Tuesday, November 16, 2010

7 Permainan Kanak-Kanak Dulu-Dulu Yang Hampir-Hampir Dilupakan

Mak aih! panjangnya tajuk. 'Kanak-kanak dulu-dulu' ini kalau nak diikutkan bolehlah dikategorikan bagi budak-budak di zaman tiadanya komputer dan permainan komputer. Ianya mungkin sehingga sekitar tahun 80-an. Penjajahan komputer telah banyak merubah corak permainan kanak-kanak sekitar 90-an sehingga kini. Terbaru, kegilaan terhadap laman web sosial dan chatting telah turut tempias kepada kanak-kanak yang masih di bangku sekolah rendah. Sebagai contoh, ramai yang mempunyai akaun Facebook dan Twitter mereka sendiri. Senario sebegini tidak begitu sihat sebenarnya dalam membentuk sahsiah diri kanak-kanak itu kerana mereka boleh terdedah kepada pelbagai gejala yang tidak sihat dari sumber-sumber Internet. Apa-apapun mari kita lihat apakah permainan kanak-kanak yang semakin dilupakan itu.

No. 7 : Galah Panjang (Lelaki/Perempuan)
Dahulunya permainan ini selalu dimainkan oleh budak-budak sekolah rendah bila sahaja ada waktu rehat atau sebelum loceng masuk kelas dibunyikan. Kalau di rumah atau kampung, budak-budak akan main macam tak cukup siang dan ada yang kena perhambat balik.

No. 6 : Teng Teng/Jengket (Lelaki/Perempuan)
Permainan ini senang aje. Main jengket-jengket aje dalam petak yang dilukis di atas tanah atau simen. Terpijak garisan, 'mati'lah pemain itu. Penutupnya, pemain-pemain membina rumah-rumah dalam petak yang dimenangi melalui balingan 'tagan'. Kadang-kadang jenuh nak lompat rumah-rumah orang sampai 5,6 petak. Kalau terlupa singgah rumah sendiri, 'terbakar' le pulak rumah tu. Masa tu, budak-budak sibuk mencari-cari 'tagan' yang ada 'ong' dan 'cun' untuk balingan tepat ke petak-petak sasaran.

No. 5 : Gasing (Lelaki)
Permainan ini main pangkah-pangkah kawan punya gasing sampai pecah. Tapi agak bahaya sikit permainan ini kalau tak berapa mahir. Tapi tak le pula pernah dengar budak-budak yang kena pangkah tang dahi atau kepala.

No. 4 : Batu Seremban (Lelaki/Perempuan)
Permainan ini senang juga. Lambung-lambung, sambut dan kutip. Dulu-dulu pakai batu jalan aje jadi dia punya buah. Bagi budak-budak yang berhingus lagi dibenarkan main 'ketam' dengan cara mengaut sebiji-sebiji masuk dalam genggaman tangan. Biasanya budak-budak kecik ini dikira main 'ta' 'ya' 'pa' 'wau' aje.

No. 3 : Aci Nyorok (Lelaki/Perempuan)
Ini pula main nyorok-nyorok. Semua pemain menyorok, seorang yang akan cari. Haru biru sekampung bila budak-budak cari tempat menyorok yang sekreatif yang mungkin. Kalau kena 'save', si pencari kenalah jadi sipencari lagi dan lagi. Zaman sekarang kalau nak main permainan ini, tempat menyorok pun dah terhad. Rumah-rumah semua dah berpagar dan kadangkala ber'anjing'.

No. 2 : Aci Kejar (Lelaki/Perempuan) dan Aci Patung (Perempuan)
Tak tau le budak-budak sekarang ada main ini ke tidak. Tapi kalau dulu-dulu, dah habis fikir nak main apa, main inilah yang jadi pilihan. Main kejar-kejar aje sampai dapat. Kalau kena cuit atau tepuk dan tak sempat nak duduk, orang tu la akan jadi si pengejar pula. Yang aci patung tu lagi kelakar. Biasanya ini mainan budak perempuan. Taknak 'jadi' pengejar, orang tu akan buat-buat jadi patung. Kalau siapa bergerak, dia pula yang 'jadi'.

No. 1 : Main Masak-Masak/Pondok-Pondok (Perempuan)
Permainan ini menguji skil budak perempuan memasak dan menguruskan rumahtangga secara olok-olok. Ada la set-set permainan mini untuk beraneka perkakasan dapur yang akan digunakan. Permainan ini kadang-kadang budak lelaki pun join sekaki jadi tukang jual sayur dan ikan secara olok-olok. Tapi kalau budak lelaki main, diaorang lebih suka memasak nasi dan goreng menggoreng ikan betul-betul, barulah rock! Tak main le nasi dari bunga rumput dan ikan dari daun-daun kering. Kesannya, kini banyak chef-chef yang hebat-hebat datangnya dari kalangan lelaki manakala yang perempuannya punyai jari telunjuk yang halus dan mulus yang gunanya untuk menunjuk lauk itu dan ini di restoran-restoran atau kedai-kedai makan. Disebabkan budak-budak perempuan dah jarang main masak-masak ini, akan datang bila dewasa, skil masak memasak dan mengurus rumahtangga akan diambil alih secara total oleh bibik-bibik dari seberang. Silap-silap suami sendiri pun diambil alih.

Sebenarnya banyak lagi permainan budak-budak dulu-dulu yang kian terancam oleh kepupusan. Kalau rajin saya akan buat sambungannya. Yang dah otai-otai sekarang ini mesti tersenyum simpul bila mengenang permainan-permainan yang mereka membesar dengannya ini. Seelok-eloknya permainan-permainan ini dihidupkan semula di kalangan kanak-kanak masakini kerana banyak nilai-nilai yang baik yang tidak kita sedari ada di dalamnya berbanding dengan permainan-permainan komputer yang ternyata merencatkan aktiviti fizikal kanak-kanak.

Mozar : Amaran : Sekiranya anda ingin 'mewariskan' permainan Teng Teng kepada anak-anak anda, jangan menunggu sehingga anda terlalu otai kerana mungkin baru berjengket ke petak ketiga anda dah rebah tersungkur.
Salah satu contoh permainan Teng Teng - jenis kapalterbang

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...