Tuesday, September 24, 2013

Hidup Ini Ibarat Bermain Dam Ular & Tangga


Pernah tak main permainan di atas? Saya pasti semua orang yang pandai mengira dan pandai membaling dadu pernah main punya. Masa kecil dulu memang seronok main dam ini. Lebih-lebih lagi masa sekolah dah habis peperiksaan akhir. Main sakan dengan kawan-kawan sekelas. Main dengan adik-beradik pun tak kurang juga meriahnya. Terjerit-jerit bila terkena ular-ular yang panjang. Bila dah jatuh terduduk kena ular panjang terpaksalah menapak semula sepetak demi sepetak untuk sampai ke petak penghabisan atau 'game'. Akan tetapi, jika anda bernasib baik pula, sepanjang perjalanan itu anda akan ketemu pula tangga-tangga yang banyak di merata-rata tempat untuk dinaiki. Jika bernasib malang semula, sama banyak jugalah jumlah ular-ular yang sedang menanti di sepanjang perjalanan.

OKlah cukup di sini dulu sinopsis tentang permainan ini. Ramai yang memang terlebih tahu cara bermainnya. Cuma budak-budak generasi Y masakini sahaja yang mungkin tak tahu main benda ini sebab terlalu banyak disogokkan dengan permainan komputer, PS2, PSP, XBOX dan segala mak datuk Pad dan juga Tab. Apa barang nak main ular dan tangga! Tapi yang bagusnya permainan ini terus terusan dicetak dan dijual di pasaran. Gambar-gambarnya pun tidak banyak berubah dari set yang dulu-dulu. Terimbau kenangan bermain dengan adik beradik dan kawan-kawan semasa kecil. Tersenyum-senyum sendiri bila melihat permainan sebegini masih wujud lagi sehingga ke hari ini.

Jika kita cuba meneroka permainan ini dengan lebih jauh sedikit kita akan dapati bahawa ia bukanlah sekadar satu permainan ringan dan hanya untuk mengisi masa lapang sahaja. Jauh di suatu sudut ia sebenarnya menggambarkan perjudian hidup yang sedang kita lalui sepanjang hayat ini. Secara tidak langsung ia menggambarkan tentang jatuh bangunnya hidup kita (ups and downs) secara metafora yang tersangat simple dan mudah difahami. Kadangkala kita berada di atas dan kadangkala kita berada di bawah. Segala ketentuan Allah s.w.t tidak dapat kita elak melainkan dengan doa dan harapan yang sungguh-sungguh kepada Allah s.w.t.

Dalam dam ular kita akan cuba membaling dadu sehabis baik dan bersungguh-sungguh bagi menepati petak sasaran dengan mendapat jumlah dadu yang kita inginkan. Yang penting dapat mendaki tangga dan dapat mengelak dari dipatuk ular. Apa kurangnya juga dalam kehidupan. Kita membuat setiap perkara sehabis baik bagi mencapai apa yang kita hajati. Bila nasib tidak menyebelahi, kita tetap akan kecundang jua dek pelbagai halangan dan musibah kehidupan. Tanpa kita sedari, dadu yang diguna dalam dam ini juga ada falsafahnya. Nombor-nombor dadu adalah dari 1 hingga 6. Kadangkala kita perlukan 1,2,3,4,5 atau 6 untuk game, untuk mengelak ular atau untuk mencapai tangga. Kadangkala kita memerlukan sedikit, kadangkala banyak sesuatu perkara itu untuk kita berjaya. Sebaliknya, terkadang kita terkena sedikit, terkadang banyak sesuatu perkara itu yang membawa kita kepada bencana dalam kehidupan. Sebab itulah wujudnya ungkapan seperti hampir-hampir, nyaris-nyaris atau cemas-cemas lagi nak terjadi itu dan ini.

Berbalik kepada dam ini, bagi yang panas baran dan mudah berputus asa, permainan ini bukanlah 'makanan' mereka. Pergi main jauh-jauh, main perang-perang ke atau main polis sentri. Dam ular memerlukan daya tahan dan juga pasrah dalam apa jua yang terjadi kepada buah dam kita. Yang panas baran mahu sahaja menterbalikkan papan dam dan berlalu dengan perasaan marah apabila terkena ular panjang. Ataupun ada yang akan mengetuk kepala kawan andai dia ditendang keluar kerana buah damnya bertindih dengan buah dam kawan itu. Bukan senang untuk menyabarkan diri apakala kita tinggal beberapa petak sahaja lagi untuk 'game' lalu dihumban semula oleh si ular terpanjang balik ke petak paling dasar. Sebaliknya, bila dapat tangga paling panjang kita akan tersengih-sengih pula sampai terjulur keluar bulu hidung.

Begitulah juga kehidupan. Andai tidak bijak mengawal emosi dan mudah berputus asa dalam apa jua perkara, kita takkan ke mana. Diasak dengan dugaan demi dugaan kita akan terjelepok kaku tanpa ada semangat untuk bangun semula. Kata pujangga ada mengatakan bahawa setiap satu kegagalan adalah sebenarnya satu permulaan bagi sebuah kejayaan. Siapa yang tidak pernah menempuh kegagalan dalam hidup? Tiada siapa. Siapa yang tak pernah langsung berjaya dalam hidupnya? Tiada siapa. Siapa yang tidak pernah seumur hidupnya tersadung kaki di mana-mana? Apa yang anda buat? Mestilah bangun, menahan sakit dan meneruskan perjalanan. Siapa pula yang tidak pernah seumur hidupnya berjaya mengeluarkan waima sebutir habuk dari dalam matanya? Semua pernah, bukan. Bukankah itu berjaya juga namanya.

Saya pernah terjumpa seorang kawan lama yang telah tamat kontrak pekerjaannya di sebuah Institusi. Apabila dia datang bekerja sementara dengan gaji yang jauh lebih rendah di tempat saya bekerja, secara bergurau saya katakan padanya bahawa dia telah dipatuk oleh ular yang panjang. Dia hanya tersenyum geli hati bercampur sayu. Dalam hati siapalah tahu. Saya kira sekarang ini dia telahpun menemui tangganya yang agak panjang juga kerana di tempat bekerjanya yang baru jawatannya adalah lebih baik dan lebih stabil. Moralnya, apabila kita menemui sesuatu kegagalan dalam hidup teruslah bergerak mudah-mudahan kita akan ketemu tangga-tangga kejayaan yang lebih tinggi dan lebih gayat di dalam perjalanan itu nanti.

Secara halusnya, permainan dam ini sebenarnya mendidik kita ke arah berfikiran dan bermentaliti yang luhur. Tidak ketinggalan juga mendidik kejujuran. Jika menipu dalam meniti petak-petak, siapa yang akan nampak, melainkan benar-benar diperhatikan kawan-kawan. Kanak-kanak yang terdidik dengan permainan serupa ini mungkinlah sedikit sebanyak akan lebih positif mengharungi kehidupan. Mereka telah terlatih dengan sifat 'survival' secara di bawah sedar kerana permainan dam ini ibarat 'pilot plant' kepada susur galur kehidupan di luar ini yang nyata sekali realitinya lebih mencabar.

Pendekata, kehidupan kita ini akan senantiasa dilingkari oleh perkara yang baik dan tidak baik, sangka dan tidak sangka, jatuh dan tidak jatuh-jatuh, kisah dan tak kisah dan banyak lagi bentuk pertentangan. Tak jauh bezanya pengalaman bermain dam ular dan tangga ini dibandingkan dengan pelbagai pengalaman yang diraih dalam kehidupan ini, betul tak? Sehinggalah anda 'game' dalam dam ular sambil terlompat-lompat riang, saat itulah umpamanya dalam kehidupan apakala anda berjaya melangkahkan kaki anda ke pintu syurga. Inilah yang sepatutnya kita semua hamba-hamba Allah s.w.t kejarkan. Tidak kira berapa kali kita 'dipatuk' ular kehidupan dan tidak kira berapa kali kita 'mendaki' tangga kehidupan, matlamat kita cuma satu. Syurga yang kekal abadi yang kekal kita hidup di dalamnya sehingga 'infiniti' atau sehingga 'ketakterhinggaan'.

Mozar : Pelik juga mengapa dadu mesti dibuat dalam bentuk dot-dot yang kadangkala berwarna hitam dan merah. Mengapa tidak ditulis sahaja nombor-nombor, kan senang, tak payah terkebil-kebil mata mengira titik tersebut, lebih-lebih lagi pada dadu yang kenit-kenit. Juling biji mata untuk membezakan samada 2,3,4 atau 5. Yang senang kalau dapat 1 atau 6. Agak jelas titik-titiknya.

4 comments:

  1. inspired. ...terbaik.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih. Jarang-jarang sekali saya mendapat sebarang komen dalam blog ini. Jika baik sebarkan. Jika tidak baik berilah teguran.

      Delete
  2. terbaekkk..laaa...tabik springgg..betul belaka tu..hidup kena ada panduan..kalau x ada panduan..sesat jalan...life must go on..hihihi...

    ReplyDelete
  3. terbaekkk..laaa...tabik springgg..betul belaka tu..hidup kena ada panduan..kalau x ada panduan..sesat jalan...life must go on..hihihi...

    ReplyDelete

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...