Thursday, May 8, 2014

Belajarlah Menghargai Hujan

Perihal kehilangan pesawat MH370, hari ini telah genap 2 bulan ianya berlaku pada saat entri ini ditulis. Perkembangan terkininya sudah mula suam-suam di hati kebanyakan orang, melainkan keluarga dan orang-orang yang terlibat secara langsung dengannya. Berita mengenainya pun sudah tidak lagi menjadi headline atau keutamaan di mana-mana media massa. Persoalannya kini, apakah yang kita belajar daripada peristiwa tersebut? Apakah yang telah dan akan diubah dalam sistem-sistem yang berkait rapat dengannya termasuklah sistem kehidupan kita hari ini? Sama-samalah kita usahakan perkara-perkara di mana yang sepatutnya ia diletakkan dalam menangani ujian Allah s.w.t yang agak besar ini.

Terdahulu dari ujian yang datang dari MH370 ini, negara telah mengalami musim kemarau yang agak panjang sejak bulan Disember 2013 hingga Mac 2014. Apakah yang turut kita belajar dan akan belajar dari fenomena ini? Adakah kita berasa serik dan tidak ingin mengalaminya lagi? Lumrah manusia. Bila terlalu kerap hujan kita merungut, bila panas berpanjangan pun kita merungut juga. Mana satukah yang kita mahu sebenarnya? Rasanya di saat entri ini ditulis seluruh tempat-tempat yang terlibat di Malaysia telah mula dibasahi hujan seperti keadaan sediakala.

Hakikatnya, satu 'musibah' yang tidak dapat kita elakkan berlaku di kala musim kemarau sebegini ialah penyusutan air secara kitikal di empangan-empangan sehingga menjurus kepada pencatuan air. Beberapa negeri seperti Selangor, Johor, Perak dan Kedah menerima bahana hasil pencatuan ini. Nasib baiklah beberapa tempat yang terlibat telahpun pulih sepenuhnya ataupun sedang beransur pulih sekarang ini.

Pokok pangkalnya, segala kejadian ini adalah berpunca dari hujan tidak turun-turun. Katak-katak tidak lagi memanggil hujan agaknya seperti perihalnya dalam lagu kanak-kanak, 'Oh Bangau'. Hujan ini sebenarnya merupakan rahmat yang amat hebat daripada Allah s.w.t. Seandainya mukabumi ini langsung tidak diairi hujan maka tiada satu kehidupan pun yang akan wujud di atas mukabumi ini mahupun di dalamnya.

Ramai orang yang akan mengeluh atau marah bila hujan turun. 'Spoil' rancangan kononnya. Tergamak juga mengaitkan hujan dengan 'cuaca buruk'. Orang akan berusaha lari lintang pukang bila hujan turun. Padahal ianya hanya air yang dingin dan bersih. Ada pula yang memanggil 'bomoh hujan' bagi mengalihkan hujan ke tempat lain, bila ada keramaian. Ironinya, manusia hanya sukakan hujan bila berada di tempat selesa yang jauh dari terkena titisannya di samping tidak malu pula berkongsi keenakan dinginnya hujan. Berselimut berselubung dengan enaknya bila hujan turun dengan dinginnya di malam yang hening dan syahdu.

Perlu kita ingat di sini, Allah menurunkan hujan adalah sebagai survival untuk haiwan-haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang melata di atas mukabumi ini. Makhluk-makhluk tersebut tidak berupaya untuk mencari sendiri keperluan air mereka dengan keupayaan mereka yang agak terbatas. Jika bukan kerana hujan diturunkan terutamanya untuk kehidupan mereka, manusia mungkin sekali tidak akan merasai nikmat air walau setitis pun. Makanya, kita berkongsi hujan dengan makhluk-makhluk Allah yang lain yang suci dari dosa dan berbuat kerosakan.

Namun, sebagai pengecualian, kita tidak boleh pula menolak bahawa ada hujan dan banjir yang merupakan suatu bencana bagi kaum-kaum tertentu seperti yang diceritakan di dalam Al Quran. Ianya berupa sebagaimana yang terjadi banjir besar pada zaman Nabi Nuh a.s (surah Hud : 37, Al-Qamar : 11-12), ataupun hujan batu pada zaman Nabi Luth a.s. Juga, berlakunya banjir seperti pada keluarga Saba' (Abd Syams bin Yasyjab bin Ya'rab bin Qahthan (surah Saba' : 16) sehingga  kisahnya dapat dibaca oleh seluruh umat manusia sehingga ke hari Kiamat.

Walaupun umat hari ini tidak pernah lagi menerima musibah sehebat seperti umat-umat terdahulu, masih ada juga di kalangan manusia yang melihat hujan sebagai suatu pembawa musibah. Lagi-lagi apabila datangnya banjir kilat ataupun banjir besar yang mana jauh sekali sebesar banjir di zaman Nabi Nuh a.s. Salah siapa sebenarnya bila berlaku banjir atau limpahan air? Manusia sendiri yang sebenarnya tidak berkawan mesra dengan alam. Gunung ganang dan bukit bukau digondolkan dengan diambil hasil mahsulnya dengan rakus. Bukit-bukau, lurah dan lembah disamaratakan. Pokok-pokok yang tidak berdosa ditebang sesuka hati atas nama kemajuan dan keperluan infrastruktur.

Salah siapa juga bila longkang, parit dan sungai tidak mampu lagi menanggung limpahan air hujan. Bukannya salah hujan yang membuak-buak, tetapi salah nafsu rakus manusia yang membuak-buak. Longkang-longkang tersumbat. Sungai dicemari dan ditimbuni sampah sarap. Tasik-tasik semulajadi dikambus. Lebih teruk lagi, aliran asal sungai-sungai pun boleh dipesongkan ke tempat lain. Jangan merengus bila alam tidak mahu lagi 'bersahabat' dengan kita.

Kembali kepada tajuk entri ini, 'belajarlah untuk menghargai hujan', marilah kita sama-sama betulkan segala persepsi dan pandangan kita yang buruk terhadap hujan selama ini. Hujan ini adalah rahmat untuk sekelian alam. Janganlah sehingga alam ini menjadi padang jarak padang terkukur baru hendak meratapi akan kehilangan hujan. Untuk itu marilah kita sama-sama renungkan dan fikirkan sedikit sebanyak tips dalam kita mendepani 'permata kehidupan' ini.

1) Sentiasa bersyukur dengan turunnya hujan tidak kira di masa-masa yang kita suka ataupun tidak suka. Jangan merengus dan mengeluh tak tentu pasal. Jangan campuri urusan Allah s.w.t. Dia lebih mengetahui dengan segala sesuatu kejadianNya. Hayati ayat-ayat Allah s.w.t di bawah ini dengan penuh keinsafan.

“Dan di antara tanda-tanda-Nya (ialah) bahawa kau lihat bumi kering dan gersang, maka apabila Kami turunkan air di atasnya, nescaya ia bergerak dan subur. Sesungguhnya Tuhan Yang menghidupkannya, Pastilah dapat menghidupkan yang mati. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (QS. Fushshilat [41]: 39)

2) Kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Ungkapan ini amat tepat sekali andai digunapakai secara literal sekalipun. Di musim-musim hujan sebegini, bagi anda yang alah kepada hujan, sediakanlah payung ke mana sahaja destinasi anda. Tak dapat bawa yang besar gedabak, bawa yang comel-comel punya payung, simpan dalam beg-beg tangan pun muat. Tidaklah anda menyumpah-nyumpah bila hujan turun nanti. Sebaliknya kembang kembi hidung anda dengan berlagaknya menjeling manja pada orang-orang yang menumpang teduh di kaki-kaki lima bangunan.

3) Bagi yang jenis tak kisah kena hujan, tak kisah basah kuyup, redah ajelah hujan tu. Tetapi, yang kena demam pelentong (chicken pox) janganlah buat. Orang kata, nanti susah nak hilang parut. Bagi yang tiada apa-apa pantangnya, sebaiknya sediakan plastik kecil di mana sahaja anda pergi. Gunanya untuk membungkus jam, dompet dan telefon bimbit anda dari terkena air hujan. Kalau yang perempuan susah la sikit sebab nak bungkus beg tangan sekali. Kena pakai plastik beraslah jawabnya. Lepas tu nak basah kuyup seluruh badan pun lantaklah. Cuma perlu beringat kalau-kalau sedang memakai pakaian yang jarang, elok lupakan sahaja meredah hujan. Bagi lelaki tak apa lagi, bagi perempuan, tolong jangan. Free show pula nanti.

4) Ada satu ujian telah dibuat tentang hujan (merujuk kepada program di Astro TVIQ). Yang menariknya, hasil ujian itu mendapati bahawa jumlah berat air hujan yang menimpa orang yang berlari adalah lebih banyak daripada orang yang hanya berjalan. Kalau tak percaya, cubalah sendiri. Dengan syarat anda tidaklah berjalan ala-ala lenggang Mak Limah mahupun berjalan itik. Maka selepas ini tak perlulah anda berlari lintang pukang sangat bila nak meredah hujan. Berjalanlah sahaja dengan santai atau sambil melambai memusingkan lengan bagai Ratu Dunia. Untungnya, tidaklah anda berisiko tersembam ke dalam lopak air ataupun terpelecok kaki di mana-mana jikalau anda berlari bagaikan dikejar polong.

5) Seandainya hujan yang turun disertakan dengan petir sabung menyabung, janganlah tunjuk terror sangat nak bermain-main ataupun seronok-seronok nak meredah hujan. Itu mengundang padah namanya dan mungkin sekali amaran supaya kita duduk diam-diam dalam rumah ataupun di mana-mana tempat yang teduh. Tangguhkan dulu segala urusan. Berehat sekejap sementara hujan reda. Tak ada perkara yang tidak boleh ditangguhkan kecuali ajal maut. Itulah mungkin antara hikmah hujan dengan ribut petir ini dijadikan Allah.

Secara saintifiknya, kilat adalah merupakan nyahcas yang terhasil akibat perbezaan cas elektrik di antara permukaan bumi dan atmosfera. Manakala dalam Islam pula, kilat merupakan panahan terhadap syaitan dan jin yang cuba untuk mencuri-curi dengar takdir Allah SWT. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang perbezaan kedua-dua huraian ini, Googlekan aje!

6) Islam juga ada menganjurkan bahawa bila turunnya hujan hendaklah kita berdoa kerana masa itu adalah salah satu masa yang mustajab untuk berbuat demikian.

Ibnu Qudamah dalam Al Mughni, 4/342 mengatakan, “Dianjurkan untuk berdoa ketika turunnya hujan, sebagaimana diriwayatkan bahwa Nabi s.a.w pernah bersabda,
اُطْلُبُوا اسْتِجَابَةَ الدُّعَاءِ عِنْدَ ثَلَاثٍ : عِنْدَ الْتِقَاءِ الْجُيُوشِ ، وَإِقَامَةِ الصَّلَاةِ ، وَنُزُولِ الْغَيْث
“Carilah doa yang mustajab pada tiga keadaan: [1] Bertemunya dua pasukan, [2] Menjelang salat dilaksanakan, dan [3] Saat hujan turun.”

Apa lagi? Berdoalah segera bila sahaja turun hujan. Tidaklah sia-sia sahaja menunggu buta sampai hujan reda tanpa berbuat apa-apa. Rasanya ada yang terkejut badak bila tengok orang tiba-tiba menadah tangan berdoa di kala menumpang teduh di bawah-bawah atap atau kaki lima, sebab tak biasa nampak orang buat, kan? Tidakkah apa yang Allah s.w.t jadikan ini merupakan anugerah yang sangat cantik buat hamba-hambanya yang beriman? Tinggal lagi tak perlulah rasanya kita berdoa agar hujan cepat berhenti pula tanpa alasan yang munasabah. Bukan tak boleh, tapi manfaatnya hanya akan didapati semasa di dunia ini sahajalah. Kalau boleh doalah kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat sama.


Sementelah sekarang ini kita sedang mengalami musim tengkujuh, maka marilah sama-sama kita perbetulkan semula persepsi kita terhadap hujan. Sayangi hujan, hargai hujan dan jangan sesekali membenci hujan. Cakap memang senang tapi nak membuktikannya yang susah. Kadangkala merungut juga bila kereta yang baru sahaja dicuci dah tersimbah lopak air di kala hujan. Orang yang menoreh tak dapat keluar 'noreh'. Tengah sedap tengok siaran TV yang 'berbayar' tu, gambar pula hilang. Kain baju berlambak dijemur tiba-tiba dibasahi hujan. Elok bergaya dan pakai baju smart, hujan pula turun. Yang bersanggul lintang habis senget. Yang beramos tebal, habis peset. Yang tengah jemur ikan masin, asam keping, getah keping dan macam-macam lagi bertempiaran melarikan jemuran dari hujan. Mana tak bengang, ya tak?

Bengang tu memanglah bengang. Tapi itu kan ujian dari Allah. Itu ujian yang sehabis ringan sebenarnya. Kalau nak ujian yang lagi berat tunggulah Allah tak turunkan hujan berbulan-bulan lamanya. 2 bulan direct pun cukuplah. Menggelupur sekelian umat bagai cacing kepanasan, pokok-pokok kering kontang dan mati, air dicatu, lalu pihak pembekal air dan pentadbir mula tuding menuding dan bertikam lidah. Lebih sadis lagi ada yang ke pejabat tak mandi pagi.

Pendekata, bersyukurlah dengan hujan walaupun anda rasa senang ataupun susah dengan kehadirannya. Yang banyaknya kita ini bersyukur dengan hujan bila cuaca sedang berbahang panas, debu mula berterbangan dan tak kurang juga sebab malas nak siram pokok-pokok. Yang mula rasa tak bersyukur tu ialah bila tengah bersenang lenang, air banyak melimpah ruah, mandi pun cukup, cuaca pun nyaman dan tak ada masalah air langsung. Bila sahaja hujan turun mulalah keluar kata-kata kesat, "hujan lagi...pagi tadi dah hujan, petang ni hujan lagi." Namun kita akan mula rasa bersyukur semula akan hujan apabila kita telah jarang-jarang dapat hujan, kala hujan pun segan-segan nak turun, tanah pun tak basah. Baru ada akal!

Bagi yang memang suka dan sentiasa menghargai hujan, syabas diucapkan. Anda memang seorang yang sentiasa mensyukuri nikmat Allah. Semoga Allah membalasnya pula dengan memberikan segala yang terbaik untuk anda. Di akhirnya, suka atau tidak suka dengan hujan ini amatlah berkait rapat juga dengan keimanan seseorang. Tepuk dada tanyalah iman!

Mozar : Masa kecil-kecil dulu memang sengaja tunggu hujan lebat turun membuak-buak sebab nak mandi hujan dari cucur atap dan main 'up up and away' atas lantai simen dalam rumah. Masa tu rumah kuarters kerajaan antara dapur dan ruang tamu ada ruang open air yang boleh dimasuki panas dan hujan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...