Friday, December 24, 2010

Terkenang Arwah Mak

Hampir 2 tahun arwah mak kembali ke Rahmatullah (11 Mac 2009) iaitu genap 2 tahun ulangtahun perkahwinanku. Ketika menitipkan tahlil dan yassin buat arwah, hampir-hampir sahaja butir-butir mutiara jernih jatuh dari kelopak mata. Imbasan kenangan bersama arwah mak bermain-main di benakku. Bukan selalu dapat mengutuskan tahlil dan doa kepada arwah mak di dalam jemaah yang ramai. Ketika itu rindu kembali menggebu-gebu pada arwah mak. Kenangan bersama mak masih kekal abadi di dalam sanubariku walaupun saban hari diasak pelbagai maklumat dan imej-imej yang datang silih berganti. Kalau suatu masa dulu aku berbangga bila diaju pertanyaan "mak ayah ada lagi?" dengan jawapan singkat "ya". Kini jawapannya lebih panjang sedikit jika diajukan pertanyaan yang sama. Aku hanya masih ada ayah.

Kenapa mak tidak selalu hadir di dalam mimpi-mimpiku? Mungkinkah rinduku pada mak tidak sekuat rindunya Bilal bin Rabah r.a dan para sahabatnya terhadap Rasulullah s.a.w? Kadang-kadang memang ya. Rindu pada mak tidak sekuat seperti hari pertama pemergian mak. Aku rasa sangat bersalah pada arwah mak. Kadangkala juga aku terlupa menitipkan doa dan sedekah buat arwah mak. Arwah mak dekat tapi jauh. Dekat di hati namun jauh terpisah oleh masa. Andai diizinkan dengan rahmat Allah kami dipertemukan di syurga nanti, aku masih menginginkan rupa mak seperti di pertengahan usianya. Rambut yang sedikit memutih dan dahi yang penuh kedutan namun terpancar kejernihannya kerana wajah sebegitulah yang sentiasa aku rindukan. Namun, tidak adil pula bagi mak. Mak juga ingin secantik penghulu bidadari yang semanis gadis 17 tahun. Allah lebih Mengetahui. Apa sahaja boleh diciptakanNya. Allah jugalah yang menciptakan kasih sayang dan kerinduan ini.

Walau arwah mak tiada lagi, amal jariah mak tetap terus mengalir di jiwa anak-anaknya kerana mak telah membekalkan kami dengan ilmu duniawi dan ukhrawi sedapat mungkin. Mak telah mengajar sendiri kesemua anak-anaknya mengaji dan mengkhatam Al-Quran lengkap dengan tajwidnya. Itulah ilmu yang paling berharga buat aku dan saudara-saudara sedarahku amalkan untuk mengirim buah tangan buat mak di alam kubur sana.

Walaupun mak telah tiada, aku bersyukur kerana masih mempunyai ibubapa mertua. Mereka juga ibubapa dunia akhiratku. Sekurang-kurangnya masih ada tempat berkongsi rasa dan berkongsi kasih. Tempat mereka selepas ibu kandung juga bukan calang-calang. Cuma perkenalan dengan mereka terlalu segera. Tidak bertahun-tahun bersama seperti ibubapa kandung. Namun, mereka selayaknya diletak setaraf ibubapa kandung kerana mereka juga adalah 'kecintaan' isteriku juga.

Dunia terus berputar bagai roda yang akan hanya terhenti kala tiupan Sangkakala. Kini isteriku telah menjadi ibu kepada anak-anakku yang comel. Semoga kasih mereka terhadap ibu mereka jauh melebihi kasih sayangku terhadap ibuku. Semoga ketiadaan kami nanti akan terus menetapkan iman dan haluan hidup mereka di samping sentiasa dapat mendoakan kesejahteraan kami ibubapa mereka pula.

Mozar : Kepada pembaca-pembaca yang budiman, sudilah kiranya menyedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarhamah Khadijah bt. Hassan (nama ibu : Embun) - (1941-2009). Semoga rohnya ditempatkan bersama roh-roh orang yang beriman dan yang beramal soleh.

Malaikatku kini telah pergi menyahut panggilan Illahi. Semoga malaikatku berada di makam yang terbaik di sana.

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...