Wednesday, September 14, 2011

Drama-Drama Kebetulan

Hari ini kita masih lagi berada di bulan Syawal yang mulia di samping masih sibuk kunjung mengunjungi. Bagi yang asyik terperuk di rumah tak ke mana-mana, nampaknya terpaksalah melayan rancangan-rancangan TV yang putus berhubung, tanpa henti 24 jam. Bagi peminat-peminat drama-drama dan filem-filem Melayu pula inilah masanya untuk pulun habis sebab kesemua siaran berbahasa Melayu berlumba-lumba menayangkan filem-filem dan drama-drama dari yang terbaharu sehinggalah yang dari zaman kita belum lahir lagi.

Jika anda peminat tegar cerita-cerita Melayu pasti sekali anda akan tertonton cerita-cerita yang memaparkan kisah-kisah yang ada kebetulan di sana sini. Cerita-cerita di musim Raya ini juga apa kurangnya. Yang dimaksudkan dengan kebetulan itu ialah seperti contohnya, tak semena-mena seorang anak yang telah lama terpisah dengan ayahnya secara kebetulan bekerja dengan syarikat ayahnya sendiri. Seorang gelandangan yang dijumpai rupa-rupanya mak atau ayah si watak utama. 

Satu lagi yang tak boleh nak terima, ada satu cerita yang mana seorang isteri yang diculik dan dilarikan dalam keretanya sendiri tiba-tiba terlanggar kereta suaminya sendiri lalu kedua-duanya termasuk penculiknya mati. Dalam ribuan kereta yang ada di jalanan, kereta suami itulah juga yang dia terlanggar. Senang betul penulis skripnya nak menamatkan hayat watak-watak tersebut. Kadang-kadang terasa macam kelakar pulak. Kadang-kadang macam boleh diagak aje apa yang akan berlaku dalam kisah seterusnya. Contoh lain, kalau tiba-tiba muncul satu watak asing menumpang teduh, terlanggar dek kereta atau terlanggar bahu, tak lain lah watak itu ada kaitannya dengan watak utama, biasanya hubungan kekeluargaan.

Filem Tan Sri P.Ramlee dulu juga tidak lepas dari elemen kebetulan ini. Contohnya, dalam filem Madu Tiga, secara kebetulan isteri ketiga (Dato' Sarimah) meleraikan pergaduhan isteri pertama dan isteri kedua suaminya lalu menjemput mereka bertandang ke rumah. Rentetan itu, berlakulah kes pecah tembelang, hasil dari kebetulan Sarimah terjumpa akan madu-madunya. 

Mungkin sekali melalui cerita-cerita kebetulan sebegitu, penulisnya terpaksa membuat kebetulan demi kebetulan sebagai untuk memendekkan jalan cerita. Kalau nak dibuat tanpa sebarang kebetulan, mungkin sekali jalan ceritanya akan meleret-leret sampai beratus-ratus episod dan sampai bertahun-tahun baru habis seperti yang berlaku pada Sinetron-Sinetron atau Telenovela. Sampaikan naik rimas pulak tengok orang-orang yang setia mengikutinya. Dah le lakonan kaku, lembab pula jalan ceritanya. Akan tetapi, bagi kebetulan seperti dalam kes cerita Madu Tiga tadi, ianya memang class kerana ianya mengundang klimaks dan kelucuan yang natural dan tidak membuatkan kita rasa hendak memperlecehkannya.

Bagi yang sudah biasa mengagak akan berlaku kebetulan dalam sesuatu cerita, tentu sekali akan mencebik atau memperlekehkan cerita-cerita tersebut. Balik-balik kebetulan, tak ada lain. Pasti akan terpacul keluar ungkapan, "tak logik langsung!" sambil kita mencebik bibir ataupun ketawa berguling-guling. Sebenarnya banyak lagi cerita-cerita yang berkebetulan sebegini, tak terkira dengan jari rasanya. Terbaru, drama yang telah tercalon dalam Anugerah Skrin TV3 baru-baru ini. Alih-alih watak utamanya terlanggar mati oleh kekasih gelapnya sendiri, walaupun dia sedang berlari di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur. Tiada signifikannya dia dilanggar mati oleh kekasih gelapnya kerana adegan itupun hanya sebagai penutup cerita. Produser tak mahu bayar pelakon tambahan lain kot. Senang bayar sekali harung aje.

Dalam dunia nyata, perkara-perkara yang kebetulan ini bukanlah suatu yang boleh berlaku saban hari. Entah bila-bila masa sekali kita akan terserempak dengan perkara-perkara yang berkebetulan. Bila sahaja sesuatu perkara itu berlaku secara kebetulan tentu sekali kita akan berasa takjub dan terharu. Kita pasti berasa perkara itu sangat membuatkan kita bernasib baik. Contohnya, kebetulan anda sedang tercari-cari pekerjaan, tiba-tiba sahaja kawan lama anda kebetulan sedang mencari pekerja yang berkelulusan seperti anda. Ini merupakan satu kebetulan yang mengujakan.

Contoh lain, seperti yang saya alami sendiri, kebetulan isteri yang saya kahwini adalah merupakan adik kepada senior sekolah berasrama penuh saya yang langsung tidak pernah saya hubungi atau jumpai selepas tamat persekolahan, berbelas tahun lamanya. Lagi-lagi abang ipar saya itu suka mengusik dan membuli saya semasa di sekolah dulu. Memang saya tak pernah simpan apa-apa contact number dia pun. Isteri saya itu juga kebetulan kawan kepada kakak saya yang mana mereka hanya berjumpa dalam beberapa bulan sekali. Dah jodoh, tak ke mana. Ironinya, abang ipar saya itu sampai sekarang tak ingat yang dia pernah kenal saya masa di sekolah dulu. Banyak sangat serabut kepala fikir bisnes sendiri gamaknya.

Itulah serba sedikit perkara tentang kebetulan yang ingin saya kongsikan di sini. Bagi peminat tegar filem dan drama selepas ni pasti akan lebih peka tentang perkara-perkara kebetulan ini setelah perkara ini dibangkitkan. Kalau tidak, layan aje tak hengat. Cerita-cerita orang putih pun ada juga elemen-elemen kebetulan ini, tapi jarang-jarang sekali berlaku sebab industri mereka jauh lebih besar dari Malaysia. Pengkritik-pengkritik mereka juga lebih banyak dan lebih berbisa. Tentu mereka sedaya upaya cuba mengelak dari short cut jalan cerita melalui kebetulan demi kebetulan. Kalau cerita komedi tu boleh lah orang terima, sebab ianya boleh menjadi satu elemen yang menggeletek hati. 

Mozar : Tarikh ibu saya kembali ke Rahmatullah kebetulan jatuh pada tarikh ulangtahun perkahwinan saya. Suratan atau kebetulan?

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...