Friday, April 26, 2013

Pilih Memilih : Antara Suka, Terpaksa, Dipaksa Atau Langsung Tidak

Tanpa kita sedar atau peduli, saban hari kita terlibat dalam hal-hal pilih memilih ini. Dari celik mata lagi kita sudah mula memilih. Kita memilih nak bangun ke tak nak bangun lagi, padahal alarm dah di set awal-awal nak bangun pada sekian-sekian waktu. Alih-alih bila alarm dah memekak, nak pilih memilih pula. Bila sampai ke bilik air pula kita memilih samada nak mandi air sejuk ataupun air panas. Bila nak gosok gigi pula kita memilih nak pakai cecair kumuran atau menggosok gigi, atau juga tak payah cuci mulut langsung. Pilihan semuanya di tangan anda. Acara pilih memilih ini berlanjutanlah sehingga anda melelapkan mata semula. Pilih nak tidur pukul berapa, nak pilih bantal mana, nak pilih baring posisi mana ataupun nak membaca dulu ke, nak ber ehem-ehem dulu ke sebelum tidur. Pendekata, hidup kita sentiasa dilingkari pilihan demi pilihan.

Apabila kita dihidangkan dengan pelbagai pilihan, kita tidak lepas dari samada membuat pilihan kerana memang kita sukakan sesuatu itu, kita terpaksa membuat pilihan itu, kita dipaksa membuat pilihan ataupun jalan selamat, langsung tak memilih (di atas pagar atau di persimpangan dilema). Mari kita lihat keempat-empat senario ini satu persatu. Jika anda memilih untuk tidak meneruskan pembacaan pun tak apa, tak paksa punya.

Kita memilih kerana suka bila kita memang suka sesuatu itu. Tanpa dipaksa-paksa, tanpa dijolok-jolok, tanpa dimomok-momok atau tanpa dilobi-lobi, kita memang suka. Orang tak payah buang air liur nak kempen nak bagi kita suka. Kita tahu sesuatu itu memang sesuai dengan jiwa dan kehendak kita, takkan menyesal kalau memilihnya. Kita juga tahu, sanggup dan redha menerima risikonya setelah kita membuat pilihan tersebut. Kalau yang dipilih memberi onar kita sanggup menelan pahitnya dan membersih busuknya. Apa-apa jua anasir yang cuba memburuk-burukkan pilihan kita pasti saja kita tentang habis-habisan. Pendekata, muktamad habislah pilihan kita itu, dikerat lapan belas pun masih lagi tidak berganjak dengan keputusan.

Umpama kita memilih sebiji kuih cucur badak, sudah tentu kita akan memilih yang kita suka akan bentuknya yang montok, tidak peset, baunya yang harum ataupun yang nampak garing walaupun rupanya tak ada langsung macam badak. Tapi awas, rasanya belum tentu lagi sedap atau tidak. Ada yang masin, ada yang sangat manis, ada yang basi ataupun yang tawaq habiaq. Itulah risiko dalam memilih benda yang kita tak nampak dari luaran. Nak pilih dengan bijak pun tak kena dalam kes ini sebab inti di dalam siapa yang tahu, kecuali si pembuat cucur badak tersebut.

Kita memilih kerana terpaksa sebab kita tidak mempunyai pilihan lain. Ditelan pahit dibuang sayang. Maka tidaklah dibuang, telan ajelah walaupun pahit. Nak diikutkan, kalau terpaksa memilih ni, maknanya bukanlah memilih pun, tapi ambil tanpa rela. Berat kes ni. Mungkin ada orang ugut letak pisau di tengkuk yang menyebabkan nak tak nak kita terpaksa ambil juga. Ini boleh pula jadi kes dipaksa namanya. Mungkin juga jika tak dituruti, akan putus kawan, putus saudara, putus bantuan, putus peluang atau macam-macam putus lagilah.

Mungkin juga dalam kes lain, anda terpaksa memilih sesuatu agar tidak mengecewakan pihak yang satu lagi, yakni tiada hati yang akan terluka. Akhirnya, anda jugalah yang akan tertekan dan memendam rasa. Jika baik hasilnya (tidak dapat membuat pilihan sendiri begini), maka legalah anda. Jika sebaliknya, andalah yang akan makan hati. Tiada pilihan sebegini akan hampir pula mendorong kepada sikap tidak memilih langsung.

Dalam situasi tidak memilih langsung, anda cuba berlagak neutral, tidak menyebelahi mana-mana pihak. Mungkin kerana mencari jalan selamat atau mungkin juga seorang yang tidak bertanggungjawab langsung. Bayangkan umpama bot kecil yang sedang anda naiki hampir-hampir karam. Pilihan yang ada ialah mencampakkan barangan yang membebani bot tersebut termasuk beg-beg dan barangan berharga anda agar kapal masih boleh mengapung sementara bantuan tiba. Pilihan yang satu lagi ialah nekad terjun ke laut dengan memakai jaket keselamatan sementara menanti diselamatkan. Jika anda memilih salah satu pilihan tadi, peluang anda selamat dan hidup adalah lebih cerah. Sebaliknya, jika anda langsung tidak membuat mana-mana pilihan yakni pasrah dan pegun di atas bot (laksana duduk di atas pagar), suasana kecelakaan tadi akan terus juga berjalan tanpa bertangguh lagi lalu menelan anda dan kesemua barangan anda ke dasar laut.

Di kebanyakan masa anda memang perlu memilih, cuma dalam beberapa kes terpencil, anda tidak perlu memilih langsung, yakni tentu sekali dalam kes-kes yang membawa kepada kemaksiatan, dosa-dosa besar atau juga kemudaratan diri. Jika anda ditawarkan antara wanita untuk dijimak ataupun arak untuk diteguk, tentu sekali anda ditegah oleh agama untuk membuat mana-mana pilihan. Itu pasti sekali akan membawa kepada kecelakaan dalam hidup, kalau tidak sekarang, mungkin beberapa karang kemudian.

Mozar : Musim memilih kerajaan untuk penggal baru hampir-hampir tiba. Pilihlah dengan hati dan naluri yang meletakkan kepentingan agama di hadapan sekali. Bila agama terpelihara, segala yang lain akan turut selamat sejahtera. Kemudian barulah memilih kerana keturunan, bangsa, negara, kebajikan, harta benda serta apa-apa jua perkara yang membawa kebaikan sejagat, untuk sekurang-kurangnya bagi tempoh 5 tahun yang mendatang.

Sejuta Duit Jatuh (RM1,000,000 Money Drop) : Rancangan TV yang benar-benar menduga akal, pengetahuan dan kebijaksanaan memilih. Tersilap pilih, duit jatuh berdebuk.
 

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...