Wednesday, August 14, 2013

Hari Raya Ini Tahun : Meriah Tapi Sederhana

Macam tak kena pula ungkapan tajuk di atas, 'meriah tapi sederhana'. Biasanya orang-orang akan kata 'sederhana tapi meriah'. Lantaklah! Yang penting, hakikatnya memang begitulah yang terjadi di hari raya tahun ini. Ada beberapa perkara yang layak dirumuskan sebagai melalui fenomena tersebut. Tak percaya, mari kita lihat!

Bagi makcik-makcik, akak-akak dan adik-adik yang telah bertungkus lumus membuat kuih raya sebelum raya menjelang, pasti pernah melalui fenomena ini. Masa bikin membikin biskut-biskut raya hari tu punyalah meriah dan havoc habis. Huru-hara dan gegak gempita apabila opah, maklong, makngah, maklang, maksu dan mak lampir bagai berganding bahu menyiapkan segala macam biskut raya. Segala macam cerita, lawak-lawak seram dan lawak-lawak brutal semuanya habis keluar pada masa tu.

Memang meriah, cuma yang tak berapa nak meriahnya ialah apabila rasa biskut-biskut tersebut amatlah sederhana sifatnya. Nak makan 2, 3 biji pun tak berapa nak lalu. Alamatnya, jadilah ia umpan kepada para tetamu yang ingin mencuba-cuba biskut tersebut. Habis-habis tetamu tu akan makan sebiji sambil terkulat-kulat dan terkemam-kemam atau luahkan senyap-senyap di dalam tisu. Seronok juga tengok reaksi orang termakan benda-benda yang tak sedap ni sebenarnya. Nak komplen malu, nak diluah balik pun malu. Seelok-eloknya suruh anak-anak kecil yang makan dulu, mesti depa sound direct punya. Maka, atas kejadian tersebut bolehlah dirumuskan bahawa pencapaian anda di Raya ini hanyalah 'sederhana' sahaja jika perkara sebeginilah yang telah berlaku.

Satu lagi peristiwa yang pasti ramai yang mengikutinya ialah perlawanan bolasepak di antara FC Barcelona bertemu Harimau Malaya. Memang gempak dan meriah jugalah sambutan yang diterima bagi perlawanan persahabatan a.k.a pertunjukan tersebut. Penyokong Malaysia menyokong bagai nak rak, dan tak kurang juga penyokong Barcelona dari kalangan rakyat kita sendiri. Keputusannya, Malaysia mencapai skor yang sangat-sangat sederhana sementara di masa yang sama, Barcelona juga mempamerkan permainan yang agak sederhana juga. Nampak sangat mereka tidak bermain pada kemampuan sebenar. Mereka sekadar meng'ayam-ayam'kan sang Harimau. Tidak lebih hanya sebagai persembahan pertunjukan. Dalam pada itu mengada-ngada pula takut pemain-pemain mereka tercederalah bagai jika menggunakan padang yang buruk di Stadium Bukit Jalil. Sang juara tetap juara walau bermain di padang jarak padang terkukur sekalipun. Apa-apapun, reaksi penonton-penonton hanya sekadar 'sederhana' sahaja. Tak teruja sangat dengan persembahan tersebut dan tak berapa nak frust sangat dengan kekalahan tersebut.

Akhir sekali, kita dihidangkan pula dengan Kejohanan Badminton Dunia di Guangzhou, China pula. Sekali lagi kita menyaksikan kekalahan Datuk Lee Chong Wei di tangan Lin Dan. Sakit hati juga melihat kekalahan tersebut. Saya percaya, setiap isi rumah yang menyaksikan pertarungan tersebut pasti bagai nak pecah rumah terjerit terlolong, hempas itu, hempas ini seraya bersumpah seranah (kadang-kadang la). Meriah tak meriah la hari raya kali ini dek sanak saudara berkumpul ramai-ramai di depan TV menyokong dan mengharapkan kemenangan Chong Wei buat julung-julung kalinya.

Namun, nasib tidak menyebelahi juga. Sedikit sahaja lagi Chong Wei bakal bergelar juara dunia pertama buat Malaysia. Sakitnya hati melihat Lin Dan yang menang buat kali kelima. Satu hal, timbul spekulasi bahawa wujud konspirasi melemahkan Chong Wei dengan penutupan pendingin hawa di dalam dewan. Kedua, yang tak tahannya, bila menang aje si Lin Dan...(apa entah), keegoannya sangatlah menyakitkan hati. Langsung tidak tunduk sedikitpun pada bumi yang dipijak. Sibuk mendabik dada dan bermegah-megah terhadap penonton-penonton di Stadium. Siap lempar baju dan bulu-bulu tangkis lagi.

Sebaliknya, Datuk Lee Chong Wei pula kebiasaannya akan lebih humble serta merendah diri sehinggakan sanggup melakukan sujud ke lantai setiap kali memenangi perlawanan-perlawanan pentingnya (semoga Allah memberinya hidayah di kemudian hari). Tak tahulah rasa macam mana, benci sangat melihat orang-orang yang ego dan takbur tatkala memenangi apa jua jenis pertandingan, perebutan mahupun perselisihan di atas dunia ini. Walaubagaimanapun, semangat juang Chong Wei hingga ke set terakhir harus dipuji. Sekali lagi, tahap pencapaian Chong Wei itu bolehlah dikatakan 'sederhana' juga kerana sekurang-kurangnya dia telah berjaya merangkul pingat perak di Kejohanan tersebut.

Mozar : Buat semua pelajar-pelajar yang bakal menduduki Peperiksaan UPSR, PMR dan juga SPM tidak lama lagi, selamat berjaya diucapkan. Pastikan persiapan anda itu semeriah yang boleh dan buatlah yang sehabis baik. Tetapi janganlah pula keputusannya nanti hanya sederhana sahaja. Lagi baik kalau persiapan anda itu sederhana tetapi keputusannya nanti meriah dan meletup-letup.

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...