Monday, June 20, 2011

Minggu Yang Sukar

Minggu yang lepas adalah satu minggu yang sangat sukar untuk diharungi. Tanggal 13 Jun saya telah kehilangan seorang kawan setaman perumahan yang boleh dikatakan akrab. Tanggal 16 Jun pula saya telah kehilangan bapa mertua. Kedua-duanya kes yang mengejut, tanpa sakit-sakit yang lama. Kawan tersebut kembali ke Rahmatullah di usia 47 manakala bapa mertua di usia 71. Kawan tersebut meninggalkan seorang balu dan 4 orang anak yang masih lagi mentah-mentah. Bapa mertua pula meninggalkan ibu mertua, anak, menantu serta cucu. Innalillahiwainnailaihirojiun.

Allah menjadikan kematian bukan bertujuan membebankan kehidupan orang-orang yang ditinggalkan. Allah mempunyai perancanganNya sendiri. Setiap jiwa pasti akan merasai mati, cuma masa dan ketikanya sahaja yang tidak diketahui. Setiap saat dan ketika mahu tidak mahu kita terpaksa bersedia ke arah itu. Bagi kita yang masih hidup, kematian demi kematian yang disaksikan adalah berupa peringatan agar kita lebih menghargai kehidupan, menghargai kesihatan, menghargai sesiapa jua di sekeliling kita serta juga menghargai segala nikmat-nikmat Allah yang telah kita kecapi selama ini. 

Bagi pembaca yang budiman, kiranya ingin menambah bekalan kepada arwah-arwah, tujukanlah sedekah kalian kepada Abu Sepian b. Umi Kalsum (bapa mertua) dan Megat Jamshid b. Zaharah (kawan). Alfatihah.

Tidak ketinggalan, Selamat Hari Bapa bagi bapa saya dan juga anda yang masih mempunyai bapa. Bagi yang telah kehilangan bapa sedekahkan Alfatihah buat bekalan mereka di alam Baqa sana.

Mozar : Tidak ada enaknya kehidupan dunia ini kerana intinya berisi ingatan akan usia tua dan mati (Syair Arab).

No comments:

Post a Comment

Pecah kaca pecah cermin, lepas baca harap komen...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...