembala itu ke tempat yang banyak rumput. Ke mana pun kerbau itu dibawa, ia menurut sahaja arahan tuannya yang masih kecil itu. Pada suatu hari, sedang sang kerbau bersendirian, datang seekor harimau menghampirinya.

Berkata sang harimau kepada sang kerbau,

"Hei kerbau! Sudah lama saya memerhatikan kamu. Kamu selalu menurut sahaja bila dibawa-bawa atau disuruh-suruh oleh tuan kecilmu. Tuan manusiamu itu sangat kecil jika dibandingkan dengan kamu. Kenapa tidak kamu tanduk sahaja dia, pasti dia akan terpelanting jauh ataupun mati. Kamu akan jadi bebas seperti saya, bebas ke mana sahaja yang saya mahu."

"Saya takut kepada anak kecil itu," jawab sang kerbau.

"Ha ha ha, kamu memang bodoh. Masakan badanmu yang sebegitu besar, takut kepada si budak kecil?" ejek sang harimau sambil mentertawakan sang kerbau.

"Kamu juga pasti akan takut sekiranya kamu mengetahui kelebihan manusia," jelas sang kerbau.

"Apakah kelebihan manusia itu sehingga membuatkan kamu takut?" tanya sang harimau ingin tahu.

Tidak lama kemudian, pengembala kecil tadi datang. Lantas sang harimau menyapanya.

"Hei anak manusia! Kata sang kerbau kamu mempunyai kelebihan yang membuatkan dia takut. Apakah ia?"

Budak pengembala menjawab, "Saya sebagai manusia diberikan kelebihan oleh Pencipta berupa akal yang tidak dimiliki oleh makhluk-makhluk yang lain."

"Akal itu apa? Bolehkah saya melihat akal kamu? Jika kamu tidak dapat menunjukkannya, saya akan memakan kamu," kata sang harimau sambil mengancam.

"Oh, saya tidak dapat memperlihatkannya sekarang kerana akal saya tertinggal di rumah", jawab si pengembala dengan tenang.

"Kalau begitu, pergilah kamu ambilnya dulu," kata sang harimau dengan nada mendesak.

"Saya boleh sahaja mengambilnya tetapi jaga-jaga! Kamu pasti akan lari," jawab pengembala tidak mahu kalah.

"Saya berjanji, saya tidak akan lari," tegas harimau dengan penuh yakin.  

"Sekarang kamu bolehlah berkata begitu. Tetapi, setelah melihat saya membawa akal, kamu pasti akan lari. Bagaimana kalau saya ikat kamu supaya kamu tidak akan lari nanti."

"Setuju!" Jawab sang harimau.

Kemudian budak pengembala tersebut mengikat harimau tersebut di sebatang pokok. Bukan sahaja ia tidak dapat lari, malah sehingga tidak dapat bergerak sama sekali. Setelah mengikat sang harimau itu, budak itu pun berlalu pergi.

Sang kerbau yang sedari awal tadi memerhatikan hanya ketawa melihat nasib harimau.

"Sekarang apa yang kamu boleh buat?" tanya sang kerbau. Harimau tidak dapat menjawab, panik dan ingin melepaskan diri, namun tidak berjaya.

"Itulah namanya akal manusia, he he he," kata sang kerbau sambil berlalu pergi mengikuti tuannya.

(Kisah ini dicedok dan digarap semula ke Bahasa Malaysia dari blog Motivasi Islami, hasil nukilan Rahmat Mr. Power).

Demikianlah adanya kisah tentang akal manusia. Terlalu mahal rupanya harga anugerah akal yang diberikan oleh Allah s.w.t kepada manusia ini. Kisah tadi secara analoginya menceritakan bahawa akal yang waras dan cerdas boleh menewaskan benda-benda yang jauh lebih besar dan lebih ganas daripada manusia itu sendiri. Oleh itu, hargailah ia sebaik-baiknya dan gunakanlah akal yang waras itu di tempat yang betul dan wajar di atas mukabumi ini.

Seseorang yang dikatakan 'berakal' itu adalah orang yang bijak menggunakan akal fikirannya yang disertakan dengan emosi dan jiwa. Jika bijak berfikir tanpa ada emosi, setiap gerak geri dan setiap keputusan itu boleh jadi melukai hati orang lain. Orang yang berakal sentiasa menjaga setiap perlakuannya agar tidak menyakiti jiwa orang lain. Contohnya, seorang pencuri mungkin bijak dan berstrategi dalam mengatur gerakannya mencuri tetapi perbuatannya itu sangatlah tidak boleh diterima akal. Melukai hati mangsanya yang mana perbuatan itu memang tidak berakal langsung.

Akal manusia juga biasa dikaitkan dengan pengukuran Emotional Intelligence (EI) seperti yang telah lama dikaji oleh para pengkaji psikologi dan sosiologi. Para pengkaji turut berbalah dalam ketepatan dan kebolehterimaan hasil beberapa model pengukuran EI ini. EI ini sebenarnya suatu yang unik dan abstrak yang tidak tercapai oleh akal manusia. Hakikatnya, tiada kaedah pengukuran yang tepat bagi mengukurnya. Ia berkait rapat dengan jiwa manusia itu sendiri.

Contoh yang paling mudah dan ringkas untuk menilai samada seseorang itu berakal atau tidak ialah dengan melihat tindak tanduk sehariannya. Pernahkah dia dilihat membuang sampah merata-rata, mengeluarkan kata-kata kesat belaka, merokok di khalayak bukan perokok, memotong barisan, tidak mengepam tandas ataupun membuat bising di khalayak yang senyap? Jika ada salah satu perlakuan ini, maka confirmlah orang itu tidak berakal. Tak susah untuk mengenal orang yang akalnya berada di kepala lutut.

Ramai orang berpelajaran tinggi dan berpangkat besar yang pada dasarnya dilihat sebagai pemilik IQ yang tinggi juga. Bagaimana pula dengan EQ(Emotional Quotient)nya? Tak ramai sebenarnya si pemilik IQ tinggi yang pada masa yang sama berEQ tinggi juga. EQ atau juga dikaitkan dengan perilaku berakal cemerlang ini berkait rapat dengan didikan semasa kecil dan persekitaran seseorang itu dibesarkan. Jika sedari kecil dididik dengan nilai-nilai murni dan pandai menghormati orang lain, maka sehingga bila-bila pun sifat tersebut akan dibawanya ke mana-mana sekalipun.

Berakal juga boleh dikaitkan dengan sifat atau budaya kasih sayang dan hormat menghormati sesama insan dan juga makhluk-makhluk Allah yang lain. Jika hilang nilai tersebut maka lihatlah, manusia sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan diri sendiri atau untuk mencapai hasrat dan cita-cita tersendiri. Perasaan manusia lain tidak lagi diendahkan, malah tidak berasa apa-apa pun bila telah menyusahkan hidup orang lain. Hati sekeras karang, kepala sekeras kerikil, perasaan malu langsung tiada.

Memang sukar sebenarnya untuk kekal dalam mode berakal setiap masa. Setiap saat dan ketika hati orang dan tanggapan orang lain terhadap kita perlu dijaga rapi. Hanya orang yang tiada perasaan sahaja yang tidak kisah untuk melanggarnya. Perasaan malu dan perasaan bersalah adalah kunci sebenar di sebalik sifat berakal ini. Jika kedua-dua itu tiada, manusia itu lebih rendah tahapnya daripada haiwan. 

Pentingnya sifat berakal ini ialah agar kita dapat menjaga keharmonian sesama alam dan manusia. Tiada pergolakan akan berlaku walau sekelumit pun. Segala pertentangan buah fikiran mahupun pertelagahan minda akan dapat diselesaikan secara yang lebih bertamadun dan lebih berkompromi. Alangkah bahagianya alam ini andai keharmonian sebegitu dapat terlaksana.

Berbalik ke akar umbi terbitnya sifat ketidakberakalan ini, jelas sekali ia berpaksi kepada keimanan, ketakwaan dan pegangan hidup. Orang bukan Islam sendiri ramai yang lebih berakal daripada kita yang mengaku beriman kepada rukun yang enam. Ini mungkin kerana hidup mereka telah disemai dengan kesihatan mental dan juga mempunyai pendirian hidup serta matlamat hidup yang jelas. 

Hidup perlukan pemikiran yang tenang, matang dan tidak terburu-buru dalam membuat sesuatu keputusan atau tindakan. Di mana silapnya sehingga ramai dari kita yang berakal di kepala lutut, tanyalah diri sendiri. Tiada orang lain yang dapat mengubahnya melainkan diri anda sendiri. Bukan anda tidak bijak pandai, cuma malas untuk menambah rencah kepada pemikiran dan juga tak kuasa nak bersusah payah memikirkan tentang orang lain. Laksana enau di dalam belukar, asal lepas pucuk aku mendapat cahaya sudah!

Mozar : Dunia kian tidak selamat bila dihuni oleh manusia-manusia yang kian pendek akal. Mungkinkah disebabkan wujudnya dunia yang ala-ala teori Charles Darwin, 'Survival of the fittest' yang menghakis dan mengenepikan sifat kasih sayang dan bantu membantu di dalam setiap aspek kehidupan? Anda rasa?

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...