Wednesday, October 5, 2011

Menyambut Harijadi Yang Ke...

Tahun bersilih ganti, hari berganti hari. Hari ini buat kesekian kalinya saya menyambut hari Ulang Tahun Kelahiran. Yang ke berapa ya? Dah banyak tahun dah. Silap-silap boleh lupa yang ke berapa tahun. Kadang-kadang langsung tak ingat pun ada, sampailah kawan-kawan wish dalam facebook barulah ingat. Lagi satu, lesen memandu pun dah ikut tarikh lahir, tentu tak akan lupa harijadi lagi melainkan lupa kedua-duanya, harijadi melepas, lesen dah mati pun melepas.

Sedari kecil lagi harijadi bukanlah hari yang pernah disambut dengan meriah sambil memotong kek dan meniup lilin-lilin. Seingat saya, sehingga ke hari ini, tidak pernah sama sekali. Sudah terbiasa, ianya kekal tidak menjadi tradisi saban tahun. Lahir dari keluarga yang amat sederhana, banyak lagi prioriti lain di mana wang ringgit terpaksa disalurkan seperti keperluan persekolahan atau juga persiapan Hari Raya Aidilfitri. Sebagai contoh, selang 2 atau 3 tahun raya, pasti arwah mak akan menjahitkan baju Melayu untuk saya. Bertungkus lumuslah arwah mak menyiapkannya sejak 3 atau 4 bulan sebelum raya. Malangnya, kebiasaannya baju-baju Melayu tersebut hanya dipakai untuk beberapa jam sahaja di hari raya pertama malahan juga bagi sepanjang tahun itu. Kesian arwah mak, minta ampun banyak-banyak kerana mensia-siakan usaha keras arwah mak itu. Masa tu kecil lagi, tak tahu nak menghargai pengorbanan orang tua.

Kini bila dewasa dan mempunyai anak-anak, sambutan harijadi anak-anak tetap akan disambut dengan kek harijadi walaupun secara kecil-kecilan. Paling tidak, gambar-gambar memotong kek harijadi adalah satu kemestian, buat tatapan mereka apabila dewasa kelak. Masa saya kecil dulu, bukan tiada rakan sebaya yang agak berada yang menyambut harijadi dengan menjemput semua kanak-kanak di kawasan perumahan sambil memotong kek dan beramai-ramai menyanyikan lagu Happy Birthday. Buat diri yang serba kekurangan, hanya mampu melihatkan sahaja gaya birthday boy/girl tersebut menyambutnya dengan girang. Nasib baik pula masa kecil dulu, perkara parti-parti harijadi begitu langsung tidak menjentik keinginan saya mahupun adik beradik yang lain untuk menyambutnya sedemikian rupa juga. Kalau tidak, kopaklah juga duit mak ayah ketika itu. Untung juga mak ayah kami mendapat anak-anak yang tahu diri. Masa itu, kalau kami terkenangkan harijadi kami, arwah mak akan memasakkan kuih muih kegemaran kami. Kalau siapa pun tak ingat, maka terlepaslah harijadi tersebut tak ubah seperti hari-hari yang biasa.

Masih saya ingat juga, hadiah harijadi yang pertama saya terima ialah dari rakan karib saya semasa di sekolah rendah dulu. Beliau seorang Cina yang mana sehingga kini kami telah hilang contact. Hadiah yang diberinya hanyalah berupa sebatang pensil mekanikal yang mana pada masa itu tidak ramai yang pernah melihat pensil yang sedemikian rupa. Seronok bukan kepalang pada masa itu. Bukanlah pemberian itu yang dilihat tetapi ingatan tulus ikhlas itu yang sungguh mengharukan serta menyentuh rasa.

Kepada saudara-saudara dan sahabat handai yang mengucapkan selamat harijadi kepada saya, saya ucapkan jutaan terima kasih. Doa-doa kebaikan yang kalian titipkan akan kembali kepada kalian juga kerana Allah itu Maha Pengasih dan Maha Adil.

Mozar : Hadiah dan anugerah yang paling bernilai dari Allah s.w.t adalah nikmat kesihatan, rupa paras, ketenangan jiwa dan yang paling istimewa, nikmat iman. Hadiah-hadiah sebegini bukan dikurniakan di kala harijadi sahaja, tetapi hari-hari. Subhanallah.


Gambar kenangan sewaktu kecil entah berapa puluh tahun yang lalu.


No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...