Monday, July 15, 2013

Ramadhan Kali Ini (1434H), Apa Yang Baru?

"Diriwayatkan dari Sahl bin Saad r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya di dalam Surga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada Hari Kiamat kelak. Tidak boleh masuk seorangpun kecuali mereka. Kelak akan ada pengumuman: Di manakah orang yang berpuasa? Mereka lalu berduyun-duyun masuk melalui pintu tersebut. Setelah orang yang terakhir dari mereka telah masuk, pintu tadi ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya" [Bukhari-Muslim].

Wah! Hebat benar hadis di atas ini (barulah ada orang yang jeling-jeling hadis di atas, betul tak?). Kalau tidak, ramai yang skip kalau ada hadis-hadis sebegini. Bersangka buruklah pula. Minta maaf, kalau tersinggung. Hari ini dah masuk hari yang ke 6 umat Islam berpuasa. Jika anda dapat membaca entri ini maknanya kita semua telah selamat lagi sampai ke bulan Ramadhan buat kali ini pula. Bagaimana dengan puasa anda setakat ini? Untung ke rugi? Bukan berniaga sahaja ada untung dan rugi. Amalan-amalan seharian kita pun boleh jadi beruntung ataupun merugikan, lebih-lebih lagi di bulan limpahan pahala seperti ini. Apa perkara-perkara baru yang telah anda kerjakan pada tahun ini berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini?

Sudah diperbaharuikah azam anda pada tahun ini untuk mengerjakan ibadah puasa dengan lebih bermakna dan sempurna? Amatlah rugi andainya amalan anda pada tahun ini lebih buruk daripada amalan tahun-tahun yang berlalu. Sekurang-kurangnya anda tampil dengan semangat yang serba baru untuk berpuasa, bertarawih, membaca Al-Quran, bersedekah atau banyak lagi amalan-amalan soleh. Yang penting amalan-amalan tahun ini pasti lebih meriah daripada tahun-tahun lepas.

Bagi yang tidak pernah berpuasa sejak lahir, inilah masanya untuk anda menginsafi diri. Hidup ini bukannya seperti umat-umat terdahulu yang beratus-ratus tahun usianya. Kalau kita berpuasa tak la sampai beratus-ratus tahun, kalau tak berpuasa pula pendek sangat masa nak bertaubat. Bagi yang dah insaf, mulakan dengan solat terlebih dahulu kerana selalunya orang yang solat akan mudah mengerjakan puasa tetapi yang berpuasa tidak semestinya bersolat. Berpuasa perlu jujur dan ikhlas pula. Janganlah puasa yang yok, pagi-pagi buka periuk, sebaliknya puasalah rong ran, pagi-pagi buka Al-Quran.

Kalau tahun-tahun lepas anda lebih kepada 'mentekedarah' berbanding 'berbuka', apa salahnya kali ini anda bersederhana pula. Makan setakat yang diperlukan oleh badan sahaja (susah nak buat ni). Badan pun akan sihat, pahala pun dapat, duit pun jimat. Body pun InsyaAllah langsing bak Ratu Dunia (bagi yang perempuan la). Hasilnya, anda akan mendapat bentuk badan yang baru pula. Akan tetapi, kalau anda berpuasa dengan niat untuk kurus semata-mata pun tak dapat pahalalah pula. Yang penting tunaikan kewajipan ini dengan penuh keimanan, kesopanan dan kesusilaan.

Masuk sahaja bulan puasa tahun yang keberapa sekalipun, memang tak lari dari kita asyik sibuk memikirkan untuk menggantikan perabot baru, langsir baru, kereta baru dan segala-galanya baru. Yang penting tak kalah dengan jiran tetangga atau suku sakat. Tak salah untuk kita meraikan kemenangan menentang hawa nafsu ini, tapi berpada-padalah berbelanja agar jangan sampai papa. Jika tidak, bulan puasa kita dah menang, bila Raya kita kalah balik dengan hawa nafsu. Hutang piutang pula berderet-deret ekor bertemu kepala dengan hutang Raya tahun depan pula.

Nampaknya setakat ini dulu kita bersembang pasal puasa. Esok lusa kita bersembang pasal Rayalah pula. Jangan la ada cerita pasal putus jari, putus tangan pasal mercun lagi. Setakat ini belum ada lagi kes terbaru. Bosan dah cerita pasal benda ni, dah tiada nilai berita dah. Entah dah ada kes pun wartawan dah malas nak berebut nak tulis pun, buang karan je. Akhir sekali, cuba-cubalah anda fikirkan apa benda-benda baru yang anda masih belum pernah buat untuk Ramadhan kali ini dan pastikan ianya mendatangkan manfaat rohani yang bukan sedikit bagi diri anda.

Mozar : Raya tahun ini makin merosot tahap keseronokannya sebab baru sahaja kehilangan arwah kakak pada bulan September tahun lalu. Tahun ini tahun pertama beraya tanpa arwah kakak.
 

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...