Monday, July 29, 2013

Ramadhan Kali Ini (1434H), Apa Yang Kau Cari?

Hari ini telah masuk hari yang ke 20 Ramadhan. Pantas betul masa berlalu. Baru sangat rasanya melihat kelahiran anak bulan Ramadhan, kini akan lahir pula anak bulan Syawal, tidak lama sahaja lagi. Pejam celik, pejam celik tak sedar apa yang telah kita perolehi sepanjang Ramadhan ini. Sebelum menjawab soalan tersebut mari kita tengok dulu satu persoalan yang tidak kurang pentingnya juga, iaitu apa yang kita cari? Banyak perkara yang kita boleh cari di dalam bulan Ramadhan ini. Namun, ianya banyak bergantung kepada kecenderungan hawa nafsu kita sendiri sebenarnya. Oklah jangan buang masa lagi, mari kita tengok apa yang kita selalu cari di bulan ini. Lapar ni!

Cari makan
Yang ini tak sepatutnya berlaku di siang hari bagi sekelian umat-umat Islam yang berpuasa. Cari makanan untuk berbuka boleh, tapi bukan cari makan dan makan sorok-sorok. Nak cari makan bila dah berbuka aje. Hentikan hobi jalan-jalan cari makan anda di bulan ini buat sementara waktu. Raya esok bolehlah sambung balik.

Cari resepi
Yang ini dah jadi perkara wajib bagi yang rajin memasak. Resepi-resepi dari dalam TV, dalam buku masakan dan juga dalam Internet semuanya diselongkar habis. Jadi tak jadi wallahua'lam sebab rasa sebenarnya tak boleh digambarkan kepada orang lain kecuali oleh si empunya resepi. Kadang-kadang rupa memang mantop habis tapi rasanya menari-nari di anak tekak, tunggu nak keluar balik.

Cari duit
Bagi yang kaki cari duit, inilah masanya untuk cari duit sebanyak mungkin. Bisnes barang makanan nombor satulah dalam carta. Bisnes-bisnes lain yang tidak kurangnya juga boleh buat duit termasuklah bisnes baju Raya, biskut Raya, perhiasan rumah Raya dan macam-macam mak nenek Rayalah. Budak-budak belum baligh pula kerjanya mencari duit Raya di pagi Raya nanti. Siaplah duit not baru dan sampul-sampul Raya. Kalau tak bagi, anda akan dicop 'kedekut' atau 'bakhil' untuk sepanjang hayat anda.

Cari penyakit
Ini tak lain le kes main mercun atau mercun buatan sendiri. Tapi tahun ni macam dah tak ada aje kes-kes nahas mercun buatan sendiri ni. Mungkin wartawan-wartawan sekarang ni lebih sibuk ke hulu ke hilir membuat liputan berita tembak menembak yang semakin menjadi-jadi setiap hari. Sampaikan bunyi mercun dan bunyi tembakan pun susah nak bezakan. Atau mungkin juga budak-budak sekarang dah serik kot nak main mercun-mercun ni. Takpun ilmu membuat mercun tu dah semakin dilupakan oleh generasi internet dan media sosial zaman la ni. Baik buat video 'viral' ala-ala 'couple seminit', lagi gempak, satu dunia pakat nonton. Dah tak ada kelas dah nak main-main mercun bagai ni. Maka Ramadhan kali ini tak ramailah budak-budak yang sengaja cari penyakit.

Cari nahas
Kalau nak cari nahas, makan le di khalayak ramai di siang hari. Untung-untung kena cekup dengan Jabatan Agama Islam. Takpun, kalau lagi berani buatlah gambar-gambar atau post-post yang menyentuh sensitiviti umat Islam. Nahas kau nanti!

Cari rahmat, keampunan dan pelepasan dari api neraka
Yang ini memang special sikit di bulan ini. Bagi yang mencari perkara-perkara ini, Allah s.w.t telah menjamin bahawa inilah bulannya untuk anda mendapatkannya. Jadi, jangan terlepas daripada cuba mengusahakannya. Inilah perkara yang sebaik-baiknya yang tidak dapat tidak kita perlu cari di sepanjang Ramadhan ini. Tak salah nak cari duit bagai nak rak tapi bila sampai masa untuk beribadah, luangkan segenap masa yang anda ada untuknya. Ingat satu aje, kita nak duduk di syurga bukan sebulan dua atau setahun dua, tapi selama-lamanya. Kalau miskin di syurga miskinlah anda selama-lamanya, tak sapo dapek nak nolong laiee.

Mozar : Carilah malam Lailatul Qadar di malam-malam 10 terakhir Ramadhan ini. Kalau yang tak sengaja terjaga tengah malam tu jangan la dok buat-buat tidoq lagi. Ambil wuduk dan beribadatlah kerana itu telah dikira bonus. Bagi yang tinggi sikit imannya, berjaga atau beriktiqaf di malam-malam terakhir ini sudah dikira hambaNya yang bersyukur kerana rela mengabdikan diri kepada yang Maha Pencipta.

Cantekk aje monyet 2 ekor ni cari kutu di bulan Ramadhan ni. Cari-cari kutu memang dibenarkan di sepanjang bulan yang mulia ini tapi yang tak dibenarkan ialah memakan kutu-kutu tersebut. Jangan monyet...batal puasa tu!

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...