Tuesday, October 11, 2011

Apa Yang Kita Belum Nampak Atau Tidak Nampak

Sewaktu kita masih kecil dulu bolehkah kita nampak benda-benda yang ada di atas almari pakaian kita? Mungkinkah ada mainan yang kita campakkan ke atasnya lalu tidak kita ingati sehingga ianya terperuk sekian lama (anak saya suka sangat mencampakkan plush toy 'angry bird'nya ke atas almari pakaian sambil bersorak kegembiraan).

Bolehkah kita nampak apa yang dimasak oleh ibu kita di atas dapur di kala ketinggian kita hanya 3 kaki, sedangkan bau masakan tersebut begitu menggoda kalbu?

Bolehkah kita nampak di mana disembunyikan pistol mainan oleh ibu kita nun tinggi di atas almari dek kerana menembak merata-rata dengan peluru oren sebesar biji kacang hijau?

Jawapan kepada soalan-soalan tadi, tak nampak. Ini kerana kita masih terlalu rendah untuk melihat sesuatu benda yang berada di tempat tinggi. Apabila kita telah besar panjang, bukan sahaja kita nampak apa yang berada di tempat yang tinggi, malah habuk dan sawang di sekitarnya pun kita nampak. Begitulah umpamanya seseorang yang serba kekurangan dari beberapa segi tertentu, tentulah dia tidak nampak perkara-perkara yang lebih tinggi daripada tahapnya berada.

Bagi orang yang kurang atau cetek ilmunya, tentulah tidak terselam perkara-perkara yang di luar kotak pemikirannya. 'Tak makan dicongak', kata orang dulu-dulu. Nak memandai-mandai membuat ulasan dan komen tentang perkara yang kurang diketahuinya tentulah akan menyerlahkan kedunguan dan kedangkalan ilmu pengetahuannya. Untuk selamat, bercakaplah sekadar perkara yang anda benar-benar tahu mengenainya. Perkara yang anda kurang arif atau kurang tahu tidak lain hanyalah rekaan, fitnah atau sekadar menyampai kata-kata orang lain yang mana ianya belum tentu kesahihannya. 

Lebih buruk lagi, anda pula menokok tambah garam, gula dan ajinomoto bagi ianya lebih lazat didengar. Lama-kelamaan cerita asalnya dah jadi jauh terpesong. Fenomena sebegini bolehlah kita kelaskan sebagai benda yang kita tak nampak tapi nampak melalui orang yang nampak. Macamana tu? Bagi kes ini, menimba ilmu pengetahuan itu amat penting kerana dengan ilmu anda boleh pergi ke mana-mana sahaja di dunia ini tanpa dapat diperlekehkan oleh sesiapa sahaja.

Ada kes di mana kita mudah bersangka buruk terhadap apa yang kita nampak. Sedangkan kita tak nampak apa yang sebenarnya berlaku di sebaliknya. Contohnya, seorang pencuri cilik mungkin mencuri atas dasar kelangsungan hidup, akibat terlalu lapar dan tidak mempunyai wang untuk membeli makanan. Namun, jika ianya dilakukan oleh si penagih tegar, tak perlulah kita bersangka-sangka lagi kerana dia mencuri hanya untuk melampiaskan ke'gian'annya.

Kita boleh jadi gagal untuk melihat atau nampak apa rasional di sebalik leteran, kemarahan atau hukuman yang diberi oleh ibubapa atau guru-guru kita sendiri. Tidak lain ianya hanya semata-mata untuk kebaikan hidup kita juga. Yang kita nampak hanyalah badan yang berbirat hasil rotan atau getah paip. Bila dewasa baru kita nampak kesan dan hasilnya (Ah! berklise lah pulak, ala-ala drama-drama Melayu petang-petang). Bukan apa. Ini renungan bagi orang yang renungannya kosong, tak nampak melalui mata hati. Banyak sudah yang terjadi pada remaja-remaja masakini. Pukul sikit atau leter sikit, berdendam, pukul balik ataupun habis fikir, lari dari rumah.

Kita juga mungkin tak biasa nampak kesusahan peniaga-peniaga kecil-kecilan yang menjual sayur-sayur kampung ataupun yang menjual nasi lemak. Kita masih berkira-kira dan meminta ditawarkan harga bagi harga yang memang telah cukup murah. Sedangkan kita tidak nampak bagaimana keadaan hidupnya di rumah, mungkin bagai kais pagi makan pagi, kais petang untuk makan keesokan harinya. Pendekata, bersangka baiklah terhadap perkara yang kita tidak nampak manakala cegahlah kemungkaran yang memang jelas-jelas kita nampak.

Dalam kes yang lain, ada ketikanya kita belum nampak apa yang sepatutnya kita nampak. Kes ini sesuai benar dilabelkan pada kebanyakan remaja-remaja masakini yang rosak akhlaknya. Mereka belum nampak lagi apa yang menanti di hadapan mereka iaitu kehidupan di hari tua mahupun di alam akhirat kelak. Tahu nak berseronok sahaja tanpa memikirkan badai yang ganas sedang menanti. Masa seronok ponteng sekolah, melawan guru, merempit, melepak, menagih, bermaksiat, membuang bayi dan bermacam-macam lagi perkara keji yang menyakitkan hati masyarakat. 

Bila sudah bermula dengan kehidupan yang buruk agak sukar sebenarnya untuk kembali ke jalan yang baik kecuali telah benar-benar menerima hidayah dari Allah s.w.t. Awal-awal lagi telah dipatuk ular yang panjang(laksana bermain dam ular dan tangga), agak sukarlah pula untuk menghabiskan permainan (game!), melainkan bila ketemu tangga yang panjang untuk naik ke atas semula.

Bukan tiada remaja yang dari awal-awal lagi telah nampak arah tuju hidup mereka, tetapi disebabkan nila yang beberapa titik atau beberapa ekor kerbau berlumpur, sedikit sebanyak kejelikan sifat-sifat kumpulan jahat yang sedikit ini agak mengganggu tumpuan kumpulan yang ramai dan baik-baik tadi. Pokok pangkalnya, sifat-sifat remaja yang rakus dan rosak ini adalah berpunca dari penampakan mereka terhadap perkara-perkara yang jelik-jelik tadi. 

Sudah ada contohnya di mana-mana. Contoh paling awal adalah dari ibubapa atau penjaga mereka sendiri, yakni bermula dari rumah. Jika orang-orang yang dicontohi mengabaikan solat dan melakukan kemungkaran, maka akan berbekaslah di hati anak-anak itu nanti perkara-perkara yang tidak baik juga. Dah selalu sangat perkara-perkara sebegini diutarakan dan disyarahkan, namun kes-kes keruntuhan akhlak ini terus menjadi-jadi dari hari ke hari. Di mana salah silapnya kita? Apa yang belum kita sendiri nampak?

Enough of this Tuesday sermon! Tak ramai yang minat membaca entri syarahan begini, bukan? Itu sebabnya blog ini hanya suam-suam kuku aje pelawatnya, betul tak? Mungkin ada yang terserempak sekali dengan blog ini terus tak datang-datang balik dah. Bagi yang sudi membaca lagi dan lagi, terima kasih diucapkan.

Mozar : Amaran buat sesiapa yang berdiri tapi dah tak nampak kakinya sendiri. Berbagai komplikasi boleh datang dari keadaan itu. Jangan sampai orang dah tak nampak anda lagi buat selama-lamanya, sudah.


Insiden yang agak 'mengganggu' benak : Sebelum kejadian mangsa-mangsa tidak nampak mara bahaya yang sedang menerpa dari depan.



Satu lagi insiden yang 'mengganggu' dan sungguh menyayat hati. Sudah nampak tapi buat-buat tak nampak.

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...