Saturday, November 20, 2010

Biar Buruk Rupa Jangan Buruk Laku

Entri kali ini memang kontra habis dengan entri yang lepas, Setiap Manusia Dilahirkan Cantik. Beruntunglah bagi orang-orang yang dikurniakan rupa paras yang cantik serta berperwatakan mulia. Bagi yang tidak bernasib baik, kalau sudah pemberian Tuhan diri kita tidak begitu cantik dan menarik, redha sahajalah. Ada hikmah-hikmah yang tersembunyi di sebalik setiap kejadian Allah s.w.t itu. Lagipun, semua itu hanyalah pinjaman dari Allah s.w.t semata-mata. Jika anda memiliki rupa paras yang cantik, ia adalah satu bonus. Hargailah dan peliharalah ia dengan sebaik-baiknya.

Bagi orang yang asalnya cantik, tiba-tiba jadi tak cantik, itu umpamanya dia tak pandai nak jaga elok-elok barang yang dipinjam. Bak meminjam barang orang kasi jahanam. Sementelah kita ni yang dah buruk rupa ni (sadis tu!), janganlah pula menambah buruk keadaan dengan kelakuan yang buruk pula. Kalau tak orang akan menyelar, "dah le rupa buruk macam *****, perangai pulak macam *****(tak sanggup nak siarkan)". Kalau orang yang ada rupa pula sekurang-kurangnya orang akan cakap, "harap muka je lawa, tapi perangai macam hampeh(agak lembut sikit bunyinya, betul tak?)". Ada beza tak antara kedua-dua statement ini? Jadi beringat-ingatlah bagi anda yang 'kureng' rupa paras supaya tidak mendapat 'double' caci maki. 

Sebenarnya di sisi Allah s.w.t tidak ada beza pun samada anda cantik ataupun tidak. Cuma manusia aje yang lebih-lebih sebab naluri manusia ini memang sukakan kecantikan dan keindahan. Ironinya, ada juga manusia yang sukakan kecantikan tapi diri sendiri bersifat pengotor serta mengotori. Jika anda seorang yang 'kureng' rupa tetapi berbudi pekerti mulia serta berperwatakan yang menyenangkan, percayalah, anda tetap akan disayangi orang. Kadangkala orang lebih menghargai hati budi seseorang daripada rupa paras atau fizikalnya. Sebab itulah kadangkala kita boleh melihat ada pasangan suami isteri yang 'bagai pinang dibelah kapak'. Hanya salah seorang pasangan sahaja yang boleh dikategorikan sebagai kacak atau lawa. Pun begitu, sayangnya bagai nak rak, berkepit bagai ke sana ke mari. Kalau tidak, alamatnya tak kahwin-kahwinlah orang-orang yang tak cantik atas dunia ini.

Sebaliknya, orang-orang yang cantik-cantik pula ramai yang terlupa untuk mensyukuri nikmat dengan bersifat lupa diri, ego, perasan bagus, bermaksiat di sana-sini serta banyak lagi sifat-sifat yang jelek. Ada juga orang yang mempergunakan kecantikan diri untuk menjerat orang-orang kaya raya bagi mendapat habuan kebendaan dan juga seks. Dalam hati bagai nak termuntah agaknya melayan orang kaya berharta yang boleh dipanggil makpak atau datuk nenek. Orang-orang begini begitu pandai berlakon di depan mata, di belakang bermain kayu tiga atau konda kondi. Demi limpahan kerlipan kemewahan, apa pun sanggup, kertu pun kertulah asalkan poket dan beg tangan gemuk gedempol. Rosak jadinya institusi masyarakat disebabkan oleh perkara sebegini.

Akhir sekali, bagaimana sekalipun rupa paras dan fizikal anda, cerialah dan bersyukurlah kerana banyak lagi nikmat-nikmat Allah yang lain yang kita pinjam dan kita 'enjoy' tanpa kita sedari. Contohnya, nikmat-nikmat seperti kesihatan yang baik, cukup sifat, cukup pancaindera, kuat dari segi fizikal, jiwa yang tenang dan paling besar sekali, nikmat iman dan Islam. Contoh termudah, nikmat penglihatan mata yang baik dan jelas yang mana kita ambil lewa sekalipun tidak terhitung dan tidak tertulis nikmatnya walau dengan selautan dakwat sekalipun.  

Mozar : Teringat masa kecil-kecil dulu selalu sisihkan kucing yang rupanya buruk walaupun baik kelaku. Kesian makhluk Allah tu. Last-last kucing tu jadi jahat dan merompak ikan dan lauk.

Makhluk sekor ni senyum kot mana pun masih nampak buruk. Tapi hati dia ni baik...

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...