Tuesday, September 27, 2011

Ayat-Ayat Orang Yang Tak Ada Modal Nak Sembang

Adakah anda seorang yang pendiam? Atau adakah anda mempunyai kawan yang sangat pendiam? Biasa tak bersembang kala senggang dengan orang yang tak banyak cakap macam ni? Apa rasanya? Mesti jenuh dan terkial-kial untuk mencari topik pemula bicara ataupun nak meneruskan bersembang. Tanya sepatah, jawab sepatah. Tanya berpatah-patah pun jawab sepatah juga, ataupun "mmm", ataupun tersengih simpul aje. Perit nak mencari topik yang sesuai untuk dibicarakan. Kalau tak kita yang mulakan topik dulu sampai ke sudah la kedua-duanya senyap dan sunyi.

Yang si pendiam ni pun satu hal. Macam tak ada perasaan aje tengok orang yang di sebelahnya tercari-cari topik yang nak diperbualkan. Cakap le banyak sikit, perah otak tu sikit supaya topik bicara bercambah-cambah. Pandai-pandai la sikit ambil hati pihak kedua tu. Boleh bikin fed up dan kadang-kadang gelabah puyuh juga kalau nak bersembang dengan orang yang 'slenga' macam ni. Orang yang 'slenga' ni biasanya dok toya melayan dunianya sendiri. Mesti orang yang macam ni susah nak dapat kawan. Dia kena berkawan dengan orang yang pendiam macam dia juga. Tapi elok juga kot, tak le banyak dosa diaorang dalam mengumpat orang. Mengumpat pun ala-ala manja, cukup-cukup makan aje. Namun, untuk mengelak dari bersembang dengan si mulut becok atau spesies joyah-joyah, elok jugalah jika diamalkan sifat 'slenga' ni walaupun secara pura-pura. Mesti cepat diaorang 'belah'. Selamat kita dari dosa kering dan dosa basah (tempias air liur dia).

Antara ayat-ayat orang yang dah tak ada modal nak bercakap ataupun tak tahu apa nak disapa ni bolehlah diperturunkan satu persatu dalam bentuk senarai 'Top Ten' seperti di bawah ini. Kalau nak tambah lagi, silakanlah. Kita mulakan dengan nombor yang ke sepuluh dahulu.

10. "Apa khabar? Dari mana nak ke mana?" ataupun "Dah makan?" (Ayat-ayat standard dan Universal di mana-mana sahaja di dunia, kecuali jangan sesekali ditanya ayat pasal makan ini di Somalia yang mana rakyatnya sedang menghadapi krisis kebuluran. Boleh jadi akan dijawab dengan penampar).

9. "Ada kelas ke? atau "Dah habis kelas ke?" (Ini ayat-ayat lazim bebudak IPTA/IPTS bila sahaja berselisih. Tak tau nak cakap benda lain dah, itu aje ayat menyapa yang mudah dan relevan setiap masa).

8. "Jam pukul berapa sekarang hah?" (Dah tak tahu apa nak sembang sangat, buat-buat le tanya jam, walaupun diri sendiri ada pakai jam).

7. "Nampak macam nak hujan la." (Walaupun memang nyata hari sudah gelap lagi berlampu menandakan hari dah nak hujan sangat).

6. Tak pun, "Lama dah tak hujan, tempat awak hujan tak semalam?" (Biasanya ayat ini adalah sinambungan kepada ayat no. 7 di atas).

5. Dah buntu bila bicara pasal hujan dah terhenti, buka pula cerita pasal cuaca panas yang bunyinya begini, "Panas betul le hari ni, dah lama tak hujan, kering dah rumput-rumput." Biasanya ayat sebegini akan dijawab dengan "hmmm" oleh si tak banyak cakap. Maka perbualan yang diharapkan dapat merancakkan suasana pun mati di situ sahaja.

4. Cubaan yang agak terbaik juga untuk menyemarakkan perbualan ialah dengan bertanya, "Tengok tak Cerekarama malam tadi?"
Ataupun si kaki bola pula akan bertanya "Tengok bola tak semalam?"
Itu jam, kalau kena gaya dan minat yang bersekutu, meletus-letus le perbualan dua orang yang bersembang ni tadi. Silap-silap dah tak kenal dah yang mana satu yang 'slenga' tadi.

3. Lagi satu punchline atau percubaan maut memulakan perbualan ialah bercerita hal-hal gosip artis. "Eh awak ada baca tak yang si polan yang gedik tu dah nak bercerai-berai?"Jawab pihak yang satu lagi, "Eh ye ke, kat mana awak baca? Elok pun, padan dengan muka dia, nyampah I. Cerciter, cerciter!" (tiba-tiba jadi ramah tu!). Akhirnya, kedua-duanya menjadi rakan gosip artis yang sangat akrab yang mana aktiviti gosip menggosip meraka terus berlanjutan sampai ke Facebook dan Twitter yang mana kedua-duanya memang kebetulan pelanggan setia laman-laman portal hiburan.

2. "Eh awak ada dengar pasal kes si polan ni dah buat statement begitu begini tak?" (Satu lagi contoh ayat pemula bicara ala-ala pukulan maut yang mana tak lain tak bukan dengan bercerita hal-hal politik semasa ataupun skandal-skandal ahli-ahli politik semasa). Maka meletus-letuslah caci maki dan umpat keji dua insan yang kebetulan berfahaman politik sealiran ini. Kalau pun tak sealiran, buat-buat macam sealiran demi menjaga hati pihak kedua, walaupun hati payau kelat berpura-pura menyokong atau membangkang. Sebaliknya, kalau terkena yang tak sealiran dan masing-masing ingin menegakkan benang basah, maka bertambah-tambah gamatlah perbualan mereka, siap la berlakunya perang mulut terhebat abad ini. Elok asalnya dua-dua pendiam, tiba-tiba dua-duanya dah jadi pendendam.

1. Ayat pembuka kunci bicara yang terpopular sekali di abad ini ialah "Saya dengar minyak nak naik lagi, mesti harga barang pun akan naik melambung-lambung". Inilah satu-satunya fenomena alam yang akan terus berlaku saban hari dan saban tahun. Bagi yang dah tak ada idea sangat-sangat nak menjolok si pendiam ataupun orang yang tak ada mood nak bercakap, bawa-bawalah ketengahkan isu harga minyak dan harga barang naik ni. Pasti paling tidak pihak satu lagi akan mengeluh, mengiyakan, ataupun terkenang-kenang harga barang dulu-dulu dan paling kurang akan cakap, "Bawa RM50 pun dah tak jadi benda dah, barang dah mahal."

0. Ayat tak ada modal nak sembang yang paling 'win' di kala ini ialah.... "k bye". Orang tu biasanya akan terus blah begitu saja tanpa banyak songeh.

Mozar : Selalu buat-buat tidur kalau duduk sebelah orang yang tak dikenali di dalam bas atau keretapi. Tak reti nak sembang lebih-lebih. Malah, kalau ada bawa makanan dalam beg pun tak jadi nak makan.

Wednesday, September 14, 2011

Drama-Drama Kebetulan

Hari ini kita masih lagi berada di bulan Syawal yang mulia di samping masih sibuk kunjung mengunjungi. Bagi yang asyik terperuk di rumah tak ke mana-mana, nampaknya terpaksalah melayan rancangan-rancangan TV yang putus berhubung, tanpa henti 24 jam. Bagi peminat-peminat drama-drama dan filem-filem Melayu pula inilah masanya untuk pulun habis sebab kesemua siaran berbahasa Melayu berlumba-lumba menayangkan filem-filem dan drama-drama dari yang terbaharu sehinggalah yang dari zaman kita belum lahir lagi.

Jika anda peminat tegar cerita-cerita Melayu pasti sekali anda akan tertonton cerita-cerita yang memaparkan kisah-kisah yang ada kebetulan di sana sini. Cerita-cerita di musim Raya ini juga apa kurangnya. Yang dimaksudkan dengan kebetulan itu ialah seperti contohnya, tak semena-mena seorang anak yang telah lama terpisah dengan ayahnya secara kebetulan bekerja dengan syarikat ayahnya sendiri. Seorang gelandangan yang dijumpai rupa-rupanya mak atau ayah si watak utama. 

Satu lagi yang tak boleh nak terima, ada satu cerita yang mana seorang isteri yang diculik dan dilarikan dalam keretanya sendiri tiba-tiba terlanggar kereta suaminya sendiri lalu kedua-duanya termasuk penculiknya mati. Dalam ribuan kereta yang ada di jalanan, kereta suami itulah juga yang dia terlanggar. Senang betul penulis skripnya nak menamatkan hayat watak-watak tersebut. Kadang-kadang terasa macam kelakar pulak. Kadang-kadang macam boleh diagak aje apa yang akan berlaku dalam kisah seterusnya. Contoh lain, kalau tiba-tiba muncul satu watak asing menumpang teduh, terlanggar dek kereta atau terlanggar bahu, tak lain lah watak itu ada kaitannya dengan watak utama, biasanya hubungan kekeluargaan.

Filem Tan Sri P.Ramlee dulu juga tidak lepas dari elemen kebetulan ini. Contohnya, dalam filem Madu Tiga, secara kebetulan isteri ketiga (Dato' Sarimah) meleraikan pergaduhan isteri pertama dan isteri kedua suaminya lalu menjemput mereka bertandang ke rumah. Rentetan itu, berlakulah kes pecah tembelang, hasil dari kebetulan Sarimah terjumpa akan madu-madunya. 

Mungkin sekali melalui cerita-cerita kebetulan sebegitu, penulisnya terpaksa membuat kebetulan demi kebetulan sebagai untuk memendekkan jalan cerita. Kalau nak dibuat tanpa sebarang kebetulan, mungkin sekali jalan ceritanya akan meleret-leret sampai beratus-ratus episod dan sampai bertahun-tahun baru habis seperti yang berlaku pada Sinetron-Sinetron atau Telenovela. Sampaikan naik rimas pulak tengok orang-orang yang setia mengikutinya. Dah le lakonan kaku, lembab pula jalan ceritanya. Akan tetapi, bagi kebetulan seperti dalam kes cerita Madu Tiga tadi, ianya memang class kerana ianya mengundang klimaks dan kelucuan yang natural dan tidak membuatkan kita rasa hendak memperlecehkannya.

Bagi yang sudah biasa mengagak akan berlaku kebetulan dalam sesuatu cerita, tentu sekali akan mencebik atau memperlekehkan cerita-cerita tersebut. Balik-balik kebetulan, tak ada lain. Pasti akan terpacul keluar ungkapan, "tak logik langsung!" sambil kita mencebik bibir ataupun ketawa berguling-guling. Sebenarnya banyak lagi cerita-cerita yang berkebetulan sebegini, tak terkira dengan jari rasanya. Terbaru, drama yang telah tercalon dalam Anugerah Skrin TV3 baru-baru ini. Alih-alih watak utamanya terlanggar mati oleh kekasih gelapnya sendiri, walaupun dia sedang berlari di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur. Tiada signifikannya dia dilanggar mati oleh kekasih gelapnya kerana adegan itupun hanya sebagai penutup cerita. Produser tak mahu bayar pelakon tambahan lain kot. Senang bayar sekali harung aje.

Dalam dunia nyata, perkara-perkara yang kebetulan ini bukanlah suatu yang boleh berlaku saban hari. Entah bila-bila masa sekali kita akan terserempak dengan perkara-perkara yang berkebetulan. Bila sahaja sesuatu perkara itu berlaku secara kebetulan tentu sekali kita akan berasa takjub dan terharu. Kita pasti berasa perkara itu sangat membuatkan kita bernasib baik. Contohnya, kebetulan anda sedang tercari-cari pekerjaan, tiba-tiba sahaja kawan lama anda kebetulan sedang mencari pekerja yang berkelulusan seperti anda. Ini merupakan satu kebetulan yang mengujakan.

Contoh lain, seperti yang saya alami sendiri, kebetulan isteri yang saya kahwini adalah merupakan adik kepada senior sekolah berasrama penuh saya yang langsung tidak pernah saya hubungi atau jumpai selepas tamat persekolahan, berbelas tahun lamanya. Lagi-lagi abang ipar saya itu suka mengusik dan membuli saya semasa di sekolah dulu. Memang saya tak pernah simpan apa-apa contact number dia pun. Isteri saya itu juga kebetulan kawan kepada kakak saya yang mana mereka hanya berjumpa dalam beberapa bulan sekali. Dah jodoh, tak ke mana. Ironinya, abang ipar saya itu sampai sekarang tak ingat yang dia pernah kenal saya masa di sekolah dulu. Banyak sangat serabut kepala fikir bisnes sendiri gamaknya.

Itulah serba sedikit perkara tentang kebetulan yang ingin saya kongsikan di sini. Bagi peminat tegar filem dan drama selepas ni pasti akan lebih peka tentang perkara-perkara kebetulan ini setelah perkara ini dibangkitkan. Kalau tidak, layan aje tak hengat. Cerita-cerita orang putih pun ada juga elemen-elemen kebetulan ini, tapi jarang-jarang sekali berlaku sebab industri mereka jauh lebih besar dari Malaysia. Pengkritik-pengkritik mereka juga lebih banyak dan lebih berbisa. Tentu mereka sedaya upaya cuba mengelak dari short cut jalan cerita melalui kebetulan demi kebetulan. Kalau cerita komedi tu boleh lah orang terima, sebab ianya boleh menjadi satu elemen yang menggeletek hati. 

Mozar : Tarikh ibu saya kembali ke Rahmatullah kebetulan jatuh pada tarikh ulangtahun perkahwinan saya. Suratan atau kebetulan?

Tuesday, September 6, 2011

Syawal : Yang Menang Dan Yang Kalah

Salam Aidilfitri buat semua pembaca-pembaca sekelian. Selamat menyambut hari kemenangan bagi semua umat Islam yang telah berjaya melunaskan perintah Allah ini dengan sebaik-baiknya. Selamat menyambut hari kekalahan bagi yang telah tewas dalam melawan kehendak dan hawa nafsu. Kebetulan raya kali ini jatuh di Hari Kemerdekaan maka raya ini pun telah digelar sebagai Merdeka Raya (no more kongsi-kongsi Raya tau!). Selamat menghayati Hari Kemerdekaan negara pula bagi yang sayangkan negara yang tercinta ini. Ironinya, Merdeka Raya juga boleh diistilahkan sebagai hari beraya bagi semua umat Islam di serata muka bumi, manakala yang merdekanya adalah syaitan-syaitan di seluruh sudut dan pelusuk alam. Berhati-hatilah, masa ini syaitan-syaitan juga telah mengumpul segala kekuatan dan strategi untuk menyesatkan umat manusia setelah selama sebulan terbelenggu. Masa ini juga boleh dikaitkan dengan kemaksiatan yang berlaku dengan berleluasa jika tidak tegar menahan iman.

Mengikut tahun Hijrah, telah cukup setahun saya berblogging dan menjelajah dunia maya, yang mana saya bermula dengan entri pertama yang bertajuk Raya Yang Paling Best & Yang Paling Tak Best yang confirm tak best langsung(macam la entri yang lain-lain tu best sangat). Bagi yang setia mengikuti blog saya, saya ucapkan jutaan terima kasih. Tanpa pembaca, nak menulis pun tak ada mood walaupun konon-kononnya saya menulis untuk kepuasan diri serta peringatan  untuk diri sendiri. Tapi memang betul, bila kita menulis tentang sesuatu tajuk, secara perlahan-lahan kita juga terhindar dari melakukan benda-benda buruk seperti yang diperkatakan dalam entri tersebut. Menulis blog ini juga tak lari dari menyatakan ketidakpuasan hati terhadap sesuatu perkara ataupun seseorang individu. Bukan apa, itu semua sebagai iktibar bagi orang lain di samping melepaskan tension yang terbuku di hati supaya ianya tidak akan menjadi barah, demi untuk kesihatan mental dan juga fizikal.

Dalam kita sibuk bergembira berhari raya ucapan takziah setulusnya juga harus dititipkan ke atas kematian jurukamera BERNAMA TV, Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor, 40, ketika bertugas di Somalia, 2 September lalu. Semoga rohnya berada di kalangan para syuhada dan orang-orang yang beriman. Alfatihah.

Mozar : Kalau nakkan ganjaran umpama berpuasa selama setahun, buatlah Puasa 6. Biar flush balik segala kolesterol dan lemak dalam badan dek kerana menyental lemang dan rendang tak hengat!

Dari Jauh Kupohon Maaf : Lagu Raya yang tangkap leleh semasa berada di perantauan dulu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...