Friday, October 21, 2011

Usah Terlalu Mencuba

Pernahkah anda cuba, pandu, try, test sesuatu benda untuk suka-suka, mencabar bakat atau mencabar kemampuan anda? Perkara cuba mencuba ini ada banyak kategorinya. Dalam banyak-banyak kategori itu, cuma jangan langsung tidak mencuba ataupun jangan terlebih cuba, atau dengan kata lain, 'terlalu mencuba'. Walaubagaimanapun, sifat 'terlalu mencuba' ini jauh lebih baik dari tidak mahu mencuba, takut mencuba ataupun serik nak mencuba. 

Satu contoh cuba mencuba ini, jika rupadiri anda agak kurang menarik, cubalah sesuaikan mekap atau aksesori diri anda sehingga orang yang memandang anda akan berkata 'Wow!' Sebaliknya, jangan pula terlebih mekap seperti pelakon opera cina ataupun aksesori diri bagai gerai Uptown bergerak sehingga orang akan berkata 'Wohooo!' ataupun disenyum-senyumkan orang. Dalam membuat penampilan diri berpeganglah kepada ungkapan 'Less is more' yang mana ianya bukan sama sekali bermaksud less kain baju, tetapi nampak menarik walaupun bergaya ringkas. Gaya yang tidak terlalu menonjol atau tidak terlalu selekeh akan membuatkan anda tampak santai dan menawan.

Dalam kes program Raja Lawak musim yang lepas-lepas di Astro, banyak juga peserta-pesertanya yang 'terlalu mencuba' tersingkir awal dari program tersebut. Lawak-lawak mereka terlalu nampak seperti dipaksa-paksa atau dibuat berlebih-lebih tanpa ada synchronizenya dengan ucapan lawak yang dilontarkan. Sudahlah yang disebut tak lawak, mimik muka dan gerak badan pula terlebih-lebih dan suara juga turut terjerit-jerit sehingga ianya nampak janggal dan boleh menegakkan bulu roma penonton. Seram sungguh kelakarnya. Biasanya lawak yang selamba tapi berisi menjadi pilihan di hati penonton. Walaubagaimanapun, tidak semestinya pelawak yang the best yang menang kerana ianya akan tertakluk pula kepada kuasa undian SMS!

Selain dari acara lawak, acara nyanyian juga tidak terlepas dari kes 'terlalu mencuba' ini. Jelas sekali nyanyian yang disampaikan secara sedemikian akan kedengaran sumbang di telinga para pendengar. Lihat sahaja ujibakat-ujibakat nyanyian. Peserta yang perasan ada bakat akan menyanyi sesedap rasa dan penuh penghayatan 'syok sendiri'. Suara entah ke laut mana, gaya mengalahkan sedang menyanyi di konsert Mega. Itu kes bukan penyanyi. Bagi penyanyi yang sudah ada nama seperti Dato' Siti Nurhaliza pun ada orang yang mengatakan persembahannya dalam album Inggeris pertamanya disifatkan sebagai terlalu mencuba. Tak cuba tak tahu, dah cuba, orang pula cuba jatuhkan. 

Tetapi saya kagum dengan penyanyi baru, Susan Boyle, seorang artis segera yang telah agak berusia, hasil kelahiran realiti TV , Britain's Got Talent. Beliau boleh bernyanyi dengan suara yang sangat lantang dan gemersik secara begitu selamba sekali, tanpa susah payah (effortlessly). Jualan album pertamanya telah memecahkan rekod jualan di United Kingdom sepanjang zaman. Ini satu contoh bahawa tanpa terlalu mencuba, dengan teknik nyanyian tersendiri, walaupun kurang rupa, persembahannya berjaya memikat para pendengar.

Akibat terlalu mencuba juga, ramai orang yang menerima musibah hasil dari keobsesan mereka untuk menjadi lebih cantik dari biasa. Rupa yang asalnya sedap dipandang akhirnya telah menjadi rosak dan menakutkan hasil daripada pembedahan kosmetik. Sekali telah tersilap tidak mudah untuk memperbaikinya ke rupa yang elok semula. Lihat sahaja apa yang telah dilakukan oleh Michael Jackson terhadap wajahnya. Rupa kulitnya bolehlah diterima kerana ianya bolehlah dikatakan 'menjadi'. Malangnya, rupa wajahnya telah menjadi semakin teruk setiap kali pembedahan demi pembedahan baru dilakukannya. Sehingga di akhir hayatnya, rupa parasnya telah menjadi agak hodoh dan menakutkan. Ini mungkin salah satu contoh terlalu mencuba ingin menjadi seperti orang yang lain. Sebagai iktibar buat semua, bersyukurlah dengan apa yang ada pada diri kita sekarang, semoga Allah menambahkan nikmat dan rezeki kita, kalau pun tidak semakin kacak lawa, mungkin akan mendapat kelebihan di tempat yang lain pula. Mungkin kurang rupa, tapi hati tenang dan gembira senantiasa.

Semasa zaman belajar dulu ada juga kes terlalu mencuba ni. Ada kes di mana kawan-kawan yang membuat pembentangan kertas kerja mereka secara yang terlalu mencuba. Dengan muka yang amat serius, perkataan yang pelat-pelat Inggerisnya dan begitu berhati-hati bila bercakap, pembentangan kawan itu nampak begitu formal dan 'merisaukan'. Alih-alih masa bercakapnya pun sampai melebihi dari masa yang telah ditetapkan-overrun. Orang yang mendengar pun naik rimas lantas dalam hati berkata-kata "Bilalah dia ni nak habis???" Sementelah pula perkara yang disampaikannya terlalu membosankan serta terlalu teknikal. Tengah-tengah pembentangan tu habis berpeluh-peluh dahi dan ketiak kawan tu. Buat rilek-rilek aje dah le. Selitkan sedikit sebanyak unsur-unsur humor di sana-sini. Barulah dapat menarik minat pendengar. 

Selain pelajar, tenaga pengajar atau guru-guru juga perlu tidak terlalu mencuba dengan pelbagai gaya dan mimik muka dalam memahamkan para pelajar dalam sesuatu matapelajaran. Ianya lama kelamaan akan cepat membuatkan pelajar merasa bosan dan hilang fokus. Secara peribadi, guru-guru sekolah saya dulu yang mengajar dengan tenang dan selamba lebih mudah menarik perhatian dan pemahaman berbanding guru-guru yang mengajar bagai nak rak sampai berpeluh-peluh.

Mozar : Lain pula kesnya dalam sesuatu perlumbaan. Jika tidak terlalu mencuba alamatnya terpaksalah mencuba lagi di tahun hadapan.

Pembedahan plastik yang gagal : Akibat terlalu mencuba untuk jadi semakin cantik dan cantik.

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...