Showing posts with label Kasih Sayang. Show all posts
Showing posts with label Kasih Sayang. Show all posts

Sunday, May 8, 2011

Walaupun Kini Ibu Telah Tiada...

Selamat Hari Ibu buat semua ibu-ibu di seluruh dunia. Seorang ibu itu begitu istimewa kedudukannya di sisi agama dan juga sesebuah institusi keluarga. Tanpa ada seorang ibu, blog ini dan juga entri yang mengenang ibu ini tidak akan pernah wujud. Bertuah dan beruntunglah bagi kalian yang masih ada ibu dan di masa yang sama terus menabur bakti kepada ibu-ibu kalian. Bagi yang telah tiada ibu, kebajikan kalian di dunia ini terpadam sudah, cuma doa-doa kalian yang soleh solehah sahaja yang masih belum tertutup akaunnya.

Walaupun kini ibu telah lebih 2 tahun kembali ke Rahmatullah, aura ibu masih ada di mana-mana. Kasih sayangnya dikenang, pengorbanannya dikenang, garang tegasnya dalam mendidik juga dikenang. Di situlah tempat aku berkongsi rasa, berkongsi rahsia dan tempat mengadu hal. Tidak putus-putus ibu mendengar hal anak-anaknya, walaupun telah besar panjang, walau telah beranak pinak sekalipun. Ada hal yang indah, ada yang kelat dan pahit. Semuanya terpaksa ditelan ibu. Selagi ada hayat, ibu terus-terusan berkongsi masalah dan perasaan dengan anak-anak. Mungkin sudah sampai masanya untuk ibu berehat dari itu semua, maka Allah s.w.t memanggilnya dengan penuh terhormat. Tanpa banyak menyusahkan sesiapa. Itulah doa ibu yang tidak pernah ditinggalkannya setiap kali seusai solat-solatnya.

Walaupun ibu telah tiada, rumah peninggalan ibu masih tidak banyak terusik. Sentuhan tangan ibu masih terlihat di setiap sudut rumah. Ianya begitu nostalgik. Pokok-pokok bunga yang masih ada hasil tanaman ibu juga masih terus hidup subur walaupun tiada lagi tangan yang membelek dan membelainya setiap hari. Sesekali mengunjungi rumah ibu, nostalgia bersama ibu terus menggamit rasa. Perasaan yang pernah aku bayangkan sekiranya ibu tiada sewaktu hayat ibu masih ada memang jauh tersasar. Perasaan ketika ini lebih teruk lagi daripada yang dapat aku bayangkan. Sunyi dan sepi tanpa hilai tawa ibu yang suka berlawak, yang terkadang hingga terkekeh kekeh ketawanya. Juga tanpa suara ibu yang mengejutkan anak-anak untuk bersolat Subuh. Juga tiada suara ibu yang galak berbual ketika bersahur sedangkan anak-anak masih mamai dan pening-pening lalat menghadap hidangan.

Walaupun ibu telah tiada, masakan ibu yang hingga kini tiada tandingannya, tetap aku rindui. Rendang ayam dan juga kuih karipap ibu memang tidak terbanding. Setiap kali raya, ibu bertungkus lumus membuat rendang sekuali besar. Anak-anak, menantu-menantu sehinggalah ke cucu-cucu semuanya gemarkan rendang ibu. Resepi kasih sayang bercampur air tangan agaknya. Kuih karipap ibu juga the best in the world. Walau di mana-mana sahaja aku membeli karipap, walau daripada 'Hantu Karipap' sekalipun, aku akan terus-terusan hampa kerana rasanya jauh ke laut daripada hasil tangan ibu. 

Walaupun ibu telah tiada, legasi ibu yang minat bertanam tanaman masih aku teruskan. Jika ibu lebih berminat dengan tanaman bunga-bungaan, aku pula lebih berminat kepada tanaman makanan atau sayur-sayuran. Kata ibu, dia tak serasi menanam sayur-sayuran, asyik mati aje. Sebenarnya ibu memang sangat obses dengan bunga-bungaan. Pantang terjumpa yang ganjil sikit, yang masih tiada dalam koleksinya, cepat-cepat digapainya. Tapi elok juga ibu sukakan bunga-bungaan, rumah nampak lebih indah dan berseri berbanding dengan rumah yang langsung tiada bunga. Bunga-bunga yang tahan lasak masih terus hidup subur di laman rumah ibu walaupun kini tiada penjagaan.

Walaupun ibu telah tiada, jasa ibu dalam menurunkan ilmu-ilmu agama dan ilmu kehidupan masih utuh aku jadikan panduan dan amalan dalam hidup. Ilmu tajwid ajaran ibu membolehkan aku membaca Al-Quran dan Yassin dan menyedekahkannya kembali kepada ibu. Aku juga layak untuk mengimami solat berjemaah, apabila diperlukan. Sekurang-kurangnya bacaanku tidak jauh berbeza daripada yang ahli di dalam bacaan Al-Quran. Itulah amal jariah paling berharga yang sempat ibu titipkan buat anak-anaknya.

Walaupun ibu telah tiada, ayah, pasangan cinta ibu masih ada lagi. Malangnya, ayah tidak lagi mengingati ibu. Allah lebih tahu serta lebih menyayanginya. Bila ayah diketemukan dengan ibu nanti, tentu kasih dan cintanya adalah yang abadi selama-lamanya kerana tempat ibu terus kosong tidak digantikan sesiapa. 

Walaupun ibu telah tiada, aku tiada ibu lain lagi sebagai pengganti, kecuali ibu mertua dan ibu-ibu saudara. Aku dan kalian semua hanya ada seorang ibu. Ibu tiada galang gantinya seperti alat-alat ganti mesin atau kenderaan. Semasa seorang ibu sedang singgah dalam hidup kalian, perbuatlah yang terhabis baik untuknya kerana apabila dia dijemput pulang oleh Allah s.w.t, ibu tidak akan kembali lagi selagi hayat kalian masih ada. Selamat Hari Ibu bagi kalian yang masih bersama-sama ibu ketika ini manakala Al-Fatihah buat ibu saya, Khadijah bt. Hassan serta semua ibu-ibu yang telah meninggalkan kita.

Mozar : Kusangkakan Hari Ibu akan dapatku sambut untuk sekurang-kurangnya 10 tahun lagi bersama-sama ibu memandangkan dalam bulan-bulan terakhir sebelum ibu pergi, kesihatan ibu agak memberangsangkan. Bila terkena kencing manis di tahap kronik, ajal maut susah untuk diramalkan. Jagalah kesihatan anda dan juga ibu-ibu dan bapa-bapa anda sebelum terlambat.

Ada kesedihan yang tak terucap di wajah ibu ketika sedang terlantar kesakitan


Wednesday, March 16, 2011

Sayang Itu Amat Perlu

Pernahkah anda menyayangi dan disayangi? Tidak dapat tidak, dalam hidup anda perlukan kedua-duanya ini. Sayang yang paling tinggi kedudukannya ialah sayang kepada Allah, Rasul s.a.w serta agama (Islam). Sayang yang utama ialah sayangi diri. Kemudian, sayangkan saudara-saudara anda dan juga saudara-saudara seIslam anda. Sayang menyayang kepada yang selainnya dari ini bergantunglah kepada anda sendiri asalkan ianya berpada-pada. Besar sebenarnya skop dan pengertian sayang ini. Sayang adalah sejagat sifatnya (universal). Semua manusia di dunia ini berupaya merasakan atau melahirkan perasaan sayang.

Sayang terletak di tengah-tengah antara suka, hormat, kasih dan cinta. Suka tidak bererti sayang. Suka boleh padam bila yang disukai tiada di depan mata. Hormat juga tidak bererti sayang. Hormat juga hanyalah satu ekspresi apakala ketemu atau berhadapan. Ia tidak akan terbawa-bawa ke mana-mana. Kasih dan cinta pula adalah tahap yang lebih tinggi sedikit dari sayang. Perasaan sebegini hanya wujud dalam kes-kes yang agak terpencil. Hanya orang-orang yang bercinta yang bermain dengan rasa kasih dan cinta ini.

Berbalik kepada subjek sayang, kita semua amat memerlukannya. Bila diri disayangi, hidup akan lebih bermakna dan membahagiakan. Kurang kasih sayang pula akan mengundang masalah jiwa dan sosial dalam diri mangsa-mangsanya. Anak-anak perlukan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi dari ibubapa mereka. Begitu juga ibubapa yang memerlukannya dari anak-anak mereka. Hidup bermasyarakat juga perlu ada sayang menyayangi. Jiran tetangga perlu ada sayang dan menyayangi. Jiran-jiran adalah pengganti adik beradik atau saudara mara yang terdekat. Tanpa berbaik dengan jiran tetangga, hidup akan menjadi seperti 'kera sumbang' serta tersisih dari masyarakat. Bila berlaku musibah, siapakah pembantu terdekat dan terpantas selain dari jiran-jiran sendiri? Siapakah yang akan diharapkan bila berlaku kecurian atau kematian kalau bukan jiran tetangga? Oleh yang demikian, sayangilah jiran-jiran sebagaimana menyayangi adik beradik anda sendiri.

Dalam berkawan, sifat sayang menyayangi juga amatlah perlu. Bila diri disayangi kawan-kawan, sakit pening kita akan ada yang menziarah dan menghulurkan tangan meringankan beban. Bila kita tersasar dari landasan hidup, kawan-kawanlah yang akan mendoakan kesejahteraan kita. Tidak keterlaluan bila kawan-kawan yang saling menyayangi akan mendoakan syurga serta dijauhkan bala untuk kawan-kawannya yang lain. Semakin ramai yang mendoakan kebaikan buat kita semakin berkat dan berjayalah hidup kita. Di sinilah pentingnya diri disayangi kawan-kawan.

Perasaan sayang tidak akan datang dengan sendiri tanpa perlu diusahakan. Melimpahkan wang ringgit dan kemewahan tidak mungkin menerbitkan sayang yang ikhlas. Wang ringgit melayang, sayang 'ada makna' pun turut melayang. Sayang juga tidak terbit dari rupa paras nan menawan. Itu sayang yang 'ada makna' juga. Boleh jadi bersulam nafsu nan serakah. Sayang sejati juga tidak lahir dari kepetahan berbicara, berpidato atau keupayaan menangkis hujah-hujah lawan. Dari situ hanya akan lahir pengkagum-pengkagum yang bersifat seperti lalang. Sekali lagi, kalaupun ada yang sayang, sayangnya juga 'ada makna'. Walaubagaimanapun, kesayangan ibubapa terhadap anak-anak adalah sayang yang lahir semulajadi dari naluri yang luhur, walaupun terkadang hanya bersifat sehala.

Bagaimanakah untuk mendapat kesayangan orang? Banyak cara sebenarnya. Orang akan sayang bila anda bersopan santun dan berhemah tinggi. Orang akan sayang bila anda bersifat jujur dan amanah dalam segala perkara. Orang akan sayang bila anda pemurah dan tidak berkira dalam segala hal. Orang akan sayang si ringan tulang dan penghulur jiwa raga dan tenaga di saat-saat diperlukan. Orang akan sayang seorang pendengar yang baik dan sentiasa prihatin terhadap segala masalah yang dikemukakan kepadanya. Orang akan sayang bila anda bukan pencarut, pemarah atau pendengus. Orang akan sayang bila anda tidak bercakap besar, berbangga diri dan 'poyo' (terasa diri terlalu bagus). Orang akan sayang bila anda bukan penjanji palsu atau penjanji yang lewat.

Pendekata, jika anda ingin disayangi, cermin ke dalam diri, letakkan diri anda di kaki orang lain. Apa yang anda tidak suka orang lain perbuat terhadap anda, itulah yang anda perlu elakkan. Sebaliknya, apa yang anda suka orang lain perbuat terhadap anda, itulah yang harus anda lakukan terhadap orang lain.

Mozar : Bila diri disayangi, kehadiran akan disenangi, kejauhan akan dirindui, kehilangan akan dicari, kejayaan akan dirai (bukan diiri).

Thursday, March 10, 2011

Bila Sana-Sini Ada Bos

Sini ada bos, sana ada bos. Siapa yang nak jadi kulinya? Bos yang ini cekak pinggang. Bos yang itu mengarah. Bos yang sinin menempelak. Bos yang sinun hanyut dengan hal-hal peribadi tak sudah-sudah. Bos yang itu pula tak muncul-muncul lagi walaupun hari dah tinggi. Si kuli terkulat-kulat, menahan lelah dan marah. Si kuli juga yang naik darah. Nak marah, apakan daya. Hanya melukut di tepi gantang. Cabut kalu, seribu mari. Berbondong-bondong datang merentasi Selat Melaka dan lautan Hindi. Murah-murah pulak tu.

Ada kuli makan kuli. Ada kuli aniaya kuli. Sekufu tapi tak bersekutu. Berlagak macam bos pula. Yang lemah dan yang 'bendul' dipijak-pijak. Kalau pijak-pijak orang dia boleh naik ke atas tak apalah juga. Ringan sama dijinjingnya, berat lantak engkaulah! Dalam dunia kuli juga ada bos. Ada sub-sub kuli juga rupanya. Mana mau lari?? Bos-bos di merata tempat dan profesion!

Ada bos yang tak boleh disentuh. Tugasnya duduk sesofa sekusyen dengan bosnya yang lebih tinggi. Kamceng maut! Kipas dan air cond jadi permainan. Biar bosnya sejuk dan nyaman. Untouchable? Bukanlah! Itu kasta paling rendah di India. Mana mari bos-bos sebegini? Kroni-kroni la, biasa la. Orang bawahan tiada suara kecuali di kedai-kedai kopi dan di surau-surau (boleh ke?). Sosek-sosek le korang, tak jadi kudis pun buat si kaki kipas tu.

Ada juga bos yang dari suku sakat bos besar. Bos-bos ini adalah dari golongan 'invincible'. Buatlah apa-apapun selagi tempat kerja tak terbalik, tak terlingkup.
"Korang kuli-kuli semua buat apa? Makan gaji buta ke? Aku bayar korang untuk buat kerja! Tak suka, pintu terbuka luas untuk korang! Jangan nak sibuk hal aku! Aku macam manapun korang sibuk pasal apa? Tempat ni aku punya!" bentak si bos kebal. 
Wahh! terkedu dan menikus balik kuli-kuli yang tak puas hati tadi. Makcik tukang sapu dan makcik kantin terpempan dan gumam.
"Kak Joyah, kita sambung gossip balik karang le ekk?" (bisik kecil makcik tukang sapu). Dalam hati makcik tukang sapu siapalah yang tahu, rasa macam nak meletup je.
"Ah! aku lak yang menyibuk sangat, padahal aku tukang sapu je. Tapi..jangan main-main, tukang sapu tak sapu. Akulah pemerhati PBB yang paling banyak tengok dan peka dengan gerak-geri bos-bos tadi." (sempat lagi meredakan keterkeduan tadi tu!).

Masing-masing mahu ke atas. masing-masing mahu tunjuk lebih hebat, lebih berkuasa. Si enau dalam belukar, lagaknya. Kerja yang diarah dan diperintah mesti siap pada waktunya, mesti sempurna. Kalau tak, bos juga yang letih nak menjawab. Kuli juga yang kena bambu akhirnya. Tapi jangan lupa, sistem sesuatu organisasi umpama sebuah piramid. Yang di bawah lebih lebar, manakala yang di atas tajam dan runcing. Seteguh manapun piramid itu, pasti akan roboh juga dek penangan yang menyokong beban di bawah. Buruk padahnya bila yang di bawah tak tertanggung lagi beban yang dihempap pada mereka. Kalau banyak sangat bos, piramid pun tidak seimbang lagi. Sudahnya akan roboh juga akhirnya.

Mozar : Bilamana semua manusia berkasih sayang dan berkasihan belas, bos-bos adalah golongan manusia yang senantiasa risau dan juga tidak pernah lena tidur. Panas punggung turun padang untuk bekerja bersama-sama dengan 'anak-anak buahnya' (bukan 'kuli-kulinya'). 

Friday, January 28, 2011

Wira-Wira Tak Didendang

Siapakah 'wira' di hati anda? Bukanlah adiwira-adiwira seperti Batman, Superman atau Cicakman yang dimaksudkan ya! Itu semua hanyalah khayalan di bawah sedar sang-sang pencipta watak. Kita sedang berada di bumi nyata. Mungkin anda tidak sedar bahawa wira-wira yang tak didendang atau diraikan ini sebenarnya hidup bertebaran di sekeliling kehidupan anda. Ungkapan bahasa Inggeris bagi istilah ini ialah 'Unsung heroes'.

Bagi anak-anak di luar sana, anda tak perlu memandang jauh lagi. Wira-wira sejati anda adalah ibubapa ataupun penjaga anda sendiri. Merekalah 'guardian angel' atau 'malaikat penjaga' bagi anda. Apa tidaknya, dengan tulang empat kerat mereka, selagi daya merekalah yang menjaga kelestarian hidup anda ketika anda masih tidak mampu berdikari atau ketika anda masih bertatih meniti titian hidup. Merakalah wira-wira sejati anda. Dendangkanlah serta raikanlah mereka sebaik-baiknya.

Di sebalik wira-wira di hati anda itu wujud pula kategori wira-wira di hati masyarakat. Mereka ini bukanlah pemakai baju kalis bom, punya kuasa laser mengalahkan musuh ataupun boleh terbang sambil mengangkat beban yang bertan-tan beratnya. Mereka hanyalah manusia-manusia biasa yang sangat humble dan terkadang tanpa kita sedaripun kehadirannya. Mereka mengerah tulang yang lebih banyak keratnya dari kebanyakan orang. Pekerjaan-pekerjaan harian mereka bak kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Sesetengah pekerjaan itu memang kotor, jijik atau berbahaya bagi sesetengah orang namun seseorang perlu melaksanakannya. Di sinilah wujudnya peranan bak wira bagi wira-wira yang tak didendang tadi.

Melintasi jalan-jalan raya yang sibuk sedang kita asyik merungut-rungut akan kesesakan trafik, kita tidak perasan pun adanya insan-insan kerdil yang sedang menyabung nyawa di bawah jalanraya, menguruskan saluran kumbahan yang tersumbat. Di atas langit sana, beberapa orang wira pula sedang tegar menyabung nyawa meniti ceracak, demi membina bangunan-bangunan pencakar langit.

Di sudut yang lain pula, sanggupkah kiranya anda memunggah sambil menghidu sampah sarap yang berlangau dan berulat yang entah apa wabak penyakit yang boleh berada di dalamnya saban hari dan malam? Terlalu sedikit yang sanggup, bukan? Untungnya, anda insan-insan yang masih sanggup melakukannya samada secara rela atau terpaksa. Bukankah mereka ini juga sebenarnya wira-wira sejati (sekadar memberi beberapa contoh)?

Pendekata, sesuatu kerja yang anda tidak sanggup dan tidak mampu buat sedangkan ada orang-orang lain yang mampu melakukannya, anggaplah mereka itu wira-wira anda. Walaupun tanpa upah yang berderet-deret nombornya, mereka tetap cekal menempuhnya demi sesuap nasi, seteguk air atau mungkin sekelumit cahaya lampu. Sekiranya anda seorang yang berperikemanusiaan, hormatilah tugas-tugas mereka, pandanglah mereka dengan kedua belah mata anda dan jangan sesekali mencebik andai mereka menghalang kelancaran hidup anda.

Berilah hormat walaupun dengan hanya secebis senyuman ketika melintasi lantai yang sedang disapu oleh si tukang sapu. Tanpa mereka yang menyanggupi kerja-kerja yang anda tidak sanggup buat, di manakah anda ketika ini? Mungkin sekali sedang memakai topeng pengelak bau, menyinsing pakaian dari terkena air kumbahan di jalanan, masih berumah atau berpejabat dari papan dan rumbia, atau mungkin sekali sedang berjalan terjengket-jengkot sambil mengelak dari terpijak sampah sarap di merata ceruk dan sudut.

Dendanglah wira-wira sebegitu walaupun bukan dengan limpahan wang ringgit atau batu permata. Sedikit hormat dan prihatin mungkin boleh diberikan sebagai sekecil-kecil penghargaan. Mereka itu pasti sekali perwira sejati kepada anak-anak dan keluarga mereka. Mereka itu pasti sekali sandaran dan harapan besar bagi anak-anak dan keluarga mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup. Tanpa ada yang berada di bawah tidak mungkin akan ada yang berada di atas. Fikir-fikirkanlah.

Mozar : Wira-wira tak didendang di negara kita kini kebanyakannya adalah di kalangan wira-wira yang diimport. Namun, apa salahnya mereka diendahkan, mereka juga manusia. Punya keperluan dan tanggungan hidup yang perlu dipenuhi. Kita sendiri juga yang melepaskan tugas-tugas wira itu kepada orang-orang asing.

'Wira' di hati keluarga, belum tentu dianggap 'wira' di hati masyarakat

Tuesday, January 18, 2011

Ku Ada Kamu 2



'Sedetik Lebih' : Nyanyian Anuar Zain

Entri kali ini adalah lebih kurang sambungan kepada entri terdahulu, Ku Ada Kamu yang mana subjeknya adalah juga berkaitan cinta dan kasih sayang. Kali ini kasih sayangnya lebih mendalam lagi sehingga rasa cinta mula mekar dan mengharum. Secara peribadi, sudah lama kita tiada lagu yang lirik dan melodinya sebegini indah dan mengasyikkan. Tangkap syahdu tu! Lagu ini merupakan Original Soundtrack untuk filem Hikayat Merong Mahawangsa terbitan KRU Studios. Bagi yang sedang dilamun cinta dan kasih sayang, lagu ini sangatlah membuai jiwa. Bagi pasangan yang telah berkahwin, dedikasikan lagu ini untuk pasangan hidup anda kerana cinta merekalah yang seharusnya anda raikan. Bagi pasangan cinta 'terizin' hayatilah lagu ini sebagai panduan demi membina bahtera hidup bersama nanti. 

'Sedetik lebih' dalam lagu ini adalah menggambarkan bahawa hebatnya cinta yang dilayari sehinggakan ianya sedetik lebih sedikit daripada 'selamanya'. Secara realitinya, tiada sebarang detik masa pun yang boleh wujud selepas sesuatu itu dilabel 'selama-lamanya', kerana selama-lamanya itu bermakna 'infiniti' atau 'ketakterhinggaan'. Tak ke pening tu nak fikir. Jiwang habis. Alam percintaan memang selalunya dikaitkan dengan mengimpikan benda-benda yang 'impossible' dalam dunia ini sebagai bukti dalamnya cinta itu. Ada yang menjanjikan bulan dan bintang. Ada yang sanggup meredah lautan api. Ada yang sanggup dada dibelah kapak dan berbagai lagi yang agak mengada-ngada bunyinya. 

Ungkapan 'sedetik lebih' ini merupakan sesuatu yang baru dicipta. Agak puitis juga bunyinya. Apa-apa pun, semustahil manapun kedalaman cinta yang ingin dibuktikan, biarlah ianya seiring dengan realiti. Janganlah ianya bersifat 'habis madu sepah dibuang' ataupun 'sudah dapat gading bertuah tanduk tidak berguna lagi'.

Mozar : Teringin nak menyaksikan kehebatan filem 'Hikayat Merong Mahawangsa' ini. Mungkin sekali 'the most anticipated film of the year' selepas filem '2 Alam' dR Rozmey (huhuhu).

Friday, December 24, 2010

Terkenang Arwah Mak

Hampir 2 tahun arwah mak kembali ke Rahmatullah (11 Mac 2009) iaitu genap 2 tahun ulangtahun perkahwinanku. Ketika menitipkan tahlil dan yassin buat arwah, hampir-hampir sahaja butir-butir mutiara jernih jatuh dari kelopak mata. Imbasan kenangan bersama arwah mak bermain-main di benakku. Bukan selalu dapat mengutuskan tahlil dan doa kepada arwah mak di dalam jemaah yang ramai. Ketika itu rindu kembali menggebu-gebu pada arwah mak. Kenangan bersama mak masih kekal abadi di dalam sanubariku walaupun saban hari diasak pelbagai maklumat dan imej-imej yang datang silih berganti. Kalau suatu masa dulu aku berbangga bila diaju pertanyaan "mak ayah ada lagi?" dengan jawapan singkat "ya". Kini jawapannya lebih panjang sedikit jika diajukan pertanyaan yang sama. Aku hanya masih ada ayah.

Kenapa mak tidak selalu hadir di dalam mimpi-mimpiku? Mungkinkah rinduku pada mak tidak sekuat rindunya Bilal bin Rabah r.a dan para sahabatnya terhadap Rasulullah s.a.w? Kadang-kadang memang ya. Rindu pada mak tidak sekuat seperti hari pertama pemergian mak. Aku rasa sangat bersalah pada arwah mak. Kadangkala juga aku terlupa menitipkan doa dan sedekah buat arwah mak. Arwah mak dekat tapi jauh. Dekat di hati namun jauh terpisah oleh masa. Andai diizinkan dengan rahmat Allah kami dipertemukan di syurga nanti, aku masih menginginkan rupa mak seperti di pertengahan usianya. Rambut yang sedikit memutih dan dahi yang penuh kedutan namun terpancar kejernihannya kerana wajah sebegitulah yang sentiasa aku rindukan. Namun, tidak adil pula bagi mak. Mak juga ingin secantik penghulu bidadari yang semanis gadis 17 tahun. Allah lebih Mengetahui. Apa sahaja boleh diciptakanNya. Allah jugalah yang menciptakan kasih sayang dan kerinduan ini.

Walau arwah mak tiada lagi, amal jariah mak tetap terus mengalir di jiwa anak-anaknya kerana mak telah membekalkan kami dengan ilmu duniawi dan ukhrawi sedapat mungkin. Mak telah mengajar sendiri kesemua anak-anaknya mengaji dan mengkhatam Al-Quran lengkap dengan tajwidnya. Itulah ilmu yang paling berharga buat aku dan saudara-saudara sedarahku amalkan untuk mengirim buah tangan buat mak di alam kubur sana.

Walaupun mak telah tiada, aku bersyukur kerana masih mempunyai ibubapa mertua. Mereka juga ibubapa dunia akhiratku. Sekurang-kurangnya masih ada tempat berkongsi rasa dan berkongsi kasih. Tempat mereka selepas ibu kandung juga bukan calang-calang. Cuma perkenalan dengan mereka terlalu segera. Tidak bertahun-tahun bersama seperti ibubapa kandung. Namun, mereka selayaknya diletak setaraf ibubapa kandung kerana mereka juga adalah 'kecintaan' isteriku juga.

Dunia terus berputar bagai roda yang akan hanya terhenti kala tiupan Sangkakala. Kini isteriku telah menjadi ibu kepada anak-anakku yang comel. Semoga kasih mereka terhadap ibu mereka jauh melebihi kasih sayangku terhadap ibuku. Semoga ketiadaan kami nanti akan terus menetapkan iman dan haluan hidup mereka di samping sentiasa dapat mendoakan kesejahteraan kami ibubapa mereka pula.

Mozar : Kepada pembaca-pembaca yang budiman, sudilah kiranya menyedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarhamah Khadijah bt. Hassan (nama ibu : Embun) - (1941-2009). Semoga rohnya ditempatkan bersama roh-roh orang yang beriman dan yang beramal soleh.

Malaikatku kini telah pergi menyahut panggilan Illahi. Semoga malaikatku berada di makam yang terbaik di sana.

Monday, November 29, 2010

Wajah-Wajah Yang Mendamaikan

Lihatlah di sekeliling anda. Ibubapa anda, pasangan hidup anda, anak-anak anda, adik beradik anda atau juga kawan-kawan anda. Pasti akan terjumpa oleh anda wajah-wajah yang mendamaikan jiwa anda. Wajah-wajah inilah penenang jiwa anda yang mana apabila anda memandangnya anda akan rasa bahagia yang tidak terucap. Wajah-wajah itulah yang akan sentiasa bertakhta di benak anda di kala senang atau susah. Wajah-wajah itulah menjadi penyejuk mata anda yang mana ianya seakan tidak jemu dipandang. Lazimnya wajah-wajah syurgawi begini diiringi oleh akhlak yang syurgawi juga. Suci dan tulus dari dendam, kekotoran hati atau segala macam sifat-sifat Mazmumah yang lain. Kesucian hati akan tergambar di wajah-wajah yang mendamaikan itu.

Melihat sendiri upacara berkhatan tempohari, saya agak tersentuh melihat seorang anak kecil yang mahukan ibunya berada di sisinya ketika dia sedang mengharungi ketakutan dan kesakitan. Bagi kanak-kanak itu, ibunyalah satu-satunya wajah yang paling mendamaikan dan yang paling dikenalinya ketika ini. Pada hakikatnya, memang Islam sendiri ada mengajarkan bahawa wajah ibubapa wajar dipandang dengan penuh rasa kasih dan sayang kerana ada tersedia ganjaran yang besar di situ.

Tetapi, sayangnya apabila anak-anak meningkat remaja atau dewasa kebanyakan dari mereka telah ada orang-orang lain yang mengambil alih wajah-wajah yang mendamaikan mereka daripada ibubapa mereka sendiri. Wajah-wajah ibubapa mereka akhirnya dengan tanpa rasa bersalah telah menjadi tempat menjegilkan mata serta mencebikkan bibir. Sedangkan dahulunya wajah-wajah itulah yang menenangkan mereka ketika bersedih, murung, ketakutan atau kesakitan. Bibir-bibir dari wajah-wajah itu jugalah yang mengucup dan mencium setiap inci tubuh mereka dengan penuh kasih sayang ketika mereka masih bayi. Kadangkala dunia menjadi begitu kejam di tangan orang-orang yang serakah dan sempit akal fikiran.

Wajah-wajah yang mendamaikan ini juga tidak terhad kepada orang-orang yang hampir dengan kita sahaja. Malah kita juga boleh menjumpai segala macam orang di sekeliling kita yang juga memiliki wajah-wajah yang mendamaikan. Orang-orang sebeginilah yang wajar dijadikan kawan atau sahabat. Kedamaian yang dipancarkan tidak boleh dibuat-buat kerana ia lahirnya dari hati dan batin. Walau kurang rupa kurang gaya, aura damai itu akan tetap terserlah jua. Sebaliknya, hati-hati yang kotor walaupun berwajah ratu dunia ataupun terkacak di dunia, tetap terpancar kejelikannya. Nampak cantik tetapi jauh sekali mendamaikan. Apatah lagi yang berwajah seperti 'pecah rumah', sakit mata dan semak perut memandangnya. Oleh itu, berusahalah untuk menjadikan wajah-wajah anda sendiri wajah-wajah yang mendamaikan insan-insan di sekeliling anda dengan cara membersihkan hati-hati anda dahulu. Anda pasti akan disayangi oleh ramai orang, malah 'ketidakhadiran' anda akan mengundang seribu resah dan suasana seakan tidak meriah atau tidak sempurna jadinya.

Mozar : Kadangkala, seseorang lelaki lebih suka memilih calon isteri yang berwajah keibuan kerana memang sesungguhnya wajah ibu itu begitu mendamaikan jiwa.

Bagi yang sedang berkasih, siapakah wajah kesayangan tuan hamba?

Friday, November 26, 2010

Sarang Yang Kosong

 
Ungkapan 'sarang yang kosong' ini ialah hasil terjemahan ungkapan bahasa Inggeris yang berbunyi 'Empty Nest'. Ianya diumpamakan seperti sarang burung yang kosong apabila telah ditinggalkan oleh anak-anak burung yang telah pandai terbang. Maksud sebenar ungkapan ini ialah apakala sesebuah keluarga itu mengalami keadaan di mana rumah yang dihuni telah mula ditinggalkan oleh anak-anak mereka. Anak-anak telah mula belajar di sekolah berasrama, memasuki IPT, bekerja ataupun telah berkahwin. Di negara-negara Barat keadaan sebegini dianggap suatu sindrom yang mana ia membuatkan sesuatu pasangan suami isteri mula berasa resah, sedih dan kadangkala berasa diri tidak bernilai lagi. Keadaan ini memang agak menyedihkan juga bagi ibubapa yang telah terbiasa berdampingan dengan anak-anak mereka sehingga ke usia tua.

Suasana kehidupan pasti banyak yang berubah dan perlu disesuaikan dengan keupayaan hidup pasangan suami isteri itu. Kebiasaannya ada orang yang boleh membawakan mereka membeli belah atau membantu melaksanakan tugasan harian, kini tiada lagi. Keadaan 'empty nest' ini biasanya berlaku bagi penduduk-penduduk di luar bandar kerana prasarana di situ tidak mengizinkan anak-anak mendapat pendidikan yang sempurna dan juga peluang pekerjaan yang pelbagai. Maka penghijrahan pasti berlaku demi mengejar cita-cita atau memburu 'padang yang kononnya lebih hijau' di bandar-bandar besar. Hakikatnya, jika kita rajin dan bijak berusaha, di mana-mana sahaja di atas bumi Allah ini kita boleh mencipta punca rezeki.

Memang agak menyedihkan bagi pasangan suami isteri yang telah tua serta dhaif ditinggalkan dalam keadaan upaya diri yang telah tinggal separuh atau suku. Demi tuntutan hidup yang semakin mendesak dan juga materialistik, tidak dapat tidak anak-anak tidak mampu meneruskan hidup sebumbung dengan ibubapa walaupun nampaknya seperti 'wajib' berbuat demikian. Lebih malang lagi bila 'anak-anak burung' yang telah meninggalkan sarang mereka telah lupa untuk menjenguk semula sarang tempat kelahiran mereka.

Bagi kes yang terpencil, mungkin pula ada pasangan suami isteri yang berasa lega dan gembira apabila dapat menjadi pasangan merpati dua sejoli semula apabila anak-anak telah 'meninggalkan sarang'. Rasa seperti honeymoon sekali lagi. Bebas melancong, melawat rumah anak-anak ataupun bebas berbuat amal ibadat tanpa risau akan tanggungjawab terhadap anak-anak yang perlu diuruskan. Apa-apapun, setiap manusia itu berbeza dari segi rasa dan emosi. Tiada dua individu yang sama serupa di atas dunia ini.

Mozar : Ironinya, sarang yang tidak pernah kosong ialah sarang maksiat. Serbu sekali, lari sekejap, kemudian senyap-senyap datang balik.

Wednesday, November 24, 2010

Kenapa Saya Suka Rumah Saya?

  

Pernah tak tonton iklan di atas? Bagus kan? Ada maksud yang tersirat tidak dapat digambarkan di dalam iklan ini. Ianya sebuah iklan Hari Kebangsaan tahun 2007. Dari iklan ini dapat kita lihat, pendapat seorang kanak-kanak tentang sesuatu perkara memang jujur dan telus. 'Rumahku Syurgaku' baginya. Anda bagaimana? Seronokkah anda berada di rumah anda?  Bahagiakah anda tinggal di rumah anda? Seronok dan bahagia itu adalah dua rasa yang berbeza. Anda mungkin seronok kerana adanya hiburan atau sesuatu yang mengulit benak anda. Keseronokan lazimnya bersifat sementara. Kebahagiaan pula adalah suatu yang dirasai di dalam hati sanubari anda yang mana lazimya ianya kekal dan berpanjangan (kredit kepada saudara Eyman Hykal-maafcakap.blogspot.com).

Seberapa besarkah rumah anda? mansion, banglo, teres 2 tingkat ataupun kos rendah? Dapatkah rumah anda memberikan keseronokan kalaupun bukan kebahagiaan? Isi rumah anda perlukan kedua-dua elemen ini untuk mencapai pengiktirafan Rumahku Syurgaku. Institusi keluarga itu sendiri perlu mantap dari segi rohaninya, kasih sayangnya, keperluan asasnya dan mungkin juga ruang yang luas untuk keselesaan. Jika semua itu telah terisi, tidak mustahil penghuni rumahnya agak berat atau enggan meninggalkan rumah walau setapakpun. Rumah itu tetap di hati. 'Homesick' menggebu-gebu bila sahaja berjauhan dari rumah dan keluarga.

Sebaliknya, apa pula akan terjadi kepada 'Rumahku Bagaikan Neraka'? Rumah sebegini penuh dengan aura gelap, panas, tidak mesra dan tiadanya kasih sayang atau juga yang mewah tetapi penghuninya saling tidak bertemu batang hidung. Anak-anak pun tidak betah menghuni rumah itu berlama-lama. Ruang kosong di mana-mana. Akhirnya ruang-ruang itu dihuni oleh makhluk-makhluk halus. Rumah sebegini nasibnya akan selalu ditinggal-tinggalkan. Tiada roh atau jiwa di dalamnya. Resah dan gelisah berada di dalamnya. Akhirnya, ia hanya sesuai sebagai tempat melampiaskan nafsu serakah. Masakan tidak, privasi di setiap sudut dan ceruk sedangkan tiada siapa yang peduli dan ambil tahu.

Penutup bicara, berusahalah anda untuk menjadikan rumah anda sebagai sebuah syurga dunia. Rumah itu tidak perlu terlalu besar dan tidak seharusnya juga terlalu kecil. Bersederhanalah yang sebaik-baiknya mengikut jumlah penghuninya dan juga keselesaan bergerak. Jika rumah anda telah mencapai taraf seronok dan bahagia di dalamnya tidak mustahil anak-anak sendiri bingung mencari alasan yang kukuh mengapa mereka sukakan rumah mereka kerana ianya terlalu abstrak untuk diterangkan oleh jiwa suci kanak-kanak.

Mozar : Intimasi dalam sesuatu perhubungan itu memerlukan jarak sekecil yang boleh. Kalau boleh nak berkepit setiap masa dan ketika. Jadi, apa perlunya tempat tinggal yang besar? Untuk tetamu yang datang bertandang, mungkin!
 

Monday, November 15, 2010

Bila Ayah Tidak Kenal Kami Lagi

Bunyinya seperti seorang ayah yang sedang lupa diri, berkahwin dengan isteri muda ataupun telah kaya raya lalu menetap di luar negara. Hakikatnya, memang ayah tidak lagi mengenali kami adik beradik. Bahkan tiada siapa lagi di dunia ini yang dikenalinya kini. Ayah menghidap Alzheimer peringkat pertengahan. Ayah hidup dalam dunianya sendiri dan makan pakainya terpaksa diuruskan oleh orang lain. Sedih bukan. Sedari kecil itulah tangan dan tulang empat kerat yang bekerja keras menyuapkan makanan di mulut2 kami dan memberikan pelajaran kepada kami anak2nya. Kini hubungan anak2 dan ayah telah lama terbina seakan satu benteng yang ampuh. Bisa dilihat dan disentuh tapi tidak bisa berinteraksi. Kami telah lama 'kehilangan' ayah sebenarnya. Renungan matanya kosong tidak berjiwa. Walau diteriak di telinganya bahawa kamilah anak2nya bagai halilintar sekalipun, ayah tetap tidak akan mengerti. Ayah akan tetap menguis2 dan memintal2 kain pelikat yang dipakainya. Penyakitnya memang tiada penawarnya, malah makin merosot dari hari ke hari. Bukan tidak mencuba pelbagai rawatan. Tetapi Allah lebih Mengetahui akan segala sesuatu. Kami terpaksa redha dengan KetentuanNya. Yang paling menyedihkan ialah di saat2 arwah mak meninggal, ayah memang telah sedia hanyut dalam dunianya sendiri. Tidak berupaya meredhakan kematian seorang isteri, yang mana ganjarannya untuk mak amat besar sekali. Semoga janganlah ada di antara kami adik beradik serta keturunan kami yang bakal mewarisi penyakit yang 'malang' ini. Amin Ya Rabbal Alamin. Kepada anda yang masih mempunyai ibubapa, hargailah 'kehadiran' meraka, raikanlah hilai tawa mereka dan kucuplah mereka dengan penuh kasih sayang. Mereka hadir hanya sekali sahaja di dalam hidup anda.

Mozar : Mengimpikan usia2 emas dihabiskan dengan penuh bermakna di samping dapat terus menulis dan membaca.
Andai ini kifarah dari Allah s.w.t, bersihkanlah Ayah dari segala dosa. Amin

Wednesday, November 10, 2010

My Best Friend's Wedding

Musim orang kahwin (cuti sekolah) nampaknya semakin hampir. Rasanya memang terlalu awal untuk kita mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada bakal-bakal pengantin. Time ni le bakal-bakal pengantin sedang gelabah puyuh dan tak tentu rasa. Bukan lagi 3 rasa, tapi dah beraneka rasa. Sesuai dengan sembang pasal kahwin ni, pernahkah anda menonton filem tahun 1997, 'My Best Friend's Wedding'?

Kisahnya berkisar tentang seorang wanita yang mempunyai masa 4 hari untuk mensabotaj perkahwinan kawan baiknya yang telah bertemu jodoh dengan wanita lain. Berbagai peristiwa lucu dan menyentuh hati berlaku sehinggalah majlis perkahwinan itu berlangsung. Bila kawan baiknya dah nak kahwin dengan orang lain baru le dia gelabah nak menyatakan rasa hatinya. Ada dialog yang agak menarik dalam filem ini yang lebih kurang bunyinya "Jika anda sayangkan seseorang itu, lepaskan dia. Jika dia datang kembali kepadamu, dialah milik mutlakmu". Untuk lebih mendalam, sinopsis filem ini boleh dibaca di sini. Tu la, masa berkawan baik tak mahu berterus terang, cakap biar terang. Sebagai satu contoh, dalam sebuah filem Indonesia, Heart, ada satu dialognya yang berbunyi, "Cinta itu harus diungkapin..."(klik video Heart ini dan tonton pada minit ke 4:48 hingga 5:05).

Apapun, entri ini bukanlah nak menggalakkan anda melakukan perkara yang sama seperti watak dalam filem Wedding itu. Sebaliknya, ia sebagai tauladan bahawa kadangkala ada benda yang kita perlu 'let go' dan juga perlu percaya dengan ketentuan Allah s.w.t. Walau sebagaimanapun usaha kita untuk mengubah sesuatu ketentuan Allah, ia tetap tidak akan berhasil tanpa izinNya. Bagi yang pernah mengalami pengalaman yang lebih kurang sama dengan filem ini atau yang pernah frust kasih tak kesampaian, bebaskan sahaja perasaan yang tidak molek itu dan belajarlah untuk memaafkan kerana yakinlah bahawa Allah s.w.t mempunyai perancangan yang lebih baik untuk anda. 

Jika tajuk entri ini diambil secara literal, ianya bermaksud 'Perkahwinan Kawan Baik Saya' yang langsung tidak ada kena mengena dengan dengki mendengki atau sabotaj mensabotaj. Untuk kawan-kawan baik saya dan juga kawan-kawan baik anda semua di luar sana marilah sama-sama kita ucapkan Selamat Pengantin Baru, semoga berbahagia dan jodoh berkekalan hingga ke akhir hayat. Kalau mahu, sampaikan ucapan anda kepada rakan-rakan atau kawan-kawan baik anda yang akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi di sini.

Mozar : Kepada Pengantin yang 'diperbaharui' diucapkan selamatlah juga.

Trailer filem My Best Friend's Wedding

Thursday, November 4, 2010

Ku Ada Kamu



Meremang bulu roma tak bila dengar dan tonton video lagu ni? Kalau takde langsung maknanya anda memang tiada perasaan atau dari spesies 'blur'. Lagu ini meraikan kasih sayang sesama insan tidak kira apa jua status hubungan anda (asalkan bukan yang terlarang). The best part ialah bila terbentang banner merah tertulis 'Smile, Cause Someone Loves You'. Kasih sayang adalah suatu yang percuma, namun jika mengabaikannya harga yang perlu dibayar sangatlah besar. Sayangilah orang2 yang sedang menyayangi anda dengan sepenuh jiwa kerana untuk kesempurnaan hidup anda perlu hidup dalam kasih sayang. Kasih sayang yang subur di dalam satu2 keluarga akan melahirkan keluarga dan masyarakat yang bahagia. Jiwa yang ketandusan kasih sayang lazimnya akan terlibat dalam krisis identiti, sosial dan kemanusiaan. Siapakah yang sedang anda sayangi? Kongsikan kasih sayang anda itu di sini.

Mozar : Sebelum ni ada lagu 'Tak Punya Siapa' nyanyian seseorang yang pernah dikecewakan oleh bekas 'Raja' yang botak. Tak ingat, sila tengok sini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...