Tuesday, February 8, 2011

Berapa Banyak Yang Cukup?

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sekiranya anak Adam memiliki satu lembah daripada harta, nescaya ia mahu yang kedua dan sekiranya ia mempunyai dua lembah nescaya ia mahu yang ketiga. Tidak akan memenuhi perut anak Adam melainkan tanah dan Allah sentiasa menerima taubat orang yang bertaubat”.
Riwayat Ahmad

Andai anda diberi satu kantung duit emas oleh seseorang, rasa-rasanya cukup tak? Dalam hati pasti berkira-kira, "kenapa aku tak dapat dua kantung?"
Bila telah diberi dua kantung, hati sekali lagi berkira-kira, "kenapa aku tak dapat tiga kantung?"
Sudahnya, berapa kantung duit emas yang sepatutnya kita dapat supaya hawa nafsu kita puas? Saya sendiri pun tidak pasti jawapannya. Masalahnya, inilah rupanya hawa nafsu manusia, yang sememangnya agak sukar untuk dipuaskan. Sudah mendapat satu, pasti berkehendakkan yang kedua, ketiga dan juga seterusnya. Disebabkan hawa nafsu yang tamak jugalah saudara Kassim Baba telah dikerat-kerat oleh 40 penyamun dalam filem Ali Baba & 40 Penyamun (arahan Tan Sri P.Ramlee). Ali Baba yang berpada-pada dalam mengambil harta-harta itu, terselamat.

Untungnya, dalam perkahwinan, Islam membataskan beristeri hanya setakat empat orang sahaja dalam satu-satu masa. Jika tidak, orang yang kaya-raya dan berkeinginan pasti akan memilih isteri seperti memilih sayur-sayuran yang segar-bugar. Yang sudah layu akan diabaikan begitu sahaja.
Jadi, berapa banyak kebendaan dan isteri yang cukup untuk anda bersenang-senang?

Selain dari soal kebendaan, manusia juga sangat berkira-kira dengan masa. Andai diberi masa 100 hari untuk menyiapkan sesuatu projek, berapa harikah sebenarnya anda benar-benar bertungkus lumus menyiapkan projek itu? Jawapannya, rata-rata orang akan tersipu-sipu mengaku, 24 atau 48 jam terakhir. Ketika diberi deadline, hati berbunga-bunga riang kerana diberikan masa yang sungguh lumayan untuk menyiapkan kerja. Hari ke hari, nanti ke nanti, sudahnya sampailah ke hari yang ke 99. Masa itulah baru kelam kelibut hendak 'memulakan kerja', bukannya sekadar untuk last minute touch up. Kepala pun dah tak berapa betul dah masa tu. Menyesal pun ada. Bersengkang matalah sampai ke pagi demi mengejar tarikh keramat untuk mempersembahkan hasil kerja. Hebat juga kan? Kerja yang diperuntukkan 100 hari boleh disiapkan dalam masa sehari sahaja. Dalam hati sekali lagi berbisik jahat, "Sepatutnya aku diberi 120 hari, barulah sempat".
Jadi, berapa banyak hari yang cukup untuk anda menyiapkan sesuatu tugasan atau projek?

Satu lagi nafsu yang agak jahat juga ialah nafsu makan. Kalau ada majlis yang menghidangkan makanan secara buffet, cuba lihat berapa banyak makanan yang dirancang untuk diasak oleh setiap tetamu ke dalam tenggorok mereka. Semua hidangan ingin diambil sebanyak yang boleh. Sudahnya, rata-rata tetamu akan membuang makanan yang tidak mampu dihabiskan atau yang tidak kena dengan selera mereka. Di bulan Ramadhan pula, membeli juadah berbuka pula sudah menjadi seperti satu pesta makanan. Semua makanan dipandang menyelerakan. Borong sampai rebah. Bila meneguk seteguk air, atau menyedut sekepul asap, tengok makanan yang berlambak tadi pun rasa nak muntah. Rasa-rasanya kita rakyat di bumi bertuah ini, terlalu banyak membazir. Naikkanlah harga barangan setinggi gunung Kinabalu sekalipun, pembaziran masih dan tetap akan berlaku.
Jadi, berapa banyakkah makanan yang cukup untuk mengenyangkan anda tanpa membazir?

Berapa banyak yang cukup? Tepuk dada tanyalah selera. Jangan tepuk perut. Perut memanjangnya selera. Tepuk dahi, tanyalah akal. Ada akal, takde akal?

Mozar : Manusia akan hanya berasa sangat cukup apabila dipukul atau dipalu. Ada ke orang yang minta dipukul lebih-lebih? Mental ke apa?






No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...