Thursday, June 12, 2014

Nisfu Syaaban 1435H : Buku Catatan Amal Berganti Baru

Dipetik daripada Wikipedia, Ensiklopedia Bebas :-
 

Nisfu Syaaban (Nisf bermaksud separuh) adalah peristiwa hari ke-15 dalam bulan Syaaban tahun Hijrah. Umat Islam mempercayai yang pada malam Nisfu Syaaban, amalan akan dibawa naik oleh Malaikat untuk ditukar dengan lembaran amalan yang baru setelah setahun berlalu. Pengertian am Nisfu Syaaban dalam bahasa Arab bererti setengah. Nisfu Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam ke-15 Syaaban iaitu siangnya 14 haribulan Syaaban.

Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadar. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi SAW tidak tidur pada malam itu sebagaimana yang tersebut dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a :
 

Rasulullah SAW telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda SAW dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda SAW berkata dalam sujudnya, “Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yang akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kepadaMu daripadaMu. Aku tidak dapat menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri."
Setelah Baginda SAW selesai sembahyang, Baginda berkata kepada Saiyidatina Aisyah r.a. “Malam ini adalan malam Nisfu Syaaban. Sesungguhnya Allah Azzawajjala telah datang kepada hambanya pada malam Nisfu Syaaban dan memberi keampunan kepada mereka yang beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yang memberi rahmat (membuat amal makruf dan nahi munkar) dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap orang-orang yang dengki.”


Hari Nisfu Syaaban adalah hari dimana buku catatan amalan orang-orang Muslimin selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu Maghrib, (15 Syaaban bermula pada 14 haribulan Syaaban sebaik sahaja masuk waktu Solat Maghrib).

Nabi Muhammad SAW menggalakkan umatnya untuk bangun malam dan berjaga serta beriktikaf sepanjang malam kerana tidak mahu amalan diangkat dalam keadaan tidur atau lalai.



Seiring dengan hari yang amat penting juga bagi orang-orang Muslimin ini, marilah sama-sama kita perbanyakkan ibadat di malam ini sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Nabi SAW. Seterusnya, jangan lupa pula untuk memasang azam bahawa dalam buku catatan amal yang baru diganti nanti, kita dapat mengelakkan diri dari banyak berbuat dosa serta kemungkaran. Sebaliknya, marilah kita penuhi buku baru itu nanti dengan amalan-amalan soleh dan pahala yang berganda-ganda.


Bagi mereka yang setahun yang lalu banyak terlalai dan alpa dengan perintah Allah, mari kita ubah ini kalilah. Bagi yang telah banyak berbuat kesilapan seperti banyak mengumpat, memfitnah, mengadu domba, menipu, menganiaya, dan banyak lagi kesilapan yang lain, apa kata kita buang terus atau sedaya upaya mengurangkannya di masa yang ke hadapan ini. Bagi yang telah banyak membazir wang dengan menyedut bertan-tan asap rokok pula, cubalah buang terus tabiat buruk tersebut sebelum tabiat anda itu menjadi 'double haram' yang menjurus kepada 'haram jadah' kerana khabarnya ada DNA babi dikesan pada penapis rokok.

Sebagai panduan untuk anda berubah serta berazam menjadi manusia atau insan yang lebih baik di masa mendatang, hayatilah hadis unggul seperti yang dipetik di bawah ini. Di dalamnya mengandungi panduan dan pengajaran yang lengkap untuk menjadikan kita seorang yang unggul dan berperibadi mulia. Mudah-mudahan ianya cukup untuk menyelamatkan anda di kehidupan di dunia dan di akhirat kelak.

Daripada Saidina Khalid bin Al-Walid RA berkata :-

“Telah datang seorang Arab Baduwi kepada Rasulullah SAW dan dia menyatakan tujuannya :

Wahai Rasulullah...!
Kedatanganku untuk bertanya engkau mengenai apa yang akan menyempurnakan diriku didunia dan akhirat.”

Rasulullah berkata kepadanya :
“Tanyalah apa yang engkau kehendaki.”

Arab Baduwi itu berkata :
Aku mahu menjadi orang alim.

Baginda menjawab :
"Takutlah kepada Allah SWT"

Dia bertanya lagi :
“Aku mahu menjadi orang paling kaya.”

Rasulullah menjawab :
“Jadilah orang yang yakin pada diri.”

Bertanya lagi Arab Baduwi itu :
“Aku mahu menjadi orang yang adil.”

Lalu dijawab oleh Rasulullah :
“Kasihanilah manusia lain seperti engkau kasih pada diri.”

Dia bertanya :
“Aku mahu menjadi orang paling baik.”

Baginda menjawab :
“Jadilah orang yang berguna kepada masyarakat.”

Dia bertanya lagi :
“Aku mahu menjadi orang istimewa di sisi Allah.”

Dan dijawab oleh Rasulullah :
“Banyakkan zikrullah.”

Arab Baduwi itu bertanya :
“Aku mahu sempurnakan imanku.”

Baginda menjawab :
“Perelokkan akhlakmu.”

Dia bertanya lagi :
“Aku mahu termasuk dalam golongan orang yang muhsini (baik). “

Baginda menjawab :
Beribadatlah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya dan jika engkau tidak berasa begitu, sekurang-kurangnya engkau yakin Dia tetap melihat engkau.”

Arab Baduwi bertanya lagi :
“Aku mahu termasuk dalam golongan yang taat,”

Lalu dijawab baginda :
“Tunaikan segala kewajipan yang difardukan.”

Dia bertanya lagi :
“ Aku mahu berjumpa Allah dalam keadaan bersih daripada dosa.”

Rasulullah menjawab :
“Bersihkan dirimu daripada najis dosa.”

Dia terus bertanya :
“Aku mahu dihimpun pada hari kiamat di bawah cahaya.”

Baginda menjawab :
“Jangan menzalimi seseorang.”

Dia bertanya lagi :
“Aku mahu dikasihi oleh Allah pada hari kiamat.”

Baginda berkata :
“Kasihanilah dirimu dan kasihanilah orang lain.”

Dia bertanya :
Aku mahu dihapuskan segala dosaku.”

Baginda menjawab :
“Banyakkan beristighfar.”

Dia berkata :
“Bagaimana pula aku mahu menjadi semulia-mulia manusia,”

Lalu baginda menjawab :
“Jangan mengesyaki sesuatu perkara pada orang lain.”

Dia bertanya :
“Aku mahu menjadi segagah-gagah manusia.”

Baginda menjawab :
“ Sentiasa menyerah diri (tawakal) kepada Allah.”

Dia bertanya lagi :
“Aku mahu dimurahkan rezeki oleh Allah.”

Baginda menjawab :
“Sentiasa berada dalam keadaan bersih (daripada hadas).”

Dia bertanya :
“Aku mahu termasuk dalam golongan yang dikasihi Allah dan rasul-Nya.”

Baginda menjawab :
“Cintailah segala yang disukai Allah dan Rasul-Nya.”

Dia bertanya :
“ Aku mahu diselamatkan daripada kemungkaran Allah pada hari kiamat.”

Baginda menjawab :
“Jangan marah kepada orang lain.”

Dia bertanya lagi kepada Rasulullah :
“Aku mahu diterima segala permohonanku.”

Baginda menjawab :
“Jauhilah makanan haram.”

Dia bertanya :
“ Aku mahu Allah menutupkan segala keaibanku pada hari kiamat.”

Baginda pun menjawab :
“Tutuplah keburukan orang lain.”

Dia bertanya :
“Siapa yang terselamat daripada dosa?”

Rasulullah menjawab :
“Orang yang sentiasa mengalir air mata penyesalan, mereka yang tunduk pada kehendakNya dan mereka yang ditimpa kesakitan.”

Dia terus bertanya :
“Apakah sebesar-besar kebaikan disisi Allah?”

Baginda menjawab :
“Elok budi pekerti, rendah diri dan sabar dengan ujian (bala).”

Dia bertanya lagi :
“ Apakah sebesar-besar kejahatan di sisi Allah?”

Baginda menjawab :
“Buruk akhlak dan sedikit ketaatan.”

Dia bertanya :
“Apakah yang meredakan kemurkaan Allah di dunia dan akhirat?”

Baginda menjawab :
“Sedekah dalam keadaan sembunyi (tidak diketahui) dan menghubungkan kasih sayang.”

Dia bertanya lagi :
“Apa yang akan memadamkan api neraka pada hari kiamat?”

Baginda
“Sabar didunia dengan bala dan musibah.”

Dan telah berkata Imam Mustaghfirin: “Aku tidak pernah menemui hadis sebegini lengkap merangkumi kesempurnaan agama dan kehidupan selain hadis ini.”

Mozar : Tahniah bagi anda yang sampai ke blog ini dan membaca entri ini di kala ramai yang sibuk mencari-cari info tentang Piala Dunia Brazil 2014 yang menjengah di waktu yang sama dengan kedatangan Nisfu Syaaban 2014.

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...