Sunday, May 8, 2011

Walaupun Kini Ibu Telah Tiada...

Selamat Hari Ibu buat semua ibu-ibu di seluruh dunia. Seorang ibu itu begitu istimewa kedudukannya di sisi agama dan juga sesebuah institusi keluarga. Tanpa ada seorang ibu, blog ini dan juga entri yang mengenang ibu ini tidak akan pernah wujud. Bertuah dan beruntunglah bagi kalian yang masih ada ibu dan di masa yang sama terus menabur bakti kepada ibu-ibu kalian. Bagi yang telah tiada ibu, kebajikan kalian di dunia ini terpadam sudah, cuma doa-doa kalian yang soleh solehah sahaja yang masih belum tertutup akaunnya.

Walaupun kini ibu telah lebih 2 tahun kembali ke Rahmatullah, aura ibu masih ada di mana-mana. Kasih sayangnya dikenang, pengorbanannya dikenang, garang tegasnya dalam mendidik juga dikenang. Di situlah tempat aku berkongsi rasa, berkongsi rahsia dan tempat mengadu hal. Tidak putus-putus ibu mendengar hal anak-anaknya, walaupun telah besar panjang, walau telah beranak pinak sekalipun. Ada hal yang indah, ada yang kelat dan pahit. Semuanya terpaksa ditelan ibu. Selagi ada hayat, ibu terus-terusan berkongsi masalah dan perasaan dengan anak-anak. Mungkin sudah sampai masanya untuk ibu berehat dari itu semua, maka Allah s.w.t memanggilnya dengan penuh terhormat. Tanpa banyak menyusahkan sesiapa. Itulah doa ibu yang tidak pernah ditinggalkannya setiap kali seusai solat-solatnya.

Walaupun ibu telah tiada, rumah peninggalan ibu masih tidak banyak terusik. Sentuhan tangan ibu masih terlihat di setiap sudut rumah. Ianya begitu nostalgik. Pokok-pokok bunga yang masih ada hasil tanaman ibu juga masih terus hidup subur walaupun tiada lagi tangan yang membelek dan membelainya setiap hari. Sesekali mengunjungi rumah ibu, nostalgia bersama ibu terus menggamit rasa. Perasaan yang pernah aku bayangkan sekiranya ibu tiada sewaktu hayat ibu masih ada memang jauh tersasar. Perasaan ketika ini lebih teruk lagi daripada yang dapat aku bayangkan. Sunyi dan sepi tanpa hilai tawa ibu yang suka berlawak, yang terkadang hingga terkekeh kekeh ketawanya. Juga tanpa suara ibu yang mengejutkan anak-anak untuk bersolat Subuh. Juga tiada suara ibu yang galak berbual ketika bersahur sedangkan anak-anak masih mamai dan pening-pening lalat menghadap hidangan.

Walaupun ibu telah tiada, masakan ibu yang hingga kini tiada tandingannya, tetap aku rindui. Rendang ayam dan juga kuih karipap ibu memang tidak terbanding. Setiap kali raya, ibu bertungkus lumus membuat rendang sekuali besar. Anak-anak, menantu-menantu sehinggalah ke cucu-cucu semuanya gemarkan rendang ibu. Resepi kasih sayang bercampur air tangan agaknya. Kuih karipap ibu juga the best in the world. Walau di mana-mana sahaja aku membeli karipap, walau daripada 'Hantu Karipap' sekalipun, aku akan terus-terusan hampa kerana rasanya jauh ke laut daripada hasil tangan ibu. 

Walaupun ibu telah tiada, legasi ibu yang minat bertanam tanaman masih aku teruskan. Jika ibu lebih berminat dengan tanaman bunga-bungaan, aku pula lebih berminat kepada tanaman makanan atau sayur-sayuran. Kata ibu, dia tak serasi menanam sayur-sayuran, asyik mati aje. Sebenarnya ibu memang sangat obses dengan bunga-bungaan. Pantang terjumpa yang ganjil sikit, yang masih tiada dalam koleksinya, cepat-cepat digapainya. Tapi elok juga ibu sukakan bunga-bungaan, rumah nampak lebih indah dan berseri berbanding dengan rumah yang langsung tiada bunga. Bunga-bunga yang tahan lasak masih terus hidup subur di laman rumah ibu walaupun kini tiada penjagaan.

Walaupun ibu telah tiada, jasa ibu dalam menurunkan ilmu-ilmu agama dan ilmu kehidupan masih utuh aku jadikan panduan dan amalan dalam hidup. Ilmu tajwid ajaran ibu membolehkan aku membaca Al-Quran dan Yassin dan menyedekahkannya kembali kepada ibu. Aku juga layak untuk mengimami solat berjemaah, apabila diperlukan. Sekurang-kurangnya bacaanku tidak jauh berbeza daripada yang ahli di dalam bacaan Al-Quran. Itulah amal jariah paling berharga yang sempat ibu titipkan buat anak-anaknya.

Walaupun ibu telah tiada, ayah, pasangan cinta ibu masih ada lagi. Malangnya, ayah tidak lagi mengingati ibu. Allah lebih tahu serta lebih menyayanginya. Bila ayah diketemukan dengan ibu nanti, tentu kasih dan cintanya adalah yang abadi selama-lamanya kerana tempat ibu terus kosong tidak digantikan sesiapa. 

Walaupun ibu telah tiada, aku tiada ibu lain lagi sebagai pengganti, kecuali ibu mertua dan ibu-ibu saudara. Aku dan kalian semua hanya ada seorang ibu. Ibu tiada galang gantinya seperti alat-alat ganti mesin atau kenderaan. Semasa seorang ibu sedang singgah dalam hidup kalian, perbuatlah yang terhabis baik untuknya kerana apabila dia dijemput pulang oleh Allah s.w.t, ibu tidak akan kembali lagi selagi hayat kalian masih ada. Selamat Hari Ibu bagi kalian yang masih bersama-sama ibu ketika ini manakala Al-Fatihah buat ibu saya, Khadijah bt. Hassan serta semua ibu-ibu yang telah meninggalkan kita.

Mozar : Kusangkakan Hari Ibu akan dapatku sambut untuk sekurang-kurangnya 10 tahun lagi bersama-sama ibu memandangkan dalam bulan-bulan terakhir sebelum ibu pergi, kesihatan ibu agak memberangsangkan. Bila terkena kencing manis di tahap kronik, ajal maut susah untuk diramalkan. Jagalah kesihatan anda dan juga ibu-ibu dan bapa-bapa anda sebelum terlambat.

Ada kesedihan yang tak terucap di wajah ibu ketika sedang terlantar kesakitan


No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...