Monday, May 16, 2011

Terima Kasih Cikgu!

Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara, tema Hari Guru bagi tahun ini. Guru-guru adalah insan-insan mulia yang mendidik ke arah kebaikan dan kesempurnaan dalam hidup. Tidak kira guru apa pun, dari guru tadika, guru sekolah, ustazah, guru muzik, guru mengaji, guru silat, guru sekolah memandu hinggalah ke pensyarah dan professor semuanya adalah insan-insan berharga yang wajar sekali dihormati dan disanjungi. Elok benar kiranya ada satu hari istimewa seperti Hari Guru ini untuk meraikan guru-guru.

Janganlah pula ada teori mengatakan ada dakyah halus dan tersembunyi dalam menyambut Hari Guru sebagaimana yang terjadi pada Hari Ibu. Jika ada satu hari khas sebegini nampaknya guru-guru akan lebih dikenang dan dihormati. Adakalanya cikgu-cikgu yang garang dan bengis pun dihormati dan disayangi di hari yang istimewa ini. Tambah menyentuh lagi adanya persembahan-persembahan para pelajar terhadap guru-guru mereka yang kadangkala bisa menitiskan airmata keharuan guru-guru. Tidak ketinggalan juga ada permainan-permainan membabitkan antara guru dan pelajar. Bagi guru-guru yang favorite pula akan tidak cukup tangan menggendong hadiah-hadiah dari pelajar-pelajarnya. 

Bagi guru-guru yang telah mendapat banyak hadiah ini,'juri-juri awam' anda mungkin telah mengadili anda dari pelbagai sudut yang menarik. Bagi yang berhadiah ciput atau tiada langsung, fikir-fikirkanlah kembali 'kekurangan diri' dan 'apa yang terkurang'. Bangkitlah semula dengan penuh bermakna di masa hadapan. Saya melihat sendiri ada guru-guru yang memang tidak begitu disukai ramai, tiba-tiba sahaja menjadi popular. Ada sesuatu yang baru dilakukannya dalam mendidik pelajar. Namun, bukanlah populariti yang harus dicari, tetapi komitmen dan sifat 'dekat di hati' pelajar-pelajar adalah merupakan formula berkesan untuk disenangi mereka.

Di masa dulu-dulu (60-80 an), guru adalah suatu profesion yang amat dihormati. Kalau dulu, murid-murid cukup segan dan malu bila bertembung dengan guru-guru. Silap-silap menyorok atau melencong mencari jalan lain. Ibubapa juga begitu menyanjungi guru-guru. Zaman sekarang nampaknya keadaan di sekolah-sekolah telah menjadi begitu kucar-kacir. Tidak tahu akar umbi puncanya. Banyak sekali kes guru-guru yang tidak dihormati, diherdik malah dilawan atau dipukul. Masalah-masalah disiplin semakin membimbangkan. Institusi keluarga yang pincang juga mungkin salah satu penyumbang terbesar. Guru-guru pula yang terpaksa menggalas tugas keibubapaan. 

Sebaliknya, tidak semua guru mempunyai bakat keibubapaan yang baik. Mereka juga manusia seperti kita semua. Maaf cakap, tidak dinafikan ada juga guru yang mengajar dengan sambil lewa tanpa ada 'feel' atau rasa bertanggungjawab. Mungkin ada yang telah bosan, malas, atau ada juga yang takut akan perangai pelajar-pelajarnya sendiri. Kerjaya guru kini semakin mencabar saban hari dan saban tahun. Diburukkan pula dengan sikap ibubapa yang sering menyalahkan guru, menyerang guru, mengugut guru, semuanya atas sikap hendak memenangkan anak-anak sendiri, tanpa usul periksa.

Bukan calang-calang orang yang mampu menjadi guru terbaik yang dihormati dan disanjungi.  Kerja berhadapan dengan insan-insan yang masih 'kosong' fikirannya memang bukannya mudah. Banyak perkara dan benda-benda baru yang berebut-rebut ingin menerjah minda-minda mereka. Jika benda-benda hitam yang masuk dahulu, maka keluarnya juga hitam. Maka, menjadi tugas guru-gurulah untuk mengasak sebanyak mungkin unsur-unsur positif serta maklumat berguna ke dalam minda-minda mereka. 

Percayalah, walau sejauh manapun sesorang itu tersasar dalam hidup, pengajaran-pengajaran berguna yang pernah diterima olehnya semasa mindanya masih 'bertatih' di bangku sekolah dulu tetap akan terus terngiang-ngiang dan membawanya semula ke arah jalan yang benar. Tidak rugi guru-guru menyelitkan nasihat-nasihat atau panduan hidup dalam pembelajaran pelajar-pelajarnya sehari-hari. Ilmu-ilmu bermanfaat yang dicurahkan kepada anak-anak pelajar adalah bagaikan akaun pelaburan akhirat yang tidak akan pernah rugi.

Terima kasih kepada semua guru-guru yang pernah mendidik saya selama ini. Tanpa ilmu-ilmu dari guru-guru secara rela atau redha, suka atau tak suka, dipaksa atau terpaksa, kesemuanya telah menjadikan saya manusia. Adakalanya pernah rasa menyesal ada pelajaran-pelajaran yang diambil endah tak endah samada di sekolah atau di universiti. Bila tiba masanya ilmu yang berkaitan jadi berguna baharulah rasa menyesal itu datang. 

Terima kasih juga kepada semua guru-guru yang baik dan ramah, yang bersungguh-sungguh mengajar dan tak kurang juga yang bengis dan garang kerana di penghujung hari, kesemua ilmu-ilmu yang dikutip walau secara yang susah atau senang, secara disukai atau separuh hati kesemuanya berguna bila tiba masa dan tempatnya yang betul. Terima kasih juga kepada guru-guru yang mengajarkan ilmu-ilmu yang tidak saya minati, kerana tanpa guru-guru yang mengajarkannya belum tentu saya akan mencarinya sendiri dari buku-buku atau sumber rujukan yang lain.

Selamat Hari Guru kepada semua guru-guru di mana sahaja berada. Jasa bakti kalian hanya Allah s.w.t sahaja yang dapat membalasnya dengan setimpal.

Mozar : Guru yang paling baik, paling berkesan, paling garang dan paling ditakuti masih segar dalam ingatan sehingga kini. Guru yang senantiasa dalam ingatan pula ialah guru yang kini menjadi suri hidupku.

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...