Tuesday, May 22, 2012

Ayat-Ayat Atau Soalan Yang Perlu Dijawab Dengan...

Kadangkala seseorang itu boleh membuat ayat-ayat atau soalan yang sangatlah tidak kena dengan masa dan tempat. Pernah buat tak? Orang yang mendengar butir-butir bicara tersebut dah kecik besar, kecik besar aje tengok si 'pesalah' tersebut. Kadangkala pula terbit rasa benci, geli geleman atau macam nak termuntah pun ada. Semuanya bergantung kepada ayat-ayat yang 'tak boleh belah' yang dilontarkan oleh seseorang pelaku itu. Kadangkala si penutur tersebut memang berniat baik dan konon-konon sapaan mesra, tapi malangnya tak kena tempat. Ada juga yang memang 'slenga' yang tidak berfikir sebelum bercakap ataupun memang suka menyakitkan hati orang. Pendekata, macam-macam spesies lah yang hidup di atas mukabumi ini. Oleh kerana hakikat itu, marilah kita lihat apa ayat-ayat atau soalan-soalan yang 'out of this world' tersebut dan 'apa makan dia?'.

Perlu dijawab dengan penampar (kita mulakan dengan yang brutal dahulu)
1. Bila seseorang mengeluarkan kata-kata kesat dan carut marut yang berkisar kepada benda-benda di dalam kain dan di dalam kelambu. Rasa sakit hati ada, rasa malu pun ada bila mendengarnya. Apa makan dia? Ikutlah naluri anda. Kurang-kurang ada yang akan mengeluarkan carut balas.

2. "Abang/kakak! abang/kakak dah menang ini kereta! yehooo (sambil berlakon terkinja-kinja). Wow macamana abang/kakak boleh dapat ni??? Saat itu, satu tindakan refleks yang patut anda bagi ialah sebiji penendang atau penampar sulung sambil berlalu dengan muka selamba macam tak ada apa-apa berlaku. Tak pun terus cari mana-mana polis dan buat repot terhadap si penjenayah 'Gores & Menang' tersebut.

Perlu dijawab dengan, "Booooo!!!"
1. Menulis "1st!!!" sebagai pengomen pertama di ruangan komen blog-blog yang popular. Nak sangat tulis "1st", tulislah kat blog ini, langsung tak ada saingan. Tapi saya akan jawab dengan "booo" juga.

2. Bila seseorang memberi komen pada gambar atau video yang pernah dilihatnya 40 tahun dulu (walaupun belum pernah lahir) dia lalu menulis "dah tengok dah 40 tahun dulu, video lama ni. admin lambat la". Macam la semua orang dah pernah tengok benda tu. Dah tengok tu duduk aje diam-diam, kasi peluang kat ramai lagi orang yang belum pernah tengok. Potong betul!

3. "Ini edit aje ni", "Ni photoshop ni", bila mengomen gambar-gambar yang agak pelik sikit dalam Internet atau laman sosial. Kadang-kadang yang tak pelik pun kata edit sebab minda tak terbuka luas, tak boleh terima kenyataan bahawa benda itu benar dan melainkan yang benar belaka. Kalau tak pandai guna Photoshop bagai tak perlulah nak komen lebih-lebih.

Perlu dijawab dengan, "piiirah mabuk!" ataupun dengan muntah bergantang-gantang
1. Bila seseorang membuka rahsia kecantikannya dengan mengatakan "hasil dari air sembahyang dan selawat setiap kali bangun tidur". Jangan-jangan cucuk sana, cucuk sini, maklumlah duit dah tak tahu nak dikemanakan di samping nak menjaga aset.

2. Bila seseorang mengatakan, "saya tak makan ini sayur-sayur kempung, belachan, budhu, phekasam..eiiouww apa tew? Padahal rambut dan biji mata hitam pekat. Mat salleh la sangat...!!!(sambil meletak kedua tangan macam nak mencedok sesuatu di atas bahu).

Perlu dijawab dengan tangan yang terketar-ketar sebab dah ringan... sangat
1. Bila seseorang berkata, "ada aku kesah?" terhadap perkara yang dia tak ambil 'pot' ataupun dah tak tau nak jawab apa dah di samping dapat menyakitkan hati pihak lawan. Ringan aje rasa tangan nak bagi sedas dua. Tapi kalau statement ni ditujukan kepada seseorang yang memang bermulut cabul, best juga, puas hati juga tengok orang tu terkedu bagai tertelan mengkudu.

2. Bila seseorang memberi jawapan "On the way" bila ditanya dah sampai mana, untuk cover yang dia dah terlambat atau terperangkap dalam kesesakan jalanraya. Takpun tengah sedap membadak. Sekonyong-konyong tak juga muncul-muncul walaupun matahari dah terbenam. Rasa nak ganyang aje mamat cover line tu.

3. Satu masa dulu popular dengan ungkapan "tak tanya pun...". Bila kita punya rancak pom pam pom pam cerita begini begitu, begitu begini, alih-alih mamat yang dengar tu kata "tak tanya pun..." Tak ke mendidih rasa isi perut mendengarnya. Mahu aje rasa nak hanyun lengan ataupun sebaliknya terkedu lalu terduduk malu.

Tak perlu jawab apa-apa, sebab dah terlepas satu dosa kalau tak bertanya atau mengajak
1. Bila seorang lelaki memberi alasan "seluar saya kotorlah" bila diajak singgah solat di mana-mana masjid atau surau. Padahal biasanya ada disediakan kain wakaf di surau atau masjid walaupun hangitnya tuhan saja yang tahu. Kalau nak seribu daya, bawalah kain pelikat sendiri, bukannya berat sangat pun. Laptop, Ipad, maktop bagai boleh je bawa ke mana-mana. Bagi yang perempuan pula akan memberi jawapan mudah, "I cuti la". Memang tamat le sesi soal jawab di situ. Tak boleh tanya lagi dah melainkan anda cek sendiri dia ada pakai pad ke tak? Kebanyakannya itulah jawapan paling 'mantop' dari seorang perempuan yang malas bersolat.

Perlu dijawab dengan muka tak puashati
1. Bila seseorang berkata, "Itu bukan saya" terhadap tuduhan gambar-gambarnya yang tidak senonoh yang sedang hangat diedarkan di dalam Internet. Tambah mengeruhkan suasana ialah bila dia menambah, "itu confirm pelanduk dua serupa". Kalau pelanduk, betullah orang takkan kenal sebab semua pelanduk macam nak serupa aje belaka. Ini manusia, tak ramai yang boleh serupa sebiji laksana pelanduk-pelanduk.

2. Bila seseorang berkata "no komen". Biasanya ini jawapan selamat para artis, bila diterjah pelbagai soalan maut dan yang mengancam karier. Jawapan sebegitu sebenarnya bermaksud menyembunyikan seribu satu rahsia yang tersirat.

Perlu dijawab dengan, "bye juge!"
1. Bila seseorang berbual di dalam telefon atau menulis dalam chatting, "I ada kerja sikitlah, bye le ye". Padahal tak ada kerja pun nak dibuat, ataupun dah boring sangat atau dah tak ada modal nak berchatting. Nak tak nak terpaksalah kita bye bye juga kat dia. Selagi tak bye memang takkan habis berchatting, lebih-lebih lagi remaja gedik-gedik yang baru nak naik, baru nak kenal dunia.

Perlu dijawab dengan, "Boleh saya tahu nama dan jawatan anda, dengan nombor telefon sekali?"
1. "Maaf encik, Ini bukan di bawah bidang kuasa saya. Saya tak dapat beri keputusan." Ini sembang orang yang nak melepaskan tengkuk atau tanggungjawab kepada orang lain ataupun memang seorang yang takut untuk membuat keputusan. Kalau betul takpe, kalau tak betul, layak le orang tu disumpah menjadi sesumpah, boleh le tukar macam-macam warna badan.

Perlu dijawab dengan, "Nombor yang anda dail tiada dalam perkhidmatan" ataupun "toooooooooot" sepanjang-panjang nafas yang boleh
1. "Hello, ini encik polan bin sipolan ke? Saya memanggil dari Bla Bla Bla Insurance, bla bla bla." Jangan fikir panjang, offkan aje telefon, mengganggu hidup sungguh. Paling pantang bila tengah drive, panggilan-panggilan macam ni masuk. Selalu sangat kena macam ni, sudahnya bila ada nombor yang tak dikenali masuk, terpaksa tak angkat langsung. Kalau itu panggilan emergency atau dah menang peraduan dapat RM1,000,000.00 ke, alamatnya terlepas le. Tapi, bukan le nak berlaku kejam kepada telemarketer tu yang nak cari rezeki. Masalahnya kita sendiri dah ada 2, 3 jenis insuran, depa sibuk nak promote yang lain-lain. Rasanya depa dah tahu, saja nak cilok lubang. Bagi yang memang tak pernah ada insuran lagi silakanlah layan depa ni. Bersedialah telefon sampai rasa nak berasap kat telinga mendengar pot pet pot pet nya. Bagi yang malas nak bertanya banyak tu akan terperangkap le dengan insuran yang mereka sendiri tak tahu menahu sangat faedahnya. Entah-entah kena tipu pun. Claim-claim tak dapat.

Begitulah ragam hidup manusia, macam-macam ada. Kalau haiwan, depa tak bersoal jawab dah, terus bergomol atau terus kena 'ngap' aje. Walaubagaimanapun, setelah puas memaparkan sisi negatif manusia, mari kita lihat sisi yang positif pula. Tak semuanya perkataan-perkataan manusia ini mengundang kemarahan atau mengguris rasa. Jika seseorang berkata contohnya, "Apa boleh saya tolong?" ataupun, "awaklah insan paling baik dan paling cantik pernah saya temui" takkan kita tak kembang kembi hidung mendengarnya. Sejuk rasa hati. Jawapan yang paling tepat untuknya adalah "terima kasih" sambil menelan air liur. Ataupun yang offer pertolongan tadi akan membuatkan kita memberi jawapan, "Pandai pun cari kerja! Tak le menung..aje!" (Opps! ni jawapan cari gaduh namanya). Tak lah, yang seharusnya kita jawab ialah "terima kasih ajelah kerana sudi nak membantu, tak apalah sikit aje lagi nak habis ni". Maka dengan itu hiduplah kedua-dua pihak tadi dalam suasana yang harmoni dan berkasih sayang..'Peace no war yo!'.

Mozar : Kalau kita bercakap macam-macam kat seseorang, orang tu samada angguk-angguk, geleng-geleng, termenung, mengiyakan ataupun terbatuk-batuk kecil, ianya membawa beberapa petanda. Samada orang tu pekak badak, kurang waras, tak fokus, tak berminat ataupun tak nampak siapa yang bercakap di depannya. Masa tu boleh le kita menyergah satu soalan bonus pada orang tu.."woi ko pehal?" sambil melayangkan sebuah....(suka hati andalah).

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...