Pernah tak tonton iklan di atas? Bagus kan? Ada maksud yang tersirat tidak dapat digambarkan di dalam iklan ini. Ianya sebuah iklan Hari Kebangsaan tahun 2007. Dari iklan ini dapat kita lihat, pendapat seorang kanak-kanak tentang sesuatu perkara memang jujur dan telus. 'Rumahku Syurgaku' baginya. Anda bagaimana? Seronokkah anda berada di rumah anda? Bahagiakah anda tinggal di rumah anda? Seronok dan bahagia itu adalah dua rasa yang berbeza. Anda mungkin seronok kerana adanya hiburan atau sesuatu yang mengulit benak anda. Keseronokan lazimnya bersifat sementara. Kebahagiaan pula adalah suatu yang dirasai di dalam hati sanubari anda yang mana lazimya ianya kekal dan berpanjangan (kredit kepada saudara Eyman Hykal-maafcakap.blogspot.com).
Seberapa besarkah rumah anda? mansion, banglo, teres 2 tingkat ataupun kos rendah? Dapatkah rumah anda memberikan keseronokan kalaupun bukan kebahagiaan? Isi rumah anda perlukan kedua-dua elemen ini untuk mencapai pengiktirafan Rumahku Syurgaku. Institusi keluarga itu sendiri perlu mantap dari segi rohaninya, kasih sayangnya, keperluan asasnya dan mungkin juga ruang yang luas untuk keselesaan. Jika semua itu telah terisi, tidak mustahil penghuni rumahnya agak berat atau enggan meninggalkan rumah walau setapakpun. Rumah itu tetap di hati. 'Homesick' menggebu-gebu bila sahaja berjauhan dari rumah dan keluarga.
Sebaliknya, apa pula akan terjadi kepada 'Rumahku Bagaikan Neraka'? Rumah sebegini penuh dengan aura gelap, panas, tidak mesra dan tiadanya kasih sayang atau juga yang mewah tetapi penghuninya saling tidak bertemu batang hidung. Anak-anak pun tidak betah menghuni rumah itu berlama-lama. Ruang kosong di mana-mana. Akhirnya ruang-ruang itu dihuni oleh makhluk-makhluk halus. Rumah sebegini nasibnya akan selalu ditinggal-tinggalkan. Tiada roh atau jiwa di dalamnya. Resah dan gelisah berada di dalamnya. Akhirnya, ia hanya sesuai sebagai tempat melampiaskan nafsu serakah. Masakan tidak, privasi di setiap sudut dan ceruk sedangkan tiada siapa yang peduli dan ambil tahu.
Penutup bicara, berusahalah anda untuk menjadikan rumah anda sebagai sebuah syurga dunia. Rumah itu tidak perlu terlalu besar dan tidak seharusnya juga terlalu kecil. Bersederhanalah yang sebaik-baiknya mengikut jumlah penghuninya dan juga keselesaan bergerak. Jika rumah anda telah mencapai taraf seronok dan bahagia di dalamnya tidak mustahil anak-anak sendiri bingung mencari alasan yang kukuh mengapa mereka sukakan rumah mereka kerana ianya terlalu abstrak untuk diterangkan oleh jiwa suci kanak-kanak.
Mozar : Intimasi dalam sesuatu perhubungan itu memerlukan jarak sekecil yang boleh. Kalau boleh nak berkepit setiap masa dan ketika. Jadi, apa perlunya tempat tinggal yang besar? Untuk tetamu yang datang bertandang, mungkin!
No comments:
Post a Comment
Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...