Tuesday, December 7, 2010

Salam Maal Hijrah

Selamat menyambut tahun Hijrah 1432. Diharap muslimin dan muslimat sekelian ada membacakan doa akhir tahun dan awal tahun waktu Maghrib semalam. Doa-doa tersebut antara lain Insyaallah dapat melindungi kita dari malapetaka dan tipu daya syaitan untuk setahun yang mendatang ini. Tahun baru Hijrah ini lebih sinonim kepada persoalan penghijrahan. Tidak seperti tahun baru Masihi yang mana orang-orang sibuk mengutarakan tentang azam baru. Penghijrahan adalah lebih tepat daripada azam sebenarnya. Penghijrahan sebenarnya boleh sahaja dilakukan pada bila-bila masa. Lebih segera lebih baik. Penghijrahan juga tentu sekali dimaksudkan ke arah kebaikan.

Penghijrahan perlukan pengorbanan yang sangat besar terutama dari segi menewaskan hawa nafsu dan meninggalkan zon selesa. Azam, sebaliknya hanya hangat disebut-sebut di awal tahun dan berakhir seperti sejuknya tahi ayam. Ada yang berazam berhenti merokok, menguruskan badan, bekerja lebih keras dan berbagai-bagai lagi. Di akhir tahun, azam hanya tinggal azam dan terpaksa pula di carry forward ke tahun seterusnya. Berapa banyak azam-azam anda yang telah tertunggak dan kian lupus? Itulah sebabnya. Azam boleh sahaja diucap secara main-main dan tidak diikuti dengan kesungguhan. Sebaliknya, hijrah diri lebih suci dan beriltizam kerana ianya satu perjanjian dengan Allah s.w.t yang mana tidak sepatutnya dipermainkan. Hijrah perlukan perubahan yang benar-benar dari hati dan jiwa serta diiringi doa dan harapan. Barulah hidayah dari Allah akan datang mencurah-curah dan akhirnya akan terasa kemanisan dalam penghijrahan itu sendiri. Hijrah diri lebih manis andai disulami dengan bertambahnya taat dan cinta kita kepada Allah dan Rasul kerana Hijrah ini lebih menjurus kepada perkara-perkara kerohanian.

Mozar : Berhijrah dari panas baran kepada yang lebih cool. Faktor usia dan latihan dalaman banyak membantu.

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...