Thursday, December 16, 2010

Bangau Oh Bangau!

Pernah dengar tak lagu kanak-kanak di bawah ini?

Bangau oh bangau, kenapa engkau kurus?
Macamana aku tak kurus, ikan tak mau timbul
Ikan oh ikan, kenapa tak mau timbul?
Macamana aku tak timbul, rumput panjang sangat
Rumput oh rumput, kenapa panjang sangat?
Macamana aku tak panjang, kerbau tak makan aku
Kerbau oh kerbau, kenapa tak makan rumput?
Macamana aku tak makan, perut aku sakit
Perut oh perut, kenapa engkau sakit?
Macamana aku tak sakit, makan nasi mentah
Nasi oh nasi, kenapa engkau mentah?
Macamana aku tak mentah, kayu api basah
Kayu oh kayu, kenapa engkau basah?
Macamana aku tak basah, hujan timpa aku
Hujan oh hujan, kenapa timpa kayu?
Macamana aku tak timpa, katak panggil aku
Katak oh katak, kenapa panggil hujan?
Macamana aku tak panggil, ular nak makan aku
Ular oh ular, kenapa nak makan katak
Macamana aku tak makan, memang makanan aku..2x hahaha

Ini adalah salah satu lagu kanak-kanak tradisional yang agak popular zaman dulu-dulu. Rasa-rasanya masih lagi diperturunkan kepada generasi kanak-kanak sekarang. Alkisahnya, dalam lagu ini cuba bayangkan jika ular tu tak mengaku katak memang makanan dia, entah sampai bila lagu ni nak habis. Yang orang dok tanya kenapa bangau tu kurus pasal apa? Ada ke bangau yang gemuk? Bangau tu pandai-pandai pulak buat alasan ikan tak timbul le. Kalau dia jawab memang dia spesies kurus, habis cerita. 

Dalam kes bangau membangau ini memang berlaku salah menyalah yang tiada berkesudahan kecuali seseekor yang menutup kes (ular, dalam kes ini). Masing-masing nak lepaskan tengkuk, walaupun memang ada justifikasinya alasan-alasan mereka itu. Cuma yang tak kenanya, tak pasal-pasal kerbau makan nasi. Mangsa yang paling malang ialah katak kerana ia berisiko dimakan ular manakala satu-satunya yang untung ialah ular kerana ia tidak perlu menyalahkan apa-apa lagi. Akan tetapi, jika dilihat secara terbalik pula, punca si bangau itu kurus ialah sebab ular hendak memakan katak. Semua kejadian saling berkait. Cuma yang tak kenanya, takkanlah si bangau jadi kurus hanya dengan satu kejadian semalaman.

Namun, apa-apapun begitulah juga kiasan sifat manusia, sentiasa nak lepaskan diri dari sebarang persoalan atau masalah dengan cara melibatkan orang lain pula. Memang seronok dan lega kalau dapat menyediakan alasan dengan menuding jari kepada pihak yang lain. Masalah akan terus berpusing-pusing tanpa ada kesudahannya jika empunya diri tidak mencari punca kesilapan dalam dirinya sendiri. Kadangkala, sesuatu jalan penyelesaian boleh dibuat tanpa menyalahkan mana-mana pihak-pihak yang lain walaupun kita layak berbuat demikian. Jika tidak, seseorang atau sesuatu pihak sudah tentu menjadi mangsa, seperti yang berlaku kepada sang katak. Kesudahannya, bila kes itu sampai ke pihak yang berkepentingan, masing-masing terkedu dan hanya mampu melihat dari jauh akan kesannya.

Lagu ini juga menggambarkan bahawa pihak-pihak yang di bawah tidak tahu bahawa masalah yang sedang menimpa mereka adalah berpunca dari tragedi yang sedang dihadapi oleh pihak yang lain (katak). Sekiranya semua pihak-pihak di atas katak itu bekerjasama menyelamatkannya, semua musibah yang mereka hadapi tidak akan pernah berlaku. Dengan itu, keangkuhan pihak di atas (ular) dapat dipatahkan.

Begitulah halusnya mesej yang cuba disampaikan dalam lagu orang dulu-dulu. Walaubagaimanapun, ini hanya pandangan peribadi saya sahaja. Jika anda mempunyai pandangan dari sudut pandang yang lain, silakan berkongsi di sini. Kita kupas maksud-maksud yang tersurat dan yang tersirat dalam lagu ini.

Mozar : Lagu ini akan berpusing-pusing macam gasing-gasing kalau sang ular menjawab soalan kenapa nak makan katak dengan berkata "Macamana aku tak makan, bangau kurus sangat, tak suka! tak suka!"

Part yang ular kena belit tu tiada dalam versi asal ye. Saja suka-suka aje tu. Tapi bagus, moralnya semua bekerjasama menewaskan ular tu. Apa yang penting...kerjasama!

1 comment:

  1. Satu lg tuan...kenapa so penyoal yg sibuk menyoal bangau kurus..ikan x timbul..etc tu x dipeduli orang..rasanya si penyoal tu yg mcm provoke bangau & the geng..hingga la jumpa si ular yg kondem balik so penyoal. Nota:si penyoal mungkin mewakili pihak yg bkuasa/pemerintah/bos dsb nya )

    ReplyDelete

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...