Thursday, August 8, 2013

Ramadhan Kali Ini (1434H) Apa Yang Kau Dapat?

Amboih! Brutal benar bunyinya bila ada orang tanya kat kita "apa yang kau dapat?" Ataupun bunyinya juga macam nak memperlecehkan atau meng'ayam-ayam'kan kita. Cuba tanya kat siapa-siapa, apa yang dia dapat di bulan Ramadhan yang baru lepas ni. Macam-macam jawapan yang akan kita dengar termasuklah jawapan-jawapan yang memang telah kita jangkakan. Bagi anda pula, apa yang anda dapat selain lapar dan dahaga sepanjang bulan puasa ini? Ataupun ada yang langsung tidak lapar dan tidak dahaga pun, tak tahulah apa yang dia dapat melainkan dosa berbakul-bakul. Apa-apapun mari kita lihat beberapa kemungkinan yang mungkin kita akan dengar jika soalan cepumas ini ditanyakan kepada kita yang bergolongan kebanyakan ini.

Dapat lapar dan dahaga
Adatlah bagi orang yang tidak menjamah makanan dan minuman akan mendapat lapar dan dahaga. Tetapi adakah kita mendapat pahala untuk berpuasa itu? Wallahua'lam, hanya Allah s.w.t yang Maha Mengetahui. Jika niat kita berpuasa hanya untuk Allah s.w.t, maka berpahalalah kita. Jika ada niat lain ataupun kerana dipaksa atau terpaksa, tiada pilihan lain melainkan berpuasa (ada ke?), tak dapatlah kita hamba yang lemah ini untuk menghakimi atau menjurinya. Tepuk perut tanya lapar ke tak.

Dapat makan sedap-sedap
Biasalah nafsu orang berpuasa, bila berbuka macam orang lapar tak makan setahun. Maka membelilah kita bermacam-macam makanan yang sedap-sedap untuk memenuhi tuntutan nafsu yang mengganas itu. Ini lagi satu hal, jika niat berbuka itu untuk cover balik makan tengahari maka amalannya sudah tersasar jauh. Sebaiknya bersederhanalah dalam berbuka. Cukup untuk mengenyangkan dan cukup untuk memberi tenaga untuk beribadah di malam hari pula. Seelok-eloknya amalkan makan kanji atau bubur lambuk serta sedikit kuih muih bila berbuka, perut pun tak terkejut beruk sangat. Rasa ringan aje badan bila bertarawih.

Dapat bersolat Tarawih
Solat Tarawih ni dia punya roh tu lain sikit dari solat-solat sunat yang lain. Ramai yang begitu teruja nak buat walaupun seumur hidup tak pernahpun solat Qabliah atau Ba'diah. Dari golongan yang tak biasa solat berjemaah sehinggalah ke golongan artis-artis berebut-rebut untuk menunaikannya. Biasanya malam-malam terawal memang 'full house'. Siapa lambat, solat tepi tangga le jawabnya, walaupun anda seorang siak masjid. Bukan tak bagus, tapi harap-harapnya biarlah 'berlatih-latih' dalam bersolat Tarawih ini akan mencetuskan pula keghairahan untuk terus Istiqamah dalam mengerjakan solat-solat 5 waktu dengan lebih berdisiplin lagi. Solat Subuh secara berjemaah juga harapnya dapat diteruskan bagi yang dah biasa berlatih-latih di bulan Ramadhan ini.

Dapat mencuba resepi biskut terbaru
Dalam bulan ini juga suri-surirumah sangat-sangat teruja untuk membuat segala macam kuih-muih atau biskut-biskut Raya. Memang feelnya sangat-sangatlah melonjak-lonjak. Kalau di bulan-bulan lain nak buat cucur bawang pun malas, inikan pula nak biskut membiskut. Hendak-hendak pula biskut yang dibuat dan ditempa lazat berkrim dan disukai ramai. Kembang kembi la hidung menahan sebak di dada. Tahun depan boleh le ambil tempahan pula.

Dapat mengkhatamkan Al-Quran
Yang ini memang respek bagi yang telah berjaya melakukannya. Ada yang buat secara bersendirian dan ada juga yang secara Tadarrus. Saya sendiri tak pernah tercapai perkara ini. Buat-buat sibuk di bulan Ramadhan, padahal sibuk berlingkar menunggu waktu berbuka. Meriahlah bagi orang-orang yang telah berjaya melakukannya. Terasa sangat bermakna agaknya Hari Raya kali ini dan terasa juga bagai hamba Allah yang sejati. Bila nak buat perkara ini ek? Azamlah tahun depan pula.

Dapat pasangan sehidup semati
Perkara ini jarang-jaranglah berlaku tetapi ianya tidak mustahil. Ulang-alik ke surau atau masjid untuk bertarawih setiap hari tidak semena-mena ketemu jodoh akibat melalui pintu atau jalan yang sama setiap hari. Mahu tidak mahu, mata yang nakal pantas menjeling-jeling malu kepada si pasangan 'to be'. Akhirnya, kedua-duanya mengikat janji berjanji setia sehidup semati, Raya tahun itu juga akan diijabkabulkan. So sweeeet! Kalau jodoh sudah ditentukan di situ dan dengan cara begitu, bukannya susah. Dari pandangan pertama sudah terjatuh cinta. 'Ramadhan! I'm in love' la jawabnya, tahun depan boleh pakat-pakat bertarawih bertiga pula.

Dapat rahmah, keampunan serta terselamat dari api neraka
Yang ini memang patut ada dalam hati setiap muslimin dan muslimat sekelian. Kita pun tak tahu samada kita tersenarai untuk mendapat pengurniaan ini ataupun tidak. Berdoalah kita agar berada di antara penerimanya. Jika ada, maka terselamatlah kita untuk selama-lamanya, tanpa ada resah gelisah atau gundah gulana lagi. Sebagaimana kita amat berharap kita antara penerima BR2M, tersangat-sangatlah besar lagilah hendaknya harapan kita agar kita mendapat perkara-perkara seperti di atas ini. Ini soal hidup kita yang selama-lamanya. Duit BR2M tadi boleh sahaja habis dalam sekelip mata. Beli roti canai 500 keping ataupun kurang dah boleh habis sekelip mata. Habis tinggal kuah aje.

Mozar : Sempena Syawal yang telah menjengah ini, saya menyusun sepulah jari kaki dan tangan (walaupun memang dah tersusun), memohon ampun dan maaf sekiranya sepanjang tahun ini semenjak Syawal tahun lepas (yang dah minta maaf dah) ada salah silap atau entri yang silap yang telah mengguris hati-hati anda yang sensitif itu. Jangan simpan dalam hati, luahkan dalam ruangan komen di bawah entri ini ya. Selamat Berhari Raya Aidilfitri, Minal Aidil Wal Faizin. Berayalah dengan sederhana tetapi meriah, ingatlah orang yang tersayang.

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...