Tuesday, September 27, 2011

Ayat-Ayat Orang Yang Tak Ada Modal Nak Sembang

Adakah anda seorang yang pendiam? Atau adakah anda mempunyai kawan yang sangat pendiam? Biasa tak bersembang kala senggang dengan orang yang tak banyak cakap macam ni? Apa rasanya? Mesti jenuh dan terkial-kial untuk mencari topik pemula bicara ataupun nak meneruskan bersembang. Tanya sepatah, jawab sepatah. Tanya berpatah-patah pun jawab sepatah juga, ataupun "mmm", ataupun tersengih simpul aje. Perit nak mencari topik yang sesuai untuk dibicarakan. Kalau tak kita yang mulakan topik dulu sampai ke sudah la kedua-duanya senyap dan sunyi.

Yang si pendiam ni pun satu hal. Macam tak ada perasaan aje tengok orang yang di sebelahnya tercari-cari topik yang nak diperbualkan. Cakap le banyak sikit, perah otak tu sikit supaya topik bicara bercambah-cambah. Pandai-pandai la sikit ambil hati pihak kedua tu. Boleh bikin fed up dan kadang-kadang gelabah puyuh juga kalau nak bersembang dengan orang yang 'slenga' macam ni. Orang yang 'slenga' ni biasanya dok toya melayan dunianya sendiri. Mesti orang yang macam ni susah nak dapat kawan. Dia kena berkawan dengan orang yang pendiam macam dia juga. Tapi elok juga kot, tak le banyak dosa diaorang dalam mengumpat orang. Mengumpat pun ala-ala manja, cukup-cukup makan aje. Namun, untuk mengelak dari bersembang dengan si mulut becok atau spesies joyah-joyah, elok jugalah jika diamalkan sifat 'slenga' ni walaupun secara pura-pura. Mesti cepat diaorang 'belah'. Selamat kita dari dosa kering dan dosa basah (tempias air liur dia).

Antara ayat-ayat orang yang dah tak ada modal nak bercakap ataupun tak tahu apa nak disapa ni bolehlah diperturunkan satu persatu dalam bentuk senarai 'Top Ten' seperti di bawah ini. Kalau nak tambah lagi, silakanlah. Kita mulakan dengan nombor yang ke sepuluh dahulu.

10. "Apa khabar? Dari mana nak ke mana?" ataupun "Dah makan?" (Ayat-ayat standard dan Universal di mana-mana sahaja di dunia, kecuali jangan sesekali ditanya ayat pasal makan ini di Somalia yang mana rakyatnya sedang menghadapi krisis kebuluran. Boleh jadi akan dijawab dengan penampar).

9. "Ada kelas ke? atau "Dah habis kelas ke?" (Ini ayat-ayat lazim bebudak IPTA/IPTS bila sahaja berselisih. Tak tau nak cakap benda lain dah, itu aje ayat menyapa yang mudah dan relevan setiap masa).

8. "Jam pukul berapa sekarang hah?" (Dah tak tahu apa nak sembang sangat, buat-buat le tanya jam, walaupun diri sendiri ada pakai jam).

7. "Nampak macam nak hujan la." (Walaupun memang nyata hari sudah gelap lagi berlampu menandakan hari dah nak hujan sangat).

6. Tak pun, "Lama dah tak hujan, tempat awak hujan tak semalam?" (Biasanya ayat ini adalah sinambungan kepada ayat no. 7 di atas).

5. Dah buntu bila bicara pasal hujan dah terhenti, buka pula cerita pasal cuaca panas yang bunyinya begini, "Panas betul le hari ni, dah lama tak hujan, kering dah rumput-rumput." Biasanya ayat sebegini akan dijawab dengan "hmmm" oleh si tak banyak cakap. Maka perbualan yang diharapkan dapat merancakkan suasana pun mati di situ sahaja.

4. Cubaan yang agak terbaik juga untuk menyemarakkan perbualan ialah dengan bertanya, "Tengok tak Cerekarama malam tadi?"
Ataupun si kaki bola pula akan bertanya "Tengok bola tak semalam?"
Itu jam, kalau kena gaya dan minat yang bersekutu, meletus-letus le perbualan dua orang yang bersembang ni tadi. Silap-silap dah tak kenal dah yang mana satu yang 'slenga' tadi.

3. Lagi satu punchline atau percubaan maut memulakan perbualan ialah bercerita hal-hal gosip artis. "Eh awak ada baca tak yang si polan yang gedik tu dah nak bercerai-berai?"Jawab pihak yang satu lagi, "Eh ye ke, kat mana awak baca? Elok pun, padan dengan muka dia, nyampah I. Cerciter, cerciter!" (tiba-tiba jadi ramah tu!). Akhirnya, kedua-duanya menjadi rakan gosip artis yang sangat akrab yang mana aktiviti gosip menggosip meraka terus berlanjutan sampai ke Facebook dan Twitter yang mana kedua-duanya memang kebetulan pelanggan setia laman-laman portal hiburan.

2. "Eh awak ada dengar pasal kes si polan ni dah buat statement begitu begini tak?" (Satu lagi contoh ayat pemula bicara ala-ala pukulan maut yang mana tak lain tak bukan dengan bercerita hal-hal politik semasa ataupun skandal-skandal ahli-ahli politik semasa). Maka meletus-letuslah caci maki dan umpat keji dua insan yang kebetulan berfahaman politik sealiran ini. Kalau pun tak sealiran, buat-buat macam sealiran demi menjaga hati pihak kedua, walaupun hati payau kelat berpura-pura menyokong atau membangkang. Sebaliknya, kalau terkena yang tak sealiran dan masing-masing ingin menegakkan benang basah, maka bertambah-tambah gamatlah perbualan mereka, siap la berlakunya perang mulut terhebat abad ini. Elok asalnya dua-dua pendiam, tiba-tiba dua-duanya dah jadi pendendam.

1. Ayat pembuka kunci bicara yang terpopular sekali di abad ini ialah "Saya dengar minyak nak naik lagi, mesti harga barang pun akan naik melambung-lambung". Inilah satu-satunya fenomena alam yang akan terus berlaku saban hari dan saban tahun. Bagi yang dah tak ada idea sangat-sangat nak menjolok si pendiam ataupun orang yang tak ada mood nak bercakap, bawa-bawalah ketengahkan isu harga minyak dan harga barang naik ni. Pasti paling tidak pihak satu lagi akan mengeluh, mengiyakan, ataupun terkenang-kenang harga barang dulu-dulu dan paling kurang akan cakap, "Bawa RM50 pun dah tak jadi benda dah, barang dah mahal."

0. Ayat tak ada modal nak sembang yang paling 'win' di kala ini ialah.... "k bye". Orang tu biasanya akan terus blah begitu saja tanpa banyak songeh.

Mozar : Selalu buat-buat tidur kalau duduk sebelah orang yang tak dikenali di dalam bas atau keretapi. Tak reti nak sembang lebih-lebih. Malah, kalau ada bawa makanan dalam beg pun tak jadi nak makan.

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...