Friday, December 10, 2010

Berfikir Di Dalam Kotak

Apakah yang dimaksudkan dengan berfikir di dalam kotak ini? Yang sering kita dengar ialah saranan atau dorongan supaya kita 'berfikir di luar kotak'. Jika kita sendiri tidak tahu apakah kategori pemikiran kita, bagaimanakah kita hendak berubah? Berfikir di dalam kotak antara lain ialah berfikir secara mendatar, tidak mahu susah-susah memikir bagaimana untuk membuat sesuatu di luar kebiasaan. Tidak mahu susah-susah memikirkan untuk menyelesaikan sesuatu masalah dari sudut yang lain, tidak kreatif serta takut mengambil risiko di atas sebarang cadangan perubahan.

Jika berfikir di luar kotak, soalan kuncinya ialah "Bagaimana untuk...?" Sebaliknya, berfikir di dalam kotak pula mungkin berbunyi "Biarlah" atau "Lantaklah" atau "Tak kuasalah" ataupun paling teruk "Takutlah kalau..". Kita masih boleh hidup dalam kotak menikmati zon selesa tetapi kita tidak tahu apa yang sedang berlaku di luar kotak itu. Entah berapa banyak perkara atau orang yang telah memintas kita ke arah yang lebih maju lagi sedangkan kita masih selesa di takuk lama dan lambat laun akan terus disingkirkan dari permainan dunia yang semakin mencabar ini.

Sebagai contoh mudah, jika pembuat telefon bimbit 'tiga tiga sekupang' (Nokia 3310) yang begitu popular sedikit masa dahulu masih bermimpi bahawa ia masih menjadi rebutan ramai ketika ini, dengan senang-senang sahaja ia telah jauh ditendang oleh model-model telefon terkini seperti Blackberry, Samsung atau iPhone yang jauh lebih canggih. 3310 telah lama menjadi sejarah. Andainya tiada pemikir-pemikir di luar kotak sebijak sekarang, kita masih lagi menggendong telefon-telefon yang gemuk dan berat seperti itu yang hanya layak untuk membaling anjing.

Begitulah peri pentingnya kita berfikiran di luar kotak yang mana ianya perlu lebih 'advanced' dari orang lain atau pesaing kita dari masa ke semasa. Tidak kira apa jua bidang yang kita ceburi, semuanya memerlukan kita mengamalkan pemikiran-pemikiran kreatif di luar kotak agar kita tidak 'tewas' dan terus dilupakan. Berfikir di luar kotak ini boleh diasuh dan dilatih dengan menghadiri kursus-kursus yang berkenaan seandainya anda tidak memiliki bakat pemikir semulajadi. Hendak seribu daya, tak hendak seribu alasan.

Mozar : Untuk mengelakkan dari berfikir di dalam kotak, jangan pernah wujudkan kotak itu sendiri. Bagaimana ya?

Jack in the box : Bila ia terpacul keluar dari kotak, ia bisa memberi impak yang memeranjatkan. Itupun setelah ia keluar dari kotak!

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...