Monday, February 14, 2011

Mari Menyambut Hari Kekasih

Opps!!! Rewind balik! Silap besarlah kalau saya mengajak anda menyambut hari Memperingati Kekasih atau dikenali juga dengan Hari Valentine. Sebetulnya, entri ini berbunyi, 'Mari Menyambut Hari Kelahiran Kekasih Allah s.w.t.' Amaran bagi sesiapa yang taksub sangat untuk meraikan Hari Valentine, Rasulullah s.a.w pernah bersabda: "Barangsiapa meniru sesuatu (perlakuan) umat, mereka tergolong di kalangan mereka". (riwayat Ahmad: 2/50, Abu Daud:4021).

Ada pelbagai versi sejarah tentang kewujudan hari Valentine ini yang langsung tidak ada kena mengenanya dengan Islam. Apapun versi yang kita dengar, sebagai umat Islam, janganlah sekali-kali kita berkeinginan untuk menyambutnya kerana ianya bukan dari agama dan budaya kita. Ada Fatwa yang mengatakannya Haram. Sepatutnya kalau dah sayang, hari-hari adalah hari kekasih. Jika ditetapkan satu hari memperingati kekasih, maknanya 364 hari lagi anda boleh sahaja melupakan atau melukai kekasih.

Buat sekelian umat Islam, ingatlah bahawa esok adalah hari memperingati kelahiran junjungan besar kita, Rasulullah s.a.w. Baginda adalah pesuruh Allah yang membawa rahmat ke seluruh alam. Kisah kelahiran Baginda amatlah menyentuh perasaan. Sedari kecil baginda telah menjadi yatim piatu. Baginda bukan membesar dengan kasih sayang dan dilimpahi kemewahan sepanjang hayatnya. Namun, Bagindalah model dan pembimbing bagi umat-umatnya sehingga ke hari Kiamat. Jika kekayaan dan kemewahan hidup yang dipertunjukkan Baginda sebagai satu contoh kejayaan, maka tidak berjayalah kesemua umat-umatnya yang miskin dan melarat. Baginda sendiri melalui segala macam kepayahan dan keperitan hidup. Namun, Bagindalah kekasih Allah, yang hidup dan matinya diabdikan semata-mata kerana menyampaikan risalah-risalah Allah. Ajaran-ajaran yang dibawanya melalui perkataan-perkataannya(hadis-hadis) dan Al-Quran terkandung segala macam rahsia dan selok-belok untuk manusia berjaya di dunia dan di akhirat.

Peristiwa Baginda berdakwah di Taif berhadapan dengan orang-orang Bani Thaqif sungguh meruntun perasaan. Walaupun Baginda dilempar dengan batu sehingga darah mengalir di tubuhnya, dicaci serta dicerca, Baginda tetap bersabar menerimanya. Sehinggakan satu ketika, dalam perjalanan pulang Baginda, Malaikat Jibrail telah menawarkan kepada Baginda untuk membinasakan penduduk-penduduk Taif itu, Baginda dengan penuh kasih sayangnya memaafkan dan mendoakan yang baik-baik untuk mereka dan keturunan mereka. Mungkin dari peristiwa inilah terbitnya ungkapan yang sering kita dengari, "sedangkan Nabi ampunkan umat." Wallahualam. Peristiwa perjalanan Nabi s.a.w ke Taif ini boleh dibaca di SINI.

Sempena Maulidur Rasul yang akan disambut esok, 12 Rabiul Awal 1432 H, sama-samalah kita memperbanyakkan selawat kepada junjungan besar kita Rasulullah s.a.w. Berazamlah kita untuk bertemu dengan Baginda serta mendapat syafaat Baginda di akhirat kelak. Genggamlah segala sunnah-sunnahnya seperti kita menggenggam bara-bara api. Sesungguhnya, sunnahnya yang terbesar ialah berdakwah di jalan Allah s.w.t. 

Mozar : Amat terharu apabila diriwayatkan bahawa Baginda masih menyebut "umatku, umatku" di penghujung hayat Baginda. Layakkah kita hari ini menjadi salah seorang umatnya yang dirisaukannya ketika itu? Ataukah kita tergolong di antara umatnya yang tidak dipedulikan lagi?

Petikan VCD dari www.albarakah.org bertajuk Pertahankan Nabi Muhammad s.a.w. Hayatilah dengan fikiran yang waras dan terbuka luas.

2 comments:

  1. Mozar, sama-sama kita kerap kirimkan ucapan selawat kepada Rasulullah s.a.w. Semoga kita tergolong di kalangan mereka yang memperoleh syafaat baginda.

    ReplyDelete
  2. Saudara eyman, terima kasih kerana singgah di blog yang tidak seberapa ini di samping saling memperingati. Blog saudara memang the best!

    ReplyDelete

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...