Wednesday, December 18, 2013

Jemu

Alahai ciputnya tajuk entri kali ini. Hujung-hujung tahun, kan. Bajet pun ciput. Tak lama lagi nak menghadap bajet keperluan persekolahan anak-anak pula. Memang tengah bersiap siagalah sekarang ni. Apapun, kita layan dulu subjek 'jemu' ini dulu. Jangan jemu membaca entri kali ini sudahlah.

Jemu adalah satu tindakbalas semulajadi minda yang turut sama melibatkan respon-respon dari keseluruhan tubuh badan (tafsir sendiri aje ni, jangan buat rujukan pula). Bahagian utama yang akan mendapat tindakbalas jemu ini ialah otak kita. Bila otak dah rasa letih dan malas, maka terbitlah rasa jemu. Kaki, tangan dan seluruh pancaindera pun semua turut sama malas nak bergerak. Jemu bukannya boleh dibuat-buat mahupun dipaksa-paksa. Bila dah mula rasa jemu maka hancurlah semua benda dan perkara. Jemu ini adik beradiklah kepada bosan, jelak, boring ataupun 'pening aaa'.

Rasanya benda yang paling cepat manusia akan rasa jemu ialah belajar. Siapa yang suka sangat belajar-belajar ni? Boleh kira dengan jari orang yang suka sangat-sangat nak belajar. Tak kiralah belajar mengaji ke, ilmu akademik ke, ilmu agama ke, ataupun belajar memandu, menjahit, memasak mahupun belajar dari kesilapan. Jemu yang sebegini terbit dari rasa yang tidak selari dengan minat. Pendekata, semua yang dicop sebagai 'belajar' memang menjemukan melainkan yang dibuat cuba-cuba sendiri tanpa diajar.  Sedar-sedar sudah ditimpa kecelakaan hasil cubaan-cubaan yang tidak menjadi.

Jemu yang kedua ialah jemu dalam membuat sesuatu perkara atau pekerjaan yang sama secara berulang-ulang. Jika anda bekerja sebagai operator pengeluaran di kilang-kilang, anda pasti akan membuat pekerjaan rutin yang sama setiap kali. Untungnya kita masih ada pekerja-pekerja wanita yang jarang sekali jemu dengan kerja-kerja mereka walaupun 10 tahun membuat benda yang sama setiap hari. Lain pula bagi lelaki. Tidak ramai yang sanggup tidak berganjak melakukan perkara yang sama setiap hari. Lelaki dilihat lebih cepat jemu daripada golongan wanita. Ada seorang makcik di tempat saya bekerja telah berbelas-belas tahun melakukan kerja yang sama sebijik sepertimana dia mula-mula masuk bekerja dulu. Sehinggakan bila disuruh buat benda yang lain dia memang keberatan. Kerja hariannya telah sebati menjadi darah daging, nak buat camne.

Kalau tadi jemu dalam 'membuat', kali ini pula jemu boleh datang dalam bentuk 'melihat' pula. Bila dengan melihat sahaja sudah jemu, maknanya keadaan seterusnya akan lebih parah. Bila melihat kerja pun dah rasa nak muntah, alamatnya langsung tak berbuat le kerja tu. Jemu melihat ini boleh juga terjadi dalam perkara menonton siaran TV ataupun apa sahaja yang disajikan di depan mata. Bila penonton dah mula jelak dan bosan, rancangan TV yang dulunya pernah membawa gelombang bak Tsunami sekalipun, kini dah jadi apa? Setelah edisinya bertingkek-tingkek apa yang penganjur dapat hanyalah cemuhan dan kutukan bertingkek-tingkek. Mereka perlu ingat, manusia ini cepat jemu. Perlu ada faktor-faktor XYZ untuk manusia minat menonton sesuatu rancangan itu. Muntah-muntah hijau agaknya penonton-penonton masakini bila menonton edisi terbaharunya yang baru sahaja melabuhkan tirai. Bawa-bawalah hentikan sahaja edisinya di masa-masa akan datang. Zaman kemuncaknya sudah lama berlalu.

Selain jemu-jemu seperti yang dinyatakan di atas, manusia juga boleh jadi jemu dalam berada di tempat yang sama, jemu menunggu, jemu melihat perangai pasangan, jemu makan itu dan ini, jemu hendak mengubati penyakit, jemu digantung tak bertali, jemu hidup, jemu mendengar benda-benda yang sama dan pelbagai lagi keadaan yang boleh membuahkan rasa jemu atau bosan.

Sebaliknya, banyak juga perkara-perkara yang manusia susah nak berasa jemu. Yang utama sekali tentulah makan nasi. Kecualilah disuap nasi kepada yang berlidah pizza, spagetti, macaroni, parpu, tosai, dal atau roti. Ada tak di antara anda yang dah jemu makan nasi? Jika ada, sila keluar dari Malaysia! (tanjat boboi dan gegirl!). Macam le kat Malaysia aje yang makan nasi ye tak. Tak salah kalau jemu makan nasi sekalipun. Jangan jemu makan sudah, kerana hidup perlu diteruskan. Tak makan berdosa pula, seperti membunuh diri.

Perkara lain yang manusia susah nak jemu termasuklah perkara seks mengeseks, menagih dadah atau pil khayal, merokok, tidur, berehat-rehat, mengular mengulat serta tidak ketinggalan juga, umpat mengumpat, keji mengkaji, bantai membantai dan kutuk mengutuk. Ringkasnya, perkara-perkara tersebut tadi memang syok tahap dewa bagi manusia-manusia yang telah terjebak di dalamnya. Ada perkara-perkara tadi yang memang kita biasa buat dan ada pula yang bertahap premium. Masing-masing punya badan, sendiri tau punyalah.

Sudahlah takat ini dulu. Jemu pula rasanya menulis panjang lebar. Yang baca pun bukan ramai sangat pun. Cuma yang terserempak semasa pencarian Google aje yang akan baca. Kena ada faktor XYZ juga agaknya baru blog ni meletup-letup seperti mengadakan cerita-cerita pelik, berbaur seks ataupun paling kurang politik mempolitik. Tapi saya tak akan buat begitu kerana saya hanya ingin menyampaikan pesanan yang tidak seberapa yang mungkin bermanfaat bagi sesetengah golongan dan mungkin juga bertaraf sampah bagi sesetengah golongan yang lain.

Mozar : Siapa suka lagu 'Jemu' oleh kumpulan May? Rasanya lagu itu memang tidak jemu didengar oleh kebanyakan orang. Saya pun suka lagu ini kerana part chorusnya yang bukan calang-calang orang boleh tarik. Apa-apapun, jangan sesekali jemu dalam mentaati perintah Allah s.w.t dan menurut cara yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Tiada jalan lain yang dapat menyelamatkan diri anda dari kemurkaan dan azab dari Allah s.w.t.

 Ek eleh budak comey ni. Kecik-kecik lagi dah bosan tahap gaban. Dah le tengah bocor sampai basah tilam.

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...