Monday, December 13, 2010

Bahasa Kontot Yang Merimaskan

Dua remaja sedang saling berbalas komen di dalam Facebook :- 
Remaja 1 : ko watpe ptg nih.klu free jom r p kuar mkn
Remaja 2 : aq de exam sok.tgh cbuk studi nih
Remaja 1 : owh ader 2 paper lg jew kn.nti aq kol ko

Apa punya bahasa ni? Pening kepala memahaminya. Inilah lebih kurang bahasa budak-budak dan remaja-remaja sekarang dalam SMS atau berchatting. Rosak ejaan Bahasa Melayu yang kita sayangi ini. Kalau orang hendak buat subjek-subjek pelajaran sekolah dalam bahasa Inggeris ramai yang melenting dan berdemo. Hakikatnya, bahasa yang dipertahankan bermati-matian ini semakin hari semakin dirosakkan. Mungkinlah puncanya ialah dari kemalasan penulis itu sendiri untuk menaip perkataan-perkataan yang panjang-panjang. Lebih-lebih lagi untuk menghantar SMS. Namun, untuk chatting atau berFacebook dalam komputer, masalah menaip tidaklah begitu sukar kerana adanya keyboard

Jika keadaan ini terus dibiarkan dan diterima pakai, ejaan-ejaan yang betul akan terus pupus menjadi seperti contoh di atas. Segala perkataan seboleh mungkin ingin disingkatkan. Yang paling tidak boleh diterima ialah ada pula perkataan-perkataan yang boleh dieja dengan 2 huruf menjadi 3 huruf atau lebih. Kalau dek disebabkan malas sangat nak menaip, kenapa rajin sangat pula menambah-nambah huruf, contohnya, 'ni' menjadi 'nie' atau 'nih'. 'Ada' menjadi 'ader', 'tu' menjadi 'tue', 'ke' menjadi 'kew' (ini yang paling menyampah nak membacanya, mengada-ngada sangat bunyinya). Contoh-contoh ejaan mengada-ngada lain adalah seperti 'itew'(itu), 'jew'(je), 'cni'(sini) dan banyak lagi.

Seandainya fenomena bahasa kontot ini menjadi titik tolak bagi orang Melayu menjadi semakin maju dan semakin bergerak pantas, silakanlah. Itu petanda yang baik. Namun, jauh panggang dari api nampaknya. Rata-rata orang kita masih menjadi 'pengguna' tegar, dan bukannya 'pengeluar'. Harga barangan dan pasaran masih di tangan orang lain juga.

Berbalik semula kepada ejaan kontot tadi, nilai bahasa itu sendiri telah dinodai. Tiada kemanisan di dalam bahasa itu sendiri. Tiada puitisnya lagi jika setiap kali membaca jenuh pula untuk mengenalpasti apa sebenarnya perkataan yang dimaksudkan. Ke mana perginya anak-anak Melayu yang rata-ratanya 'peminat' Sastera tegar yang mana hanya segelintir sahaja 'meminati' bidang Sains. Tidakkah mereka bangkit mempertahankan kekhilafan ini? Barangkali budak-budak Sains yang belajar Kimia, Fizik dan Biologi yang memulakan bahasa kontot ini. Maklumlah otak dah berserabut dengan H2O mewakili air, CO2 mewakili karbon dioksida dan berbagai lagi singkatan Sains. Pelajar-pelajar pencinta Sastera atau yang 'terpaksa' tercampak ke dunia Sastera sudah tentu melenting dengan fenomena yang sedang berlaku ini. Melenting la sangat!!! Join sekaki lagi ada la.

Kita tunggu dan lihat sahaja ke manakah arah tuju bahasa Melayu kita ini di masa hadapan. Nampaknya fenomena ini sudah tidak ketemu jalan pulangnya lagi. Semakin ramai yang sudah boleh menerima dan memahami bahasa kontot ini, tetapi bukan saya kerana saya keberatan untuk membaca posts dan komen-komen yang dikontotkan secara melampau-lampau di dalam Facebook contohnya. Meluat dan menyampah membacanya. Kalau dulu-dulu hanya beberapa perkataan seperti 'yg', 'kg' atau 'org' sahaja yang disingkatkan. Sekarang ia semakin menjadi-jadi. Malahan, jika sesuatu perkataan Melayu itu sukar disingkatkan, dirojakkan pula dengan perkataan Inggeris. Agaknya benda ni memang dah jadi trend bebudak sekarang kot. Kalau tak diikut dikatakan kolot, skema, tak cool atau ketinggalan zaman. 

Mozar : Apa jadi kalau ejaan-ejaan ayat-ayat di dalam Al-Quran dikontotkan seberapa yang boleh? Tidak terkiralah orang yang akan ke neraka hanya kerana membacanya.

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...